Hukum Solat di atas kerusi (Bahagian 1)
Solat merupakan tiang agama. Mendirikan solat bererti
mendirikan agama begitulah disebaliknya, meninggalkan solat bererti meruntuhkan
agama. Solat dipertangung jawabkan keatas setiap orang Islam samada yang sihat
ataupun yang uzur, yang muda atau yang tua. Timbul satu fenomena pada zaman
sekarang adalah solat diatas kerusi.
Menurut Sheikh Ziab bin Sa'ad Aal Hamdan al-Ghamidi didalam
risalahnya "Tanbihu al-Naasi biHukmi Shalati Ahli al-Karaasii"
(Peringatan kepada yang lupa berkenaan dengan hukum solat ahli kerusi)
menyatakan bahawa solat diatas kerusi dimasjid merupakan sesuatu yang tidak
pernah berlaku pada 20 tahun lepas. Ini merupakan suatu hukum yang baru yang
perlu ditangani lebih-lebih apabila menyentuh golongan tua, selain dari mereka
yang sakit dan uzur dari kalangan mereka yang uzur syarie. Artikel ini akan
menyentuh secara ringkas risalah yang telah ditulis oleh Shiekh al-Ghamidi
untuk dimunafaatkan bersama.
Hukum asas solat orang uzur
Pada dasarnya, solat hendaklah dilakukan secara berdiri.
Sengaja meninggalkan perbuatan berdiri dengan alasan penat dan sebagainya,
solat tersebut tidak sah. Firman Allah swt :
حَافِظُوا
عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِين
“Peliharalah kamu (kerjakanlah
dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya
sembahyang Wusta (sembahyang Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam
sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”[Surah al-Baqarah : 238]
Namun demikian, bagi orang yang sakit atau uzur, solat boleh
dilakukan mengikut kemampuan masing-masing. Didalam sebuah hadith riwayat Imran
bin Husain ra. berkata : Saya mempunyai buasir maka saya telah bertanya kepada
Nabi :saw mengenai solat. Baginda bersabda :
صَلِّ قَائِمًا ، فَإِنْ لَمْ
تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ، فَإِنْ لَمْ
تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
"Solatlah berdiri, jika tidak mampu maka solatlah
duduk, dan jika tidak mampu (boleh) maka solatlah berbaring disebelah
badan" [Hadith Riwayat al-Bukhari].
Menurut Ibnu Qudamah rh. :
أجمع أهل العلم على
أن من لا يطيق
القيام له أن يصلي
جالساً
"Sepakat ulama' mengatakan bahawa mereka yang tidak
boleh berdiri hendaklah bersolat duduk" [al-Mughni, 1/443]
Berkata Imam Nawawi rh pula :
أجمعت الأمة على أن
من عجز عن القيام
في الفريضة صلاها قاعداً
ولا إعادة عليه ،
قال أصحابنا : ولا ينقص ثوابه
عن ثوابه في حال
القيام ؛ لأنه معذور
،
"Umat sepakat bahawa barangsiapa yang tidak mampu
berdiri semasa solat fardu, maka solatnya adalah solat duduk, dan dia tidak
perlu mengulangi solatnya. Berkata sahabat kami : ganjaran pahalanya tidak
berkurangan dari mereka yang bersolat berdiri kerana keuzurannya"
[al-Majmu', 4/226].
Imam Shaukani rh. juga menjelaskan bahwa hadith Imran bin
Husain diatas menunjukkan bahawa dibenarkan seseorang yang mempunyai keuzuran
untuk solat berdiri, boleh melakukan solat secara duduk, dan bagi seorang
berkeuzuran untuk solat duduk, boleh melakukan solat berbaring disebelah
badannya.[Nailul Authar,3/243]
Tatacara solat ini juga dibina atas beberapa kaedah fiqh,
diantaranya
لاضرر ولاضرار
"Tidak mudharat dan tidak dimudharatkan"
المشقة تجلب التيسير
"Kesukaran itu membawa kemudahan"
الضرورات
تبيح المخظورات
"Kemudaratan-kemudaratan itu dapat mengharuskan
keharaman"
Setiap orang Islam yang uzur yang tidak mampu melaksanakan
salah satu rukun solat, dia dianggap uzur dari aspek al-Quran dan sunnah.
Penjelasannya, kepada mereka yang uzur dari melaku qiam atau berdiri didalam
solat, hendaklah dia solat duduk. Bagi mereka yang uzur untuk melakukan
ruku'maka ditundukkan sedikit kepalanya semasa dia berdiri. Bagi mereka yang
uzur untuk sujud, hendaklah dia gerakkan kepalanya semasa dia didalam keadaan
duduk.
Kondisi yang membenarkan solat diatas kerusi
Sepanjang perbincangan diatas menjelaskan bahawa barangsiapa
yang tidak boleh berdiri hendaklah dia solat duduk diatas bumi, dan begitulah
seterusnya. Tidak pula terdapat contoh2 dari nas yang menunjukkan ada
dikalangan sahabat yang bersolat diatas kerusi. Alasan ini menyebabkan Sheikh
al-Ghamidi menyatakan bahawa solat diatas kerusi ini merupakan satu kaedah baru
didalam melaksanakan solat.
Perlu diberi perhatian bahawa jika seseorang itu mendapat
kelonggaran dari berdiri ketika solat, alasan ini tidak membolehkan seseorang
itu duduk diatas kerusi ketika ruku' dan sujud.
Jika seseorang itu mendapat kelonggaran dari ruku' dan sujud
dengan sempurna, alasan ini tidak membenarkan seseorang itu bersolat duduk
diatas kerusi.
Prinsip asas yang perlu difahami berkaitan dengan solat
fardu adalah, bilamana seseorang itu boleh melakukan sesuatu rukun solat, maka
dia wajib melakukannya, dan bilamana dia tidak boleh melakukannya maka, ditelah
beri kelonggaran untuk tidak melakukannya.
Bilamana seseorang itu tidak boleh berdiri, dia dibenarkan
duduk diatas kerusi semasa rukun qiam (berdiri). Dia hendaklah ruku' dan sujud
dengan cara yang sempurna. Jika dia boleh berdiri, akan tetapi sukar untuk dia
ruku' dan sujud, maka hendaklah dia solat berdiri, kemudian duduk ketika ruku'
dan sujud. Hendaklah dia tunduk rendah sedikit semasa sujud dibezakan dari
ruku'.
Artikel seterusnya akan memaparkan beberapa
gambaran atau scenario solat diatas kerusi. WA.
kamin, al-ahkam.net
20 September 2014
kamin, al-ahkam.net
20 September 2014
No comments:
Post a Comment