Thursday, September 25, 2014

Hukum solat diatas kerusi (Bahagian 3) 


Berikut adalah gambaran kedua sehingga keempat dari buku kecil Sheikh al-Ghamidi yang dapat saya ringkaskan.

Gambaran kedua (2) – Seseorang itu melakukan solat fardu diatas kursi (dari mula sampai akhir) kerana dia uzur atau tidak upaya melakukan sujud. Alasannya, sujud akan memudharatkan dan menambahkan lagi kesakitannnya, lebih-lebih lagi dia telah mendapat nasihat dari Doktor yang amanah dan dipercayai.

Maka dalam hal ini, sepakat ulama’ mengatakan solatnya batal, kerana sesungguhnya dia telah meninggalkan beberapa rukun solat secara sengaja, seperti rukun Qiam (berdiri), Ruku', Duduk antara dua Sujud dan duduk Tashahud.

Maka secara syariatnya, hendaklah dia solat dalam keadaan berdiri semasa Qiam dan Ruku', sehingga apabila dia ingin melakukan sujud hendaklah dia terus duduk lantai/bumi, kemudian mengerakkan kepala tanda sujud, kemudian duduk diantara dua sujud, maka demikianlah rakaat yang seterusnya.

Gambaran ketiga (3) - seseorang itu bersolat fardu diatas kursi, dia uzur dari duduk sama sekali (tidak mampu untuk duduk). Alasan yang diberi adalah, jika dia duduk maka akan mudharatnya. Lebih-lebih lagi dia telah mendapat nasihat dari doktor pakar.

Dalam keadaan ini, solatnya batal juga kerana meninggalkan beberapa rukun dengan sengaja, seperti rukun Berdiri (Qiam) dan Ruku'.

Sebenarnya, hendaklah dia bersolat Berdiri dan Ruku’. Sehinggakan apabila ingin sujud, maka duduklah atas kursi. Disyaratkan mendapat nasihat doktor pakar mengenai pergerakkan yang dibolehkan. Gerakkan kepala semasa sujud. Maka lakukan solat yang sedemikian pada keseluruhan solat.

Gambaran keempat (4) - Seseorang yang bersolat fardu menggunakan tongkat. Apabila dia ingin Ruku' atau Sujud dia akan bersolat atas kerusi. Dia meletakkan bebanan berdiri keatas tongkatnya.

Terdapat DUA hal didalam situasi ini :-

1. Menjadikan Qiam dan Ruku' menggunakan tongkat. Dia tidak boleh berdiri sempurna tanpa tongkat.

Dalam hal ini, tidak syak lagi bahawa solatnya tidak sah. Kerana sesungguhnya dia telah meninggalkan rukun Sujud dan Duduk antara dua Sujud dengan sengaja (kerana ketika itu dia Sujud dan duduk menggunakan kerusi).

Dalam hal ini, menurut pandangan syara’, dia hendaklah bersolat menggunakan tongkat semasa berdiri(Qiam) dan Ruku’ tanpa menggunakan kerusi. Apabila dia ingin sujud, hendaklah dia duduk diatas lantai/bumi untuk melakukan Sujud, Duduk antara dua sujud dan Sujud kedua. Setelah itu, dia bolehlah bangun menggunakan tongkat dan meneruskan rakaat yang seterusnya.

2. Menjadikan Qiam dan Ruku'  bersandarkan tongkat, sedangkan dia mampu berdiri tanpa tongkat.

Dalam hal ini solatnya tidak sah juga kerana meninggalkan rukun Sujud dan Duduk antara dua sujud dengan sengaja (kerana ketika itu dia Sujud dan duduk menggunakan kerusi), dimana ketika itu dia mampu melakukan sujud dan Duduk diatas bumi.

Dalam hal ini, menurut pandangan syara’, perlulah dia solat Berdiri, Ruku', Sujud dan Duduk tanpa bersandar kepada tongkat dan tanpa duduk diatas kerusi. Jelas menunjukkan bahawa terdapat bentuk solat diatas kerusi yang tidak sah solatnya yang diperlihatkan melalui 4 gambaran peringatan. Jika seseorang itu melakukan solat tersebut dalam keadaan ia mengetahui caranya, dia telah diperingatkan dan masih lagi memilih cara tersebut, maka solatnya tetap tidak sah, melainkan telah jelas kejahilannya, lupa atau dipaksa melakukan sedemikian.

Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang ini diketahui ramai yang jahil dikalangan umat Islam, samada mereka akan bertaklid, sama seperti orang yang jahil dalam hukum agama atau tidak bertanyakan kepada orang-orang alim.

Apabila diselidiki dari rakan-rakan, terdapat DUA gambaran SAH solat diatas kerusi sebagaimana yang dizahirkan oleh kebanyakkan orang pada masa ini.

Gambaran pertama – seseorang yang memang asal kejadiannya serba kekurangan (OKU), dimana dia tidak berupaya untuk berdiri dan pergerakkannya terhad. Mereka ini dianggap sebagai orang sakit dan sangat lemah. Begitu juga dengan mereka yang terkena stoke atau angin ahmar, atau sakit-sakit lain yang menyebabkan di tidak boleh berdiri.

Bagi mereka yang berkeadaan begini, secara syariatnya hendaklah dia duduk diatas kerusi pada permulaan solat lagi, menggerakkan kepala ketika Sujud dan Ruku, menjadi Sujud lebih rendah dari Ruku'.

Bagi mereka yang tidak mampu menggerakkan kepala, maka hendaklah dia berniat dengan hatinya, pada setiap rukun.

Gambaran kedua :- bagi seseorang yang uzur hanya pada duduk sahaja, kerana keuzuran sakit, dan telah merujuk kepada doktor yang pakar, maka mereka yang menghadapi keadaan ini, disyariatkan bersolat Berdiri dan Rukuk, sehingga bila sampai kepada rukun Sujud, maka hendaklah dia duduk diatas kerusi, mengerakkan kepala dengan niat Sujud, dia lakukan bagi keseluruhan solatnya.

Demikian penjelasan beberapa gambaran solat yang sah diatas kerusi. Terdapat beberapa hukum lain yang penting untuk dijelaskan lebih-lebih lagi kedapatan kerusi disediakan di saf awal di masjid dimasa ini. Kedudukan saf mereka yang menggunakan kerusi masih lagi tertakluk kepada kedudukan tumit-tumit kaki, bahu,dsbm bukannya kedudukan kaki kerusi jika seseorang itu mampu berdiri and ruku' semasa solat (dan hanya menggunakan kerusi ketika sujud dan duduk diantara dua sujud). Ini bermaksud, kedudukan kerusi itu akan kebelakang sedikit. Dia hendaklah bijak meletakkan kedudukan kerusinya agar tidak mengganggu jemaah dibelakangnya. Akan tetapi, bagi mereka yang sentiasa bersolat diatas kerusi, maka kedudukan badannya dikira sebagai kedudukannya didalam saf. WA.

Berikut adalah ceramah oleh TG Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman membedah buku ini (تنبيه الناسي بحكم صلاة أهل الكراسي)
http://www.youtube.com/watch?v=J7IcNLnkxpQ


Sekian, wassalam

kamin, al-ahkam.net
25 September 2014.

Tuesday, September 23, 2014

Hukum Solat di atas kerusi (Bahagian 2 – Gambaran pertama)

Berikut adalah gambaran yang dijelaskan oleh Sheikh Ziab bin Sa'ad Aal Hamdan al-Ghamidi didalam risalahnya "Tanbihu al-Naasi biHukmi Shalati Ahli al-Karaasii" (Peringatan kepada yang lupa berkenaan dengan hukum solat ahli kerusi) yang dapat saya ringkaskan. Terdapat 4 gambaran mengenai permasalahan solat diatas kerusi iaitu :

Gambaran 1. Mereka yg bersolat fardu diatas kerusi, sedangkan dia mampu melakukan sujud, dengan alasan, sesungguhnya apabila dia duduk, maka dia tidak mampu berdiri kembali samada diawal solat atau seterusnya. Aku (Sheikh al-Ghamidi) berkata : dalam keadaan ini solatnya batal secara ijmak. Kerana sesungguhnya dia telah meninggalkan rukun yang dia mampu melakukannya, dan melakukan perbuatan yang dia mempunyai kelonggaran untuk meninggalkan.

Penjelasannya :-

1. Dia telah meninggal rukun solat yang dia mampu lakukan seperti Sujud, duduk diantara dua Sujud, duduk tashahud dan selainnya. Dia cuba melakukan rukun yang dia diberi keuzuran (diberi kelonggaran) untuk tidak melakukannya iaitu Qiam (berdiri) dan Ruku'.

