Thursday, September 25, 2014

Hukum solat diatas kerusi (Bahagian 3) 


Berikut adalah gambaran kedua sehingga keempat dari buku kecil Sheikh al-Ghamidi yang dapat saya ringkaskan.

Gambaran kedua (2) – Seseorang itu melakukan solat fardu diatas kursi (dari mula sampai akhir) kerana dia uzur atau tidak upaya melakukan sujud. Alasannya, sujud akan memudharatkan dan menambahkan lagi kesakitannnya, lebih-lebih lagi dia telah mendapat nasihat dari Doktor yang amanah dan dipercayai.

Maka dalam hal ini, sepakat ulama’ mengatakan solatnya batal, kerana sesungguhnya dia telah meninggalkan beberapa rukun solat secara sengaja, seperti rukun Qiam (berdiri), Ruku', Duduk antara dua Sujud dan duduk Tashahud.

Maka secara syariatnya, hendaklah dia solat dalam keadaan berdiri semasa Qiam dan Ruku', sehingga apabila dia ingin melakukan sujud hendaklah dia terus duduk lantai/bumi, kemudian mengerakkan kepala tanda sujud, kemudian duduk diantara dua sujud, maka demikianlah rakaat yang seterusnya.

Gambaran ketiga (3) - seseorang itu bersolat fardu diatas kursi, dia uzur dari duduk sama sekali (tidak mampu untuk duduk). Alasan yang diberi adalah, jika dia duduk maka akan mudharatnya. Lebih-lebih lagi dia telah mendapat nasihat dari doktor pakar.

Dalam keadaan ini, solatnya batal juga kerana meninggalkan beberapa rukun dengan sengaja, seperti rukun Berdiri (Qiam) dan Ruku'.

Sebenarnya, hendaklah dia bersolat Berdiri dan Ruku’. Sehinggakan apabila ingin sujud, maka duduklah atas kursi. Disyaratkan mendapat nasihat doktor pakar mengenai pergerakkan yang dibolehkan. Gerakkan kepala semasa sujud. Maka lakukan solat yang sedemikian pada keseluruhan solat.

Gambaran keempat (4) - Seseorang yang bersolat fardu menggunakan tongkat. Apabila dia ingin Ruku' atau Sujud dia akan bersolat atas kerusi. Dia meletakkan bebanan berdiri keatas tongkatnya.

Terdapat DUA hal didalam situasi ini :-

1. Menjadikan Qiam dan Ruku' menggunakan tongkat. Dia tidak boleh berdiri sempurna tanpa tongkat.

Dalam hal ini, tidak syak lagi bahawa solatnya tidak sah. Kerana sesungguhnya dia telah meninggalkan rukun Sujud dan Duduk antara dua Sujud dengan sengaja (kerana ketika itu dia Sujud dan duduk menggunakan kerusi).

Dalam hal ini, menurut pandangan syara’, dia hendaklah bersolat menggunakan tongkat semasa berdiri(Qiam) dan Ruku’ tanpa menggunakan kerusi. Apabila dia ingin sujud, hendaklah dia duduk diatas lantai/bumi untuk melakukan Sujud, Duduk antara dua sujud dan Sujud kedua. Setelah itu, dia bolehlah bangun menggunakan tongkat dan meneruskan rakaat yang seterusnya.

2. Menjadikan Qiam dan Ruku'  bersandarkan tongkat, sedangkan dia mampu berdiri tanpa tongkat.

Dalam hal ini solatnya tidak sah juga kerana meninggalkan rukun Sujud dan Duduk antara dua sujud dengan sengaja (kerana ketika itu dia Sujud dan duduk menggunakan kerusi), dimana ketika itu dia mampu melakukan sujud dan Duduk diatas bumi.

Dalam hal ini, menurut pandangan syara’, perlulah dia solat Berdiri, Ruku', Sujud dan Duduk tanpa bersandar kepada tongkat dan tanpa duduk diatas kerusi. Jelas menunjukkan bahawa terdapat bentuk solat diatas kerusi yang tidak sah solatnya yang diperlihatkan melalui 4 gambaran peringatan. Jika seseorang itu melakukan solat tersebut dalam keadaan ia mengetahui caranya, dia telah diperingatkan dan masih lagi memilih cara tersebut, maka solatnya tetap tidak sah, melainkan telah jelas kejahilannya, lupa atau dipaksa melakukan sedemikian.

Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang ini diketahui ramai yang jahil dikalangan umat Islam, samada mereka akan bertaklid, sama seperti orang yang jahil dalam hukum agama atau tidak bertanyakan kepada orang-orang alim.

Apabila diselidiki dari rakan-rakan, terdapat DUA gambaran SAH solat diatas kerusi sebagaimana yang dizahirkan oleh kebanyakkan orang pada masa ini.

Gambaran pertama – seseorang yang memang asal kejadiannya serba kekurangan (OKU), dimana dia tidak berupaya untuk berdiri dan pergerakkannya terhad. Mereka ini dianggap sebagai orang sakit dan sangat lemah. Begitu juga dengan mereka yang terkena stoke atau angin ahmar, atau sakit-sakit lain yang menyebabkan di tidak boleh berdiri.

Bagi mereka yang berkeadaan begini, secara syariatnya hendaklah dia duduk diatas kerusi pada permulaan solat lagi, menggerakkan kepala ketika Sujud dan Ruku, menjadi Sujud lebih rendah dari Ruku'.

Bagi mereka yang tidak mampu menggerakkan kepala, maka hendaklah dia berniat dengan hatinya, pada setiap rukun.

Gambaran kedua :- bagi seseorang yang uzur hanya pada duduk sahaja, kerana keuzuran sakit, dan telah merujuk kepada doktor yang pakar, maka mereka yang menghadapi keadaan ini, disyariatkan bersolat Berdiri dan Rukuk, sehingga bila sampai kepada rukun Sujud, maka hendaklah dia duduk diatas kerusi, mengerakkan kepala dengan niat Sujud, dia lakukan bagi keseluruhan solatnya.

Demikian penjelasan beberapa gambaran solat yang sah diatas kerusi. Terdapat beberapa hukum lain yang penting untuk dijelaskan lebih-lebih lagi kedapatan kerusi disediakan di saf awal di masjid dimasa ini. Kedudukan saf mereka yang menggunakan kerusi masih lagi tertakluk kepada kedudukan tumit-tumit kaki, bahu,dsbm bukannya kedudukan kaki kerusi jika seseorang itu mampu berdiri and ruku' semasa solat (dan hanya menggunakan kerusi ketika sujud dan duduk diantara dua sujud). Ini bermaksud, kedudukan kerusi itu akan kebelakang sedikit. Dia hendaklah bijak meletakkan kedudukan kerusinya agar tidak mengganggu jemaah dibelakangnya. Akan tetapi, bagi mereka yang sentiasa bersolat diatas kerusi, maka kedudukan badannya dikira sebagai kedudukannya didalam saf. WA.

Berikut adalah ceramah oleh TG Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman membedah buku ini (تنبيه الناسي بحكم صلاة أهل الكراسي)
http://www.youtube.com/watch?v=J7IcNLnkxpQ


Sekian, wassalam

kamin, al-ahkam.net
25 September 2014.

No comments: