Friday, November 30, 2012

Tuntutan menghadiri Walimah atau Majlis Perkahwinan

Sudah menjadi kebiasaan, walimah perkahwinan sering kali dilakukan pada musim cuti sekolah.  Menghadiri walimah atau kenduri merupakan antara tuntutan-tuntutan yang perlu ditunaikan sebagai seorang yang beragama Islam. Didalam sebuah hadith bahawa Abu Hurairah ra. berkata :

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : " حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ خَمْسٌ رَدُّ السَّلَامِ وَعِيَادَةُ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعُ الْجَنَائِزِ وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ وَتَشْمِيتُ الْعَاطِسِ
“Aku mendengar Rasulullah :saw bersabda : Hak seorang Muslim keatas Muslim yang lain ada LIMA : menjawab Salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, menerima jemputan  dan berkata Yarhamuk Allah apabila seseorang bersin” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Dalam menyahut tuntutan seruan walimah al-‘urus ini, kita tidak boleh lari dari membicarakan beberapa hukum didalamnya yang melibat keperluan menghadiri majlis, hukum bagi hadirin yang berpuasa pada hari tersebut, dan termasuklah ucapan-ucapan tahniah yang ada kalanya termasuk didalam sebutan yang tidak sukai oleh Rasulullah :saw.

Hukum menghadiri jemputan

Menurut Ibn Abdul Barr bahawa ulama’ tidak khilaf berkenaan wajibnya hukum menghadiri walimah kepada sesiapa yang telah mendapat jemputan, selama-mana tidak terdapat unsur lagha didalamnya. Ini merupakan pandangan Malik, al-Syafie dan Abu Hanifah. [Ibn Qudamah, al-Mughni, 7/213].

Didalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra. bahawa Rasulullah :saw pernah berkata : “Jika ada diantara kamu yang menerima jemputan ke walimah, maka biarlah dia hadir” (إذا دعي أحدكم إلى الوليمة فليأتها). Didalam sebuah riwayat, Abu Hurairah ra. pernah berkata :

شر الطعام طعام الوليمة : يدعى لها الأغنياء ويترك الفقراء ، ومن لم يجب فقد عصى الله ورسوله
“Makanan yang paling buruk adalah makanan didalam walimah dimana terdapat orang-orang kaya di jemput dan yang miskin ditinggalkan. Barang siapa yang tidak hadir maka dia telah derhaka kepada Allah dan Rasulnya” [Riwayat al-Bukhari].

Jika seseorang itu mempunyai uzur syarie maka dia terlepas dari kewajipan ini. Hendaklah seseorang itu memberitahu kepada orang yang menjemput itu bahawa dia tidak dapat menghadiri majlis tersebut.

Namun demikian, jika jemputan walimah itu dibuat atau diiklan secara umum, maka tidak wajib seseorang itu menghadirinya. Misalnya, terdapat jemputan yang menyatakan “Anda dijemput menghadiri majlis sipulan sipulan….”, maka ini dikategorikan sebagai jemputan umum dan tidak wajib hadir.

Ibn Qudamah rh mengatakan bahawa hukum menghadiri walimah selain dari walimah perkahwinan adalah mustahab, kerana ia melibatkan pemberian makanan kepada orang ramai.  Menghadiri majlis yang bukan perkahwinan hanyalah mustahab (digalakkan) dan bukan wajib menurut padangan Malik, al-Syafie dan Abu Hanifah [al-Mughni, 7/218].

Berpuasa semasa menghadiri kenduri

Jika seseorang Islam itu berpuasa sunat dan ingin berbuka kerana ingin menghadiri kenduri, dia dibenarkan melakukan demikian, kerana menyempurnakan puasa sunat bukanlah satu kewajipan. Akan tetapi adalah mustahab bagi dia menyempurnakan puasa jika tidak mempunyai alasan yang lain. Dengan kata lain, meneruskan berpuasa adalah lebih baik untuk dirinya. Orang Islam yang berbuka puasa juga akan diberi ganjaran, cuma tidak ada dalil yang menjelaskan bahawa dia akan mendapat ganjaran berpuasa penuh.

Namun demikian, ulama’ yang meneliti permasalahan ini secara halus  mengatakan bahawa, jika seseorang yang berniat untuk berpuasa sunat, juga mempunyai niat untuk berbuka pada esoknya kerana ingin menghadiri kenduri atau jemputan, maka ketika itu niat berpuasa sunat itu telah terbatal. Kerana dia telah memasang niat untuk membatalkan puasanya untuk menghadiri kenduri sebelum bermulanya puasa tersebut.

