Monday, October 30, 2006

Syawal dan Kematian

4 Syawal tahun ini (1427) merupakan hari yang bersejarah bagi keluarga Indahsah Haji Sidek, ibu beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Malaikat telah menjemput beliau pada hari Jumaat jam 7:50pagi. Suasana sedih di pagi Syawal yang keempat, diredakan dengan rasa kesyukuran yang tidak ternilai kepada Allah swt. Kami sempat mentalqinkan kepada beliau dengan kalimat tauhid 'La ila ha illAllah'. Akhirnya setelah mendengar beberapa kali kalimah tauhid diajarkan, beliau mengucapkan kalimat tersebut sebanyak 2 kali lalu meninggalkan kami bagaikan orang yang sedang tidur.

Masih teringat akan sebuah hadith, Muaz bin Jabar ra. berkata : Aku mendengar Rasulullah :saw bersabda :{مَنْ كَانَ آخِرُ كَلامِهِ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ } "Barangsiapa yang pada Akhir perkataannya berkata Tiada Tuhan melainkan Allah, dijanjikan baginya Syurga". Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad (#21529) dan Abu Daud (#3116), dan Syiekh Nasyiruddin al-Albani mengkelaskan hadith tersebut sebagai sahih didalam Irwa' al-Ghalil (#687). Moga-moga Allah mematikan beliau didalam keadaan yang beriman dan diberikan balasan syurga.

Bagi mereka yang mati pada hari Jumaat juga boleh mengharapkan agar Allah swt melindungi mereka dari azab kubur. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad (#6546) dan al-Tirmudzi (#1074) bahawa Rasulullah saw pernah bersabda : {ما من مسلم يموت يوم الجمعة أو ليلة الجمعة إلا وقاه الله فتنة القبر} "Tidak mati seseorang Islam pada hari Jumaat atau malam Jumaat, melainkan Allah melindunginya dari fitnah kubur". Menurut Syiekh Nasyiruddin al-Albani bahawa jika dilihat dari segi isnad, hadith ini boleh dikelaskan sebagai Hasan ataupun Sahih.

Diantara salah faham agama bagi masyarakat Melayu adalah membudayakan upacara kematian. Malah kedengaran ada dikalangan yang melawat membaca surah Yaasin disebelah mayat. Syeikh Ibn Taimiyyah rh didalam kitab al-Ikhtiyaaraat (ms. 91) mengatakan bahawa membaca surah Yaasin keatas mayat adalah bid'ah, walaupun beliau menyokong hadith yang membolehkan membaca surah Yaasin ketika sedang nazak. Alangkah baiknya jika kita dapat melarikan diri dari khilaf ini dengan hanya membaca do'a agar Allah swt mengampunkan dosa dan merahmati si-mati tersebut. Kenapa perlu melakukan perkara yang khilaf lebih-lebih lagi mati hanya datang sekali sahaja? Tidakkah kita mahu melihat mayat tersebut disempurnakan dengan amalan-amalan yang dipersetujui dan disepakati oleh ulama sahaja?

Bacaan tahlil memang tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat Melayu kita. Walaupun perkataan Tahlil itu membawa erti membaca kalimat 'La illaha illallah', ia lebih dikenali sebagai susunan bacaan yang dibukukan, dibaca pada satu majlis kematian atau kenduri arwah, termasuklah mengadakan 'bacaan tahlil' sebaik sahaja mayat dikebumikan. Ulama' hanya khilaf membincangakn samada bacaan al-Quran dapat memberi munafaat kepada yang mati atau tidak, dan setahu saya, mereka tidak pernah membincangkan samada boleh atau tidak bacaan tahil beramai-ramai itu dibaca dan memberi kesan kepada si-mayat.

Mazhab Syafie dan Imam Nawawi rh didalam Syarah Muslim mengatakan bahawa tidak sampai bacaan al-Quran kepada si-mati, dengan memetik ayat al-Quran surah al-Najm (ayat 39) yang maksudnya "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya". Imam Syawkani didalam mentafsirkan ayat ini menyebut bahawa seseorang itu tidak sekali-kali mendapat faedah melainkan amalan yang dia usahakan sendiri, kecuali jika terdapat nas-nas khusus yang membenarkan seperti do'a, puasa, haji dan harta. Didalam melarikan dari khilaf ini, Dr Ahmad Syurbasi didalam kitabnya Yasalunak mengatakan bahawa bacaan al-Quran yang dido'akan agar ganjarannya memunafaatkan si-mati akan sampai kepada si-mati apabila Allah menqabulkan do'a tersebut.

