Tawaf Wada’ selepas Umrah di hari Jumaat
Memasuki Masjid al-Haram untuk
bersolat Jumaat pada masa ini sangat mencabar dengan terdapatnya ribuan manusia
memenuhi setiap sudut ruangan kosong didalamnya. Datang seawal 10 pagi pun agak
sukar untuk mendapatkan tempat duduk. Bayangkan betapa sesaknya masjid ini
diwaktu percutian musim panas negara Arab dan bulan Ramadhan yang akan tiba. Antara sebab kesesakan di
Masjid al-Haram adalah kerana lebih kurang ¼ kawasan masjid ini masih terlibat
didalam proses pembesaran terutamanya disebelah Syamiyyah dan Mathaf (Tempat
Tawaf). Arab Saudi juga baru menyelaraskan cuti mereka yang dahulunya
Khamis-Jumaat ditukar menjadi Jumaat-Sabtu, menyamai negara-negara Arab yang
lain, maka ia memberi peluang kepada warga Saudi untuk bermusafir ke Masjid
al-Haram dan bermalam di Mekah hingga hari Sabtu.
Kebetulan pada hari Jumaat minggu lepas terdapat sekumpulan
jemaah Umrah dari Malaysia akan berangkat dari Mekah ke Jeddah jam 4 petang, maka mereka
dikehendaki melakukan Tawaf Wada’ selepas solat Jumaat. Menurut keputusan
Muzakarah Haji 1427H (Mei 2006), uruf tempoh valid Tawaf Wada’ pada hari Jumaat
adalah antara 4 hingga 5 jam. Maknanya jika bas bertolak pukul 4 petang, maka pukul
11pagi jemaah sudah boleh menunaikan Tawaf Wada’. Pukul 11pagi sehingga 1pm
sangat sukar melakukan Tawaf Wada’ oleh kerana waktu itu sesak dengan jemaah yang menunaikan
solat Jumaat. Waktu yang agak sesuai adalah lepas solat Jumaat, namun demikian
keadaannya masih mencabar, masjid masih lagi sesak dengan ribuan manusia.
Kelihatan seorang anak dan ibu yang dalam linkungan
pertengahan 60an cuba melepasi lautan manusia turun ke Mathaf (tempat tawaf)
untuk melakukan Tawaf Wada’. Si ibu dalam keadaan panik dan resah mengatakan
kepada anaknya : “Macamana kita nak tawaf ni?”. Anaknya berkata “Nak buat
macamana Mak? Buat aje lah. Tawaf Wada’ ini wajib Mak. Kita redha aje Mak”. Si ibu berkata lagi
:”Macamana ni?”. Namun anak tersebut terus diam sambil memimpin tangan ibunya
ke kawasan Mathaf.
Kebanyakkan agensi yang mengendalikan umrah masih berpegang
kepada wajibnya melakukan Tawaf Wada’ sebelum meninggalkan Mekah. Barangkali
elok juga kita melihat kepada pelbagai pendapat mengenai hukum Tawaf Wada’ ini,
lebih-lebih lagi dalam keadaan Masjid al-Haram yang tidak mengizinkan tawaf untuk dilakukan.
Menurut Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah li
al-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta (11/298-299) : “Dibenarkan untuk mereka yang
melakukan umrah, terutamanya apabila di tinggal di Mekah setelah menunaikan
Umrah, maka hendaklah dia melakukan tawaf Wada’ apabila ia keluar dari Mekah,
akan tetapi ia bukanlah wajib menurut pendapat yang paling benar dikalangan
ulama”
Pendapat yang mengatakan ianya wajib berdasarkan kepada
hadith :
لا
ينصرف أحد حتى يكون آخر عهده بالبيت
“Tidak seorangpun meninggalkan (Baitullah) sehingga perkara
akhir dia lakukan ialah mengeliling Baitullah” [Hadith Riwayat Ahmad dan
Muslim]. Majoriti ulama’ berpendapat bahawa hadith ini merujuk kepada ibadat
Haji.
Menurut Sheikh Abdul Aziz Marzuq al-Torifi, Tawaf Wada’
selepas Umrah tidak wajib, ini merupakan pandangan jumhur (majoriti) ulama’ ari
kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Terdapat sebahagian mereka yang
mengatakan Tawaf Wida’ wajib,
sebagaimana beberapa pendapat Mazhab Hanafi, Syafie dan Ibn Hazm. [al-Torifi,
Sifatu Hajjati al-Nabi, ms 205]
Dikalangan ulama’ yang mengatakan Tawaf Wada’ selepas umrah
tidak wajib menjelaskan bahawa tidak terdapat dalil yang mewajibkan, malah Nabi
:saw tidak melakukan Tawaf Wada’ semasa beliau meninggalkan mekah setelah melakukan
umrah al-Qada’.
Berdasarkan majoriti mengatakan Tawaf Wada’ selepas Umrah
adalah tidak wajib, adalah dirasakan sesuai buat masa ini mengambil pandangan
ini terutamanya keadaan yang sesak didalam Masjid al-Haram. Malah didalam keputusan
Muzakarah Haji 1427H (2006) memberi kelonggaran kepada petugas Haji memberi tumpuan utama kepada jemaah Haji yang
ingin berangkat pulang agar tidak perlu melakukan Tawaf Wada’. Kelonggaran ini juga boleh diaplikasikan
keatas jemaah Umrah agar mereka diberi alternatif untuk tidak perlu menunaikan Tawaf
Wada’ terutamanya jika keadaan Masjid al-Haram yang sesak.
Khilaf (perselisihan) ulama’ berkenaan dengan Tawaf Wada’ selepas
Umrah ini sekurang-kurangnya memberi keringanan kepada umat Islam dimasa
menghadapi kesesakan Mathaf dan kesuntukan masa untuk berangkat pulang ke tanah
air. Bagi mereka yang mampu melakukan Tawaf Wada’ selepas Umrah, adalah
sangat-sangat digalakkan. WA.
Berikut adalah video penjelasan hukum Tawaf Wada' menurut pendapat Dr Muhammad al-'Arifi :-
Berikut adalah video penjelasan hukum Tawaf Wada' menurut pendapat Dr Muhammad al-'Arifi :-
Sekian, wassalam
Kamin, 1-5-2014.
No comments:
Post a Comment