Monday, March 21, 2016

Solat didalam kapal terbang

[Pesawat Etihad di Abu Dhabi]
Penerbangan pesawat Etihad EY418 dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur yang bertolak jam 2:20 pagi akan mengambil masa 7 jam 30 minit  untuk mendarat di Kuala Lumpur International Airport pada jam 1:50pm. Mana-mana destinasi dunia yang menggunakan syarikat penerbangan Etihad akan menjadikan Abu Dhabi sebagai "transit"nya, kerana Abu Dhabi merupakan tuan rumah penerbangan Etihad, dan juga merupakan kapal terbang nasional UAE. Perjalanan dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur walaupun dipenuhi oleh pelbagai bangsa dan agama, akan tetapi yang pasti ada adalah jemaah Umrah yang pulang dari menunaikan Umrah. Apa yang pasti adalah, waktu solat subuh akan masuk dalam anggaran 2 jam selepas waktu bertolak pesawat.

Waktu solat subuh didalam perjalanan Abu Dhabi ke Kuala Lumpur adalah diantara 4:40pagi hingga 5:00pagi, yang sangat pendik masanya. Apa yang menyedihkan adalah kelihatan jemaah-jemaah pakej Umrah masih tidor dan tidak dimaklumkan oleh mutawif atau pemandu pelancung akan masuknya waktu solat subuh. Bayangkan, misalnya setelah 10 hari mereka dilatih untuk bersolat berjemaah diawal waktu di Madinah dan Makkah, namun pada perjalanan pulangnya, belum sempat menjejak kaki dibumi yang dicintai, mereka lalai menunaikan solat subuh. Mengapa perkara ini berlaku? Persoalan ini sering kali dikemukan kepada penganjur agar perlu memberi penjelasan yang jelas dan mudah kepada jemaah berhubungan dengan bila masuknya waktu untuk melakukan solat fardu. Penganjur seharusnya mengedarkan brosur atau pamplet berkenaan dengan waktu-waktu solat diatas kapal terbang, dan keadah membaca jam bagi penentuan waktu solat. Paling tidak, penganjur hendak membuat rondaan didalam kapal terbang untuk mengingatkan kepada jemaahnya berkenaan masuknya waktu solat. Penganjur perlu peka bahawa memaklumkan waktu solat kepada jemaah mereka diatas kapal terbang adalah diantara skop tugasan mereka!


Kaedah bersolat didalam kapal terbang

Kaedah solat diatas pesawat ini bergantung kepada keadaan dan kedudukan pesawat pada waktu itu. Jika keadaan pesawat stabil, seseorang bolehlah mengambil wudhu' dan bersolat seperti biasa (berdiri) dengan mengadap Qiblat. Disini, mengetahui waktu solat dan kedudukan qiblat itu penting. Biasanya perjalanan pulang di Timur Tengah, Qiblat adalah mengadap ekor pesawat, kekiri dalam lebih kurang 10 darjah. Jika pesawat melalui keadaan angin dan ribut petir, kaptan pesawat akan mengarahkan agar semua penumpang memakai tali pinggang keledar masing-masing. Maka didalam keadaan ini, seseorang itu boleh bersolat tanpa air dan debu tanah yang dikenali sebagai solat menghormati waktu (صلاة لحرمة الوقت) sebagaimana yang diamalkan oleh Mazhab Syafie. Menurut Ensaiklopedia Fiqih Kuwait :

فاقد الطهورين هو الذي لم يجد ماء ولا صعيداً يتيمم به ، كأن حبس في مكان ليس فيه واحد منهما ، أو في موضع نجس ليس فيه ما يتيمم به ، وكان محتاجاً للماء الذي معه لعطش ، وكالمصلوب وراكب سفينة لا يصل إلى الماء ، وكمن لا يستطيع الوضوء ولا التيمم لمرض ونحوه . فذهب جمهور العلماء إلى أن صلاة فاقد الطهورين واجبة لحرمة الوقت ولا تسقط عنه ....انتهى .
"Faaqid al-Thohuurain adalah keadaan tidak berjumpa dengan air dan debu yang suci untuk bertayammum dengannya. Seperti seorang yang dikunci pada tempat yang tiada orang, atau tempat yang bernajis dan tidak ada debu untuk dia bertayamum dengannya, atau dia memerlukan air untuk menghilangkan dahaga, atau dia dipasung, atau kapal penumpang tidak kesampaian air, atau seseorang yang sakit yang tidak boleh melakukan wudhu' dan tayamum,  dan sebagainya. Majoriti ulama' berpendapat bahawa faaqid al-thohuurain atau hilang dua penyucian mewajibkan melakukan solat menghormati waktu dan tidak meninggalkannya [solat]...." [Mausuu'ah al-Fiqhiyyah, 14/273].