2. Dia telah meninggalkan rukun Sujud tetapi melakukan rukun Qiam. Telah dinyatakan didalam syariat bahawa Sujud lebih afdal dari Qiam.

a. Sujud sendirinya adalah ibadat, tidak sah melakukannya melainkan menghadap Allah Yang Maha Esa.

b. Sesungguhnya solat fardu tidak boleh dilaksanakan tanpa sujud. Begitu juga setiap solat didalamnya ada Ruku', dan tidak boleh tanpa Sujud. Tidak boleh dihilangkan sujud daripada solat. Manakala rukun Qiam pula boleh ditinggal dalam solat-solat sunat, solat sewaktu musafir, dsb. Cuma bagi orang yang sakit, yang tidak mampu sujud sempurna, boleh melakukan sujud melalui isyarat dengan kepala.

c. Qiam tidak dikatakan ibadat sehingga adanya bacaan al-Quran, Zikir dan Do'a, sepertimana solat Jenazah. Qiam bukanlah ibadat tanpa zikir dalamnya, berbeza dengan sujud, kerana sesungguhnya sujud itu sendiri adalah ibadat. Sehinggakan diluar solat pun terdapat sujud tilawah dan sujud syukur. Ketahuilah bawa sujud adalah lebih afdal di Qiam.

d. Sujud itu merupakan perkataan asal kepada MASJID. Tidak dinamakan tempat itu masjid jika tidak terdapat sujud didalamnya.

3. Mereka yang bersolat diatas kursi tidak mampu meluruskan saf. Samada dia akan berdiri depan sedikit atau dibelakang sikit dari saf. Begitu juga dada, bahu atau tumit kakinya atau dengan tempat duduknya. Ini agak bertentangan dengan syariah, dimana meluruskan saf adalah kesempurnaan solat.

4. Fenomena solat diatas kursi ini sangat meluas dizaman ini. Malah terdapat mereka yang menyediakan khidmat kerusi dimasjid, malah ditempatkan di barisan saf yg awal. Mereka ini tidak pernah bertanya pada para alim ulama’ mengenai hal ini. Perkara ini tidak wujud pada awal kurun yg ke 3. Bahkan tidak diketahui maklumat mengenai para  salaf  melakukannya.

----------
Bagi mereka yang bersolat fardu diatas kerusi, dan mereka ini mempunyai kemampuan untuk sujud, terdapat beberapa gambaran mengenainya.

Diantaranya gambarannya adalah, terdapat mereka yang mampu berdiri (Qiam) dan Sujud, akan tetapi tidak mampu ruku'. Dikalangan mereka pula ada yang mampu Qiam pada rakaat pertama, dan kemungkinan rakaat kedua, akan tetapi rakaat seterusnya tidak mampu untuk berdiri atau ruku', begitulah gambarannya. Tidak ditetapkan sifat solatnya.

Shiekh mengatakan bagi sesiapa yang solat diatas kerusi, dia mampu melakukan beberapa rukun, lebih-lebih lagi perbuatan Sujud dan Duduk (duduk antara dua sujud dan tashahud) , akan tetapi membuat pilihan untuk meninggalkannya dengan sengaja, dengan alasan untuk menjaga rukun Qiam dan Ruku', maka solatnya batal tanpa syak dengan sepakat pandangan alim ulama'.

Resolusinya

Maka adalah wajib seseorang itu melakukan solat mengikut kemampuan dan kudrat sendiri, sebagaimana gambaran berikut :-

- Bertakbir awal solat dengan berdiri, kemudian ruku', I'tidal, kemudian sujud, kemudian duduk antara dua sujud, kemudian sujud yang kedua, kemudian jika dia mampu berdiri, maka dia berdiri pada rakaat kedua. Jika tidak mampu berdiri, mereka akan solat secara duduk dengan niat Qiam, ketika ruku' gerakkan kepala dengan niat ruku' dan begitulah seterusnya sehingga akhir solat.

- Bagi mereka yang mampu melainkan Berdiri (Qiam) sahaja tanpa ruku', maka wajib dia solat berdiri, kemudian jika ingin ruku', gerakkan kepala untuk ruku' sedangkan dia dalam keadaan berdiri.

