Monday, October 05, 2015

1979 : Awal Muharram 1400 Masjidil Haram telah di serang


Masjidil Haram (bhg Safa dan Marwa)
Tanggal 1 Muharram 1400, bersamaan 20 November 1979 pada waktu subuh, kelihatan sekumpulan jemaah yang sedang membawa keranda mayat seolah-olah mereka sedang menguruskan jenazah dihadapan. Solat Suboh di Imamkan oleh Sheikh Mohammed alSubayil. Seusai Sheikh alSubayil melakukan salam solat fajar, kedengaran bunyi tembakan. Secara tiba-tiba ketua kumpulan yang kelihatan seperti seorang wara', berjambang, merampas microphone dari Imam sambil mengeluar senjata dan mengatakan "Imam Mahdi sudah muncul". Lalu kedengaran beberapa das tembakan ditujukan kepada mengawal pintu yang hanya bersenjatakan kayu cotar.

Tembakan dan percubaan Imam untuk melawan kembali menyebabkan ramai jemaah melarikan diri keluar dari Masjid al-Haram. Tindakan Imam itu dihalang oleh seorang pengikut kumpulan tersebut yang bersenjatakan pisau yang tajam. Kelihatan pintu-pintu Masjid sudah dikawal dan ditutup oleh anggota-anggota kumpulan ini. Para jemaah solat melaungkan pekikan Allahu Akbar, dan disambung oleh anggota militen ini dengan laungan yang sama. Beberapa anggota militen telah menaikki
menara Masjid dan telah mendapat arahan dari ketua agar menembak mana-mana anggota keselamatan Saudi. Para militen cuba memberi penerangan kepada jemaah yang ada, termasuklah bercakap didalam bahasa Urdu dan Inggeris, dengan menyuruh mereka duduk dan mendengar ucapan dari ketua militen.

Pada permulaanya, disebabkan tiada maklumat yang di perolehi, pihak Saudi menjangka bahawa ini merupakan angkara perbuatan gerakan Komunis Selatan atau serangan dari puak-puak Syiah Iran, lebih-lebih lagi baru sebulan Imam Khomeini telah mencetuskan revolusi Iran. Namun ramalan ini ternyata meleset kerana yang mengetuai serangan ini adalah rakyat Saudi sendiri yang bermazhab Sunni. Mereka adalah Juhaiman al-Uthaiby dan Mohammed bin Abdullah al-Qahtani. Kumpulan Sunni ini juga dikatakan melihat bahawa jika Syiah berjaya menguasai Iran, Sunni juga boleh melakukannya di Arab Saudi.

Kedatangan tahun baru Hijriyyah pada abad yang baru ini dipilih oleh mereka kerana terdapat indikasi akan munculnya mujaddid Islam sebagaimana hadith Nabi :saw :- "Dari Abu Hurairah ra., Rasulullah :saw telah bersabda :

 إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
“Sesungguhnya Allah akan menghantar setiap permulaan 100 tahun seseorang kepada Ummah yang akan (Tajdid) mengembali kegemilangan Agama mereka” [Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud, Hakim didalam Mustadrak dan al-Baihaqi didalam al-Ma’rifah].

Mohammed Abdullah al-Qahtani sebagai Imam Mahdi


Mohammed Abdullah al-Qahtani
Juhaiman percaya bahawa Mujaddid Agung sudah muncul. Beliau merupakan seorang lelaki yang nama seperti Nabi Muhammad dan binnya pun sama dengan baginda, iaitu Mohammed bin Abdullah al-Qahtani. Mohamed Abdullah ini berasal dari daerah Selatan Asir, merupakan antara daerah yang miskin di Saudi. Beliau sangat berminat dengan syair Arab klasik yang berbunga-bunga. Tidak seperti Juhaiman, beliau merupakan pelajar Pengajian Islam tahun akhir di Universiti Imam Saud Riyadh. Beliau juga sering kali menyampaikan khutbah dimasjid tempat beliau tinggal dan diminati oleh pemuda-pemuda kampungnya.Beliau juga banyak menghabiskan masa di perpustakaan sebagai jalan pintas untuk mendalami ilmu-ilmu hadith,dimana ilmu-ilmu memakan berpuluh tahun untuk ulama' silam melakukannya.  Mohamed Abdullah telah mengenali Juhaiman sewaktu di Riyadh atas kerja-kerja dakwah beliau di Universiti. Juhaiman dikatakan telah menyakinkan Mohamed Abdullah bahawa beliau adalah Imam Mahdi sebenarnya.