Situasi ini agak berbeza dengan seseorang yang niat berpuasa, dan semasa tengaharinya baru teringat akan jemputan kahwin yang perlu dihadiri, maka bolehlah dia memilih untuk berbuka atau meneruskan puasa sambil menghadiri jemputan tersebut. Dari Abu Hurairah ra. berkata, telah berkata Rasulullah :saw :

إذا دعي أحدكم فليجب فإن كان صائما فليصل وإن كان مفطرا فليطعم
“Jika salah seorang diantara kamu dijemput , hendaklah dia menunaikan jemputan, jika dia berpuasa hendaklah mendoakannya dan jika dia tidak berpuasa hendaklah dia makan makanan [tersebut]." [Hadith Riwayat Muslim ].

Hadith ini menjelaskan bahawa orang yang berpuasa juga perlu menghadirkan diri apabila dijemput, dan dia digalakkan mendo’akan keatas mereka yang menjemputnya. Begitu juga dengan hadirin yang tidak berpuasa, hendaklah dia makan makanan yang terhidang. Janganlah dia hadir ke majlis tersebut tanpa memakan makanan yang terhidang dengan alasan kenyang, dsb.

Mendo’akan kedua-dua mempelai

Islam menggalakkan (mustahab) para hadiran yang menghadiri jemputan perkahwinan mendo’akan kedua-dua mempelai. Menjadi kelaziman orang kita mengucapkan tahniah seraya berkata : “moga2 dikurniakan reski dan anak”. Do’a seperti ini seakan-akan menyerupai do’a yang Nabi :saw pernah melarang orang dari membacanya, kerana ia menyerupai ucapan Jahiliyah, iaitu : Bi al-Rafaa’ wa al-Baneen (بالرفاء والبنين); maksudnya “Hidup yang berbahagia dan anak (lelaki) yang banyak”.

Imam al-Nawawi didalam kitab al-Azkar menyebut bahawa adalah tidak disukai mereka yang menyebut : Bi al-Rafaa’ wa al-Baneen (“Hidup yang berbahagia dan anak (lelaki) yang banyak”) [al-Azkar, ms 251].

Al-Hafiz Ibn Hajar rh ada menyebut didalam bukunya Fathul Baari bahawa terdapat beberapa pandangan mengenai larangan ucapan tahniah tersebut, diantaranya ada yang mengatakan bahawa ucapan tersebut tidak ada pujian, kemuliaan dan zikir kepada Allah. Ada juga pandangan yang menyebut bahawa ucapan ini merupakan isyarat kebencian kepada kaum wanita, dengan mengkhususkan anak lelaki.

Diantara variasi do’a-do’a yang didatangkan dari hadith Nabi :saw adalah, dari Abu Hurairah ra.  :-

بارك الله لكم وبارك عليكم وجمع بينكما في خير
“Semoga Allah memberi berkah pada kamu, dan semoga Allah memberi berkah atas kamu, dan semoga Ia mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan.”

 بارك الله لك وبارك عليك وجمع بينكما في الخير
Semoga Allah memberi berkah padamu, dan semoga Allah memberi berkah atasmu, dan semoga Ia mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan.””

Membaca do’a ini adalah mustahab iaitu sangat digalakkan.  Bagi umat Islam, keberkatan Allah merupakan agenda nombor satu didalam penghidupan kita. Apalah kiranya rumah tangga yang dibina dengan isteri yang cantik, rumah yang besar, anak yang ramai, akan tetapi tidak ada keberkatan didalamnya; kelihatan suami dan isteri tidak sehaluan, selalu bergaduh, anak-anak bagaikan tuan, etc. Maka dengan itu, para hadirin diseru agar melafazkan do’a ini kepada pengantin agar perkahwinan mereka diberkati dan mereka berdua berada didalam kebaikkan.

Kesimpulannya, menyahut jemputan walimah perkahwinan adalah wajib jika tiada terdapat keuzuran, termasuk keatas mereka yang sedang berpuasa juga. Jika tetamu tersebut berpuasa, maka sumbangkan do’a anda di majlis tersebut, dan bagi mereka yang tidak berpuasa, sekurang-kurangnya hendaklah menjamah hidangan yang telah disajikan. Sebagai umat Islam, bacalah do’a yang telah diajar oleh baginda :saw sebagai menggantikan ucapan tahniah yang mirip kepada ucapan kaum Jahiliyah yang dilarang. WA.

Kamin, 30 Nov 2012. 
Rujukan :

1. Ibn Qudamah. al-Mughni - 7.  Kaherah : Dar al-Hadith, 2004.

2. Imam al-Nawawi. al-Azkar. Beirut : Dar al-Ma'rifah .

3. شرح حديث بارك الله لك ... IN : http://www.zawjan.com/art-980.htm