Disana tidak ada gambaran yang khusus cara-cara solat orang yang uzur, melainkan melainkan panduan ini : sesungguhnya wajib keatas setiap orang Islam agar bersolat dengan melihat kemampuan dan kudratnya, pada setiap syarat atau rukun atau wajib dengan kemampuan yang ada padanya. Mana sahaja perbuatan yang tidak mampu dilakukan, maka dia dianggap uzur dari segi syariah.

Berikut adalah kaedahnya - sesungguhnya wajib keatas seseorang itu melakukan semampu mungkin akan perintah solat yang wajib, mana saja perbuatan yang uzur baginya bolehlah ia ditinggalkannya. Dengan kata lain, sesuatu perbuatan yang menjadi rukun solat akan tetapi dia memberi alasan uzur melakukan dari segi syara’, sedangkan rukun itu mampu dilakukan, maka solatnya batal menurut ahli-ahli ilmu, Wallahua’alam.

kamin, al-ahkam.net
23-09-2014

Saturday, September 20, 2014

Hukum Solat di atas kerusi (Bahagian 1)

Solat merupakan tiang agama. Mendirikan solat bererti mendirikan agama begitulah disebaliknya, meninggalkan solat bererti meruntuhkan agama. Solat dipertangung jawabkan keatas setiap orang Islam samada yang sihat ataupun yang uzur, yang muda atau yang tua. Timbul satu fenomena pada zaman sekarang adalah solat diatas kerusi.

Menurut Sheikh Ziab bin Sa'ad Aal Hamdan al-Ghamidi didalam risalahnya "Tanbihu al-Naasi biHukmi Shalati Ahli al-Karaasii" (Peringatan kepada yang lupa berkenaan dengan hukum solat ahli kerusi) menyatakan bahawa solat diatas kerusi dimasjid merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku pada 20 tahun lepas. Ini merupakan suatu hukum yang baru yang perlu ditangani lebih-lebih apabila menyentuh golongan tua, selain dari mereka yang sakit dan uzur dari kalangan mereka yang uzur syarie. Artikel ini akan menyentuh secara ringkas risalah yang telah ditulis oleh Shiekh al-Ghamidi untuk dimunafaatkan bersama.

Hukum asas solat orang uzur

Pada dasarnya, solat hendaklah dilakukan secara berdiri. Sengaja meninggalkan perbuatan berdiri dengan alasan penat dan sebagainya, solat tersebut tidak sah. Firman Allah swt :

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِين
Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”[Surah al-Baqarah : 238]

Namun demikian, bagi orang yang sakit atau uzur, solat boleh dilakukan mengikut kemampuan masing-masing. Didalam sebuah hadith riwayat Imran bin Husain ra. berkata : Saya mempunyai buasir maka saya telah bertanya kepada Nabi :saw mengenai solat. Baginda bersabda :

صَلِّ قَائِمًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
"Solatlah berdiri, jika tidak mampu maka solatlah duduk, dan jika tidak mampu (boleh) maka solatlah berbaring disebelah badan" [Hadith Riwayat al-Bukhari].

Menurut Ibnu Qudamah rh. :

أجمع أهل العلم على أن من لا يطيق القيام له أن يصلي جالساً
"Sepakat ulama' mengatakan bahawa mereka yang tidak boleh berdiri hendaklah bersolat duduk" [al-Mughni, 1/443]

Berkata Imam Nawawi rh pula :

أجمعت الأمة على أن من عجز عن القيام في الفريضة صلاها قاعداً ولا إعادة عليه ، قال أصحابنا : ولا ينقص ثوابه عن ثوابه في حال القيام ؛ لأنه معذور ،
"Umat sepakat bahawa barangsiapa yang tidak mampu berdiri semasa solat fardu, maka solatnya adalah solat duduk, dan dia tidak perlu mengulangi solatnya. Berkata sahabat kami : ganjaran pahalanya tidak berkurangan dari mereka yang bersolat berdiri kerana keuzurannya" [al-Majmu', 4/226].