Juhaiman sebagai perancang


Juhaiman al-Uthaiby
Juhaiman pernah menjadi Pengawal Kebangsaan (National Guard). Disini beliau telah didedahkan dengan silabus pendidikan yang baru, dimana Raja Faisal telah mengimpot beberapa kader dari kalangan Ikhwanul Muslimin dari Mesir dan Syria sebagai pengubal silabus. Pada peringkat permulaannya disebabkan kedapatan masa lapang yang banyak, beliau banyak menimba ilmu-ilmu agama di Masjidil Haram. Setelah bersara, beliau telah menetap di Madinah. Disana, kelas pengajian Bin Baaz di Universiti Islam Madinah yang baru ditubuhkan mendapat tarikan Juhaiman.

Juhaiman pula sejak kecil lagi sudah melihat beribu-ribu pekerja-pekerja barat yang merupakan pakar minyak, juruteraan binaan dan sebagainya membanjiri di Arab Saudi. Mereka-mereka ini dilindungi oleh beberapa puak-puak Saudi dan dikatakan bertentangan dengan pegangan ulama  Saudi masa itu. Antara ulama' yang lantang menentang kemasukan orang-orang Barat di Saudi ialah Sheikh Abdul Aziz bin Baaz. Beliau pernah dipenjarakan akibat penentangan terhadap barat dan kemudian berkhidmat dengan Kerajaan Arab Saudi.

Terpikat dengan ketokohan Sheikh Bin Baaz, Juhaiman telah menyertai kumpulan Dakwah Salafiya al-Muhtasiba, yang diketuai oleh Bin Baaz yang merupakan Dekan di Universiti Madinah pada masa itu. Juhaiman sebagai seorang yang mempunyai karisma, telah dilantik sebagai salah seorang supervisor kepada kerja-kerja dakwah. Ketika itu Shiekh bin Baaz telah ditukar ke Lajnah Fatwa al-Daaimah di Riyadh. Juhaiman mula mengubah haluan. Beliau mempersoalkan mengapa Kerajaan Saudi melakukan pelbagai perkara yang bertentangan dengan apa yang difatwakan oleh ulama-ulama Saudi, seperti Bin Baaz. Juhaiman menyifatkan ulama2 ini "bertauhidkan riyal". Juhaiman berpendapat bahawa ulama seperti Bin Baaz hanya memegang tampuk pentadbiran sahaja. Bagi beliau kerajaan al-Saud tidak melaksanakan tanggung-jawab agama yang sebenarnya. Beliau mengatakan bahawa dalam pemerintahan al-Saud, seseorang itu harus menepati TIGA kondisi - Samada ta'at kepada al-Saud, berdiam diri atau menentang regim Saud.

Syarikat percetakan Dar al-Tali'ah yang sering kali menerbitkan artikel2 yang ditulis oleh kumpulan sekular dan Syiah telah bersetuju untuk menerbitkan risalah Juhaiman yang berjudul "Rasaail Sab'ah". Juhaiman dan Dar al-Tali'ah mempunyai satu persamaan, iaitu kebencian terhadap Kerajaan Saudi yang mendalam. Juhaiman telah menerima khabaran bahawa beliau akan di tangkap oleh Kerajaan. Bersama pengikut setianya Hozaimi, mereka telah melarikan diri di padang pasir untuk beberapa hari. Beliau telah dimaklumkan bahawa beberapa ahli kumpulannya ditangkap oleh kerajaan, termasuk Mohamed bin Abdullah al-Qahtani. Juhaiman telah cuba menghubungi bekas gurunya di Riyadh, Sheikh Bin Baaz untuk memohon bantuan .

Shiekh Bin Baaz dengan kuasa yang ada telah mendapat persetujuan dari Raja Nayef untuk menemuramah pengikut Juhaiman termasuk Mohemad bin Abdullah al-Qahtani. Setelah menemuramah mereka, Sheikh mendapati bahawa ajaran Juhaiman tidak bertentangan dengan pegangan Saudi dan tidak mendatangkan risiko, lalu semuanya dibebaskan.

Sewaktu peristiwa tersebut, Sheikh Mohammed alSubayil yang menjadi Imam subuh pagi tersebut telah menyamar sebagai jemaah Haji dan dapat meloloskan diri bersama jemaah Indonesia sebelum pertempuran meletus, kerana jemaah Asia Tenggara yang dikatakan tidak berguna kepada kumpulan militer telah dibebaskan. Terdapat juga ramai jemaah Haji yang ditahan diruangan bawah Masjidil Haram. Juhaiman menggunakan bantuan Pengawal Kebangsaan untuk menyeludup senjata-senjata dan melakukan penghantaran senjata tersebut di bahagian tersembunyi dibawa Masjid al-Haram beberapa minggu sebelum tahun baru. Juhaiman telah merekrut beberapa Pengawal, pelajar-pelajar Universiti di Madinah sebagai pengikutnya.

