Puasa Ramadhan : scenario yang berulang
Saban tahun berlalu, apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, beberapa isu-isu akan berbangkit semula. Diantaranya kedengaran bacaan al-Quran surah al-Baqarah, ayat 183 berkumandang di corong radio dan juga peti-peti TV, baik di kaca TV kerajaan maupun swasta, termasuklah TV Satelite kegemaran mereka.
Tidak kurang juga ustaz-ustaz yang mengajar di masjid dan surau, masing-masing tidak lupa membaca ayat 183 surah al-Baqarah yang menandakan termaktubnya syariat berpuasa, yang merupakan salah satu ritual yang tertua didunia yang diamalkan oleh umat-umat terdahulu. Ayat itu juga menunjukkan bahawa puasa tidak akan merubah semua orang menjadi baik dan taqwa, akan tetapi bagi mereka yang berazam untuk berubah, Allah mendo'akan agar ia menjadi manusia yang bertaqwa pada akhir ayat tersebut - "moga-moga kamu bertaqwa"(لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ). Itulah janji Allah kepada mereka yang bersungguh-sungguh dalam berpuasa.
Bulan Ramadhan juga memaparkan diantara sedar tidak sedar, umat Melayu Malaysia mengamalkan solat tarawih menurut bilangan yang dilakukan oleh Rasulullah :saw. Sungguh ironik sekali, ramai yang melakukan solat tarawih sebanyak 8 rakaat dengan kaedah 2 rakaat satu salam. Mungkin juga mereka tidak dedahkan kepada 4 rakaat satu salam barangkali. Tidak kurang juga mereka yang masih mengamalkan sunnah Umar ra., dengan melakukan sebanyak 20 rakaat solat tarawih. Mungkin tidak ramai yang melakukan sunnah Imam Malik, iaitu sebanyak 36 rakaat. Isu ini memang setiap tahun menjadi bualan mulut para jemaah. Yang buat 20 kata, orang yang buat 8 tidak ikut sunnah. Orang yang buat 8 kata, orang buat 20 tidak ikut sunnah!
Realiti sebenarnya, kedua-duanya mengikut sunnah Nabi :saw; iaitu menghidupkan malam Ramadhan dengan berqiam (solat). Pokok persoalannya adalah ini merupakan solat sunnat, tiada paksaan! Kenapa kita tidak cuba mengajak mereka yang tidak langsung menunaikan solat tarawih datang bersolat bersama-sama kita? Kenapa kita tidak pernah prihatin kepada masjid dan surau yang menjadi kosong pada sebelum dan selepas Ramadhan? Apakah kita cuma menegakkan sunnah di bulan Ramadhan sahaja? Ini belum lagi bercerita mengenai amalan-amalan sunnah lain yang belum kita kerjakan? Ini belum lagi kita melihat apakah sunnah yang kita tegakkan pada bulan Ramadhan itu benar-benat mengikut kayu ukur yang ditetapkan?
Lihat sahaja manusia begitu rakus menjamah makan ketika selain dari bulan Ramadhan. Zikir 'Bismillah' yang mudah pun di abaikan. Bila sahaja datang bulan Ramadhan, maka ramailah yang menadah tangan membaca do'a favorite mereka : (اللهم لك صمت وعلى رزقك أفطرت) - Allahumma laka sumtu wa 'ala Rizqika AfThartu. Seolah-olah do'a menghadapi makanan ini hanya wujud pada bulan Ramadhan sahaja. Kita belum lagi membicarakan bahawa do'a ini bukannya do'a yang dapat diyakini sahih datang dari Nabi :saw. Malah, al-Hafiz Imam Nawawi rh. didalam Kitabnya yang terkenal, Al-Azkar, menyatakan bahawa periwayatan hadith ini tidak sampai kepada Nabi :saw (mursal).
Malam-malam terakhir Ramadhan mungkin menjadi keseronokkan kepada beberapa pihak. Kaum-kaum wanita sibuk dengan berjaga malam memasak kueh-muih pilihan mereka. Pelbagai aneka kueh dan biskut di masak. Bandar-bandar penuh sesak dengan manusia, kenderaan dan juru-jual. Kesemuanya sibuk membeli belah untuk mengadapi hari lebaran yang akan kunjung tiba. Mereka-mereka dipejabat sudah mula bercerita tentang keseronokkan balik kampung dan beraya, Yang paling sedih adalah program ceramah di surau lesu pada hari akhir-akhir Ramadhan akibat dari semngat 'shopping' yang telah dibangkitkan. Tidakkah kita diperingatkan bahawa 10 malam terakhir itu ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan, yang menyerupai 84 tahun 4 bulan ganjarannya? Inilah malam yang sepatutnya di rebut oleh orang-orang Islam sebagaimana janji Allah didalam suah al-Baqarah ayat 183, moga-moga kamu bertaqwa.
Inilah scenario yang sama berlaku setiap tahun tanpa kita sedari. Marilah kita sama-sama merealisikan sunnah Nabi :saw baik pada bulan Ramadhan dan juga 11 bulan-bulan yang lain. Diharap, tidaklah puasa, sahur, terawih, solat jemaah di masjid, makan kurma, do'a berbuka puasa menjadi adat semata-mata didalam episod tahunan kita. Ingatlah, inilah satu-satunya ritual yang terkuat didalam membina minda-minda umat Islam untuk menghadapi 11 bulan yang lain didalam usaha kita menegakkan sunnah Nabi :saw. WA.
No comments:
Post a Comment