Bagi mereka yang berpegang kepada mazhab selain dari Mazhab Syafie, Solat Faaqid al-Thohuurain ini terdapat beberapa pendapat. Mazhab Hanbali mengira solat tersebut sah, tidak perlu di Qadha'. Bagi sebahagian Mazhab Hanafi menghendaki seseorang itu melakukan solat Qada' sebaik sahaja keadaan normal tanpa melakukannya ketika ketiadaan air dan debu. Manakala Mazhab Maliki mengatakan bahawa solat tersebut tidak wajib dilakukan oleh kerana bersuci merupakan syarat wajib dan bukan syarat sah. Ketika itu syarat wajibnya tidak dapat dipenuhi, maka solat tidak perlu dilakukan dan tidak perlu di Qada'.

Bagi mazhab Syafie pula, solat wajib dilakukan (dalam keadaan tanpa wudhu') dan wajib juga di Qada'. Solat wajib di Qadha' kerana, pertama solat tersebut dilakukan tanpa bersuci dan keadaan tidak sempurna. Kedua, Ini merupakan uzur yang jarang berlaku dan ia tidak bekekalan sebagaimana kata Imam al-Nawawi rh.:

لأن ذلك عذر نادر غير متصل 
"Kerana sesungguhnya itu adalah uzur yang jarang terjadi (nadir) dan ia tidaklah berterusan. [al-Majmu’ 1/392].


Bagaimana menentukan waktu solat diatas kapal terbang?

Tidak kira kita bermazhab mana sekalipun, solat wajib dilakukan apabila tiba masanya. Bagi mereka yang menaiki pesawat Saudi Air, paparan skren akan memaparkan masuk waktu solat bagi waktu tempatan, iaitu waktu pesawat diudara, tanpa menyebut waktu apa. Pemaparan sudah mencukupi sebagai tanda masuknya waktu solat. Bagi pesawat selain dari Saudi Air, seperti Emirates, Etihad, Gulf Air, mereka hanya memaparkan kedudukan kiblat. Kalau dulunya, kita akan bertanyakan kepada petugas pesawat mengenai bila masuknya waktu solat.

Kini, syarikat Halaltrip Pte Ltd, yang berpusat di Bukit Merah, Singapura menawarkan pelancungan berjenamakan halal dan menyedia kalkulator untuk orang-orang Islam menentukan waktu solat didalam kapal terbang. Malah, laman ini juga memberi panduan mengenai tempat-tempat solat di lapang terbang yang menjadi destinasi perjalanan seseorang. Kalkulator waktu solat ini merupakan satu hadiah yang terbaik kepada orang-orang Islam yang bermusafir. Kalkulator ini dapat diakses melalui tautan : http://www.halaltrip.com/prayertimes/inflight/ 

Pergunaan laman ini sangat mudah. Pengguna dikehendaki memasukkan lapangan terbang asalnya, tarikh dan waktu bertolak. diikuti dengan lapangan terbang destinasinya, tarikh dan waktu sampai. Misalnya :-

Pesawat :  EY 418
Dari: Abu Dhabi (AUH),  Tarikh: 28 FEB 2016, Waktu terbang: 02:20
Ke:    Kuala Lumpur (KUL), Tarikh: 28 FEB 2016, Waktu tiba:13:50
[memasukkan butiran penerbangan]

Anda akan dipaparkan waktu solat sebelum dan semasa berada diatas kapal terbang. Kepada penumpang atau pemandu pelancung, atau mutawif, cara yang sebaiknya ialah memberitahu penumpang agar tidak menukar waktu di jam masing-masing, dan mengekalkan waktu asal (misalnya dalam contoh ini ialah Abu Dhabi). Ini untuk mengelakkan kekeliruan ketika membaca waktu solat. Laman ini juga menyatakan agar kita melebihkan 12 minit dari waktu masuk solat, dan 12minit kurang dari waktu tamat solat berdasarkan ketepatan formula pengiraaannya.

[waktu solat]
Kedudukan kiblat juga dipaparkan mengikut waktu tertentu.

[kedudukan Qiblat didalam pesawat]

Dengan adanya bantuan teknologi moden, penentuan waktu solat diatas pesawat tidak lagi menjadi sukar. Petugas-petugas umrah atau pemandu pelancung seumpamanya hendaklah peka dengan tugasan mereka memberitahu jemaah-jemaah mereka tentang "bila masuk waktu solat" didalam perjalanan mereka. Walaupun kita berlainan mazhab sekalipun, solat hendaklah ditunaikan pada waktu yang ditentukan. Firman Allah swt :

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." [surah al-Nisaa' : 103]

kamin, 21-03-2016