Bahagian bawah Masjidil Haram
Pertempuran hebat berlaku diantara pihak Keselamatan Saudi dan kumpulan militen tersebut yang mengorbankan 127 dan 451 cedera dari kalangan pihak Keselamatan Saudi, 117 militen terkorban. Bilangan jemaah Haji yang terkorban adalah seramai 255. Pertempuran itu berlansung selama 2 minggu, bermula dari 20 November hingga 4 Disember 1979. Bila sahaja pihak ketenteraan Arab Saudi cuba menghampiri kawasan masjid, mereka ditembak oleh penembak-penembak tepat yang berada di menara-menara Masjid. Pihak Arab Saudi telah melakukan beberapa percubaan untuk masuk melalui pintu bawah tanah masjid, namun usaha itu menemui kegagalan dimana kereta perisai mereka diserang dan anggota keselamatan telah terkorban. Namun didalam pergelutan tersebut, Abdullah bin Mohamed al-Qahtani, yang dianggap sebagai Imam Mahdi mereka juga turut terkorban.

Pihak keselamatan Arab Saudi atas nasihat Majlis Fatwanya melakukan strategi "tanpa aggresif" iaitu dengan cara membiarkan mereka kelaparan dan mengepam gas-gas pemedih mata kedalam kawasan masjid. Shiekh Bin Baaz sendiri merasa tersepit didalam situasi ini kerana Juhaiman merupakan bekas anak muridnya, hanya menyebut akan kumpulan ini sebagai (الجماعات المسلحة) Kumpulan Bersenjata dan bukannya Jemaah yang kufur. Pihak ulama' memberi syarat kepada pihak keselamatan agar mengarahkan mereka menyerah diri sebelum serangan dilaksanakan. Pada 4 Disember, akibat dari kelaparan dan tidak tahan dengan serangan gas, pihak militen telah menyerah diri, termasuklah Juhaiman. 63 anggota militen tersebut telah dijatuhkan hukum pancung dibeberapa daerah di Arab Saudi, iaitu Mekah, Riyadh, Madinah, Dammam, Buraidah, Hail, Abha dan Tabuk. Pemilihan tempat ini bertujuan supaya ramai penduduk dapat melihat agar mesej ini dapat difahami oleh semua rakyat Saudi dan penduduknya.

Kesan-kesan dari peristiwa serangan

1. Wujudnya unsur-unsur militer didalam berdakwah menggunakan konsep matlamat menghalalkan cara. Dari dokumen yang diperolehi, didapati bahawa mereka juga mendapat pengaruh perjuangan militen dari kumpulan al-Takfir wa al-Hijrah yang berpusat di Mesir. Kumpulan ini terlibat didalam beberapa operasi penculikan seorang ulama Mesir dan juga bekas menteri, Shiekh Hussyn al-Zahabi . Kumpulan ini diasaskan oleh Shukri Mustafa pada tahun 1975. Mereka dikatakan sebagai golongan Khawarij moden. Mereka terlibat dalam operasi serangan keatas penempatan orang-orang Barat di Mesir. Beberapa ahli kumpulan ini telah ditangkap oleh Kerajaan Mesir dimana Shukri Mustafa dihukum bunuh. Ada dikalangan ahlinya telah melarikan diri dan menyertai kumpulan Juhaiman di Saudi. Dinatara rakyat Mesir yang terlibat adalah Abdullah Abdul Latif Ahmed Ridwan, Samir Abdul Majid Fouad Mahmoud Rifaat, Muhammad Umar Elias, Kamal Ahmed Hassan dan lain-lain.

2. Apabila berlaku sahaja peristiwa ini, Syiah mengunakan peluang ini untuk menyemarakkan lagi tentangan keatas Barat dan secara halusnya menanam kebencian keatas Kerajaan monarki Saud. Khomeni mengatakan bahawa serangan keatas Masjidil Haram itu merupakan perbuatan Yahudi Amerika dan Zionis. Maka berlakulah bebarapa demostrasi dinegara-negara Islam seperti di Filipina, Bangladesh, Turksi dan UAE. Rata-rata demonstrasi kelihatan poster-poster Imam Khomeini dibawa dalam perarakan, terutama demonstrasi ganas di kedutaan Amerika di Islamabad.

