Tuesday, February 06, 2007

Panggilan - kepada murid al-Qaradhawi di seluruh dunia


Doha - Laman al-Qaradhawi - 4 feb 2007

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه.

Murid yang menuntut secara terus dengan Syeikh al-Qaradhawi tidaklah ramai, akan tetapi beliau mempunyai ramai murid yang berada di merata pelusuk dunia. Mereka ini menganggap diri mereka sebagai pengikutnya, termasuklah mereka yang cenderung kepada manhaj sederhananya, cara Syiekh melihat sesuatu isu dari kacamata yang lengkap, kaedah beliau yang seimbang dan melegakan, dan juga dikalangan mereka yang berpegang kepada fatwanya yang taisir (mudah) dan kaedah dakwahnya yang terbuka, yang seimbang dengan ketetapan Syariah dan perubahan masa dan sebagainya.

Ada dikalangan mereka yang menjadi murid kerana membaca bukunya, yang telah menjangkau lebih dari 160 biji. Ada juga yang belajar dan mendengar ceramah dari kaset, yang tidak diketahui jumlah mereka. Terdapat juga mereka yang mendengar Khutbahnya di mimbar Masjid Omar al-Khattab di Doha, yang di pancarkan melalui stesyen satelite Qatar. Ada juga yang mengikuti rancangan TV al-Jazeera (al-Syariah wa al-Hayah) yang popular itu, dan ada yang menyayangi Syiekh dan menganggap diri mereka sebagai penyambung fikrahnya, dan juga pendakwah yang membawa ajaran Muhammad dan al-Quran.

Syiekh ingin bertemu dengan murid-murid itu, dimana hubungan beliau dengan mereka telah terjalin melalui kerohanian dan intelektual, agar Syiekh mengenali mereka, dari aspek - Nama mereka, tempat mereka, dan biografi mereka. Hatta memungkinkan Syiekh bertemu mereka di dalam lawatan yang berlainan, mengikut kesesuaian masa beliau dan mereka. Dengan itu dapatlah beliau menyakinkan mereka mengenai kebaikkan manhajnya. Mereka juga boleh buat pembentangan kepadanya, dan kemungkinan jika dizinkan, boleh diadakan mesyuarat khas, menurut keadaan.

Dengan ini kami mengharapkan agar setiap seorang menyediakan secara serious dan ikhlas berkenaan dengan Manhal al-Syeikh ini - hantar melalui internet ke laman Qaradawi satu biografi ringkas dan padat, dan menjelaskan perkara berikut :-

1. Kenapa dia menganggap dirinya sebagai murid al-Qaradhawi?
2. Apakah dia membaca penulisan Syeikh?
3. Apakah dia mendengar ceramah dan khutbahnya?
4. Apakah dia mengikuti program TVnya?
5. Apakah dia menulis mengenai Syiekh?

Maka seterusnya. hantarkan biografi dan komunikasi melalui e-Mail :- qa@qaradawi.net

Moga2 Allah memperelokkan permintaan kita semua. Allah akan membantu setiap langkah2 kita, dan memberi hidayah kepada siapa yang dia cinta dan redha.

==============
sumber : http://www.qaradawi.net/site/topics/printArticle.asp?cu_no=2&item_no=4772&version=1&template_id=116&parent_id=114

Sunday, February 04, 2007

Qaradhawi menyeru agar Syiah hentikan fitnah terhadap Sunni



Pada 20 Januari yang lalu, telah diadakan Dialog diantara Mazhab Ahli Sunnah (Sunni) dan Syiah di Doha, Diantara perbincangannya adalah isu bagaimana menyelesaikan masalah keganasan di Iraq. Usaha kearah kerjasama diantara agama telah banyak dilakukan, dan kenapa diantara Mazhab Islam tidak boleh di lakukan usaha yang sama.

Begitulah kata-kata Pengerusi Pesekutuan Ulama' Antarabangsa, Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi. Beliau dengan tegas menyelar Syiah yang menghina Ai'syah ra. dan para-para Sahabat Nabi :saw, dan mensifatkan mereka sebagai sudah melampaui batas dan keterlaluan.

Blog kali ini ingin menyingkap kembali ketegasan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menghadapi Syiah.

=================
DOHA - Ulama' terkenal, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyeru agar Syiah menghentikan fitnah terhadap Sunni, mengajak agar kedua-dua pihak merapatkan jurang dan bersatu menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang.

"Perbuatan fitnah Syiah didaerah yang mempunyai kependudukan Sunni yang ramai adalah bahaya dan seolah-olah melontar spanner kepada usaha-usaha perpaduan", al-Qaradhawi berucap di Persidangan pertama Doha bagi Dialog diantara Mazhab, yang diresmikan pada 20 Januari, 2007 yang lalu.

al-Qardhawi sebagai Pengerusi Persekutuan Ulama' Islam Antarabangsa berkata, Sunni yang merupakan majoriti pegangan umat Islam dunia, telah mengambil initiatif dan mengeluar beberapa fatwa menerima Mazhab Syiah Jaafari, tidak seperti Syiah.

Beliau memberi amaran bahawa perbuatan fitnah ini akan menjadi batu penghalang kepada usaha-usaha merapatkan (taqrib) yang telah dijalankan. Kata beliau :-

إن لإيران قوتها ونفوذها في العراق وتستطيع بما لديها من مفاتيح وقف الفتنة الطائفية قبل أن تقضي على الأخضر واليابس
"Sesungguhnya Iran yang mempunyai kekuatan dan pengaruhnya kepada Iraq mampu menghentikan fitnah mazhab ini sebelum semuanya hancur (sebelum terlambat)"

Qaradhawi telah mengambil satu contoh dimana dipolmat Iran telah menyebarkan buku penyebaran aqidah Syiah di Sudan, dan berita tersebut telah disahkan oleh Menteri Waqaf Sudan, Esam al-Bashir, yang menghadiri persidangan yang sama.

Akan tetapi, ulama Syiah, Ayatollah Mohammad Ali Taskhiri, Ketua Organisasi Kebudayaan dan Komunikasi Iran telah menolak dakwaan al-Qaradhawi.

Kata Tashkhiri : 'Sunni yang sepatutnya menghentikan fitnah terhadap Syiah'. Beliau menjelaskan bahawa terdapat beberapa ulama' Sunni melabelkan Syiah sebagai murtad disebabkan pemahaman mereka yang berbeza.

Ketua Pusat Kajian Iran-Arab di Iran, Ali Azrship, berkata bahawa beliau tidak menyangka al-Qaradhawi akan melemparkan kenyataan tersebut, yang menurut beliau tidak akan membantu dialog Muslim.

Menghina Sahabat

Qaradhawi mengkritik beberapa golongan Syiah yang menghina Sahabat-Sahabat Nabi :saw. "Bagaimana boleh saya berjabat tangan dengan mereka yang melaknati para Sahabat? Para Sahabatla yang membawa Islam ke Iran, kenapa harus kurang ajar?"

Beliau menolak dakwaan Syiah bahawa Khalifah Umar al-Khattab bertanggung jawab membunuh anak Nabi :saw dan isteri Ali, Fatimah al-Zahra.

al-Qaradhawi menegaskan : "Kedua-dua Sunni dan Syiah hendaklah membuang apa-apa tuduhan yang provokatif dari silabus mereka".

إذا كنا نسعى للتقارب بين الأديان المختلفة فكيف لا نسعى للتقارب بين أتباع الدين الواحد والقبلة الواحدة
"Jika kita sedang mencuba merapatkan jurang diantara pelbagai agama, maka mengapa tidak kita melakukan perkara yang sama merapatkan jurang diantara pengikut-pengikut satu agama dan satu kiblat", ujar al-Qardhawi kehairanan.

Keganasan di Iraq

al-Qaradhawi mengatakan bahawa ulama' Islam sudah tidak tahan lagi melihat keganasan Mazhab yang berlaku di Iraq, kata beliau "Terdapat percubaan menukar demografi bandar Baghdad dengan memaksa Sunni keluar dari situ".

Qaradhawi telah mengutuk Squad Mati Syiah yang dikatakan telah menyiksa kaum Sunni sebelum membunuh mereka.

Beliau menyeru kepada Ulama' Syiah seperti Ali Khamenei agar beliau campur tangan supaya keadaan di Iraq tidak menjadi lebih buruk. Katanya : "Sudah sampai masanya Syiah menjauhkan diri mereka dari apa yang berlaku di Iraq".

Persidangan ini telah dianjurkan oleh Kolej Syariah Qatar dengan kerjasama Universiti al-Azhar dan Forum Dunia bagi Mendekatkan Mazhab Islam Sedunia.

Persidangan / Muktamar ini telah menarik perhatian seramai 200 perserta dari lebih 40 negara, termasuklah Ketua OIC, Ekmelddin Ihsanoglu, Ali Jumma (Mufti Besar Mesir) dan Menteri Agama dan Waqaf Mesir, Mahmoud Hamdi Zakzouk.

===
sumber berita dari Laman Qaradawi.net (20 Januari 2007) dan IslamOnline.Net

Sunday, January 28, 2007

Muharram - antara fadhilat dan kepalsuan

Bulan Muharram merupakan bermulanya tahun baru didalam kalendar Islam. Artikel lalu telah membicarakan mengenai beberapa kelemahan fakta apabila membicarakan mengenai peristiwa hijrah Nabi :saw. Kelemahan-kelemahan ini adalah disebabkan oleh beberapa kitab-kitab sirah yang mengambil cerita berdasarkan kepada hadith-hadith dhaef.

Masyarakat kita telah didedahkan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini dengan upacara membaca do'a akhir dan awal tahun. Yang agak sedihnya adalah terdapatnya semacam janji syaitan kepada si-penerima do'a ini bahawa : "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun." dan juga "Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan".

Komentar kami adalah bahawa do'a ini tidak datang dari Nabi :saw, dan haram kita menyandarkan do'a kepada kepada Rasulullah :saw, kerana do'a ini tidak terdapat didalam mana-mana kitab sunnah. Mungkin persoalan yang timbul adalah : kepada siapa pula syaitan ini berjanji? Kami mengandaikan bahawa ini merupakan harapan dan cita-cita si-penulis do'a ini, mengambarkan seolah-olah syaitan telah berjanji dengan dia.

Berasaskan minda yang terbuka, tidak ada salahnya membaca do'a ini, kerana maknanya pun tidak menyalahi syara'. Kita tidak perlu terhad kepada kaifiat yang didatangkan bersama-sama do'a ini, seperti kaifiat doa awal tahun hendaklah di baca selepas Magrhrib 1 Muharram. Disebabkan maknanya baik, tidak kiralah waktu dan hari apapun, baca sahajalah do'a ini dengan mengharapkan Allah mengkabulkan do'a tersebut.

Semua orang maklum bahawa do'a tidak perlu terhad kepada apa yang terdapat dari al-Quran dan hadith-hadith Nabi :saw sahaja. Ia merupakan manifestasi keikhlasan dan kesungguhan si pemintanya yang dilahirkan dari suara hati dan bait-bait perkataan. Asalkan ia tidak menyalahi syara', tidak berbunga-bunga atau keterlaluan, maka bacalah apa sahaja do'a yang kita hajati.

Bulan Muharram juga terdapatnya hari yang dinamakan Hari Asyura' yang berlaku pada 10 Muharram setiap tahun. Kebanyakkan kita banyak menerima e-mail yang menceritakan mengenai fadhilat hari Asyura'. Diantara fadhilat-fadhilatnya adalah :-

1. Melapangkan masa / belanja anak isteri. Fadhilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadhilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
3. Menunjukkan orang sesat. Fadhilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
4. Menyapu / mengusap kepala anak yatim. Fadhilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
5 Bersedekah. Fadhilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
6. Mandi Sunat. Fadhilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu
7. Bercelak. Fadhilatnya - tidak akan sakit mata pada tahun itu
8. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali. Fadhilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti
9. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
10. Membaca - "ham biallahhu wa nik mal wa kila nikmal maula wa nikmannasiru". Fadhilatnya - Tidak mati pada tahun ini.
11. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilatnya - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
12. Puasa - Fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Jika diberi penilaian kepada amalan diatas, hanya satu amalan sahaja yang sahih digalakkan kita melakukannya pada hari Asyura', iaitu berpuasa. Akan tetapi, fadhilatnya yang menjanjikan ganjaran 1,000 kali haji adalah DUSTA! Fadhilat berpuasa terdapat didalam riwayat Abu Qatadah ra, beliau berkata : Rasulullah saw bersabda :

صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية
"Puasa pada hari Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun : yang lepas dan yang akan datang, dan puasa pada hari 'Asyura' menghapuskan (dosa) setahun yang lepas" -[Hadith diriwayatkan oleh semua kecuali al-Bukhari dan Tirmudzi, Nailul Authar, 4/323].

Punca-punca fadhilat amalan-amalan hari Asyura' kebanyakkannya berunsurkan hadith-hadith yang sangat lemah dan palsu. Tidak cukupkah fadhilat berpuasa yang menghapuskan dosa kita yang lalu? Fadhilat mana yang lebih baik dari fadhilat Allah mengampuni dosa-dosa hambanya?