Imam Shaukani rh. juga menjelaskan bahwa hadith Imran bin Husain diatas menunjukkan bahawa dibenarkan seseorang yang mempunyai keuzuran untuk solat berdiri, boleh melakukan solat secara duduk, dan bagi seorang berkeuzuran untuk solat duduk, boleh melakukan solat berbaring disebelah badannya.[Nailul Authar,3/243]

Tatacara solat ini juga dibina atas beberapa kaedah fiqh, diantaranya

لاضرر ولاضرار
"Tidak mudharat dan tidak dimudharatkan"

المشقة  تجلب  التيسير
"Kesukaran itu membawa kemudahan"

الضرورات تبيح المخظورات
"Kemudaratan-kemudaratan itu dapat mengharuskan keharaman"

Setiap orang Islam yang uzur yang tidak mampu melaksanakan salah satu rukun solat, dia dianggap uzur dari aspek al-Quran dan sunnah. Penjelasannya, kepada mereka yang uzur dari melaku qiam atau berdiri didalam solat, hendaklah dia solat duduk. Bagi mereka yang uzur untuk melakukan ruku'maka ditundukkan sedikit kepalanya semasa dia berdiri. Bagi mereka yang uzur untuk sujud, hendaklah dia gerakkan kepalanya semasa dia didalam keadaan duduk.

Kondisi yang membenarkan solat diatas kerusi

Sepanjang perbincangan diatas menjelaskan bahawa barangsiapa yang tidak boleh berdiri hendaklah dia solat duduk diatas bumi, dan begitulah seterusnya. Tidak pula terdapat contoh2 dari nas yang menunjukkan ada dikalangan sahabat yang bersolat diatas kerusi. Alasan ini menyebabkan Sheikh al-Ghamidi menyatakan bahawa solat diatas kerusi ini merupakan satu kaedah baru didalam melaksanakan solat.

Perlu diberi perhatian bahawa jika seseorang itu mendapat kelonggaran dari berdiri ketika solat, alasan ini tidak membolehkan seseorang itu duduk diatas kerusi ketika ruku' dan sujud.

Jika seseorang itu mendapat kelonggaran dari ruku' dan sujud dengan sempurna, alasan ini tidak membenarkan seseorang itu bersolat duduk diatas kerusi.

Prinsip asas yang perlu difahami berkaitan dengan solat fardu adalah, bilamana seseorang itu boleh melakukan sesuatu rukun solat, maka dia wajib melakukannya, dan bilamana dia tidak boleh melakukannya maka, ditelah beri kelonggaran untuk tidak melakukannya.

Bilamana seseorang itu tidak boleh berdiri, dia dibenarkan duduk diatas kerusi semasa rukun qiam (berdiri). Dia hendaklah ruku' dan sujud dengan cara yang sempurna. Jika dia boleh berdiri, akan tetapi sukar untuk dia ruku' dan sujud, maka hendaklah dia solat berdiri, kemudian duduk ketika ruku' dan sujud. Hendaklah dia tunduk rendah sedikit semasa sujud dibezakan dari ruku'.

Artikel seterusnya akan memaparkan beberapa gambaran atau scenario solat diatas kerusi. WA.

kamin, al-ahkam.net
20 September 2014

Thursday, May 01, 2014

Tawaf Wada’ selepas Umrah di hari Jumaat














Memasuki Masjid al-Haram untuk bersolat Jumaat pada masa ini sangat mencabar dengan terdapatnya ribuan manusia memenuhi setiap sudut ruangan kosong didalamnya. Datang seawal 10 pagi pun agak sukar untuk mendapatkan tempat duduk. Bayangkan betapa sesaknya masjid ini diwaktu percutian musim panas negara Arab dan bulan Ramadhan yang akan tiba. Antara sebab kesesakan di Masjid al-Haram adalah kerana lebih kurang ¼ kawasan masjid ini masih terlibat didalam proses pembesaran terutamanya disebelah Syamiyyah dan Mathaf (Tempat Tawaf). Arab Saudi juga baru menyelaraskan cuti mereka yang dahulunya Khamis-Jumaat ditukar menjadi Jumaat-Sabtu, menyamai negara-negara Arab yang lain, maka ia memberi peluang kepada warga Saudi untuk bermusafir ke Masjid al-Haram dan bermalam di Mekah hingga hari Sabtu.

Kebetulan pada hari Jumaat minggu lepas terdapat sekumpulan jemaah Umrah dari Malaysia akan berangkat dari Mekah ke Jeddah jam 4 petang, maka mereka dikehendaki melakukan Tawaf Wada’ selepas solat Jumaat. Menurut keputusan Muzakarah Haji 1427H (Mei 2006), uruf tempoh valid Tawaf Wada’ pada hari Jumaat adalah antara 4 hingga 5 jam. Maknanya jika bas bertolak pukul 4 petang, maka pukul 11pagi jemaah sudah boleh menunaikan Tawaf Wada’. Pukul 11pagi sehingga 1pm sangat sukar melakukan Tawaf Wada’ oleh kerana waktu itu sesak dengan jemaah yang menunaikan solat Jumaat. Waktu yang agak sesuai adalah lepas solat Jumaat, namun demikian keadaannya masih mencabar, masjid masih lagi sesak dengan ribuan manusia.