Melihatkan kepada peristiwa 4 Syawal ini, dirasakan suatu keperluan diadakan tajdid keatas upacara kematian. Budaya dan Adat seolah sudah mewarnai amalan pengurusan jenazah didalam masyarakat kita. Khilaf ulama' lebih diutamakan dari pendapat yang dipersetuji oleh semua (ittifaq), malahan khilaf dikatakan sunnah! Masyarakat kita lebih banyak mengambil pendapat yang membenarkan amalan-amalan yang biasa diamalkan. Mereka masih memetik pendapat-pendapat Mazhab yang membenarkan bacaan al-Quran diatas kubur. Pernahkah mereka melihat kepada pandangan-pandangan yang melarang menjadikan kuburan seperti masjid? Kalaulah dibenarkan membaca al-Quran disisi kubur, kubur siapakah yang paling layak dibacakan al-Quran? Bukankah kubur Rasulullah lebih berhak dibacakan al-Quran disampingnya?

Kepada hambaMu Tumirah bt Saban, Ya Allah, Ampunkan dosanya dan Rahmatilah beliau (اللهم اغفر لهاوارحمها), dan tempatkan beliau dikalangan hamba-hambaMu yang beriman. Amin.

-kamin, 7 Syawal, 1427 -

Thursday, October 26, 2006

Raya oh Raya

Hari raya merupakan hari yang sangat signifikan didalam Islam, baik Hari Raya Fitri atau Hari Raya Kurban. Hari Raya atau Eid merupakan hari keagamaan didalam Islam. Dalam erti kata lain, hari Raya sahaja yang disyara'kan kepada umat Islam, selain dari Hari Jumaat. Ia tidak boleh dikompromi atau dikongsi dengan perayaan-perayaan yang lain. Ini merupakan hari umat Islam membesarkan Allah swt dengan bertakbir dan melakukan solat Eid. Mungkin masih ada lagi kelompok yang masih lagi ingin berkongsi perayaan ini dengan perayaan agama-agama lain? Rasa-rasanya semua orang sudah tahu hukumnya, lebih-lebih lagi baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Ketua Syariah Takafful berkenaan dengan larangan umat Islam mengucapkan Tahniah di Perayaan Deepavali.Begitu juga dengan kritikan-kritikan mufti Perak terhadap konsep Kongsi Raya, yang masih ada lagi dikalangan umat Islam yang menajanya.

Apa yang di sarankan di akhir surah al-Kafirun itu besar kemungkinan di fahami oleh kebanyakkan orang Islam. Makna "Untuk kamu Agama kamu, dan untuk Ku, agamaKu" - dalam persoalan agama, kita mempunyai ritual yang tersendiri, manakala didalam persoalan budaya, kita bebas mengamalkannya bersama. Apa yang boleh di kongsikan kepada agama lain ialah kelebihan-kelebihan yang ada didalam Islam. Dengan ini kita dapat menarik minat dan juga dapat menerangkan kepada mereka apa ertinya sebenar agama Islam ini, dan bukan sebagaimana yang kita war-warkan oleh Barat.

Perkara yang membimbangkan kita dewasa ini adalah penerapan nilai-nilai Barat didalam sambutan Eid Mubarak. Lihat sahajalah rancangan-rancangan TV, Radio, Panggung Wayang dan sebagainya, penuh dengan rancangan-rancangan yang melalaikan. Ini juga memperlihatkan bahawa memang ada satu trend memodenisasikan perayaan Hari Raya agar ia kelihatan sebagai "Pesta Raya". Nampak-nampaknya masyarakat makin menerima perkongsian yang sebegini; Eid dan Hiburan yang melalaikan. Apalah salahnya stesyen-stesyen TV ini memaparkan ceramah-ceramah yang menjelaskan erti kata Eid al-Fitri yang sebenarnya. Terangkan pada masyarakat mengenai perkara sunat yang dilakukan pada masa menyambut Eid.