Berkata Imam Ibn al-Qayyim rh :-

أحاديث الاكتحال يوم عاشوراء، والتزين، والتوسعة والصلاة فيه، وغير ذلك من فضائل، لا يصح منها شيء، ولا حديث واحد، ولا يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم فيه شيء، غير أحاديث صيامه، وما عداها فباطل.
وأمثل ما فيها: "من وسَّع على عياله يوم عاشوراء، وسع الله عليه سائر سنته"، قال الإمام أحمد: لا يصح هذا الحديث.
"Hadith-hadith tentang bercelak pada hari Asyura', berhias, meluaskan sesuatu perkara, solat khusus pada harinya dan lain-lain kelebihan tidak ada sesuatupun yang sahih, Ia tidak thabit dari Nabi :saw mengenainya selain dari hadith-hadith tentang puasa. Perkara yang selain dari amalan berpuasa adalah Batil. Misalnya : "Sesiapa yang meluaskan memberi makan keluarganya pada hari 'Asyura, Allah akan meluaskan untuknya sepanjang tahun." [Fiqh al-Shiyam, al-Qaradhawi, ms 144].

Saban tahun fadhilat-fadhilat ini disebarkan melalui media-media tertentu. Kalau dahulu, perawi hadith-hadith palsu ini menyebar dari mulut ke mulut, tapi kini, perawi-perawinya semakin advance! Mereka cuma perlu menekan tombol FORWARD didalam perisian e-mail masing-masing. Kaedah penyebaran semakin moden, akan tetapi nilai-nilai ilmiyyah masih lagi di takuk lama. Kita masih lagi dihanyutkan dengan fadhilat bubur Asyura'.

Semua umat Islam harus menyahut seruan meneliti kesahihan sesuatu berita sebelum menyebar atau mengamalkannya. Jika kita lihat perkembangan kitab-kitab berbahasa Arab, walaupun judul dan pengarangnya merupakan sarjana-sarjana dahulu, akan tetapi kitab-kitab tersebut telah dinilai semula (tahqiq) dan pelbagai percetakan. Hadith-hadith yang terdapat didalam kitab-kitab tersebut telah di takhrij dan diberikan statusnya. Inilah kekuatan kesarjanaan Islam, saling memperkukuhkan diantara satu sama yang lain, dari zaman ke zaman.

Ayoh kawan-kawan sekalian, kita didik bangsa dan keturunan kita dengan ilmu-ilmu Islam yang tulen. Kita bukan sahaja memberi mereka makan makanan yang halal dan baik, kita juga memberikan rohani mereka makanan dari ilmu-ilmu Islam yang tulen, yang jauh dari kepalsuan. Jauhilah jiwa-jiwa mereka dari menghayati cerita-cerita yang tidak tidak ada sandaran. Persoalannya : apakah tahun hadapan kita masih lagi menjadi perawi digital kisah-kisah dusta ini??

kamin, 9 Muharram (28 Jan 2007), 5:20pm.

Sunday, January 21, 2007

Hijrah - antara kesahihan dan kemasyhuran


[Gua Thawr]

Di dalam kegembiraan menyambut tahun baru hijrah, umat Islam masih lagi disajikan dengan paparan peristiwa hijrah yang masih tidak dapat lari dari keraguan kesahihan cerita dan unsur-unsur tokok tambahnya. Amat malang sekali, cerita-cerita yang sebegini tidak pernah dinilai semula secara meluas atau mendapat perhatian pihak yang berwajib. Kisah yang telah disahihkan cuma disebarkan di peringkat ceramah-ceramah, seminar-seminar atau di perbincangan akademik semata-mata. Malah, teks-teks buku agama sekolah-sekolah masih menyaji cerita-cerita lama ini.

Mari kita imbas kembali cerita hijrah yang dipaparkan. Bermula dengan kisah pihak Quraish telah bermesyuarat di Daar al-Nadwah, yang diketuai oleh sepuluh orang pembesar Quraish termasuklah Abu Jahal, al-Hakam bin Abi 'Aas, 'Uuqbah, Abu Lahab, Ubai bin Khalaf dan lain-lain. Didalam mesyuarat tersebut, Abu Jahal mengesyorkan agar Nabi di bunuh dan cadangan ini disokong oleh seorang tua Najdi yang dikata penyamaran Syaitan.

Nabi :saw memulakan penghijrahan dari rumah baginda pada waktu malam. Saidina Ali ra. telah ditugaskan untuk tidur dikatil Nabi :saw agar dia kelihatan sebagai Muhammad. Orang-orang Quraish pada waktu itu sudah mengepung rumah Nabi :saw. Nabi :saw pun keluar dari rumahnya lalu menabur pasir kearah muka orang-orang Quraish seraya membaca ayat :-

وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ
"Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar). " [Yasin : 9]

Akibat dari itu, orang-orang Quraish tidak mampu melihat Nabi :saw keluar dari rumah. Hanya pada keesokkan harinya mereka sedar bahawa orang yang sedang tidur di katil Nabi :saw adalah Ali ra. Baginda bersama Abu Bakar ra telah pergi ke Bukit Thawr dan bersembunyi didalam guanya. Pada hari yang seterusnya, pihak Quraish didalam operasi pencariannya telah pergi ke gua Thawr dan mendapati tempat tersebut dipenuhi dengan sarang labah-labah dan terdapatnya dua ekor merpati. Lalu seorang dari mereka berkata : Tidak mungkin seorang pun telah memasuki kawasan ini.

Kisah diatas ini popular dikalangan kita, akan tetapi kesahihan ceritanya masih di ragukan, Di antaranya adalah :-

a. Kisah syaitan yang menyamar sebagai seorang tua (menghadiri mesyuarat pembesar Quraish) tidak terdapat pada hadith Bukhari.

b. Didalam hadith Bukhari, Nabi :saw telah memulakan hijrah bersama Abu Bakar ra. pada waktu siang, dan bukan malam. Kisah ini terdapat didalam hadith Bukari (#3905) dibawah bab Hijrah Nabi :saw dan sahabat-sahabatnya ke Madinah.

c. Kisah Ali ra. di perintahkan oleh Nabi :saw menggantikan Nabi :saw dibilik tidurnya didapati sanadnya dhaif. Malah didalam hadith Bukhari menceritakan peranan keluarga Abu Bakr ra didalam penghijrahan Nabi :saw, dan bukan Ali ra.

d. Tidak wujud langsung pengepungan Quraish di rumah Nabi pada waktu malam dan juga kaifiat melontar pasir berserta membaca surah Yasin ayat 9 bagi mengkaburkan mata tentera Quraish.

e. Hadith yang menceritakan mengenai peranan labah-labah dan dua ekor merpati adalah dhaef, sebagaimana kata al-Albani didalam al-Silsilah al-Dhaefah (3/339) dan Ahmad Shakir didalam Tahqiq al-Musnad, merujuk kepada sanad hadith tersebut dhaef (lemah).

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa pengarang-pengarang sirah tidak berapa teliti didalam menilai kesahihan sesuatu riwayat, malah hadith-hadith ini banyak menerima kritikan dari ahli-ahli hadith. Kebanyakkan sumbernya di ambil dari Tarikh Tabari dan Ibn Sa'ad.

al-Qaradhawi menjelaskan bahawa hijrah Nabi :saw mendapat pertolongan dari tentera-tentera ghaib sebagaimana firman Allah swt :-

فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا
"Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya." [Surah al-Taubah : 40]

Labah-labah dan merpati adalah makluk Tuhan yang nampak, jelas menunjukkan ia bertentangan dengan ayat diatas yang merujuk kepada pertolongan tentera-tentera ghaib kata al-Qaradhawi.

Sudah sampai masanya untuk masyarakat kita dipaparkan dengan kisah hijrah yang diambil dari hadith-hadith sahih, yang dapat membebaskan manusia dari kisah-kisah yang palsu dan keterlaluan. Tidaklah menghairankan ada juga teori-teori yang menjelaskan akan terdapatnya jarum-jarum Syiah didalam penyebaran kisah sirah yang seumpamanya, contohnya pergorbanan pemuda yang bernama Ali ra. mempertarungkan diri menggantikan Nabi :saw.

Semua pihak harus mengembeling tenaga kearah memperbetulkan kesahihan hijrah Nabi :saw. Buku teks sekolah, buku kanak-kanak, penceramah-penceramah harus memainkan peranan membersihkan kisah hijrah Nabi :saw agar ia kembali didalam bentuk asalnya. Barangkali pada permulaannya mungkin tidak menyeronokkan tanpa cerita labah-labah dan merpati, akan tetapi lama kelamaan mereka akan menerimanya. Ayoh, kita hijrahkan kisah-kisah ini.

kamin, 1 Muharram 1428 (20 Januari 2007), 11:50pm.

Tuesday, January 16, 2007

al-Qaradhawi transit di Singapura


[Syiekh al-Qaradhawi berceramah di Masjid (Jakarta)]

Alhamdulillah. Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi telah pun pulang ke Doha setelah lawatan selama satu minggu ke Indonesia diatas jemputan khas Presiden Indonesia. Beliau telah mendarat di Ibunegara Qatar, Doha pada awal Subuh 13-1-2007 (Sabtu)

Beliau juga tidak dapat menghadiri program mingguannya, Al-Syariah wal Hayah, di station TV satelit, al-Jazeera, yang sepatutnya keudara pada malam 14-1-2007 disebabkan baru pulang dari Indonesia.

Berlaku sedikit kekecuhan yang berlaku di Lapangan Terbang Changi semasa Syiekh Dr Yusuf Qaradhawi transit di Singapura sebelum ke Qatar. Beliau telah di hadiahkan pedang emas oleh Timbalan Presiden Indonesia, dan semasa melalui pintu keselamatan Lapangan Terbang, pasukan Keselamatan telah mendapati sebuah kotak yang berisi pedang, lalu mereka merancang untuk merampasnya.

Seorang wartawan yang mengiringi Syiekh al-Qardhawi telah menjelaskan bahawa ini merupakan pemberian Kerajaan Indonesia kepada beliau kerana al-Qaradhawi merupakan ulama' yang terkenal di dunia. Setelah berbincang, lalu seorang pemandu (Pilot) kapal terbang Qatar Air mencelah dan mencadangkan agar beliau membawa pedang tersebut bersamanya di cockpit dan menyerahkan kepada Syiekh setiba di Doha nanti..

Mula-mula apabila mendapat berita al-Qaradhawi hendak datang ke Indonesia, tertanya pula dihati, kenapa beliau tidak singgah di Malaysia? Mungkin tidak ada yang pelawa? Agaknya?! Beberapa bulan yang lepas, pernah ada usaha untuk membawa beliau, tapi alasannya, aku sudah tua, nanti lutut aku sakit didalam perjalanan yang jauh. Mungkin juga beliau masih teringat kisah lama beliau dengan Kerajaan Malaysia.

Pada masa DS Anwar Ibrahim menjadi TPM, al-Qaradhawi pernah dijemput ke Malaysia. Beliau merupakan penerima Ijazah Doktor Kehormat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1996. Setelah DS Anwar Ibrahim di pecat, al-Qaradhawi dikatakan tidak dibenarkan masuk ke negara ini, kerana beliau telah mengeluarkan fatwa menjawab tuduhan-tuduhan liwat dari PM Malaysia keatas DS Anwar Ibrahim.

Beliau mengatakan bahawa pihak yang menuduh juga boleh dikenakan hukuman qazaf jika tuduhannya tanpa disertakan bukti - "false accusation of illicit sex". Difahamkan juga pada permulaan pelancaran 'Islam Hadhari', Syeikh juga berminat untuk menyumbang idea, malang sekali pelawaan beliau tidak di layan oleh pihak-pihak tertentu. Mungkin pemikir kita sudah mantap merencana Islam Hadhari pada masa itu.

Apa yang di lakukan oleh Indonesia itu suatu usaha yang baik. Mereka telah menjemput al-Qaradhawi semenjak 19 Oktober 2006, dan al-Qaradhawi telah berjanji hanya selepas Ramadhan beliau akan memberi respon. al-Qaradhawi telah mendapat liputan yang meluas dari media Indonesia. Lihat sahaja programnya, berjumpa Presiden Indonesia, berjumpa Presiden Parlimen dan Presiden Majlis Syura Indonesia, menyampaikan Khutbah dan lain-lain. Beliau di layan bagaikan seorang Perdana Menteri.

Bab ini kena beri tahniah kepada Kerajaan Republik Indonesia kerana memberi penghormatan kepada ulama' besar ini. Bukan sahaja mereka menghormati orangnya, malah karya-karya al-Qaradhawi banyak yang telah di terjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia. Inilah yang dikatakan menghargai nilai kesarjanaan seorang ulama'. Benarlah apa yang di tulis oleh sebuah surat khabar Arab di Doha: al-Qaradhawi merupakan seorang manusia yang bersaiz Ummah. Moga Allah memanjang umur beliau.....

kamin
Sekian, wassalam

Sunday, January 14, 2007

al-Qaradhawi tetamu kehormat Presiden dan Ahli Parlimen Indonesia

Jakarta - Mahmoud Salim - Laman al-Qaradhawi (10-1-2007)


[Al Qaradawi, President Susilo Bambang Yudhoyono dan beberapa pegawai tinggi kerajaan Indonesia]

al-Fadil Dr Yusuf al-Qaradhawi, Presiden Persekutuan Islam Antara bangsa menyeru ulama' Islam Indonesia agar mengambil peranan mencari jalan menyelesaikan permasalahan yang di hadapi di Palestine and Iraq. Indonesia dianggap sebagai Islam yang terbesar dan mempunyai hubungan yang kuat sehingga ke penghujung masalah.