3. Syiah juga mempoluporkan slogan  "لا سني لا شيعي نحن مسلمين" (Tiada Sunni dan tiada Syiah, kami Muslim), Tiada Sunni dan tiada Syiah, kami Islam yang satu, dan sebagainya. Ini juga merupakan propaganda Syiah untuk cuba menyerapkan ajaran mereka di Saudi dan negara-negara Islam yang lain. Kelihatan juga sepandok ini diarak dibeberapa bandar-bandar kecil di Arab Saudi, akan tetapi demonstrasi kecil-kecilan ini dapat dipatahkan oleh pihak Keselamatan Arab Saudi.

4. Campur tangan Barat juga dapat dilihat didalam peritiwa serangan keatas Masjidil Haram melalui bantuan strategi ketenteraan. Tiga komando dari negara Peranchis diterbangkan khas dari Groupe d’Intervention de la Gendarmerie Nationale (GIGN) bagi membantu menyelamatkan Masjidil Haram. Mereka menggunakan gas beracun (CB) dipam kedalam Masjid, namun usaha itu gagal disebabkan masjid mempunyai banyak ruang-runag yang terpisah.Wujud juga berita yang mengatakan bahawa tentera GIGN ini telah memeluk agama Islam semata-mata untuk masuk kedalam bandar Mekah, namun perkara ini dinafikan oleh pihak Arab Saudi. Tentera Amerika dengan menggunakan pekerja-pekerja kontrak dari Syarikat Bin Laden untuk mendapat maklumat keadaan didalam masjid. Alasan mereka adalah kerana terdapatnya beberapa orang rakyat Amerika terlibat didalam serangan tersebut.

5. Kesan dari serangan ini kita dapat lihat beberapa perubahan didalam implementasi Islam di Saudi. Gambar wanita di suratkhabar dan di TV telah haramkan. Panggung wayang ditutup. Matapelajaran Islam diperbanyakkan dan dikurangkan matapelajaran yang bukan Islam. Polisi tiada percampuran lelaki dan wanita diperketatkan. Disana dapat di lihat bahawa polis-polis agama mendapat kuasa untuk menjaga kemurniaan kawasan Haramain.

6. Kekurangan ilmu yang mendalam juga merupakan faktor penyumbang kepada peristiwa serangan ini. Mohamed bin Abdullah al-Qahtani juga dilihat cuba menguasai ilmu hadith menggunakan jalan pintas dengan tidak menghadiri kuliah tetapi melakukan kajian bersendirian diperpustakaan. Penguasaan hadith secara mendalam oleh ulama2 hadith atau muhadithin yang memakan masa yang lama tidak mungkin dapat dicapai dalam masa yang singkat. Beliau termakan dengan tafsiran-tafsiran Juhaiman bahawa beliau adalah Imam Mahdi.

Kesimpulan

Serangan keatas Masjidil Haram mengambarkan wujudnya gerakan-gerakan militen yang menjadikan senjata sebagai cara mengatasi kemungkaran yang ada. Marah mereka yang meluap-luap terhadap kerajaan menjadi satu motivasi dan melakukanperancangan rapi untuk mengambil alih kerajaan yang ada. Sebelum terjadinya peristiwa tersebut, kumpulan ini telah berdakwah di merata tempat di Arab Saudi , dimana mereka dapat menghimpunkan mengikutnya, agar bangun menentang kerajaan yang ada. Serangan ini juga memperlihatkan pihak oportunis mengambil peluang dan kesempatan, terutamanya musuh-mush Ahli Sunnah seperti Syiah dan Barat (Amerika dan Peranchis). Elemen utama didalam peristiwa ini adalah perlu adanya pemahaman yang mantap didalam ilmu-ilmu teras, lebih-lebih lagi didalam memahami matan hadith,seperti hadith-hadith akhir zaman. Peristiwa ini juga mencatat Mohamed bin Abdullah al-Qahtani sebagai Imam Mahdi Palsu oleh Sheikh al-'Arifi didalam buku beliau Nihayatul 'Alam (ms 201) (Berakhirnya Alam ini). WA.

Rujukan :

1. Yaroslav Trofimov.  "The Siege of Mecca". New York : Anchor Book, 2008.

2. Photo : https://www.randomhouse.com/doubleday/siegeofmecca/photoGallery.php

3. Dr Mohammed bin Abdul Rahman al-'Arifi. "Nihayatu al-'Alam". STC, 2010.