Bila harus berdo'a sewaktu berbuka
Dewasa ini, masyarakat makin ramai yang begitu prihatin mengenai agama mereka. Kalau dahulu, tidak ramai malah tidak kedengaran ada yang mempersoalkan bilakah perlu di baca do'a berbuka puasa, kini ada yang telah mula memperkatakannya. Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan samada do'a yang biasa dibaca, dikeudarakan di TV dan sebagainya, adakah do'a ini datang dari Nabi atau pun tidak?
Ini suatu perkembangan yang baik jika dilihat dari segi perkembangan ilmu. Kalau yang mempersoalkan itu mempunyai motif mempersendakan agama Allah, maka nyalakan-nyalakan mereka tidak mendatangkan apa-apa kepada agama Islam. Akan tetapi, jika pertanyaan tersebut dilakukan kerana ingin mengetahui akan kebenaran, ini menunjukkan bahawa masyarakat sudah berubah dari ikut-ikutan kepada ikut kerana tahu. Inilah budaya tajdid yang cuba diperjuangkan oleh ramai dikalangan ulama'-ulama' kontemperor seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Dr Ahmad Syurbashi, Dr Faizal Mowlawi, Dr Yusuf al-Qaradhawi dan ramai lagi dikalangan ulama'-ulama' yang memperjuangan nilai keilmuan dan keterbukaan Islam.
Berbalik kepada bilakah waktunya untuk membaca do'a berbuka puasa? Pada lazimnya, setiap hari kita disunatkan sebelum makan membaca do'a, atau sekurang-kurangnya membaca 'Bismillah'. Maka apabila Ramadhan menjelma, apakah kita perlu membaca do'a sebelum makan? Atau apakah do'a berbuka puasa tadi menggantikan do'a sebelum makan yang kita baca saban hari?
Do'a juga seringkali dikaitkan dengan ibadat puasa. Diantara masa-masa yang mustajab berdo'a adalah semasa seseorang itu berpuasa dan waktu hampir untuk berbuka puasa. Sabda Nabi :saw
ثلاث دعوات لا ترد : دعوة الوالد لولده ، ودعوة الصائم ودعوة المسافر
"Tiga do'a yang tidak akan ditolak : Do'a bapa kepada anaknya, do'a orang yang sedang berpuasa dan do'a orang yang sedang bermusafir" [Hadith Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jaami' #2032].
Syeikh Ibn Utsaimin rh.(al-Liqaa’ al-Shahri, ms8) menyatakan bahawa Do'a hendaklah dibaca sebelum berbuka, kerana ia mengkombinasikan kelemahan dan ketundukan, dan seseorang itu masih dalam keadaan berpuasa. Semua ini bermakna ia menjadi penyebab do'a kita dijawab. Setelah berbuka puasa, seseorang itu akan berasa relaks dan gembira, dan berkemungkinan lalai. Akan tetapi, terdapat juga hadith Nabi :saw yang sahih menunjukkan bahawa do'a dibaca setelah berbuka puasa. Contohnya :
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
"Telah pergi kehausan dan telah membasahi urat-urat, dan pasti ganjaran dengan kehendak Allah" (hadis sahih riwayat Abu Daud #2357, al-Daaraqutni #25. Ibn Hajar berkata didalam al-Talkhis al-Habir bahawa al-Daaraqutni mengatakan bahawa isnaadnya sahih).
Do'a ini hanya bermakna kalau seseorang itu membaca selepas berbuka puasa. Maka, bagaimana boleh kita merangkumkan kesemua sunnah-sunnah ini. Berdasarkan nas-nas yang ada didalam perturutan do'a yang ma'thur ini, maka dicadangkan seperti berikut :-
a. Membaca do'a 10-15 minit sebelum masuk waktu solat Maghrib. Mintalah apa-apa yang dihajati. Ini merupakan waktu-waktu yang Allah menjawab do'a seseorang.
b, Membaca do'a makan (eg: Bismillah) sebelum berbuka, lalu berbuka dengan kurma sebiji atau air seteguk.
c. Membaca do'a berbuka puasa, lalu bersegera menunaikan solat Maghrib.
Diharap, dengan melakukan langkah-langkah diatas, maka kita telah melaksanakan sunnah-sunnah berdo'a dimasa menghadapi reski dari Allah swt. WA.
Sekian.
No comments:
Post a Comment