Kedatangan Syeikh al-Qaradhawi adalah dalam misi jemputan Presiden Indonesia yang akan berakhir pada hari Jumaat.

al-Qaradhawi telah berkata kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang telah menyambut beliau di Jakarta pada Selasa 9-1-2007 : "Dia boleh menjadikan Indonesia negara terbesar umat Islam yang berqualiti, dan mereka mempunyai hubungan yang baik dengan semua pihak, dan mereka boleh memainkan peranan utama didalam memberi penyelesaian keatas permasalahan di Iraq dan Palestine".

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Ulama' mengajak ulama'-ulama' Islam didalam kerajaan Indonesia agar berhati-hati dengan fahaman yang bukan Sunni dinegara yang kebanyakkannya Ahli Sunnah yang ikhlas.

Beliau juga memuji kumpulan etnik, kepelbagaian politik dan dominasi agama di Indonesia, dan beliau mengesahkan betapa pentingnya berpegang kepada asal usul (keaslian) dan nilai-nilai Islam yang menjadi tanda pengenalan sebagai negara Islam terbesar.

Di akhir mesyuarat bersama Presiden Indonesia dan al-Qaradhawi, kedua-duanya telah bertukar-tukar hadiah, dimana beliau telah memberikan beberapa buku-buku beliau kepada Presiden Susilo, sementara Presiden Susilo telah menghadiahkan edisi terbaik tafsiran al-Quran didalam Bahasa Indonesia.

Lawatan ke Parlimen


[al-Qaradhawi berceramah di hadapan ahli-ahli Parlimen]

al-Qaradhawi sangat berminat melawat Parlimen Indonesia yang terletak di Jakarta, dimana beliau telah bertemu dengan Agung Laksono dan beberapa ahli parlimen yang lain, dan belau telah mengadakan dialog bersama mereka mengenai beberapa isu. Isu yang paling menonjol adalah isu menuduh Islam dikaitkan dengan keganasan dan teroris, dan menuduh orang Islam haus darah dan haus untuk membunuh.

Berucap dihadapan ahli parlimen beliau mengatakan : Islam adalah Agama keamanan dan penyatuan, ia tidak memaksa sesiapa untuk menceroboh tanpa tuduhan, dan telah diberikan contoh bahawa kemasukan Islam ke Indonesia adalah dengan keadaan aman tanpa sebarang pertempuran melalui pedagang Islam. Mereka telah menarik minat orang Indonesia kepada Islam melalui contoh dan layanan yang baik.

Beliau menekankan bahawa Islam tidak membenarkan peperangan melainkan jika pihak lain mengenakan orang Islam. Dinyatakan bahawa perkataan "perang" tidak berapa disukai oleh Islam, dimana dalilnya Nabi :saw melarang sahabat menggunakan perkataan "perang" keatas nama anak mereka.

Dr al-Qardhawi telah juga melawat Pengerusi Majlis Permesyuaratan Republik Indonesia, Dr Mohamed Hidayat Nur Wahid dan bebarapa ahli-ahli Majlis yang menyambut kedatangan beliau sebagai tetamu negara mereka. Mereka telah memuji kerja dan perkhidmatan beliau kepada Islam.

Madrasah al-Thahariyah

Syiekh Yusuf al-Qaradhawi telah melakukan lawatan ke Madrasah al-Thahariyah di Jakarta. Ia merupakan madrasah moden yang memasukkan pelajaran Bahasa Arab, Ulum Syariah dan Sains kontempori. Madrasah tersebut mempunyai cawangan dikebanyakkan kepulauan Indonesia. Beliau telah memuji peranan pendidikan dan saintifik yang mereka lakukan, dan menyeru kepada sekolah-sekolah lain di Indonesia mencontohinya.

Beliau mengesahkan betapa perlunya mengambil berat mengenai pengajaran Bahasa Arab dan prinsip syariah islam yang menjadi kubu mempertahankan identiti Islam.

Dr al-Qaradhawi meneruskan misi pengembaraan dakwahnya di ibu negara Indonesia sehingga 21-1-2007, dan menurut jadualnya akan menyampai khutbah Jumaat di Masjid al-Istiqlal, diantara masjid yang terkenal di Jakarta.

Dr al-Qaradhawi telah menyampaikan rasa terharu kepada rakyat Indonesia diatas mala-petaka yang menimpa mereka. Mala-petaka yang menimpa mereka contoh yang terkini adalah peristiwa tenggekamnya feri dan kehilangan pesawat kapal terbang diudara. Beliau menyeru agar rakyat Indonesia banyak bersabar, muhasabah diri, redha dengan Qada' dan Qadar dalam menghadapi bencana-bencana tersebut,

sumber : http://www.qaradawi.net/site/topics/printArticle.asp?cu_no=2&item_no=4685&version=1&template_id=116&parent_id=114

Saturday, January 06, 2007

Syiekh Attiyah Saqr dalam kenangan


Amat menyedihkan apa bila mendengar berita kematian Syiekh Atiyyah Saqr, bekas Pengerusi Jawatan kuasa Fatwa al-Azhar, yang telah meninggalkan kita pada hari Sabtu, 9 Disember 2006, akibat sakit di Hospital Kasr Alainy. Jenazah beliau telah di solatkan pada keesokkan harinya di Masjid Rashdan di Nasr City.

Syiekh merupakan seorang ulama' al-Azhar yang bermanhaj sederhana dan berfikiran terbuka. Lihat sahaja fatwa-fatwa beliau didalam buku-bukunya seperti Ahsanu al-kalam,Fataawa LilMar'ah al-Muslimat, Mausu'ah Usrah Tahta ri'aayah al-Islam dll, mengambarkan beliau mengamalkan pendekatan yang amat moderate.

Masih terdengar lagi rakaman video yang di buat oleh Pelajar-pelajar Terengganu di al-Azhar didalam satu temu-bual bersama Syiekh Atiyah Saqr di rumah beliau pada tahun 2003. Beberapa petikan video ini dapat di lihat di laman al-Ahkam - http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=14868

Didalam temu-bual itu, Syiekh telah ditanyakan pelbagai soalan termasuklah pembahagian Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma' wa sifat. Beliau mengatakan bahawa pembahagian itu adalah persoalan istilah yang di persetujui oleh beberapa ulama', dan bukanlah ia satu pembahagian yang bid'ah. Beliau juga ditanya mengenai Syiekh Muhammad bin Abdul Wahab dan katanya; Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab merupakan seorang soleh dan muslih dini, terlibat didalam kerja-kerja membersihkan agama Islam yang telah dinodai oleh perkara-perkara mungkar dan bid'ah pada masa itu , seperti bertawassul kepada auliya' (penulis menarik balik perkataan ini, moga2 Allah mengampunkan kesilapan hambamu yg dhaif ini).

Kalau dilihat diruangan Soal-Jawab al-Ahkam, para moderator banyak juga menggunakan kitab Ahsanul Kalam beliau sebagai rujukan didalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Laman IslamOnline.Net juga melantik beliau sebagai salah seorang dari panel fiqhnya, maka kita dapat lihat beberapa fatwa dari kitab Ahsanul Kalam telah dijadikan bahan tantapan pembaca.

Kepada Syeikh Atiyyah Saqr, moga-moga Allah menempatkan Rohmu bersama-sama orang-orang yang soleh.
------------

Attiyah Saqr ulama' pertengahan al-Azhar meninggal

Kaherah - Subhi Mogahed / IslamOnline. Net

Hari Sabtu, 9 Disember 2006 merupakan tarikh pemergian ke rahmatullah bekas Pengerusi Jawatan Kuasa Fatwa Al-Azhar, Syiekh Atiyyah Saqr, yang berumur 92 tahun, setelah menghabiskan waktunya untuk agama dan beliau terkenal sebagai seorang mempunyai manhaj moderate dan mengeluarkan fatwa yang lantang.

Ulama al-Azhar mensifatkan beliau sebagai "ulama yang lantang dan sederhana didalam fatwanya dan dari kalangan ulama' al-Azhar beliau telah mewariskan fatwa-fatwa yang luas sebagai bahan rujukan kepada jawatan kuasa fatwa; didalamnya terdapat beberapa fatwa isu-isu yang penting."

Syiekh Atiyyah Saqr meninggalkan ensaiklopedia hukum hakam yang besar. Salah satu yang paling penting ialah beberapa siri fatwa dan hukum-hakam didalam Fiqh Ibadat dan siri Fiqh Usrah Muslimat. Syiekh terkenal dimasa lalu kerana program radionya yang terkenal "Fataawa wa Ahkam" yang berlangsung selama 15 tahun.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Fatwa al-Azhar : "perkara yang dapat mengubati kesedihan kita mengenai kehilangan Syiekh Saqr adalah pemberian ilmu pengetahuan yang beliau curahnya, yang menyinari segenap lapisan manusia mengenai hal-ehwal agama dan dunia yang beliau berikan kepada umat Islam; semua fatwa-fatwanya penting."

Dr. Mohammed Raafat Othman, Ahli Institut Penyelidikan Islam berkata : "Syeikh Saqr merupakan salah satunya Saintis Pyramid Mesir; dimana Mesir telah melahirkan ramai saintis yang dianggap sebagai Pyramid; penilaiannya termasuklah pengetahuan, persembahan yang baik, penggunaan bahasa yang elegant, petah bertutur dan pengetahuan yang saintifik."

Beliau mensifatkan Syiekh sebagai seorang yang mempunyai pemikiran sederhana, katanya : "Saya telah beberapa kali berjumpa dengan Syiekh dan mendapati beliau mempunyai pemikiran yang sederhana dan jauh dari pemikiran yang tidak fleksibel".

Menurut Syiekh Abdullah Mogawer, Setiausaha Agung, Jawatan Kuasa Tertinggi Dakwah Islamiyah al-Azhar berkata : "Syiekh merupakan seorang yang amat pemurah sepanjang hidup beliau. Beliau gemar menyampaikan ceramah kepada pelajar-pelajar yang datang dari segenap lapisan dunia Islam, dan bukti yang terbaru beliau telah menyampai ceramahnya minggu lepas kepada pelajar yang baru tiba, dimana beliau dijadualkan untuk berceramah pada setiap minggu".

Syiekh Saqr di lahirkan pada tahun 1914 di Sharqiyah Govenorate (terletak di utara Kaherah) dan mendapat Ijazah tertinggi pada tahun 1943. Beliau dilantik sebagai pegawai penterjemah bahasa Perancis di Institut Penyelidikan Islam pada tahun 1965. Beliau berkhidmat sebagai timbalan di pejabat Penyelidikan al-Azhar pada tahun 1969, dan seterusnya sebagai Pengurus di Pejabat Syiekh al-Azhar pada tahun 1971. Pada tahun 1972 beliau telah di lantik sebagai Penolong Setiausaha Agung kepada Institut Penyelidikan Islam. Beliau juga telah menjadi Presiden Jawatan kuasa Fatwa al-Azhar pada tahun 80an

Olahan dari sumber : http://www.islamonline.net/Arabic/news/2006-12/09/15.shtml

Friday, December 29, 2006

Haji Akbar - Apakah ia berlaku setiap tahun?

Bila mana Majlis Tertinggi Kehakiman Kerajaan Arab Saudi memutuskan bahawa 21 Disember 2006 merupakan bermulanya bulan Zulhijjah, maka ramai yang berbicara mengenai hari Wukuf akan berlaku pada hari Jumaat. Mereka berbicara tentang apa yang dikatakan Haji Akbar, lalu salah satu dari stesyen TV Malaysia telah menyiarkan hadith yang bunyi :

أفضل الأيام يوم عرفة إذا وافق يوم الجمعة وهو أفضل من سبعين حجة في غير جمعة
"Sebaik-baik hari Arafah ialah yang jatuh pada hari Jumaat, dan kelebihannya melebihi 70 Haji pada hari selain dari Jumaat"

Alangkah baiknya stesyen tersebut bertanya dulu kepada mereka yang pakar didalam bidang mengenai status hadith tersebut? Syeikh Nasyiruddin al-Albani rh telah menyenaraikan hadith ini kitabnya al-silsilah al-Dhaefah jilid 1 (hadith no: 207) sebagai hadith yang batil tahrijnya. Dengan kata lain, hadith ini palsu, dan tidak diketahui asalnya dari Nabi :saw.

Ibn Qayyim rh. didalam Zaad al-Ma'aad menyebut bahawa 'apa yang di ceritakan oleh orang ramai, bahawa kelebihannya menyamai 72 haji adalah batil, tidak ada asalnya dari Rasulullah :saw, dan tidak satu pun riwayat dari kalangan Sahabat dan Taabien, dan Allah yang amat mengetahui' [Zaad al-Ma'aad, 1/39, Tahqiq oleh Muasasah al-Rayyan, cet ke 2, 2002].

Nah!, mudah sekali hendak menyebarkan hadith-hadith palsu ini! Inilah yang dikatakan kemungkaran terbuka yang perlu di cegah! OK lah, kita bincang hal penyebaran hadith palsu ini lain kali. Kita tidak memerlukan hadith-hadith palsu untuk menunjukkan kelebihan ibadat Wukuf pada hari Jumaat, kerana banyak hadith-hadith sahih yang menjelaskan kelebihan 2 hari kebesaran Islam ini ; Hari Jumaat dan Hari Wukuf/Arafah.

