Thursday, November 03, 2011

Mazhabku hanya hadith sahih


Apabila berbicara mengenai persoalan Mazhab dan hadith, sudah tentu ramai yang akan memetik kata-kata Imam Syafie ini :

إذا صح الحديث فهو مذهبي
“Apabila berjumpa dengan hadith sahih, maka itu adalah Mazhabku”

Terdapat juga catitan bahawa beliau pernah berkata :

إذا صح الحديث خلاف قولي، فاعملوا بالحديث واتركوا قولي
“Jika berjumpa hadith sahih yang bertentangan dengan pendapatku, beramallah dengan hadith tersebut dan tinggalkan pendapatku”

Kenyataan ini juga dikaitkan oleh Ibn Abdul Barr dan Imam Sya’raani ditujukan kepada Imam Abu Hanifa. Malah ada beberapa Imam-Imam besar telah dikaitkan dengan kenyataan ini. Jelas menunjukkan bahawa kenyataan ini tidak dapat dicabar, malah para ulama’ salaf benar-benar memahami maksud kenyataan ini. Termasuklah dikalangan murid-murid mereka yang begitu tinggi ilmu pengetahuan mereka didalam Syariah Islamiyyah.

Diantara beberapa kesilapan mentafsir kenyataan Imam Syafie ini adalah :-

1. Apabila kita bertemu dengan kalam Imam Syafie yang bertentangan atau tidak selaras dengan hadith Nabi :saw, hendaklah kita meninggalkan kalam Imam Syafie.

2. Pandangan Imam Syafie mengenai sesuatu itu boleh ditarjihkan, kerana kalam ini menunjukkan beliau sendiri mengaku tidak sempurna (maksum).

3. Kalam ini juga menunjukkan bahawa ada kemungkinan Imam Syafie sendiri terlepas pandang beberapa hadith sahih semasa mengeluarkan sesuatu hukum.

4. Kenyataan ini juga merupakan dalil bahawa Imam Syafie sendiri melarang taqlid kepadanya.

Kenyataan Imam Syafie ini hendaklah di tafsir menurut ulama’-ulama’ yang benar-benar memahami hakikat sebenar kenyataan beliau. Dengan kata lain, kenyataan ini tidak boleh dinilai sebagai zahir sahaja, tetapi hendaklah dilihat pada makna yang tersirat.Kenyataan ini juga hendaklah ditafsir menurut kedudukan keilmuan beliau yang tinggi, dan bukan dari kaca mata kita yang dhaif ini.

Imam al-Nawawi didalam muqadimah Syarah al-Muhazzab berkata : “Apa yang Imam al-Syafie katakan itu tidak bermaksud sesiapa sahaja yang melihat sebuah hadith sahih akan berkata : Ini adalah Mazhab al-Syafie, lalu mengamalkannya secara zahir. Apa yang beliau nyatakan itu hanya boleh diaplikasikan kepada seseorang yang mempunyai tahap mujtahid didalam mazhab. Syaratnya tidaklah bersangka bahawa Imam al-Syafie tidak tahu akan hadith tersebut atau tidak tahu kesahihannya. Perkara ini hanya mungkin terjadi kepada individu yang menyelidiki dan mendalami semua karya al-Syafie dan buku-buku pengikut al-Syafie, mereka yang mengambil ilmu pengetahuan melalui al-Syafie dsb. Ini merupakan syarat yang sukar untuk dipenuhi. Hanya sedikit sahaja yang dapat memenuhi syarat ini”

Berkata Imam  Ibn al-Salah (Shiekh Abu ‘Amr) :

وليس هذا بالهيّن فليس كلّ فقيه يسوغ له أن يستقلّ بالعمل بما يراه حجة من الحديث
“Bukanlah  satu perkara yang mudah kepada setiap faqih bertindak secara sendirian dengan hanya melihat sesuatu hujah dari hadith” [‘Adab al-Mufti wal Mustafti’, ms118].

Gambaran kata-kata Imam al-Nawawi dan Ibn Salah ini sangat jelas menunjukkan bahawa kalam Imam Syafie mempunyai maksud yang tersirat dan tinggi nilainya. Diantara kesimpulan yang dapat kita ambil dari kenyataan Imam Syafie ini adalah :

1. Imam Nawawi rh mengatakan bahawa kalam Imam al-Syafie ini hanya boleh digunakan oleh mujtahid sahaja. Shiekh Taqiyudin al-Subki  mengatakan bahawa sangat sukar untuk mendapati seseorang yang boleh mencapai tahap itu pada zaman sekarang [Ma’na Qawl Al-Imam Al-Muttalibi Iza Sahha Al-Hadithu Fahuwa Madhhabi]. Kalaulah benar-benar wujud kepakaran tersebut, maka bolehlah berlepas diri dari pandangan Imam Syafie.

2. Ini menunjukkan Imam al-Syafie sudah meneliti semasak-masak persoalan fiqh yang beliau bincangkan, pasti tidak ada nas-nas yang tidak benar, sehinggakan beliau sanggup mencabar dengan berkata, kalaulah benar ada yang bertentangan dengan hadith sahih, sila kemukakan. Ternyatalah pandangan Imam Syafie sangat kukuh sehingga kini.

3. Kata-kata Imam Syafie ini juga menunjukkan bahawa beliau sangat faqih didalam bidang hadith.

4. Ini merupakan kata-kata tawaddu’ dan merendah diri seorang Imam yang hebat. Janganlah kita mengambil kata-kata Imam ini secara zahir tanpa melihat maksud tersirat yang terkandung didalamnya. Kata-kata ini semata-mata menjadi satu pemisah diantara kitab beliau dengan al-Quran dan sunnah.

5. Hampir semua Imam-Imam Mazhab dikaitkan dengan kenyataan ini menunjukkan bahawa kesemua Imam-Imam ini selagi boleh telah mengumpulkan semua maklumat yang benar didalam kitab-kitab mereka. Malahan, melalui ratusan tahun, kitab-kitab mereka ini dibawa oleh fuqaha’-fuqaha’ yang menjadi pelapis mereka yang telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan, namun ia tetap utuh. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Shiekh Zafar Ahmad Uthmani bahawa kata-kata ini menjelaskan bahawa Imam-Imam Mazhab ini mempunyai keupayaan didalam melihat nas-nas dan mempunyai pengetahuan yang luas didalam fiqh.

Pada zaman sekarang ini, tidak mungkin ada yang boleh mengatakan bahawa seseorang faqih itu mempunyai pandangan yang rajih dari Imam-Imam empat ini. Tidak mungkin Imam Syafie dan Imam-Imam lain terlepas pandang beberapa hadith sahih, kerana mereka ini hidup dizaman periwayatan hadith dan mereka juga salah seorang dari perawi hadith di zamannya. Mana mungkin ulama’ sekarang yang hanya berdasarkan kitab semata-mata menilai semula atau mentahqiq pandangan Imam-Imam yang hebat ini. Seolah-olah Imam Taqiyudin al-Subkhi mengatakan agak tipis untuk melahirkan seseorang yang boleh mencabar pandangan-pandangan Imam-Imam ini pada zaman sekarang. WA.

Sekian, wassalam
7 Zulhijjah, 3 Nov 2011