Saturday, September 28, 2013


Seputar ucapan Maa Syaa’ Allah

Ucapan mā shā’a’Llāh  atau Maa Syaa’ Allah (مَا شَاءَ اللَّهُ) ini merupakan kalimat yang sinonim didalam penghidupan orang Islam, lebih-lebih lagi reaksi mereka ketika terperanjat atau terkejut. Namun demikian, ada juga yang menyebut kalimah tersebut tanpa menjiwai maksudnya ; Inilah kekuasaan Allah. Ada juga yang menyebut kalimah ini dalam semua keadaan atau situasi, dan bukanlah kalimat yang sesuai jika situasi itu sesuatu yang negative, seperti sedih, dukacita, dsb. Menyebut kalimat mā shā’a’Llāh didalam situasi ini seolah-oleh mengambarkan “aku menjadi sedih begini adalah kerana kehendak Allah” dengan nada tidak puas hati.
 
Pernah satu aduan diterima menyatakan bahawa seseorang telah ditegur oleh Abang iparnya kerana menyebut mā shā’a’Llāh semasa menjelaskan sesuatu yang negatif. Abang Iparnya berkata kepadanya: “inilah orang Melayu kita, menggunakan zikir-zikir pada tempat yang salah. Sebab itulah kita kena belajar, bukan tahu sebut sahaja. “
 
Mungkin pada ketika itu Abang iparnya emosi sedikit, kerana tidaklah menjadi kesalahan yang besar menyatakan demikian dalam keadaan menerima segala kesukaran dan kepahitan dengan bersandarkan kepada takdir Allah, dan bukan bertujuan menyalahkan Allah. Namun, kesesuaian aplikasi kalimah tersebut hendaklah disesuaikan pada tempatnya. Misalnya, seseoramg menziarahi orang mati, perkataan yang sesuai adalah memohon kepada Allah agar mengampunkan roh si-mati, meringankan kesedihan dan bebanan orang yang dikasihi, dan bukan lah berkata : Ini adalah kehendak Allah.

Dari mana asalnya kalimat zikir mā shā’a’Llāh ini? Ada dikalangan ulama’ menyatakan bahawa amalan menyebut zikir ini datangnya dari firman Allah swt :-
 
 وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ إِنْ تَرَنِ أَنَا أَقَلَّ مِنْكَ مَالًا وَوَلَدًا
“Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandang aku sangat kurang tentang harta dan anak berbanding denganmu.” [al-Kahfi : 39].
 
 Menurut Dr Wahbah al-Zuhaily (al-Tafsir al-Munir) bahawa sebahagian ulama’ salaf menyebut bahawa barangsiapa melihat sesuatu yang menakjubkan mengenai sesuatu berita/hal, atau harta atau pun anak-anak, maka hendaklah dia berkata : mā shā’a’Llāh lā quwwata illā bi’Llāh. Sebagaimana juga diriwayatkan dari hadith marfu’ yang dikeluarkan oleh al-Hafiz Abu Ya’la, dari Anas ra. berkata, bahawa Rasulullah :saw telah bersabda :
 
مَا أَنْعَمَ اللَّه عَلَى عَبْد نِعْمَة مِنْ أَهْل أَوْ مَال أَوْ وَلَد فَيَقُول مَا شَاءَ اللَّه لَا قُوَّة إِلَّا بِاَللَّهِ فَيُرَى فِيهِ آفَة دُون الْمَوْت
“Sesiapa yang telah diberikan nikmat oleh Allah dengan kebaikkan dalam bentuk keluarga, harta, maka hendaklah berkata : Apa yang dikehendaki Allah. Tiada kuasa melainkan Allah (mā shā’a’Llāh lā quwwata illā bi’Llāh), maka dia tidak akan menghadapi musibah melainkan kematian”.
 