Cuma nilai agama yang ada ialah siaran langsung solat Eid dan selingan Takbir yang mendayu-dayu pada malam Raya berkumandang di kaca TV dan dicorong-corong radio. Maka ramailah mereka-mereka yang tidak dapat balik Raya, mereka yang kematian yang tercinta, malah yang putus cinta, meleleh air mata tatkala mendengar Takbir Raya ini. Bagaimana kita boleh teringat kekasih semasa melaungkan :"Benarlah janji-janjiNya [Allah], [Allah yang] menolong HambaNya, Menghancurkan Tentera Bersekutu Ahzab!". Ini laungan-laungan semangat, bukannya ucapan-ucapan sedih. Ini bukannya ucapan "Inilah nasibku tidak dapat beraya dengan kekasihku, Inilah nasibku tidak dapat tiket bas untuk pulang". Takbir merupakan laungan membesarkan Allah. Lafaz takbir yang biasa dibaca menceritakan bagaimana Allah menghancurkan tentera-tentera Ahzab! Mungkin melodinya yang sedih agaknya yang membuat orang berasa sedih.

Ulama'-ulama' perlu bangun mengkaji kembali apakah ucapan takbir yang kita laungkan pada kedua-dua Hari Raya ini benar-benar datang dari Nabi :saw. Apakah melodi yang kita lagukan itu sesuai dengan roh kemenangan yang di sambut oleh orang Islam dua kali setahun? Benarkah pandangan terkuat Mazhab Syafie menganjurkan bacaan takbir ini setelah matahari terbenam dimalam Raya, atau disyorkan setelah matahari terbit pada pagi Hari Raya? Ucapan tahniah dihari raya pun tidak ramai umat Islam yang tahu. Yang mereka tahu adalah mengucapkan 'Selamat" kepada hari Raya. Pernahkan kita ucapkan : Taqabbala minna wa min Kum? Mungkin kita rasa ini adalah ucapan Imam selepas membacakan do'a beramai-ramai selepas solat fardu.

Sudahlah memulakan khutbah Hari Raya dengan meninggal Tahmid (Alhamdulillah) dan di ganti dengan Takbir. Khutbah juga di buat seolah-olah seperti khutbah Jumaat yang mempunyai dua khutbah! Itulah sebabnya kita menyarankan agar hari Raya di isi dengan program-program keagamaan yang menjurus kepada persoalan Eid dan hukumnya. Al-Jazeera di Washington semalam sekurang-kurangnya membincangkan bagaimana penentuan Eid di Amerika; secara rukyah atau pengiraan. Hari Raya kita sudah makin hari semakin hampir dengan pesta dan hari-hari perayaan yang lain. Tidak salahlah kalau masyarakat yang cenderung ke arah Agama, menyambut perayaan Nisfu Sya'ban, Isra' dan Mi'raj, bulan Rejab dan sebagainya, kerana mereka inginkan satu kelainan dari hari Raya yang disambut bagaikan pesta hiburan. Ayuh, marilah kita kembalikan roh Eid al-Fitr agar ia tidak hanya tinggal slogan "Raya Oh Raya".

Selamat Menyambut Eid al-Fitr. Taqabbala Minna Wa Min Kum.

kamin, Rabu, 2 Syawal, 1427. 4:00pm.

Sunday, October 15, 2006

Kempen Nabi Muhammad membawa Rahmat keseluruh Alam


Jika dilihat dari segi kehebatan menyambut hari kelahiran Nabi :saw, tentu sekali rakyat Malaysia termasuk diantara umat-umat yang hebat sambutannya, termasuklah dikurniakan cuti pada hari tersebut. Kita dapat lihat laungan-laungan dan pelbagai selawat kedengaran, baik di semasa perarakan, di TV dan juga di radio. Tidak kurang juga upacara-upacara selawat keatas Nabi dilakukan pada hari cukur jambul, hari perkahwinan, selepas selesainya ceramah di surau dan sebagainya.

Cuma yang menduka citakan, dimanakah umat Islam Malaysia pada masa Nabi :saw dihina dengan lukisan-lukisan karton yang di paparkan pada mulanya di Akhbar Denmark Jyllands-Posten pada tahun 2005, dan dipaparkan kembali oleh akhbar Eropah pada awal tahun 2006. Waktu itu umat Islam Malaysia dimimpikan dengan pemilihan juara 'hiburan' sebuah station TV. Keesokkannya, tiada satu pun akhbar melapurkan mengenai kemarahan umat Islam mengenai karton ini, akan tetapi berita mengenai penyanyi yang menang di paparkan secara meluas.