Misalnya, pada hari Jumaat terdapat saat-saat yang Allah kabulkan do'a seseorang, begitu juga kelebihan bagi orang yang berdo'a pada hari wukuf. Wukuf pada hari Jumaat juga mengingatkan kita kepada Haji yang dilakukan oleh Nabi :saw. Wukuf juga dikata hari Eid/Raya kepada jemaah Haji, dan hari Jumaat juga dikatakan Eid bagi orang Islam, dimana pada kedua-dua hari ini di makruhkan berpuasa (bagi jemaah Haji makruh berpuasa pada hari Arafah).

Maka timbul persoalan, Apakah maksud Haji Akbar didalam hadith dan al-Quran?

Haji Akbar didalam hadith Nabi :saw merujuk kepada Hari Korban atau Hari Raya Haji. Hadith riwayat Ibn Umar ra. menyatakan bahawa Rasulullah :saw berdiri pada hari Korban semasa melakukan Haji lalu bertanya :

( أي يوم هذا ؟ ) فقالوا : يوم النحر ، فقال : ( هذا يوم الحج الأكبر )
"Hari apa ini? Mereka berkata : Hari Korban (Hari Nahr), baginda bersabda : Ini merupakan hari Haji Akbar" [Hadith dari Sunan Abi Daud no: 1945].

Firman Allah swt :-

وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ
"Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji Akbar...." [surah al-Taubah : 3].

Al-Qurthubi didalam membahaskan ayat ini mengatakan bahawa ulama' khilaf mengenai maksud Haji Akbar, ada yang mengatakan ia adalah Hari Arafah, akan tetapi Ibn Abbas ra, Ibn Masud ra dan lain2 mengatakan hari tersebut adalah Hari al-Nahr, atau hari Eid al-Adha. [Tafsir al-Qurthubi 8/45]. Ibn Kathir menyebut bahawa Haji Akbar adalah pada Hari korban, iaitu hari menzahirkan kebesaran illahi, dan merupakan hari terbaik didalam manasik haji. [Tafsir Ibn Kathir, 3/439]. Begitu juga didalam tafsir Jalalain, ialah merujuk kepada Hari Nahr atau Hari Korban.

Dr Wahbah al-Zuhaily juga menyebut, bahawa Haji Akbar adalah pada hari Raya Haji atau Har Korbani. Ia juga membezakan diantara Haji fardu yang digelar Haji Akbar dan Umrah yang digelar sebagai Haji al-Asghar. [al-Tafsir al-Munir, 5/445].

Maka jelas dari hadith dan al-Quran, Haji Akbar juga membawa maksud Hari Korban atau Hari Raya Adha. Ia merujuk kepada hari membesarkan Allah dengan bertakbir dan menyembelih binatang korban. Ia juga merujuk amalan Haji yang fardu (Haji Akbar), mana kala Haji Ashgar (Haji Kecil) merujuk kepada ibadat Umrah. Bagi Hari Arafah yang jatuh pada Hari Jumaat, ketahuilah bahawa kedua-dua hari ini merupakan hari yang cukup mulia didalam Islam. Ia mengambarkan dua kemuliaan berlaku dalam satu hari, sudah tentulah ganjarannya banyak.

Sekian.
8 Zulhijjah Malaysia, 9 Zulhijjah di Arab Saudi, 1427. (29 Disember 2006), 6:30pm.

p/s - Tahniah Ustaz Ahmad Shukri Yusoff (Pusat Zakat) diatas penjelasan istilah Haji Akbar didalam rancangan al-Kuliyyah di TV3 tadi (29/12/2006).

Tuesday, December 05, 2006

Solat yang berkekalan ?

Kedengaran seorang penceramah mengupas pengertian dan hakikat solat dengan merujuk kepada sebuah kitab bernama Irsyaadat al-‘Aarifiin. Beliau mengatakan bahawa Hakikat Solat adalah :-

“Sesiapa yang tidak bercerai, tidak akan bersatu. Inilah yang dikatakan sebagai solat yang berkekalan, sebagaimana firman Allah swt :-

الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ
“Mereka yang solatnya berkekalan” [Surah al-Ma'arij : 23]

Tegas beliau lagi : Yang bercinta tenggelam dengan cintanya kepada yang dicintai. Solat biasa adalah lima waktu sehari semalam, dan mengadap ke kiblat. Solat yang berkekalan pula mengadap wajah Allah swt sebagaimana firmannya :

فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ
“maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah Yang diredhai Allah;.” [Surah al-Baqarah : 115]

Solat yang biasa mempunyai cara-cara dan hukum tertentu. Solat yang berkekalan itu luas bidangnya. " Lalu penceramah ini pun mengakhiri kuliyah hakikat solat dengan menangguh untuk menjelaskan maksud kiblat "solat yang berkekalan" di sesi ceramah yang akan datang.

Tamat sahaja ceramah beliau, jemaah masing-masing tidak mengutarakan sebarang soalan. Barangkali mereka itu samada faham atau kabur dengan apa yang telah di terangkan penceramah tersebut. Bagi saya, penjelasan tersebut agak mengelirukan, malah memberi ruang yang luas kepada jemaah-jemaah yang menggunakan akal seperti Jemaah Al-Quran Malaysia (JAM), Jalinan Islam Liberal (JIL), Sister's in Islam (SIS) dsb untuk melakukan tafsiran al-Quran secara sembrono.

Apakah maksud surah al-Ma’arij ayat 23 itu merujuk kepada “solatnya berkekalan” atau “orang yang istiqamah/tetap dengan solatnya”? Menurut al-Quran terjemahan Bahasa Indonesia terbitan Kerajaan Arab Saudi, ayat tersebut bermaksud :”Iaitu mereka Yang tetap mengerjakan solatnya;”[ms. 974]. Terjemahan Bahasa Malaysia, al-Quran Mushaf Tajwid terbitan Darul Fikir pula menyebut : “Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya” [ms 569].

Dr Wahbah Zuhaily [Tafsir al-Munir 15/130-131] menjelaskan bahawa “tetap mengerjakan solat” membawa maksud mereka yang menjaga solatnya dari segi waktu dan syarat-syarat wajibnya. Mereka itu tidak sekali-kali lalai meninggalkan waktu-waktu solat, tidak sibuk melainkan sibuk kerana menunaikan solat, tidak membezakan yang mana satu fardu dan yang mana satu sunat, merasakan hakikat sebenar berhubung dengan Allah dengan khusyuk, dimana natijah solat ini akan melahirkan sifat Mahmudah.

Al-Zuhaily pula menegaskan bahawa ayat ini merujuk kepada orang yang menjaga keseluruhan solat, seperti pentingnya mengerjakan wudhu’ yang betul, menutup aurat, berusaha mencari kiblat, menetapkan hati apabila masuk waktu solat, berusaha untuk mendapat khusyuk, menjauhi diri dari riya’, melakukan perkara sunat dan perkara yang menyempurnakan solat. Kerana sesungguhnya solat ini akan mencegah fahsya’ dan munkar, melakukan maksiat selepas solat merupakan dalil bahawa tidak diterima solat seseorang .

Ibn Kathir juga menafsirkan ayat ini sebagai mereka yang menjaga waktu-waktu dan kewajipan solat. Ia juga merujuk kepada ketenangan yang wujud didalam solat. [Muktasar Tafsir al-Quran al-Azim/ Umdah al-tafsir ‘an al-Hafiz Ibn Kathir, oleh Ahmad Muhammad Syakir, 3/576].

Al-Qurthubi pula memetik kata-kata ulama' yang menjelaskan bahawa ia merujuk juga kepada golongan yang sentiasa menjaga wudhu' mereka. Termasuk juga mereka yang banyak melakukan solat sunat., dan sunnah-sunnah lain, termasuklah zakat dan silatul rahim [Tafsir al-Jami' al-Ahkam al-Quran, 18/188].

Dari tafsiran ulama' muktabar diatas, amat beza sekali tafsiran yang diberikan oleh penceramah tersebut. Penceramah diatas mengatakan ayat ini menyentuh mengenai 'solat yang berkekalan', dan kebanyakkan kitab terjemahan menyatakan 'mereka yang tetap (istiqamah) didalam solatnya. Bagi penceramah ini, solat yang berkekalan ini hanya boleh dicapai oleh mereka yang telah sampai ke suatu maqam khas. Berbanding dengan pandangan mufassirin, ayat ini menyentuh berkenaan dengan golongan-golongan yang mengambil berat mengenai perkara-perkara yang boleh menyebabkan solat mereka khusyuk dan diterima Allah.

Ayat ini menjelaskan golongan-golongan ini walau apa pun berlaku, mereka akan tetap menunaikan solat mereka. Mereka akan berusaha menjaga perkara-perkara yang dapat membantu memperelokkan solat mereka kepada tingkatan yang lebih baik; contoh - menjaga hati mereka agar khusyuk, menjaga aurat mereka, solat pada waktunya, memperbanyakkan solat-solat sunat.

Penceramah-penceramah jenis ini akan mengatakan bahawa tafsiran ulama' muktabar ini hanyalah pada kulitnya sahaja. Maknanya, tafsiran ini hanya di lihat secara zahir sahaja. Hanya ulama' mereka sahaja yang berupaya melihat maksud yang tersirat didalam ayat-ayat tertsebut, maka jadilah syariat baru - Solat yang berkekalan, dimana kiblatnya adalah wajah Allah. Begitu anehnya golongan-golongan yang seperti ini, sungguh pelik, sehinggakan ulama' mufassirin pun tak boleh berfikir seperti mereka. Ini belum lagi golongan-golongan yang menggunakan akal secara mutlak mentafsirkan ayat ini. Agak-agaknya, apa tafsiran mereka ye??

Sekian, wassalam

Thursday, November 16, 2006

Umrah sunnat di bulan Syawal (Bulan-bulan haji)

Umrah di akhir Ramadhan merupakan tahap kemuncak ibadat puasa di Tanah Haram, Arab Saudi. Keadaan yang sesak ini sama sahaja situasinya di Makkah dan di Madinah. Ada dikalangan jemaah yang mengambil pakej 10 malam terakhir, terutamanya bagi mereka yang ingin menjalankan ibadat iktikaf. Begitu juga ada jemaah yang terbang untuk menyambut malam 27 Ramadhan di Tanah Suci ini dengan harapan berjumpa atau mendapat berkat malam al-Qadar. Biasanya mereka yang mengambil pakej 27 Ramadhan atau 10 hari terakhir Ramadhan akan menyambut Eid al-Fitr di Makkah, Madinah atau pun di Jeddah.

Suasana manusia selepas solat Eid al-Fitr di Masjidil Haram agak berkurangan berbanding dengan keadaan hari-hari kebiasaan. Ini disebabkan dikalangan orang-orang Arab akan makan besar bersama-sama keluarga pada hari tersebut. Waktu inilah yang diambil kesempatan oleh jemaah-jemaah (Malaysia khususnya) untuk melakukan Tawaf sunnat dan mencium Hajar Aswad. Suasana kesibukan di Masjid al-Haram tiba kembali apabila masuknya waktu Zohor.

Bulan Syawal disamping menjadi bulan umat Islam bergembira pada 1 haribulannya (Eid al-Fitr), bulan ini juga termasuk apa yang dinamakan sebagai bulan-bulan Haji. Ini bermakna jemaah Haji boleh mula memulakan ibadat Haji bermula dari satu haribulan Syawal. Pernah beberapakali saya mendengar ceramah-ceramah yang menegaskan bahawa apabila masuk 1 Syawal, jemaah-jemaah yang menunaikan Umrah hendaklah mula keluar dari Tanah Haram ini. Penegasan ini dilakukan bagi tujuan mengelakkan jemaah-jemaah Umrah yang ingin pulang ke Malaysia dari melakukan Umrah. Bagi mereka, barangsiapa yang melakukan Umrah pada bulan Syawal (bulan-bulan Haji iaitu Syawal, Zulqaedah dan Zulhijjah) sudah dikira menunaikan Umrah bagi Haji Tamattu' dan wajib menyempurnakan Hajinya.

Nescaya itu kita melihat ramai dikalangan jemaah-jemaah akan segera meninggalkan Masjidil Haram apabila masuk 1 Syawal. Ada dikalangan mereka yang ketinggalan kapal terbang terpaksa menyewa tempat tinggal beberapa hari di Jeddah. Ada yang sampai satu minggu terkandas akibat tertinggal kapal terbang, namum mereka tidak berani pulang ke Masjidil Haram untuk mempertingkatkan lagi ibadat. Bukankah pahala bersolat di Masjid al-Haram lebih banyak betrganda-danda dari bersolat di Masjid biru di Jeddah?? Disebabkan takut ibadah Umrah wajib diikuti dengan ibadat Haji, maka jemaah lebih rela tinggal di Jeddah daripada di Makkah.