Ibn Kathir mencatatkan bahawa Abu Fath al-Azdiy Eesa mengatakan bahawa hadith ini tidak sahih. Al-Haithami (Majmu’ al-Jawaaid, 5/109) mengatakan bahawa hadith ini sangat lemah (dhaif jiddan). Walaupun hadith ini kelihatan sangat lemah, Imam Malik mengesyorkan bahawa hendaklah membaca kalimat :  “mā shā’a’Llāh lā quwwata illā bi’Llāh” apabila hendak masuk rumah, berdasarkan hadith : Abu Musa meriwayatkan: bahawa Nabi :saw berkata kepada ku :
 
ألا أدلك على كنز من كنوز الجنة؟‏‏"‏ فقلت‏:‏ بلى يا رسول الله قال‏:‏ ‏"‏لا حول ولا قوة إلا بالله
“Apakah tidak mahu aku tunjukkan kamu harta dari harta syurga? Aku berkata : Bahkan  Ya Rasulullah!. Berkatalah : Tiada daya upaya melainkan dengan kekuasaan Allah ('La hawla wa la quwwata illa billah).” [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]
 
Perbezaan pendapat
 
Ada dari kalangan segelintar ulama’ yang berpendapat – ayat tersebut [surah al-Kahfi:39] tidak bagus untuk dijadikan sebagai dalil (yang membenarkan bacaan Ma Syaa Allah) kerana ia tidak ada kaitan dengan subjeknya, dimana Allah swt telah memusnahkan kebunnya kerana kufur dan tidak bersyukur. Menurutnya lagi, hadith yang menyokong zikir tersebut bertaraf dhaif jiddan (lemah sangat) dan tidak boleh dijadikan sandaran. Malah ada dikalangan mereka yang menyatakan mereka yang mengamalkan zikir “mā shā’a’Llāh” ini telah melakukan bid’ah!
 
Kenapa jadi amalan bid’ah pulak? Imam Malik rh. membenarkan membaca ayat tersebut apabila masuk rumah. Walaupun hadith ini dikelaskan sebagai dhaif jiddan sekali pun, ini hanyalah suatu do’a yang mengaitkan kejadian yang dikagumi tersebut dengan kekuasaan Allah. Ayat tersebut pun tidak menunjukkan kesilapan dari segi fiqh dan aqidah. Amalan membaca mā shā’a’Llāh apabila melihat sesuatu kurniaan Allah itu telah diamalkan semenjak zaman Salaf lagi. Ibn Qayyim rh sendiri  mencadangkan kepada sesiapa yang masuk ke rumah atau kebunnya, agar dibacakan zikir : mā shā’a’Llāh lā quwwata illā bi’Llāh berdalilkan ayat 39, surah al-Kahfi dan beliau tidak nampak apa-apa keburukan membaca zikir tersebut.
 
Namun, kalaulah bacaan “mā shā’a’Llāh” ini dibaca pada perkara-perkara yang negative, seperti yang berlaku terutamanya pada diri sendiri, bolehlah kita katakan “tidak sesuai” kerana ia boleh bermaksud menyalahkan Allah diatas perkara tersebut.
 
Alternatif kepada Maa Syaa’ Allah
 
Disana terdapat sebuah hadith yang menyebut jika seseorang itu melihat sesuatu kelebihan berlaku, atau mendapat sesuatu, hendak dia mendo’akan keberkatan. Sabda Nabi :saw :
 
إذا رأى أحدكم من نفسه أو ماله أو من أخيه ما يعجبه فليدع له بالبركة فٍان العين حق
“Barangsiapa yang melihat sesuatu pada dirinya atau miliknya saudaranya yang dia sukai, maka berdo’alah untuk keberkatannya, kerana mata kejahatan itu benar” [Ibn Majah].
 
Menurut Ibn Qayyim rh, seseorang yang merasa senorok mendapat kebaikkan hendaklah menyebut : Allahumma Barak Alayhi.  Begitu juga dengan lafaz2 seperti :Barakallahu alayhi, Barakallahu feehee, or Barakallahu lahu.
 
Kesimpulan, hendaklah kita mengambil sikap sederhana didalam mengamalkan amalan-amalan Islam. Kalimat mā shā’a’Llāh walaupun sandaran hadithnya kelihatan lemah, namun pengamalnya tidak boleh dikatakan melakukan bid’ah.  Tidak semua yang Nabi :saw tidak lakukan itu semuanya bid’ah, dan lebih-lebih lagi ia bukannya hadith palsu dan ia hanya sekadar do’a sahaja. Kalimat mā shā’a’Llāh ini sudah menjadi kebiasaan umat Islam mengamalkannya apabila melihat sesuatu nikmat atau kurniaan. Disana juga kita dianjurkan untuk mendo’akan keberkatan kepada mereka yang menerima nikmat tersebut. WA.
 
29-09-2013
kamin