Begitu juga dengan baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Pope Benedict VXI yang jelas-jelas menghina perjuangan Nabi :saw, menyamakan Nabi :saw dengan terorist. Dimanakah kita umat Malaysia pada masa itu? Kedua-dua peristiwa ini menampakkan respon yang begitu lembab dari pihak kita. Jiran kita Indonesia lebih peka pada kedua-dua peristiwa ini. Malahan, Arab Saudi, yang dikatakan oleh umat Islam Malaysia sebagai negara yang mazhabnya terkeluar dari ahli Sunnah wal Jamaah, menarik balik Dutanya dari Denmark akibat peristiwa karton yang menghina Nabi :saw. Kenyataan dari kerajaan kita juga timbul satu minggu selepas peristiwa itu. Malah yang paling mengecewakan, Malaysia membuat pendirian tidak akan memboikot produk barangan Denmark!

Didalam kedua-dua peristiwa diatas, Presiden Persekutuan Ulama' Antarabangsa, Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menyeru agar digunakan mimbar masjid sebagai tempat menyetakan kemarahan umat Islam. Beliau telah menyarankan agar khutbah Jumaat pada Februari 2006 dijadikan hari marah antarabangsa. Disamping itu beliau telah memberi beberapa garis panduan agar khutbah-khutbah itu menggambarkan bahawa Nabi :saw bukanlah sebagaimana yang digambarkan oleh puak kufur Denmark. Seruan-seruan ini telah mendapat sambutan baik dikalangan masjid luar negara termasuklah masjid di Amerika Syarikat. Malang sekali, masjid di Malaysia, tidak sedikitpun menyentuh khutbah-khutbah mengenai penghinaan terdapat Nabi :saw.

Begitu juga didalam kenyataan al-Qaradhawi yang dikeluarkan didalam station TV al-Jazeera pada 17 September yang lalu, beliau menyeru umat Islam agar dijadikan hari Jumaat 22 September sebagai hari 'kemarahan yang berakal', dan dijadikan mimbar-mimbar masjid sebagai tempat seruan usaha-usaha ini, malang sekali, masjid di Malaysia, isi khutbahnya langsung tidak menyentuh isu ini. Kenapa masjid-masjid di Malaysia tidak prihatin dengan seruan-seruan ulama' antara bangsa ini? Apakah masjid kita tidak sensitif dengan hal-hal ini?

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi pada 11 Oktober 2006 yang lalu telah melancarkan kempen "Rahmatan Lil 'Alamin", bagi mengutip dana-dana, untuk menjalankan kempen-kempen membersih imej Islam yang tercalar akibat tuduhan-tuduhan Barat, dengan cara memberi penerangan mengenai siapa Nabi Muhammad sebenarnya didalam pelbagai bahasa. Malahan, menurut Syeikh Ali Muhyidin al-Qurah Daaghi bahawa mereka bercita-cita untuk mewujudkan stesyen TV satelite didalam pelbagai bahasa bagi menjalankan tugas-tugas ini.

Pada hari pelancaran itu sahaja, seorang wanita telah menghadiahkan sebidang tanah yang bernilai hampir 2 juta riyal kepada badan kebajikan ini. Ramai wanita-wanita yang hadir telah mendermakan barang-barang kemas mereka sebagai tanda sokongan kepada kempen ini. Badan tersebut berusaha mengumpul sebanyak 27 juta riyal bagi menjayakan projek ini.

Kalau kita benar-benar prihatin terhadap Nabi :saw, sudah tentu hati kita sedikit sebanyak terguris apabila mengingati kedua-dua peristiwa tersebut. Jangan kata nak boikot barangan Denmark, Star Buck pun masih ramai lagi dihadiri oleh bangsa melayu yang beragama Islam. Apa nak jadi dengan masjid-masjid kita yang tidak langsung peka dengan peristiwa ini. Wahai Imam-Imam masjid, peka lah dengan keadaan sekeliling. Gunalah amanah minbar masjid untuk mempertahankan Nabi :saw yang sedang dihina oleh barat! Kenapa seruan al-Qaradhawi sampai kedua kali pun masih tidak dihiraukan. Nak dikatakan tidak sampai berita, mimbar-mimbar di Amerika pun menyahut seruan al-Qaradhawi.

