Raya oh Raya
Hari raya merupakan hari yang sangat signifikan didalam Islam, baik Hari Raya Fitri atau Hari Raya Kurban. Hari Raya atau Eid merupakan hari keagamaan didalam Islam. Dalam erti kata lain, hari Raya sahaja yang disyara'kan kepada umat Islam, selain dari Hari Jumaat. Ia tidak boleh dikompromi atau dikongsi dengan perayaan-perayaan yang lain. Ini merupakan hari umat Islam membesarkan Allah swt dengan bertakbir dan melakukan solat Eid. Mungkin masih ada lagi kelompok yang masih lagi ingin berkongsi perayaan ini dengan perayaan agama-agama lain? Rasa-rasanya semua orang sudah tahu hukumnya, lebih-lebih lagi baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Ketua Syariah Takafful berkenaan dengan larangan umat Islam mengucapkan Tahniah di Perayaan Deepavali.Begitu juga dengan kritikan-kritikan mufti Perak terhadap konsep Kongsi Raya, yang masih ada lagi dikalangan umat Islam yang menajanya.
Apa yang di sarankan di akhir surah al-Kafirun itu besar kemungkinan di fahami oleh kebanyakkan orang Islam. Makna "Untuk kamu Agama kamu, dan untuk Ku, agamaKu" - dalam persoalan agama, kita mempunyai ritual yang tersendiri, manakala didalam persoalan budaya, kita bebas mengamalkannya bersama. Apa yang boleh di kongsikan kepada agama lain ialah kelebihan-kelebihan yang ada didalam Islam. Dengan ini kita dapat menarik minat dan juga dapat menerangkan kepada mereka apa ertinya sebenar agama Islam ini, dan bukan sebagaimana yang kita war-warkan oleh Barat.
Perkara yang membimbangkan kita dewasa ini adalah penerapan nilai-nilai Barat didalam sambutan Eid Mubarak. Lihat sahajalah rancangan-rancangan TV, Radio, Panggung Wayang dan sebagainya, penuh dengan rancangan-rancangan yang melalaikan. Ini juga memperlihatkan bahawa memang ada satu trend memodenisasikan perayaan Hari Raya agar ia kelihatan sebagai "Pesta Raya". Nampak-nampaknya masyarakat makin menerima perkongsian yang sebegini; Eid dan Hiburan yang melalaikan. Apalah salahnya stesyen-stesyen TV ini memaparkan ceramah-ceramah yang menjelaskan erti kata Eid al-Fitri yang sebenarnya. Terangkan pada masyarakat mengenai perkara sunat yang dilakukan pada masa menyambut Eid.
Cuma nilai agama yang ada ialah siaran langsung solat Eid dan selingan Takbir yang mendayu-dayu pada malam Raya berkumandang di kaca TV dan dicorong-corong radio. Maka ramailah mereka-mereka yang tidak dapat balik Raya, mereka yang kematian yang tercinta, malah yang putus cinta, meleleh air mata tatkala mendengar Takbir Raya ini. Bagaimana kita boleh teringat kekasih semasa melaungkan :"Benarlah janji-janjiNya [Allah], [Allah yang] menolong HambaNya, Menghancurkan Tentera Bersekutu Ahzab!". Ini laungan-laungan semangat, bukannya ucapan-ucapan sedih. Ini bukannya ucapan "Inilah nasibku tidak dapat beraya dengan kekasihku, Inilah nasibku tidak dapat tiket bas untuk pulang". Takbir merupakan laungan membesarkan Allah. Lafaz takbir yang biasa dibaca menceritakan bagaimana Allah menghancurkan tentera-tentera Ahzab! Mungkin melodinya yang sedih agaknya yang membuat orang berasa sedih.
Ulama'-ulama' perlu bangun mengkaji kembali apakah ucapan takbir yang kita laungkan pada kedua-dua Hari Raya ini benar-benar datang dari Nabi :saw. Apakah melodi yang kita lagukan itu sesuai dengan roh kemenangan yang di sambut oleh orang Islam dua kali setahun? Benarkah pandangan terkuat Mazhab Syafie menganjurkan bacaan takbir ini setelah matahari terbenam dimalam Raya, atau disyorkan setelah matahari terbit pada pagi Hari Raya? Ucapan tahniah dihari raya pun tidak ramai umat Islam yang tahu. Yang mereka tahu adalah mengucapkan 'Selamat" kepada hari Raya. Pernahkan kita ucapkan : Taqabbala minna wa min Kum? Mungkin kita rasa ini adalah ucapan Imam selepas membacakan do'a beramai-ramai selepas solat fardu.
Sudahlah memulakan khutbah Hari Raya dengan meninggal Tahmid (Alhamdulillah) dan di ganti dengan Takbir. Khutbah juga di buat seolah-olah seperti khutbah Jumaat yang mempunyai dua khutbah! Itulah sebabnya kita menyarankan agar hari Raya di isi dengan program-program keagamaan yang menjurus kepada persoalan Eid dan hukumnya. Al-Jazeera di Washington semalam sekurang-kurangnya membincangkan bagaimana penentuan Eid di Amerika; secara rukyah atau pengiraan. Hari Raya kita sudah makin hari semakin hampir dengan pesta dan hari-hari perayaan yang lain. Tidak salahlah kalau masyarakat yang cenderung ke arah Agama, menyambut perayaan Nisfu Sya'ban, Isra' dan Mi'raj, bulan Rejab dan sebagainya, kerana mereka inginkan satu kelainan dari hari Raya yang disambut bagaikan pesta hiburan. Ayuh, marilah kita kembalikan roh Eid al-Fitr agar ia tidak hanya tinggal slogan "Raya Oh Raya".
Selamat Menyambut Eid al-Fitr. Taqabbala Minna Wa Min Kum.
kamin, Rabu, 2 Syawal, 1427. 4:00pm.
No comments:
Post a Comment