Apakah benar kenyataan bahawa mereka yang melakukan Umrah pada bulan-bulan Haji wajib melakukan ibadat Haji? Ulama' mengatakan bahawa disebut sebagai bulan-bulan Haji adalah kerana menandakan bahawa Haji hanya berlaku pada bulan-bulan ini sahaja. Bagi mereka yang melakukan Umrah sunat adalah dibenarkan, tanpa perlu menunaikan Haji. Malah, Syeikh Ibn Usaimin (bekas Mufti Arab Saudi) ketika ditanya mengenai hukum seseorang yang melakukan Haji Tamattu' (melakukan Umrah dahulu), setelah selesai menunaikan Umrah dia telah pulang ke negerinya tanpa menunaikan Haji, beliau menjawab :-

لا شيء عليك لأن المتمتع إذا أحرم بالعمرة ثم بدا له أن لا يحج قبل أن يحرم بالحج فلا شيء عليه إلا أن ينذر أن يحج هذا العام ، فإذا نذر وجب عليه الوفاء بنذره
"Tidak perlu melakukan apa-apa, kerana sesungguhnya bagi Haji Tamattu' dia masuk dengan ihram Umrah, kemudian dia membuat keputusan untuk tidak melakukan Haji sebelum memasuki Ihram Haji. Dia tidak perlu melakukan apa-apa (dam), melainkan jika dia bernazar untuk melakukan Haji pada tahun itu. Jika dia melakukan nazar tersebut, maka wajib untuknya menyempurnakan nazar nya itu" [Fataawa Ibn Utsaimin, 2/679].

Nabi Muhammad :saw sendiri melakukan Umrah 4 kali didalam bulan Zulqaedah, yang juga termasuk didalam bulan-bulan Haji. Baginda tidak menunaikan Haji melainkan pada Umrah terakhirnya. Imam al-Bukhari dan Imam Muslim telah meriwayatkan dari Anas ra.bahawa Rasulullah :saw melakukan Umrah dari al-Hudaibiyah (6 Hijrah) pada bulan Zulqaedah, Umrah setahun kemudian juga pada bulan Zulqaedah (7 Hijrah), Umrahnya dari Jira'nah semasa pembukaan Makkah dibulan Zulqaedah (8 Hijrah) dan akhir sekali Umrah pada tahun baginda melakukan Haji juga berlaku pada bulan yang sama. Ini membuktikan bahawa 3 Umrah yang baginda lakukan pada bulan-bulan Haji tidak disertai dengan melakukan ibadat Haji, dan menjelaskan kepada umat Islam bahawa melakukan Umrah pada bulan-bulan Haji tidak mewajibkan seseorang itu menunaikan Haji.

Ibadat didalam Islam memerlukan kefahaman dan ketulenan dalil, dan ia tidak boleh dilakukan dengan penentuan akal semata-mata. Bukanlah disebabkan Umrah dilakukan didalam bulan-bulan Haji, seseorang itu di wajibkan Haji baginya. Ibadat didalam Islam memerlukan niat, iaitu keazaman untuk melakukan sesuatu ibadat. Bagi mereka yang masih berada di Makkah pada Syawal sementara menanti kepulangannya, lakukanlah sebanyak mungkin ibadat-ibadat di Masjidil Haram. kenapa harus tinggal di Jeddah jika jadual penerbangan pulang masih lama lagi? Berbeza betul fadhilat solat di Masjidil Haram jika dibandingkan dengan Masjid di Jeddah. Begitu juga bagi mereka yang ingin melakukan Umrah sunat bagi pihak kedua ibu-bapa mereka, bolehlah melakukan Umrah di bulan Syawal tanpa perlu menunaikan ibadat Haji.

-kamin
24 Syawal 1417 / 16 November 2006

Sunday, November 12, 2006

Umrah bulan Ramadhan : diantara keperluan dan keutamaan

Mengerjakan umrah didalam bulan Ramadhan merupakan satu trend umat Islam di negara kita. Mereka ini terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah orang-orang kenamaan, artis-artis, ustaz-ustaz, golongan koperat dan sebagainya akan cuba mengerjakan umrah dibulan yang mulia ini. Malah kerajaan Arab Saudi melaporkan bahawa jumlah jemaah di Makkah dan Madinah melebihi jumlah jemaah dimusim Haji. Cuma bezanya adalah jemaah tidak bergerak dari satu tempat ke satu tempat, dan juga kawasan tawaf tidak begitu sesak selepas solat Isya', kerana tumpuan diberikan kepada ibadat Solat Tarawih dan Iktikaf. Satu lagi fenomena umrah pada musim Ramadhan adalah, pada waktu pagi, Masjidil Haram tidaklah sesak, kerana sebahagian jemaah mula tidor selepas selesai solat subuh.

Ada kebenarannya fatwa yang dikeluarkan oleh Syiekh Nasyiruddin al-Albani bahawa tidak ada iktikaf (untuk 10 malam terakhir Ramadhan) melainkan hanya di 3 masjid; iaitu Masjid al-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa (berdasarkan hadith sahih yang dikeluarkan oleh al-Tahaawi, al-Ismaili dan Baihaqi - Lihat Risaalah Qiyaam Ramadhaan , Bab Syarat Iktikaf, ms 15, edisi internet). Mereka yang benar-benar ingin melakukan amalan iktikaf hendaklah masuk kedalam salah satu dari 3 masjid diatas bermula dari 20 Ramadhan sehinggalah ke malam Eid al-Fitr. Sudah tentu cuti yang akan diambil melebihi 14 hari, termasuklah perjalanan pergi dan balik. Amalan Iktikaf di tanah haram ini sesuai sangatlah dengan cuti panjang yang diambil dan menepati maksud hadith tersebut.

Pakej umrah di bulan Ramadhan biasanya terbahagi kepada 4 bahagian; Awal Ramadhan, Pertengahan Ramadhan, 10 hari terakhir beserta iktikaf dan akhir Ramadhan berserta Hari Raya. Yang membezakan diantara pakej-pakej ini adalah harganya. Makin hampir kepada hari raya, makin mahal harga pakejnya. Saya pernah berbincang dengan seorang mudir hotel disana mengenai harga sewa hotel. Kata beliau, selepas musim Haji, harga hotel boleh turun semurah 50 Riyal satu malam, dan boleh meningkat sehingga 400 Riyal bagi bilik yang sama dimusim Ramadhan. Bagi pengusaha hotel pada musim Haji, kebanyakkan hotel di Makkah akan disewa selama 3 bulan pada Muasasah Haji untuk kegunaan pakej jemaah Haji dan digelar Maktab. Puncak perniagaan bagi hotel-hotel di Makkah sebenarnya adalah pada bulan Ramadhan. Akibat dari kenaikkan sewa hotel dan kos-kos lain, pakej Umrah di bulan Ramadhan terlalu istimewa bagi mereka yang berkemampuan sahaja.

Kalau dilihat dari aspek kos pakej Umrah dimusim Ramadhan, ia hampir menyamai atau melebihi pakej asas haji. Kos Umrah yang tinggi ini tidak menghalang orang-orang yang berharta melakukan Umrah di bulan Ramadhan berkali-kali. Melihat dari sudut fiqh; apakah ianya sunnah melakukan Umrah sunat berkali-kali seperti ini? Sekali lihat, persoalan ini seolah-olah wujud perasaan tidak puas hati dari kalangan orang-orang miskin. Rupa-rupanya menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Imam Ghazali rh. juga pernah mengkritik sikap orang-orang kaya yang mengerjakan amakan Haji sunat berkali-kali sedangkan jiran tetangga didalam keadaan miskin, kebuluran dan kelaparan (Fiqh al-Aulawiyat, cet ke 4, 2000, ms. 212)..

Fiqh (Fekah) ini yang dinamakan Fiqh al-Aulawiyat menurut al-Qaradhawi. Ia merupakan fiqh yang melihat prioriti sesuatu amalan, yang mana lebih diutamakan. Beliau juga telah memetik dialog diantara Syeikh Bishir Ibn al-Harith dengan seorang lelaki. Lelaki tersebut memohon izin Syeikh al-Harith untuk pergi membuat Haji sunnat, katanya : "Aku telah berazam untuk menunaikan Haji (sunat), maka nasihatlah aku sesuatu?". Syeikh berkata :"Berapa jumlah nafkah kamu?". Jawabnya :"2,000 dirham". Berkata Bishir :"Apakah yang anda mahu apabila menunaikan Haji/Umrah? Ingin menjadi zuhud, atau rindukan Baitullah, atau mahu mendapat keredhaan Allah?". Jawab lelaki tersebut : "Aku inginkan keredhaan Allah". Berkata Syeikh lagi :"Jika kamu boleh mendapatkan keredhaan Allah ditempat kamu dengan membelanjakan 2,000 dirham, dan kamu yakin mendapat keredhaan Allah, Apakah kamu mahu begitu?". Berkata lelaki tersebut :"Ya".

Syeikh berkata : "Pergilah berikan (duit tersebut) kepada 10 golongan : Orang berhutang dilepaskan hutangnya, orang fakir agar ia dapat menjaga dirinya, orang yang banyak tanggungannya dicukupkan belanjanya, penjaga anak yatim digembirakannya, jika kuat hatimu, agihkanlah. Sesungguhnya mengembirakan hati seseorang Islam, menolong orang didalam kesusahan, kesempitan dan kesulitan hidup : lebih afdal dari melakukan 100 kali Haji sunat! Pergilah (bangunlah),maka keluarkan harta kepada golongan yang aku suruhkan tadi!......" (Fiqh al-Aulawiyat , ms 212. al-Qaradhawi memetik dari Ihya' 3/409).

Didalam buku yang sama juga, al-Qaradhawi menyelar orang-orang kaya yang hanya menyibukkan diri dengan ibadat badaniyah sahaja seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan sebagainya, yang tidak melibatkan wang ringgit yang banyak. Menurut beliau, mereka ini adalah merupakan orang-orang yang terpedaya, kerana sifat bakhil dan kendekut menguasai diri mereka. Beliau mengumpamakan keadaan ini seperti orang yang dipatuk ular berbisa yang boleh membawa maut, apa yang dicarinya adalah ubat penyakit kulit, dan bukan ubat menawar racun ular tersebut. (Fiqh al-Aulawiyat , ms 211).

Benar sekali, secara realitinya manusia lebih suka membayar pakej Umrah yang mahal daripada mendermakan jumlah wang yang sama kepada mereka yang memerlukan. Biasanya, kalau nak bersedekah, jangan kata 10% dari jumlah wang pakej Umrah disedekahkan, RM20 pun susah. Bayangkan berapa ramai orang miskin yang dapat kita bantu dengan jumlah wang sebanyak RM5000?

Bagi mereka yang saban tahun menunaikan Umrah sunnat, marilah bermuhasabah dengan meletakkan prioriti amalan kita kepada sesuatu yang lebih di perlukan. Waduh, dengan wang lebih dari RM5,000, banyak hati-hati yang dapat dihibur dan digembirakan. Ramai juga mereka yang akan mendo'akan kita agar dimurahkan reski dan dipanjangkan umur. Janganlah kita asyik mementingkan menambah pahala kita bersendirian sahaja. Marilah kita melakukan satu amalan yang boleh menjadi sedekah jariah (flowing donation) yang sudah pasti sampai ke alam barzah, dan mendapatkan keredhaan Allah swt. Jom sedekah!!

- kamin, 12 Nov 2006 / 20 Syawal 1427, 12:10am.

Friday, November 03, 2006

Yang mana satu nak buat; puasa sunat atau qadha' puasa?

Dikalangan kita, sudah tentu ramai yang telah menunaikan puasa sunat enam hari dibulan Syawal dan ada yang belum lagi menghabiskannya. Yang paling penting, tidak ada orang yang melakukan hari raya puasa enam atau Eid al-Abrar, dimana amalan tersebut ditegah oleh beberapa ulama', termasuklah Jawatan kuasa tetap fatwa Arab Saudi dan juga Syiekh Dr Yusuf al-Qardhawi. Perbuatan ini dilarang kerana seolah-olah mewujudkan Hari Raya atau Eid yang baru bagi orang-orang Islam.

Puasa enam hari didalam bulan Syawal ini mempunyai fadhilat yang sangat besar bagi sesiapa yang melakukan. Didalam sebuah hadith yang di riwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi :saw telah bersabda {من صام رمضان وأتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر} :"Barangsiapa yang berpuasa didalam bulan ramadhan dan dikuti dengan enam hari dibulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang hidup". Hadith ini juga diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmudzi dan Ibn Maajah. Didalam riwayat lain pula Nabi :saw menjelaskan bahawa :{من صام ستة أيام بعد الفطر كان تمام السنة} "Barangsispa berpuasa enam hari selepas Eid al-Fitr, dia telah mencukup setahun".

Didalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (1/421) ada menjelaskan bahawa Allah swt telah memberikan 10 kebaikkan didalam sehari puasa, maka 30 hari berpuasa Ramadhan menyerupai berpuasa 10 bulan (300 hari), dan puasa 6 hari dibulan Syawal menyamai ganjaran 2 bulan berpuasa (6x10 = 60 hari). Maka jumlah keseluruhannya menunjukkan bahawa apabila seseorang itu berpuasa Ramadhan penuh dan di ikuti dengan puasa sunat 6 hari dibulan Syawal, dia akan mendapat ganjaran berpuasa 360 hari; menghampiri satu tahun. Wah, hebat sungguh ganjaran itu... pastikan anda tidak melepaskan peluang. Walaubagaimana pun, puasa ini hanyalah sunat hukumnya.