Ayoh umat Islam di Malaysia, mari kita melakukan sesuatu bagi menjayakan projek "Rahmatan Lil'Alamin" menurut kapasiti dan kemampuan masing-masing. Kandungan mesej yang perlu kita sampaikan adalah mengenai kemuliaan Nabi :saw, dan nilai-nilai murnia yang ada didalam Islam. Malahan, jika kita melihat laman-laman Web berbahasa Arab, sudah banyak link-link yang menceritakan tentang kepribadian Nabi Muhammad :saw. Projek kali ini menekankan betapa perlunya risalah-risalah ini diterbitkan didalam pelbagai bahasa dan disampaikan kepada mereka yang bukan beragama Islam. Umat Islam Malaysia boleh menggunakan cara mereka yang tersendiri memaparkan imej-imej Islam dan Nabi Muhammad :saw yang sebenarnya kepada masyakat Malaysia yang majmuk. Kepada Syeikhuna al-Qaradhawi, benarlah kenyataan akhbar Qatar yang mengatakan 'kau adalah manusia yang bersaiz Ummah' .WA.
al-Qardhawi melancarkan kempen "Rahmat kpd seluruh Alam"

Doha - 12-10-2006 - (ringkasan dari Laman al-Qaradhawi)


"هذه الأمة لا تموت، وهذه بداية.. هذه الأمة لن تخذلنا ونحن مستمرون، والإسلام باق ما دام الله باقيا؛ كيف يزول الإسلام وأمة محمد باقية!؟ الإسلام منصور والمستقبل لهذا الدين العظيم، إن أوجب واجباتنا اليوم أن ننصر مشاريع هذه الأمة لنثبت أنها موجودة، وأنها ستنتصر، وأن بزوغ الفجر قد قرب إذ يبزغ الفجر بعد اشتداد الظلام...".
"Umat ini tidak akan mati, dan ini adalah permulaan... Umat ini tidak akan menghampakan kita, dan kita akan berterusan. Islam akan kekal selama mana Allah kekalkannya. Bagaimana boleh hilangnya Islam dan Umat Muhammad yang kekal itu!? Islam agama agung yang dibantu dan mempunyai masa depan. Sesungguhnya kewajipan kita hari ini ialah menyokong projek umat ini agar kita membuktikan kewujudannya, seungguhnya ia akan gemilang, Fajar muncul kembali setelah bergelumang didalam kegelapan...."

Ini merupakan ucapan Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi di Doha pada hari Rabu, Oktober 11, semasa melancarkan tabung kewangan untuk aktiviti memprojekkan imej Islam dan Nabi Muhammad :saw kepada Barat didalam pelbagai bahasa. Projek ini dinamakan "membawa Rahmat kepada seluruh Alam" (رحمة للعالمين).

Didalam pelancaran khas di ibu kota Qatar telah memperlihatkan nilai sebanyak 10 juta Qatar Riyal telah didermakan, termasuklah didalamnya barang-barang kemas, saham-saham dan tanah.

Seorang peniaga Saudi telah menderma sebanyak 2 juta riyal dan seorang wanita melalui talipon telah menderma sekeping tanah yang bernilai 2 juta riyal. Ramai dikalangan wanita yang hadir telah membuka perhiasan mereka yang merupakan kalung emas dan berlian, didermakan kepada kempen tersebut.

Naib Ketua Majlis (Badan kebajikan al-Balagh) tersebut, Syeikh Ali Muhyidin al-Qurah Daaghi menjelaskan bahawa cita-cita mereka adalah untuk mewujudkan stesyen TV satelite didalam pelbagai bahasa dengan tujuan membetulkan imej salah tanggap mereka terhadap Islam dan Nabi yang mulia.

Idea projek "Rahmatan Lil'Alamin" ini merupakan respon kepada krisis kartun anti-Nabi tahun lepas. 12 karton, termasuk salah satunya lukisan yang menunjukkan Nabi memakai serban berbentuk bom, yang telah diterbitkan oleh suratkhabar Denmark Jyllands-Posten pada tahun 2005 dan disiarkan kembali oleh suratkhabar Eropah yang mendakwa sebagai pendokong kebebasan bersuara.

