Tajdid Fiqh
Didalam mengharungi dunia moden yang pelbagai ini, masih ada lagi wujud kepercayaan-kepercayaan yang sempit mengenai ibadat puasa. Masih ada lagi mereka yang mengatakan bahawa korek hidung membatalkan puasa. Soalan-soalan seperti "Sejauh mana atau sedalam mana yang dibenarkan korek hidung atau korek telinga didalam bulan Ramadhan?". Waduh... kenapa begitu sempit sekali pemikiran fiqh kita? Pernahkah kita berfikir kenapa perbuatan mengorek hidung atau telinga boleh membatalkan puasa? Apakah seseorang itu menjadi kenyang dengan hanya mengorek hidung?
Malahan, menurut Ibn Taimiyah rh, menggunakan celak (kohl) kepada mata, jika ianya terasa di tekak sekali pun tidak akan membatalkan puasa. Kaedah ini juga boleh diaplikasikan kepada eye drop dan sebagainya. Bak kata seorang ulama : tidak ada siapa pun yang hendak makan menggunakan hidung, mata atau telinga.Marilah kita melihat ibadat didalam bentuk mudah. Islam itu satu agama yang mudah, akan tetapi di rigidkan oleh setengah-tengah pihak yang guluw (melampau). Terbatalnya puasa disebabkan makan dan minum secara sengaja, mengeluarkan air mani dan mengadakan hubungan seks. Mudah sahaja.
Malah, Dr Yusuf al-Qaradhawi dengan Fiqh Shiyam apabila membahaskan tentang samada muntah membatalkan puasa, beliau mengatakan 'tidak'. Alasannya : Muntah mengeluarkan sesuatu dan bukan memasukkan sesuatu.Kita belum lagi membicarakan mengenai alat-alat perubatan yang di gunakan keatas pesakit yang puasa.Kesemua ini berbalik kepada definisi rongga yang terbuka; yang pada makna puasa itu sendiri, meliputi memasukkan makanan kedalam rongga-rongga yang terbuka yang boleh melegakan seseorang itu dari kehausan atau kelaparan.
Proses tajdid (pembaharuan) fiqh perlu diperkenalkan secara lebih serius dan sistematik. Jangan asyik berbincang mengenai berapa bilangan rakaat solat tarawih, akan tetapi kaifiat solat yang sebenar pun tak tahu. Tajdid yang membawa erti mendedahkan perkara-perkara yang sebenar mengenai ibadat harian; atau kembali kepada cari Nabi :saw melakukan ibadatnya. Tajdid yang membawa erti pembukaan minda kearah penilaian-penilaian semula keatas pemikiran-pemikiran lama, yang di adili dengan nas yang kukuh. Ayoh kita bawa slogan taisir (simple/mudah) didalam fiqh penghidupan kita dengan kembali kepada al-Quran dan sunnah Nabi :saw yang sahih.
No comments:
Post a Comment