Persoalan yang selalu diutarakan terutamanya kaum wanita adalah, yang mana satu hendak didahulukan? Puasa sunat atau qadho'? Ada juga yang cuba memberikan penyelesaian mudah, iaitu niat 2 in 1 (Puasa Qadha' dan sunat satu niat). Cuma apa yang sebenarnya disarankan oleh ulama' adalah seseorang itu hendaklah berniat Qadho' puasa, dan berharapan Allah memberinya juga ganjaran-ganjaran orang yang berpuasa didalam bulan Syawal. Pandangan terbaik adalah melakukan puasa Qadho' dan dikuti dengan puasa enam. Mereka berpegang kepada pendapat, tidak boleh melakukan amalan sunat jika yang wajib belum disempurnakan.

Dari sudut hukum, Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengatakan tidak salah melakukan puasa sunat Syawal dahulu dan di ikuti dengan qadho' puasa Ramadhan, dengan merujuk kepada hadith A'isyah ra. yang mengqadho' puasa apabila masuknya bulan Sya'baan yang akan datang (hadith Mutafaq a'alaih, al-Lu'lu' wal Marjan #703). syeikh Ibn Utsaimin rh (Mumthi', 6/448) juga berpendapat demikian kerana surah al-Baqarah ayat 185 hanya menyatakan bagi mereka yang sakit, atau bermusafir dan sebagainya, hendaklah mengqadho' dihari-hari lain, dan tidak mengatakan'perlu dibuat dengan serta merta'.

Syeikh al-Qaradhawi menjelaskan bahawa beliau memilih pandangan yang mengatakan eloklah diqadho' puasa Ramadhan dahulu dengan alasan tidak ada orang yang hidup ini dijamin umurnya. Mereka boleh sakit dan mati bila-bila sahaja. Orang yang kuat tiba-tiba sahaja boleh menjadi lemah atau tidak berupaya!

Cuma, bagi wanita yang mempunyai masalah haid yang panjang, yang tidak mungkin dapat melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal jika dia perlu mengqadho' dahulu, Syeikh Ibn Utsaimin rh (majmu' Fataawa Ibn Utsaimin, 20/19) mengatakan dia dibenar mendahulukan puasa enam dan dikuti dengan qadho' puasa Ramadhan di hari-hari yang lain.

Kita masih ada masa lagi untuk menunaikan puasa sunat di bulan Syawal. Ayoh kita berpuasa! Sedikit sebanyak dapat juga menampal-nampal puasa Ramadhan yang tidak dapat lari dari pelbagai kekurangan.

-kamin, 11 Syawal, 1427-

Monday, October 30, 2006

Syawal dan Kematian

4 Syawal tahun ini (1427) merupakan hari yang bersejarah bagi keluarga Indahsah Haji Sidek, ibu beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Malaikat telah menjemput beliau pada hari Jumaat jam 7:50pagi. Suasana sedih di pagi Syawal yang keempat, diredakan dengan rasa kesyukuran yang tidak ternilai kepada Allah swt. Kami sempat mentalqinkan kepada beliau dengan kalimat tauhid 'La ila ha illAllah'. Akhirnya setelah mendengar beberapa kali kalimah tauhid diajarkan, beliau mengucapkan kalimat tersebut sebanyak 2 kali lalu meninggalkan kami bagaikan orang yang sedang tidur.

Masih teringat akan sebuah hadith, Muaz bin Jabar ra. berkata : Aku mendengar Rasulullah :saw bersabda :{مَنْ كَانَ آخِرُ كَلامِهِ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ } "Barangsiapa yang pada Akhir perkataannya berkata Tiada Tuhan melainkan Allah, dijanjikan baginya Syurga". Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad (#21529) dan Abu Daud (#3116), dan Syiekh Nasyiruddin al-Albani mengkelaskan hadith tersebut sebagai sahih didalam Irwa' al-Ghalil (#687). Moga-moga Allah mematikan beliau didalam keadaan yang beriman dan diberikan balasan syurga.

Bagi mereka yang mati pada hari Jumaat juga boleh mengharapkan agar Allah swt melindungi mereka dari azab kubur. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad (#6546) dan al-Tirmudzi (#1074) bahawa Rasulullah saw pernah bersabda : {ما من مسلم يموت يوم الجمعة أو ليلة الجمعة إلا وقاه الله فتنة القبر} "Tidak mati seseorang Islam pada hari Jumaat atau malam Jumaat, melainkan Allah melindunginya dari fitnah kubur". Menurut Syiekh Nasyiruddin al-Albani bahawa jika dilihat dari segi isnad, hadith ini boleh dikelaskan sebagai Hasan ataupun Sahih.

Diantara salah faham agama bagi masyarakat Melayu adalah membudayakan upacara kematian. Malah kedengaran ada dikalangan yang melawat membaca surah Yaasin disebelah mayat. Syeikh Ibn Taimiyyah rh didalam kitab al-Ikhtiyaaraat (ms. 91) mengatakan bahawa membaca surah Yaasin keatas mayat adalah bid'ah, walaupun beliau menyokong hadith yang membolehkan membaca surah Yaasin ketika sedang nazak. Alangkah baiknya jika kita dapat melarikan diri dari khilaf ini dengan hanya membaca do'a agar Allah swt mengampunkan dosa dan merahmati si-mati tersebut. Kenapa perlu melakukan perkara yang khilaf lebih-lebih lagi mati hanya datang sekali sahaja? Tidakkah kita mahu melihat mayat tersebut disempurnakan dengan amalan-amalan yang dipersetujui dan disepakati oleh ulama sahaja?

Bacaan tahlil memang tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat Melayu kita. Walaupun perkataan Tahlil itu membawa erti membaca kalimat 'La illaha illallah', ia lebih dikenali sebagai susunan bacaan yang dibukukan, dibaca pada satu majlis kematian atau kenduri arwah, termasuklah mengadakan 'bacaan tahlil' sebaik sahaja mayat dikebumikan. Ulama' hanya khilaf membincangakn samada bacaan al-Quran dapat memberi munafaat kepada yang mati atau tidak, dan setahu saya, mereka tidak pernah membincangkan samada boleh atau tidak bacaan tahil beramai-ramai itu dibaca dan memberi kesan kepada si-mayat.

Mazhab Syafie dan Imam Nawawi rh didalam Syarah Muslim mengatakan bahawa tidak sampai bacaan al-Quran kepada si-mati, dengan memetik ayat al-Quran surah al-Najm (ayat 39) yang maksudnya "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya". Imam Syawkani didalam mentafsirkan ayat ini menyebut bahawa seseorang itu tidak sekali-kali mendapat faedah melainkan amalan yang dia usahakan sendiri, kecuali jika terdapat nas-nas khusus yang membenarkan seperti do'a, puasa, haji dan harta. Didalam melarikan dari khilaf ini, Dr Ahmad Syurbasi didalam kitabnya Yasalunak mengatakan bahawa bacaan al-Quran yang dido'akan agar ganjarannya memunafaatkan si-mati akan sampai kepada si-mati apabila Allah menqabulkan do'a tersebut.

Melihatkan kepada peristiwa 4 Syawal ini, dirasakan suatu keperluan diadakan tajdid keatas upacara kematian. Budaya dan Adat seolah sudah mewarnai amalan pengurusan jenazah didalam masyarakat kita. Khilaf ulama' lebih diutamakan dari pendapat yang dipersetuji oleh semua (ittifaq), malahan khilaf dikatakan sunnah! Masyarakat kita lebih banyak mengambil pendapat yang membenarkan amalan-amalan yang biasa diamalkan. Mereka masih memetik pendapat-pendapat Mazhab yang membenarkan bacaan al-Quran diatas kubur. Pernahkah mereka melihat kepada pandangan-pandangan yang melarang menjadikan kuburan seperti masjid? Kalaulah dibenarkan membaca al-Quran disisi kubur, kubur siapakah yang paling layak dibacakan al-Quran? Bukankah kubur Rasulullah lebih berhak dibacakan al-Quran disampingnya?

Kepada hambaMu Tumirah bt Saban, Ya Allah, Ampunkan dosanya dan Rahmatilah beliau (اللهم اغفر لهاوارحمها), dan tempatkan beliau dikalangan hamba-hambaMu yang beriman. Amin.

-kamin, 7 Syawal, 1427 -

Thursday, October 26, 2006

Raya oh Raya

Hari raya merupakan hari yang sangat signifikan didalam Islam, baik Hari Raya Fitri atau Hari Raya Kurban. Hari Raya atau Eid merupakan hari keagamaan didalam Islam. Dalam erti kata lain, hari Raya sahaja yang disyara'kan kepada umat Islam, selain dari Hari Jumaat. Ia tidak boleh dikompromi atau dikongsi dengan perayaan-perayaan yang lain. Ini merupakan hari umat Islam membesarkan Allah swt dengan bertakbir dan melakukan solat Eid. Mungkin masih ada lagi kelompok yang masih lagi ingin berkongsi perayaan ini dengan perayaan agama-agama lain? Rasa-rasanya semua orang sudah tahu hukumnya, lebih-lebih lagi baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Ketua Syariah Takafful berkenaan dengan larangan umat Islam mengucapkan Tahniah di Perayaan Deepavali.Begitu juga dengan kritikan-kritikan mufti Perak terhadap konsep Kongsi Raya, yang masih ada lagi dikalangan umat Islam yang menajanya.

Apa yang di sarankan di akhir surah al-Kafirun itu besar kemungkinan di fahami oleh kebanyakkan orang Islam. Makna "Untuk kamu Agama kamu, dan untuk Ku, agamaKu" - dalam persoalan agama, kita mempunyai ritual yang tersendiri, manakala didalam persoalan budaya, kita bebas mengamalkannya bersama. Apa yang boleh di kongsikan kepada agama lain ialah kelebihan-kelebihan yang ada didalam Islam. Dengan ini kita dapat menarik minat dan juga dapat menerangkan kepada mereka apa ertinya sebenar agama Islam ini, dan bukan sebagaimana yang kita war-warkan oleh Barat.

Perkara yang membimbangkan kita dewasa ini adalah penerapan nilai-nilai Barat didalam sambutan Eid Mubarak. Lihat sahajalah rancangan-rancangan TV, Radio, Panggung Wayang dan sebagainya, penuh dengan rancangan-rancangan yang melalaikan. Ini juga memperlihatkan bahawa memang ada satu trend memodenisasikan perayaan Hari Raya agar ia kelihatan sebagai "Pesta Raya". Nampak-nampaknya masyarakat makin menerima perkongsian yang sebegini; Eid dan Hiburan yang melalaikan. Apalah salahnya stesyen-stesyen TV ini memaparkan ceramah-ceramah yang menjelaskan erti kata Eid al-Fitri yang sebenarnya. Terangkan pada masyarakat mengenai perkara sunat yang dilakukan pada masa menyambut Eid.

Cuma nilai agama yang ada ialah siaran langsung solat Eid dan selingan Takbir yang mendayu-dayu pada malam Raya berkumandang di kaca TV dan dicorong-corong radio. Maka ramailah mereka-mereka yang tidak dapat balik Raya, mereka yang kematian yang tercinta, malah yang putus cinta, meleleh air mata tatkala mendengar Takbir Raya ini. Bagaimana kita boleh teringat kekasih semasa melaungkan :"Benarlah janji-janjiNya [Allah], [Allah yang] menolong HambaNya, Menghancurkan Tentera Bersekutu Ahzab!". Ini laungan-laungan semangat, bukannya ucapan-ucapan sedih. Ini bukannya ucapan "Inilah nasibku tidak dapat beraya dengan kekasihku, Inilah nasibku tidak dapat tiket bas untuk pulang". Takbir merupakan laungan membesarkan Allah. Lafaz takbir yang biasa dibaca menceritakan bagaimana Allah menghancurkan tentera-tentera Ahzab! Mungkin melodinya yang sedih agaknya yang membuat orang berasa sedih.

Ulama'-ulama' perlu bangun mengkaji kembali apakah ucapan takbir yang kita laungkan pada kedua-dua Hari Raya ini benar-benar datang dari Nabi :saw. Apakah melodi yang kita lagukan itu sesuai dengan roh kemenangan yang di sambut oleh orang Islam dua kali setahun? Benarkah pandangan terkuat Mazhab Syafie menganjurkan bacaan takbir ini setelah matahari terbenam dimalam Raya, atau disyorkan setelah matahari terbit pada pagi Hari Raya? Ucapan tahniah dihari raya pun tidak ramai umat Islam yang tahu. Yang mereka tahu adalah mengucapkan 'Selamat" kepada hari Raya. Pernahkan kita ucapkan : Taqabbala minna wa min Kum? Mungkin kita rasa ini adalah ucapan Imam selepas membacakan do'a beramai-ramai selepas solat fardu.

Sudahlah memulakan khutbah Hari Raya dengan meninggal Tahmid (Alhamdulillah) dan di ganti dengan Takbir. Khutbah juga di buat seolah-olah seperti khutbah Jumaat yang mempunyai dua khutbah! Itulah sebabnya kita menyarankan agar hari Raya di isi dengan program-program keagamaan yang menjurus kepada persoalan Eid dan hukumnya. Al-Jazeera di Washington semalam sekurang-kurangnya membincangkan bagaimana penentuan Eid di Amerika; secara rukyah atau pengiraan. Hari Raya kita sudah makin hari semakin hampir dengan pesta dan hari-hari perayaan yang lain. Tidak salahlah kalau masyarakat yang cenderung ke arah Agama, menyambut perayaan Nisfu Sya'ban, Isra' dan Mi'raj, bulan Rejab dan sebagainya, kerana mereka inginkan satu kelainan dari hari Raya yang disambut bagaikan pesta hiburan. Ayuh, marilah kita kembalikan roh Eid al-Fitr agar ia tidak hanya tinggal slogan "Raya Oh Raya".