Lukisan tersebut telah membangkit kemarahan umat Islam seluruh dunia dan terjadi juga tunjuk perasaan yang ganas. Seterusnya peristiwa ini telah membangkit sebilangan umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di Barat melancarkan projek memberi kesedaran terhadap kemuliaan dan akhlak Nabi Muhammad :saw.

Friday, October 13, 2006

Puasa Ramadhan : scenario yang berulang

Saban tahun berlalu, apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, beberapa isu-isu akan berbangkit semula. Diantaranya kedengaran bacaan al-Quran surah al-Baqarah, ayat 183 berkumandang di corong radio dan juga peti-peti TV, baik di kaca TV kerajaan maupun swasta, termasuklah TV Satelite kegemaran mereka.

Tidak kurang juga ustaz-ustaz yang mengajar di masjid dan surau, masing-masing tidak lupa membaca ayat 183 surah al-Baqarah yang menandakan termaktubnya syariat berpuasa, yang merupakan salah satu ritual yang tertua didunia yang diamalkan oleh umat-umat terdahulu. Ayat itu juga menunjukkan bahawa puasa tidak akan merubah semua orang menjadi baik dan taqwa, akan tetapi bagi mereka yang berazam untuk berubah, Allah mendo'akan agar ia menjadi manusia yang bertaqwa pada akhir ayat tersebut - "moga-moga kamu bertaqwa"(لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ). Itulah janji Allah kepada mereka yang bersungguh-sungguh dalam berpuasa.

Bulan Ramadhan juga memaparkan diantara sedar tidak sedar, umat Melayu Malaysia mengamalkan solat tarawih menurut bilangan yang dilakukan oleh Rasulullah :saw. Sungguh ironik sekali, ramai yang melakukan solat tarawih sebanyak 8 rakaat dengan kaedah 2 rakaat satu salam. Mungkin juga mereka tidak dedahkan kepada 4 rakaat satu salam barangkali. Tidak kurang juga mereka yang masih mengamalkan sunnah Umar ra., dengan melakukan sebanyak 20 rakaat solat tarawih. Mungkin tidak ramai yang melakukan sunnah Imam Malik, iaitu sebanyak 36 rakaat. Isu ini memang setiap tahun menjadi bualan mulut para jemaah. Yang buat 20 kata, orang yang buat 8 tidak ikut sunnah. Orang yang buat 8 kata, orang buat 20 tidak ikut sunnah!

Realiti sebenarnya, kedua-duanya mengikut sunnah Nabi :saw; iaitu menghidupkan malam Ramadhan dengan berqiam (solat). Pokok persoalannya adalah ini merupakan solat sunnat, tiada paksaan! Kenapa kita tidak cuba mengajak mereka yang tidak langsung menunaikan solat tarawih datang bersolat bersama-sama kita? Kenapa kita tidak pernah prihatin kepada masjid dan surau yang menjadi kosong pada sebelum dan selepas Ramadhan? Apakah kita cuma menegakkan sunnah di bulan Ramadhan sahaja? Ini belum lagi bercerita mengenai amalan-amalan sunnah lain yang belum kita kerjakan? Ini belum lagi kita melihat apakah sunnah yang kita tegakkan pada bulan Ramadhan itu benar-benat mengikut kayu ukur yang ditetapkan?

Lihat sahaja manusia begitu rakus menjamah makan ketika selain dari bulan Ramadhan. Zikir 'Bismillah' yang mudah pun di abaikan. Bila sahaja datang bulan Ramadhan, maka ramailah yang menadah tangan membaca do'a favorite mereka : (اللهم لك صمت وعلى رزقك أفطرت) - Allahumma laka sumtu wa 'ala Rizqika AfThartu. Seolah-olah do'a menghadapi makanan ini hanya wujud pada bulan Ramadhan sahaja. Kita belum lagi membicarakan bahawa do'a ini bukannya do'a yang dapat diyakini sahih datang dari Nabi :saw. Malah, al-Hafiz Imam Nawawi rh. didalam Kitabnya yang terkenal, Al-Azkar, menyatakan bahawa periwayatan hadith ini tidak sampai kepada Nabi :saw (mursal).