Kelihatan seorang anak dan ibu yang dalam linkungan pertengahan 60an cuba melepasi lautan manusia turun ke Mathaf (tempat tawaf) untuk melakukan Tawaf Wada’. Si ibu dalam keadaan panik dan resah mengatakan kepada anaknya : “Macamana kita nak tawaf ni?”. Anaknya berkata “Nak buat macamana Mak? Buat aje lah. Tawaf Wada’ ini wajib Mak. Kita redha aje Mak”. Si ibu berkata lagi :”Macamana ni?”. Namun anak tersebut terus diam sambil memimpin tangan ibunya ke kawasan Mathaf.

Kebanyakkan agensi yang mengendalikan umrah masih berpegang kepada wajibnya melakukan Tawaf Wada’ sebelum meninggalkan Mekah. Barangkali elok juga kita melihat kepada pelbagai pendapat mengenai hukum Tawaf Wada’ ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan Masjid al-Haram yang tidak mengizinkan tawaf untuk dilakukan. Menurut  Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah li al-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta (11/298-299) : “Dibenarkan untuk mereka yang melakukan umrah, terutamanya apabila di tinggal di Mekah setelah menunaikan Umrah, maka hendaklah dia melakukan tawaf Wada’ apabila ia keluar dari Mekah, akan tetapi ia bukanlah wajib menurut pendapat yang paling benar dikalangan ulama”

Pendapat yang mengatakan ianya wajib berdasarkan kepada hadith :

لا ينصرف أحد حتى يكون آخر عهده بالبيت
“Tidak seorangpun meninggalkan (Baitullah) sehingga perkara akhir dia lakukan ialah mengeliling Baitullah” [Hadith Riwayat Ahmad dan Muslim]. Majoriti ulama’ berpendapat bahawa hadith ini merujuk kepada ibadat Haji.

Menurut Sheikh Abdul Aziz Marzuq al-Torifi, Tawaf Wada’ selepas Umrah tidak wajib, ini merupakan pandangan jumhur (majoriti) ulama’ ari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Terdapat sebahagian mereka yang mengatakan Tawaf Wida’ wajib,  sebagaimana beberapa pendapat Mazhab Hanafi, Syafie dan Ibn Hazm. [al-Torifi, Sifatu Hajjati al-Nabi, ms 205]

Dikalangan ulama’ yang mengatakan Tawaf Wada’ selepas umrah tidak wajib menjelaskan bahawa tidak terdapat dalil yang mewajibkan, malah Nabi :saw tidak melakukan Tawaf Wada’ semasa beliau meninggalkan mekah setelah melakukan umrah al-Qada’.

Berdasarkan majoriti mengatakan Tawaf Wada’ selepas Umrah adalah tidak wajib, adalah dirasakan sesuai buat masa ini mengambil pandangan ini terutamanya keadaan yang sesak didalam Masjid al-Haram. Malah didalam keputusan Muzakarah Haji 1427H (2006) memberi kelonggaran kepada petugas Haji  memberi tumpuan utama kepada jemaah Haji yang ingin berangkat pulang agar tidak perlu melakukan Tawaf Wada’.  Kelonggaran ini juga boleh diaplikasikan keatas jemaah Umrah agar mereka diberi alternatif untuk tidak perlu menunaikan Tawaf Wada’ terutamanya jika keadaan Masjid al-Haram yang sesak.

Khilaf (perselisihan) ulama’ berkenaan dengan Tawaf Wada’ selepas Umrah ini sekurang-kurangnya memberi keringanan kepada umat Islam dimasa menghadapi kesesakan Mathaf dan kesuntukan masa untuk berangkat pulang ke tanah air. Bagi mereka yang mampu melakukan Tawaf Wada’ selepas Umrah, adalah sangat-sangat digalakkan. WA.

Berikut adalah video penjelasan hukum Tawaf Wada' menurut pendapat Dr Muhammad al-'Arifi :-



Sekian, wassalam
Kamin, 1-5-2014.