Selamat Menyambut Eid al-Fitr. Taqabbala Minna Wa Min Kum.

kamin, Rabu, 2 Syawal, 1427. 4:00pm.

Sunday, October 15, 2006

Kempen Nabi Muhammad membawa Rahmat keseluruh Alam


Jika dilihat dari segi kehebatan menyambut hari kelahiran Nabi :saw, tentu sekali rakyat Malaysia termasuk diantara umat-umat yang hebat sambutannya, termasuklah dikurniakan cuti pada hari tersebut. Kita dapat lihat laungan-laungan dan pelbagai selawat kedengaran, baik di semasa perarakan, di TV dan juga di radio. Tidak kurang juga upacara-upacara selawat keatas Nabi dilakukan pada hari cukur jambul, hari perkahwinan, selepas selesainya ceramah di surau dan sebagainya.

Cuma yang menduka citakan, dimanakah umat Islam Malaysia pada masa Nabi :saw dihina dengan lukisan-lukisan karton yang di paparkan pada mulanya di Akhbar Denmark Jyllands-Posten pada tahun 2005, dan dipaparkan kembali oleh akhbar Eropah pada awal tahun 2006. Waktu itu umat Islam Malaysia dimimpikan dengan pemilihan juara 'hiburan' sebuah station TV. Keesokkannya, tiada satu pun akhbar melapurkan mengenai kemarahan umat Islam mengenai karton ini, akan tetapi berita mengenai penyanyi yang menang di paparkan secara meluas.

Begitu juga dengan baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Pope Benedict VXI yang jelas-jelas menghina perjuangan Nabi :saw, menyamakan Nabi :saw dengan terorist. Dimanakah kita umat Malaysia pada masa itu? Kedua-dua peristiwa ini menampakkan respon yang begitu lembab dari pihak kita. Jiran kita Indonesia lebih peka pada kedua-dua peristiwa ini. Malahan, Arab Saudi, yang dikatakan oleh umat Islam Malaysia sebagai negara yang mazhabnya terkeluar dari ahli Sunnah wal Jamaah, menarik balik Dutanya dari Denmark akibat peristiwa karton yang menghina Nabi :saw. Kenyataan dari kerajaan kita juga timbul satu minggu selepas peristiwa itu. Malah yang paling mengecewakan, Malaysia membuat pendirian tidak akan memboikot produk barangan Denmark!

Didalam kedua-dua peristiwa diatas, Presiden Persekutuan Ulama' Antarabangsa, Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menyeru agar digunakan mimbar masjid sebagai tempat menyetakan kemarahan umat Islam. Beliau telah menyarankan agar khutbah Jumaat pada Februari 2006 dijadikan hari marah antarabangsa. Disamping itu beliau telah memberi beberapa garis panduan agar khutbah-khutbah itu menggambarkan bahawa Nabi :saw bukanlah sebagaimana yang digambarkan oleh puak kufur Denmark. Seruan-seruan ini telah mendapat sambutan baik dikalangan masjid luar negara termasuklah masjid di Amerika Syarikat. Malang sekali, masjid di Malaysia, tidak sedikitpun menyentuh khutbah-khutbah mengenai penghinaan terdapat Nabi :saw.

Begitu juga didalam kenyataan al-Qaradhawi yang dikeluarkan didalam station TV al-Jazeera pada 17 September yang lalu, beliau menyeru umat Islam agar dijadikan hari Jumaat 22 September sebagai hari 'kemarahan yang berakal', dan dijadikan mimbar-mimbar masjid sebagai tempat seruan usaha-usaha ini, malang sekali, masjid di Malaysia, isi khutbahnya langsung tidak menyentuh isu ini. Kenapa masjid-masjid di Malaysia tidak prihatin dengan seruan-seruan ulama' antara bangsa ini? Apakah masjid kita tidak sensitif dengan hal-hal ini?

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi pada 11 Oktober 2006 yang lalu telah melancarkan kempen "Rahmatan Lil 'Alamin", bagi mengutip dana-dana, untuk menjalankan kempen-kempen membersih imej Islam yang tercalar akibat tuduhan-tuduhan Barat, dengan cara memberi penerangan mengenai siapa Nabi Muhammad sebenarnya didalam pelbagai bahasa. Malahan, menurut Syeikh Ali Muhyidin al-Qurah Daaghi bahawa mereka bercita-cita untuk mewujudkan stesyen TV satelite didalam pelbagai bahasa bagi menjalankan tugas-tugas ini.

Pada hari pelancaran itu sahaja, seorang wanita telah menghadiahkan sebidang tanah yang bernilai hampir 2 juta riyal kepada badan kebajikan ini. Ramai wanita-wanita yang hadir telah mendermakan barang-barang kemas mereka sebagai tanda sokongan kepada kempen ini. Badan tersebut berusaha mengumpul sebanyak 27 juta riyal bagi menjayakan projek ini.

Kalau kita benar-benar prihatin terhadap Nabi :saw, sudah tentu hati kita sedikit sebanyak terguris apabila mengingati kedua-dua peristiwa tersebut. Jangan kata nak boikot barangan Denmark, Star Buck pun masih ramai lagi dihadiri oleh bangsa melayu yang beragama Islam. Apa nak jadi dengan masjid-masjid kita yang tidak langsung peka dengan peristiwa ini. Wahai Imam-Imam masjid, peka lah dengan keadaan sekeliling. Gunalah amanah minbar masjid untuk mempertahankan Nabi :saw yang sedang dihina oleh barat! Kenapa seruan al-Qaradhawi sampai kedua kali pun masih tidak dihiraukan. Nak dikatakan tidak sampai berita, mimbar-mimbar di Amerika pun menyahut seruan al-Qaradhawi.

Ayoh umat Islam di Malaysia, mari kita melakukan sesuatu bagi menjayakan projek "Rahmatan Lil'Alamin" menurut kapasiti dan kemampuan masing-masing. Kandungan mesej yang perlu kita sampaikan adalah mengenai kemuliaan Nabi :saw, dan nilai-nilai murnia yang ada didalam Islam. Malahan, jika kita melihat laman-laman Web berbahasa Arab, sudah banyak link-link yang menceritakan tentang kepribadian Nabi Muhammad :saw. Projek kali ini menekankan betapa perlunya risalah-risalah ini diterbitkan didalam pelbagai bahasa dan disampaikan kepada mereka yang bukan beragama Islam. Umat Islam Malaysia boleh menggunakan cara mereka yang tersendiri memaparkan imej-imej Islam dan Nabi Muhammad :saw yang sebenarnya kepada masyakat Malaysia yang majmuk. Kepada Syeikhuna al-Qaradhawi, benarlah kenyataan akhbar Qatar yang mengatakan 'kau adalah manusia yang bersaiz Ummah' .WA.
al-Qardhawi melancarkan kempen "Rahmat kpd seluruh Alam"

Doha - 12-10-2006 - (ringkasan dari Laman al-Qaradhawi)


"هذه الأمة لا تموت، وهذه بداية.. هذه الأمة لن تخذلنا ونحن مستمرون، والإسلام باق ما دام الله باقيا؛ كيف يزول الإسلام وأمة محمد باقية!؟ الإسلام منصور والمستقبل لهذا الدين العظيم، إن أوجب واجباتنا اليوم أن ننصر مشاريع هذه الأمة لنثبت أنها موجودة، وأنها ستنتصر، وأن بزوغ الفجر قد قرب إذ يبزغ الفجر بعد اشتداد الظلام...".
"Umat ini tidak akan mati, dan ini adalah permulaan... Umat ini tidak akan menghampakan kita, dan kita akan berterusan. Islam akan kekal selama mana Allah kekalkannya. Bagaimana boleh hilangnya Islam dan Umat Muhammad yang kekal itu!? Islam agama agung yang dibantu dan mempunyai masa depan. Sesungguhnya kewajipan kita hari ini ialah menyokong projek umat ini agar kita membuktikan kewujudannya, seungguhnya ia akan gemilang, Fajar muncul kembali setelah bergelumang didalam kegelapan...."

Ini merupakan ucapan Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi di Doha pada hari Rabu, Oktober 11, semasa melancarkan tabung kewangan untuk aktiviti memprojekkan imej Islam dan Nabi Muhammad :saw kepada Barat didalam pelbagai bahasa. Projek ini dinamakan "membawa Rahmat kepada seluruh Alam" (رحمة للعالمين).

Didalam pelancaran khas di ibu kota Qatar telah memperlihatkan nilai sebanyak 10 juta Qatar Riyal telah didermakan, termasuklah didalamnya barang-barang kemas, saham-saham dan tanah.

Seorang peniaga Saudi telah menderma sebanyak 2 juta riyal dan seorang wanita melalui talipon telah menderma sekeping tanah yang bernilai 2 juta riyal. Ramai dikalangan wanita yang hadir telah membuka perhiasan mereka yang merupakan kalung emas dan berlian, didermakan kepada kempen tersebut.

Naib Ketua Majlis (Badan kebajikan al-Balagh) tersebut, Syeikh Ali Muhyidin al-Qurah Daaghi menjelaskan bahawa cita-cita mereka adalah untuk mewujudkan stesyen TV satelite didalam pelbagai bahasa dengan tujuan membetulkan imej salah tanggap mereka terhadap Islam dan Nabi yang mulia.

Idea projek "Rahmatan Lil'Alamin" ini merupakan respon kepada krisis kartun anti-Nabi tahun lepas. 12 karton, termasuk salah satunya lukisan yang menunjukkan Nabi memakai serban berbentuk bom, yang telah diterbitkan oleh suratkhabar Denmark Jyllands-Posten pada tahun 2005 dan disiarkan kembali oleh suratkhabar Eropah yang mendakwa sebagai pendokong kebebasan bersuara.

Lukisan tersebut telah membangkit kemarahan umat Islam seluruh dunia dan terjadi juga tunjuk perasaan yang ganas. Seterusnya peristiwa ini telah membangkit sebilangan umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di Barat melancarkan projek memberi kesedaran terhadap kemuliaan dan akhlak Nabi Muhammad :saw.

Friday, October 13, 2006

Puasa Ramadhan : scenario yang berulang

Saban tahun berlalu, apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, beberapa isu-isu akan berbangkit semula. Diantaranya kedengaran bacaan al-Quran surah al-Baqarah, ayat 183 berkumandang di corong radio dan juga peti-peti TV, baik di kaca TV kerajaan maupun swasta, termasuklah TV Satelite kegemaran mereka.

Tidak kurang juga ustaz-ustaz yang mengajar di masjid dan surau, masing-masing tidak lupa membaca ayat 183 surah al-Baqarah yang menandakan termaktubnya syariat berpuasa, yang merupakan salah satu ritual yang tertua didunia yang diamalkan oleh umat-umat terdahulu. Ayat itu juga menunjukkan bahawa puasa tidak akan merubah semua orang menjadi baik dan taqwa, akan tetapi bagi mereka yang berazam untuk berubah, Allah mendo'akan agar ia menjadi manusia yang bertaqwa pada akhir ayat tersebut - "moga-moga kamu bertaqwa"(لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ). Itulah janji Allah kepada mereka yang bersungguh-sungguh dalam berpuasa.

Bulan Ramadhan juga memaparkan diantara sedar tidak sedar, umat Melayu Malaysia mengamalkan solat tarawih menurut bilangan yang dilakukan oleh Rasulullah :saw. Sungguh ironik sekali, ramai yang melakukan solat tarawih sebanyak 8 rakaat dengan kaedah 2 rakaat satu salam. Mungkin juga mereka tidak dedahkan kepada 4 rakaat satu salam barangkali. Tidak kurang juga mereka yang masih mengamalkan sunnah Umar ra., dengan melakukan sebanyak 20 rakaat solat tarawih. Mungkin tidak ramai yang melakukan sunnah Imam Malik, iaitu sebanyak 36 rakaat. Isu ini memang setiap tahun menjadi bualan mulut para jemaah. Yang buat 20 kata, orang yang buat 8 tidak ikut sunnah. Orang yang buat 8 kata, orang buat 20 tidak ikut sunnah!

Realiti sebenarnya, kedua-duanya mengikut sunnah Nabi :saw; iaitu menghidupkan malam Ramadhan dengan berqiam (solat). Pokok persoalannya adalah ini merupakan solat sunnat, tiada paksaan! Kenapa kita tidak cuba mengajak mereka yang tidak langsung menunaikan solat tarawih datang bersolat bersama-sama kita? Kenapa kita tidak pernah prihatin kepada masjid dan surau yang menjadi kosong pada sebelum dan selepas Ramadhan? Apakah kita cuma menegakkan sunnah di bulan Ramadhan sahaja? Ini belum lagi bercerita mengenai amalan-amalan sunnah lain yang belum kita kerjakan? Ini belum lagi kita melihat apakah sunnah yang kita tegakkan pada bulan Ramadhan itu benar-benat mengikut kayu ukur yang ditetapkan?