Malam-malam terakhir Ramadhan mungkin menjadi keseronokkan kepada beberapa pihak. Kaum-kaum wanita sibuk dengan berjaga malam memasak kueh-muih pilihan mereka. Pelbagai aneka kueh dan biskut di masak. Bandar-bandar penuh sesak dengan manusia, kenderaan dan juru-jual. Kesemuanya sibuk membeli belah untuk mengadapi hari lebaran yang akan kunjung tiba. Mereka-mereka dipejabat sudah mula bercerita tentang keseronokkan balik kampung dan beraya, Yang paling sedih adalah program ceramah di surau lesu pada hari akhir-akhir Ramadhan akibat dari semngat 'shopping' yang telah dibangkitkan. Tidakkah kita diperingatkan bahawa 10 malam terakhir itu ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan, yang menyerupai 84 tahun 4 bulan ganjarannya? Inilah malam yang sepatutnya di rebut oleh orang-orang Islam sebagaimana janji Allah didalam suah al-Baqarah ayat 183, moga-moga kamu bertaqwa.

Inilah scenario yang sama berlaku setiap tahun tanpa kita sedari. Marilah kita sama-sama merealisikan sunnah Nabi :saw baik pada bulan Ramadhan dan juga 11 bulan-bulan yang lain. Diharap, tidaklah puasa, sahur, terawih, solat jemaah di masjid, makan kurma, do'a berbuka puasa menjadi adat semata-mata didalam episod tahunan kita. Ingatlah, inilah satu-satunya ritual yang terkuat didalam membina minda-minda umat Islam untuk menghadapi 11 bulan yang lain didalam usaha kita menegakkan sunnah Nabi :saw. WA.

Monday, October 09, 2006

Bila harus berdo'a sewaktu berbuka

Dewasa ini, masyarakat makin ramai yang begitu prihatin mengenai agama mereka. Kalau dahulu, tidak ramai malah tidak kedengaran ada yang mempersoalkan bilakah perlu di baca do'a berbuka puasa, kini ada yang telah mula memperkatakannya. Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan samada do'a yang biasa dibaca, dikeudarakan di TV dan sebagainya, adakah do'a ini datang dari Nabi atau pun tidak?

Ini suatu perkembangan yang baik jika dilihat dari segi perkembangan ilmu. Kalau yang mempersoalkan itu mempunyai motif mempersendakan agama Allah, maka nyalakan-nyalakan mereka tidak mendatangkan apa-apa kepada agama Islam. Akan tetapi, jika pertanyaan tersebut dilakukan kerana ingin mengetahui akan kebenaran, ini menunjukkan bahawa masyarakat sudah berubah dari ikut-ikutan kepada ikut kerana tahu. Inilah budaya tajdid yang cuba diperjuangkan oleh ramai dikalangan ulama'-ulama' kontemperor seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Dr Ahmad Syurbashi, Dr Faizal Mowlawi, Dr Yusuf al-Qaradhawi dan ramai lagi dikalangan ulama'-ulama' yang memperjuangan nilai keilmuan dan keterbukaan Islam.

Berbalik kepada bilakah waktunya untuk membaca do'a berbuka puasa? Pada lazimnya, setiap hari kita disunatkan sebelum makan membaca do'a, atau sekurang-kurangnya membaca 'Bismillah'. Maka apabila Ramadhan menjelma, apakah kita perlu membaca do'a sebelum makan? Atau apakah do'a berbuka puasa tadi menggantikan do'a sebelum makan yang kita baca saban hari?

Do'a juga seringkali dikaitkan dengan ibadat puasa. Diantara masa-masa yang mustajab berdo'a adalah semasa seseorang itu berpuasa dan waktu hampir untuk berbuka puasa. Sabda Nabi :saw

ثلاث دعوات لا ترد : دعوة الوالد لولده ، ودعوة الصائم ودعوة المسافر
"Tiga do'a yang tidak akan ditolak : Do'a bapa kepada anaknya, do'a orang yang sedang berpuasa dan do'a orang yang sedang bermusafir" [Hadith Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jaami' #2032].

Syeikh Ibn Utsaimin rh.(al-Liqaa’ al-Shahri, ms8) menyatakan bahawa Do'a hendaklah dibaca sebelum berbuka, kerana ia mengkombinasikan kelemahan dan ketundukan, dan seseorang itu masih dalam keadaan berpuasa. Semua ini bermakna ia menjadi penyebab do'a kita dijawab. Setelah berbuka puasa, seseorang itu akan berasa relaks dan gembira, dan berkemungkinan lalai. Akan tetapi, terdapat juga hadith Nabi :saw yang sahih menunjukkan bahawa do'a dibaca setelah berbuka puasa. Contohnya :

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
"Telah pergi kehausan dan telah membasahi urat-urat, dan pasti ganjaran dengan kehendak Allah" (hadis sahih riwayat Abu Daud #2357, al-Daaraqutni #25. Ibn Hajar berkata didalam al-Talkhis al-Habir bahawa al-Daaraqutni mengatakan bahawa isnaadnya sahih).