Lihat sahaja manusia begitu rakus menjamah makan ketika selain dari bulan Ramadhan. Zikir 'Bismillah' yang mudah pun di abaikan. Bila sahaja datang bulan Ramadhan, maka ramailah yang menadah tangan membaca do'a favorite mereka : (اللهم لك صمت وعلى رزقك أفطرت) - Allahumma laka sumtu wa 'ala Rizqika AfThartu. Seolah-olah do'a menghadapi makanan ini hanya wujud pada bulan Ramadhan sahaja. Kita belum lagi membicarakan bahawa do'a ini bukannya do'a yang dapat diyakini sahih datang dari Nabi :saw. Malah, al-Hafiz Imam Nawawi rh. didalam Kitabnya yang terkenal, Al-Azkar, menyatakan bahawa periwayatan hadith ini tidak sampai kepada Nabi :saw (mursal).

Malam-malam terakhir Ramadhan mungkin menjadi keseronokkan kepada beberapa pihak. Kaum-kaum wanita sibuk dengan berjaga malam memasak kueh-muih pilihan mereka. Pelbagai aneka kueh dan biskut di masak. Bandar-bandar penuh sesak dengan manusia, kenderaan dan juru-jual. Kesemuanya sibuk membeli belah untuk mengadapi hari lebaran yang akan kunjung tiba. Mereka-mereka dipejabat sudah mula bercerita tentang keseronokkan balik kampung dan beraya, Yang paling sedih adalah program ceramah di surau lesu pada hari akhir-akhir Ramadhan akibat dari semngat 'shopping' yang telah dibangkitkan. Tidakkah kita diperingatkan bahawa 10 malam terakhir itu ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan, yang menyerupai 84 tahun 4 bulan ganjarannya? Inilah malam yang sepatutnya di rebut oleh orang-orang Islam sebagaimana janji Allah didalam suah al-Baqarah ayat 183, moga-moga kamu bertaqwa.

Inilah scenario yang sama berlaku setiap tahun tanpa kita sedari. Marilah kita sama-sama merealisikan sunnah Nabi :saw baik pada bulan Ramadhan dan juga 11 bulan-bulan yang lain. Diharap, tidaklah puasa, sahur, terawih, solat jemaah di masjid, makan kurma, do'a berbuka puasa menjadi adat semata-mata didalam episod tahunan kita. Ingatlah, inilah satu-satunya ritual yang terkuat didalam membina minda-minda umat Islam untuk menghadapi 11 bulan yang lain didalam usaha kita menegakkan sunnah Nabi :saw. WA.

Monday, October 09, 2006

Bila harus berdo'a sewaktu berbuka

Dewasa ini, masyarakat makin ramai yang begitu prihatin mengenai agama mereka. Kalau dahulu, tidak ramai malah tidak kedengaran ada yang mempersoalkan bilakah perlu di baca do'a berbuka puasa, kini ada yang telah mula memperkatakannya. Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan samada do'a yang biasa dibaca, dikeudarakan di TV dan sebagainya, adakah do'a ini datang dari Nabi atau pun tidak?

Ini suatu perkembangan yang baik jika dilihat dari segi perkembangan ilmu. Kalau yang mempersoalkan itu mempunyai motif mempersendakan agama Allah, maka nyalakan-nyalakan mereka tidak mendatangkan apa-apa kepada agama Islam. Akan tetapi, jika pertanyaan tersebut dilakukan kerana ingin mengetahui akan kebenaran, ini menunjukkan bahawa masyarakat sudah berubah dari ikut-ikutan kepada ikut kerana tahu. Inilah budaya tajdid yang cuba diperjuangkan oleh ramai dikalangan ulama'-ulama' kontemperor seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Dr Ahmad Syurbashi, Dr Faizal Mowlawi, Dr Yusuf al-Qaradhawi dan ramai lagi dikalangan ulama'-ulama' yang memperjuangan nilai keilmuan dan keterbukaan Islam.

Berbalik kepada bilakah waktunya untuk membaca do'a berbuka puasa? Pada lazimnya, setiap hari kita disunatkan sebelum makan membaca do'a, atau sekurang-kurangnya membaca 'Bismillah'. Maka apabila Ramadhan menjelma, apakah kita perlu membaca do'a sebelum makan? Atau apakah do'a berbuka puasa tadi menggantikan do'a sebelum makan yang kita baca saban hari?

Do'a juga seringkali dikaitkan dengan ibadat puasa. Diantara masa-masa yang mustajab berdo'a adalah semasa seseorang itu berpuasa dan waktu hampir untuk berbuka puasa. Sabda Nabi :saw

ثلاث دعوات لا ترد : دعوة الوالد لولده ، ودعوة الصائم ودعوة المسافر
"Tiga do'a yang tidak akan ditolak : Do'a bapa kepada anaknya, do'a orang yang sedang berpuasa dan do'a orang yang sedang bermusafir" [Hadith Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jaami' #2032].

Syeikh Ibn Utsaimin rh.(al-Liqaa’ al-Shahri, ms8) menyatakan bahawa Do'a hendaklah dibaca sebelum berbuka, kerana ia mengkombinasikan kelemahan dan ketundukan, dan seseorang itu masih dalam keadaan berpuasa. Semua ini bermakna ia menjadi penyebab do'a kita dijawab. Setelah berbuka puasa, seseorang itu akan berasa relaks dan gembira, dan berkemungkinan lalai. Akan tetapi, terdapat juga hadith Nabi :saw yang sahih menunjukkan bahawa do'a dibaca setelah berbuka puasa. Contohnya :

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
"Telah pergi kehausan dan telah membasahi urat-urat, dan pasti ganjaran dengan kehendak Allah" (hadis sahih riwayat Abu Daud #2357, al-Daaraqutni #25. Ibn Hajar berkata didalam al-Talkhis al-Habir bahawa al-Daaraqutni mengatakan bahawa isnaadnya sahih).

Do'a ini hanya bermakna kalau seseorang itu membaca selepas berbuka puasa. Maka, bagaimana boleh kita merangkumkan kesemua sunnah-sunnah ini. Berdasarkan nas-nas yang ada didalam perturutan do'a yang ma'thur ini, maka dicadangkan seperti berikut :-

a. Membaca do'a 10-15 minit sebelum masuk waktu solat Maghrib. Mintalah apa-apa yang dihajati. Ini merupakan waktu-waktu yang Allah menjawab do'a seseorang.

b, Membaca do'a makan (eg: Bismillah) sebelum berbuka, lalu berbuka dengan kurma sebiji atau air seteguk.

c. Membaca do'a berbuka puasa, lalu bersegera menunaikan solat Maghrib.

Diharap, dengan melakukan langkah-langkah diatas, maka kita telah melaksanakan sunnah-sunnah berdo'a dimasa menghadapi reski dari Allah swt. WA.

Sekian.

Tuesday, October 03, 2006

Tajdid Fiqh

Didalam mengharungi dunia moden yang pelbagai ini, masih ada lagi wujud kepercayaan-kepercayaan yang sempit mengenai ibadat puasa. Masih ada lagi mereka yang mengatakan bahawa korek hidung membatalkan puasa. Soalan-soalan seperti "Sejauh mana atau sedalam mana yang dibenarkan korek hidung atau korek telinga didalam bulan Ramadhan?". Waduh... kenapa begitu sempit sekali pemikiran fiqh kita? Pernahkah kita berfikir kenapa perbuatan mengorek hidung atau telinga boleh membatalkan puasa? Apakah seseorang itu menjadi kenyang dengan hanya mengorek hidung?

Malahan, menurut Ibn Taimiyah rh, menggunakan celak (kohl) kepada mata, jika ianya terasa di tekak sekali pun tidak akan membatalkan puasa. Kaedah ini juga boleh diaplikasikan kepada eye drop dan sebagainya. Bak kata seorang ulama : tidak ada siapa pun yang hendak makan menggunakan hidung, mata atau telinga.Marilah kita melihat ibadat didalam bentuk mudah. Islam itu satu agama yang mudah, akan tetapi di rigidkan oleh setengah-tengah pihak yang guluw (melampau). Terbatalnya puasa disebabkan makan dan minum secara sengaja, mengeluarkan air mani dan mengadakan hubungan seks. Mudah sahaja.

Malah, Dr Yusuf al-Qaradhawi dengan Fiqh Shiyam apabila membahaskan tentang samada muntah membatalkan puasa, beliau mengatakan 'tidak'. Alasannya : Muntah mengeluarkan sesuatu dan bukan memasukkan sesuatu.Kita belum lagi membicarakan mengenai alat-alat perubatan yang di gunakan keatas pesakit yang puasa.Kesemua ini berbalik kepada definisi rongga yang terbuka; yang pada makna puasa itu sendiri, meliputi memasukkan makanan kedalam rongga-rongga yang terbuka yang boleh melegakan seseorang itu dari kehausan atau kelaparan.

Proses tajdid (pembaharuan) fiqh perlu diperkenalkan secara lebih serius dan sistematik. Jangan asyik berbincang mengenai berapa bilangan rakaat solat tarawih, akan tetapi kaifiat solat yang sebenar pun tak tahu. Tajdid yang membawa erti mendedahkan perkara-perkara yang sebenar mengenai ibadat harian; atau kembali kepada cari Nabi :saw melakukan ibadatnya. Tajdid yang membawa erti pembukaan minda kearah penilaian-penilaian semula keatas pemikiran-pemikiran lama, yang di adili dengan nas yang kukuh. Ayoh kita bawa slogan taisir (simple/mudah) didalam fiqh penghidupan kita dengan kembali kepada al-Quran dan sunnah Nabi :saw yang sahih.

Saturday, September 30, 2006

Berikut adalah pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi yang sempat sata terjemahkan dari Laman Qaradawi.net. :-

al-Qaradhawi - Islam menyeru kepada penyembuhan dan Perubatan Nabi adalah petunjuk dan bukan Sains

Nagi Hussein - Laman al-Qaradhawi - 13-3-2006

Dr Yusuf al-Qardhawi mengesahkan bahawa Sunnah Nabawiyah merupakan petunjuk kepada orang Islam. Ada perkara yang boleh menyakitkan dan menghalang kemelaratannya kepada manusia, dimana Islam mengharamkan kemudaratan kepada diri manusia. al-Qaradhawi telah berkata pada 12-3-2006 didalam siri rancangan "Syariah dan Penghidupan" di saluran TV al-Jazeera. Kerana sesungguhnya Nabi saw tidak utuskan sebagai Doktor akan tetapi beliau amat prihatin kepada apa sahaja perkara yang bersangkutan dengan kesihatan.

Beliau mengesahkan bahwa Islam merupakan agama pertama prihatin (cares) terhadap tubuh badan manusia, dimana Nabi saw bersabda kepada salah seorang sahabatnya bahawa - sesungguhnya bagi badan kamu ada hak, sebagaimana Nabi saw telah mengajak orang Islam untuk mendapatkan perubatan dan bukan hanya bertawakkal, mengesahkan bahawa kita mengambil dari Rasulullah saw apa yang telah dibuktikan dan bukan ucapan sahaja, kerana sesungguhnya pendapat seseorang boleh diambil dan ditolak darinya melainkan perkataan Allah, ia merujuk hanya kepada ketaatan yang sempurna.

al-Qaradhawi telah berkata bahawa kitab-kitab hadith Nabi dan Sunnah mengandungi kitab perubatan, kemudian datang ulama', mereka mengumpulkan hadith2 ini dan menamakan dengan Perubatan Nabi (al-Tibb al-Nabawi). Ini bukanlah bid'ah atau penambahan, bahkan dilakukan oleh ulama'-ulama' yang besar. Beliau mengatakan bahawa 'prescription' (keterangan) yang ada pada buku-buku ini tidak semestinya baik kepada semua orang. Beliau memberi terguran kepada orang-orang yang mengambil apa yang ada didalam buku ini tanpa merujuk kepada doktor yang berpengalaman dan pakar didalam hal-ehwal perubatan.

al-Qaradhawi mengesahkan bahawa kita tidak boleh memanggil petunjuk-petunjuk kenabian itu dengan nama sains, kerana sesungguhnya ia memberi petunjuk dan arahan kepada ummat. Terdapat beberapa ulama' yang bergerak menggunakan petunjuk Nabawiyah dan melakukan beberapa kajian dipersekitaran madu contohnya, Habbatus Sauda' (bijirin hitam) dan lain-lainnya, mengesahkan hakikatnya yang sebenar, jauh daripada ghuluw (berlebih2) dan Tafrith (melampau). Dan Rasul mengajak kepada al-Ruqyah (jampi). Disana ada yang melakukan pekerjaan klinik penyembuhan dengan menggunakan al-Quran. Kami tidak pernah dengar pula satu pun tabien dan sahabat bekerja di klinik menggunakan rawatan al-Quran, dan disana terdapat juga yang lain menolak kenyataan ini secara total.

al-Qaradhawi mengatakan diantara fungsi para Nabi-Nabi pada asasnya adalah menyampaikan dan mengajak kepada Allah dan pembersihan diri insan, inilah peranan terbesar mereka.

Dr Haitham Khaiyaath seorang Penyelia Kanan WHO (World Health Organization) yang berpengkalan di Kaherah menyebut bahawa sesungguhnya percakapan ini, iaitu Perubatan Rasul (Klinik Tibb Nabawi) merupakan satu serangan kepada kedudukan/maqam kenabian, satu amaran dimana perluasan pusat-pusat yang menjalankan penyembuhan kepada manusia boleh menyebabkan pembawaan penyakit.

sumber :
http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=4202&version=1&template_id=105&parent_id=16