Do'a ini hanya bermakna kalau seseorang itu membaca selepas berbuka puasa. Maka, bagaimana boleh kita merangkumkan kesemua sunnah-sunnah ini. Berdasarkan nas-nas yang ada didalam perturutan do'a yang ma'thur ini, maka dicadangkan seperti berikut :-

a. Membaca do'a 10-15 minit sebelum masuk waktu solat Maghrib. Mintalah apa-apa yang dihajati. Ini merupakan waktu-waktu yang Allah menjawab do'a seseorang.

b, Membaca do'a makan (eg: Bismillah) sebelum berbuka, lalu berbuka dengan kurma sebiji atau air seteguk.

c. Membaca do'a berbuka puasa, lalu bersegera menunaikan solat Maghrib.

Diharap, dengan melakukan langkah-langkah diatas, maka kita telah melaksanakan sunnah-sunnah berdo'a dimasa menghadapi reski dari Allah swt. WA.

Sekian.

Tuesday, October 03, 2006

Tajdid Fiqh

Didalam mengharungi dunia moden yang pelbagai ini, masih ada lagi wujud kepercayaan-kepercayaan yang sempit mengenai ibadat puasa. Masih ada lagi mereka yang mengatakan bahawa korek hidung membatalkan puasa. Soalan-soalan seperti "Sejauh mana atau sedalam mana yang dibenarkan korek hidung atau korek telinga didalam bulan Ramadhan?". Waduh... kenapa begitu sempit sekali pemikiran fiqh kita? Pernahkah kita berfikir kenapa perbuatan mengorek hidung atau telinga boleh membatalkan puasa? Apakah seseorang itu menjadi kenyang dengan hanya mengorek hidung?

Malahan, menurut Ibn Taimiyah rh, menggunakan celak (kohl) kepada mata, jika ianya terasa di tekak sekali pun tidak akan membatalkan puasa. Kaedah ini juga boleh diaplikasikan kepada eye drop dan sebagainya. Bak kata seorang ulama : tidak ada siapa pun yang hendak makan menggunakan hidung, mata atau telinga.Marilah kita melihat ibadat didalam bentuk mudah. Islam itu satu agama yang mudah, akan tetapi di rigidkan oleh setengah-tengah pihak yang guluw (melampau). Terbatalnya puasa disebabkan makan dan minum secara sengaja, mengeluarkan air mani dan mengadakan hubungan seks. Mudah sahaja.

Malah, Dr Yusuf al-Qaradhawi dengan Fiqh Shiyam apabila membahaskan tentang samada muntah membatalkan puasa, beliau mengatakan 'tidak'. Alasannya : Muntah mengeluarkan sesuatu dan bukan memasukkan sesuatu.Kita belum lagi membicarakan mengenai alat-alat perubatan yang di gunakan keatas pesakit yang puasa.Kesemua ini berbalik kepada definisi rongga yang terbuka; yang pada makna puasa itu sendiri, meliputi memasukkan makanan kedalam rongga-rongga yang terbuka yang boleh melegakan seseorang itu dari kehausan atau kelaparan.

Proses tajdid (pembaharuan) fiqh perlu diperkenalkan secara lebih serius dan sistematik. Jangan asyik berbincang mengenai berapa bilangan rakaat solat tarawih, akan tetapi kaifiat solat yang sebenar pun tak tahu. Tajdid yang membawa erti mendedahkan perkara-perkara yang sebenar mengenai ibadat harian; atau kembali kepada cari Nabi :saw melakukan ibadatnya. Tajdid yang membawa erti pembukaan minda kearah penilaian-penilaian semula keatas pemikiran-pemikiran lama, yang di adili dengan nas yang kukuh. Ayoh kita bawa slogan taisir (simple/mudah) didalam fiqh penghidupan kita dengan kembali kepada al-Quran dan sunnah Nabi :saw yang sahih.