Friday, December 29, 2006

Haji Akbar - Apakah ia berlaku setiap tahun?

Bila mana Majlis Tertinggi Kehakiman Kerajaan Arab Saudi memutuskan bahawa 21 Disember 2006 merupakan bermulanya bulan Zulhijjah, maka ramai yang berbicara mengenai hari Wukuf akan berlaku pada hari Jumaat. Mereka berbicara tentang apa yang dikatakan Haji Akbar, lalu salah satu dari stesyen TV Malaysia telah menyiarkan hadith yang bunyi :

أفضل الأيام يوم عرفة إذا وافق يوم الجمعة وهو أفضل من سبعين حجة في غير جمعة
"Sebaik-baik hari Arafah ialah yang jatuh pada hari Jumaat, dan kelebihannya melebihi 70 Haji pada hari selain dari Jumaat"

Alangkah baiknya stesyen tersebut bertanya dulu kepada mereka yang pakar didalam bidang mengenai status hadith tersebut? Syeikh Nasyiruddin al-Albani rh telah menyenaraikan hadith ini kitabnya al-silsilah al-Dhaefah jilid 1 (hadith no: 207) sebagai hadith yang batil tahrijnya. Dengan kata lain, hadith ini palsu, dan tidak diketahui asalnya dari Nabi :saw.

Ibn Qayyim rh. didalam Zaad al-Ma'aad menyebut bahawa 'apa yang di ceritakan oleh orang ramai, bahawa kelebihannya menyamai 72 haji adalah batil, tidak ada asalnya dari Rasulullah :saw, dan tidak satu pun riwayat dari kalangan Sahabat dan Taabien, dan Allah yang amat mengetahui' [Zaad al-Ma'aad, 1/39, Tahqiq oleh Muasasah al-Rayyan, cet ke 2, 2002].

Nah!, mudah sekali hendak menyebarkan hadith-hadith palsu ini! Inilah yang dikatakan kemungkaran terbuka yang perlu di cegah! OK lah, kita bincang hal penyebaran hadith palsu ini lain kali. Kita tidak memerlukan hadith-hadith palsu untuk menunjukkan kelebihan ibadat Wukuf pada hari Jumaat, kerana banyak hadith-hadith sahih yang menjelaskan kelebihan 2 hari kebesaran Islam ini ; Hari Jumaat dan Hari Wukuf/Arafah.

Misalnya, pada hari Jumaat terdapat saat-saat yang Allah kabulkan do'a seseorang, begitu juga kelebihan bagi orang yang berdo'a pada hari wukuf. Wukuf pada hari Jumaat juga mengingatkan kita kepada Haji yang dilakukan oleh Nabi :saw. Wukuf juga dikata hari Eid/Raya kepada jemaah Haji, dan hari Jumaat juga dikatakan Eid bagi orang Islam, dimana pada kedua-dua hari ini di makruhkan berpuasa (bagi jemaah Haji makruh berpuasa pada hari Arafah).

Maka timbul persoalan, Apakah maksud Haji Akbar didalam hadith dan al-Quran?

Haji Akbar didalam hadith Nabi :saw merujuk kepada Hari Korban atau Hari Raya Haji. Hadith riwayat Ibn Umar ra. menyatakan bahawa Rasulullah :saw berdiri pada hari Korban semasa melakukan Haji lalu bertanya :

( أي يوم هذا ؟ ) فقالوا : يوم النحر ، فقال : ( هذا يوم الحج الأكبر )
"Hari apa ini? Mereka berkata : Hari Korban (Hari Nahr), baginda bersabda : Ini merupakan hari Haji Akbar" [Hadith dari Sunan Abi Daud no: 1945].

Firman Allah swt :-

وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ
"Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji Akbar...." [surah al-Taubah : 3].

Al-Qurthubi didalam membahaskan ayat ini mengatakan bahawa ulama' khilaf mengenai maksud Haji Akbar, ada yang mengatakan ia adalah Hari Arafah, akan tetapi Ibn Abbas ra, Ibn Masud ra dan lain2 mengatakan hari tersebut adalah Hari al-Nahr, atau hari Eid al-Adha. [Tafsir al-Qurthubi 8/45]. Ibn Kathir menyebut bahawa Haji Akbar adalah pada Hari korban, iaitu hari menzahirkan kebesaran illahi, dan merupakan hari terbaik didalam manasik haji. [Tafsir Ibn Kathir, 3/439]. Begitu juga didalam tafsir Jalalain, ialah merujuk kepada Hari Nahr atau Hari Korban.

Dr Wahbah al-Zuhaily juga menyebut, bahawa Haji Akbar adalah pada hari Raya Haji atau Har Korbani. Ia juga membezakan diantara Haji fardu yang digelar Haji Akbar dan Umrah yang digelar sebagai Haji al-Asghar. [al-Tafsir al-Munir, 5/445].

Maka jelas dari hadith dan al-Quran, Haji Akbar juga membawa maksud Hari Korban atau Hari Raya Adha. Ia merujuk kepada hari membesarkan Allah dengan bertakbir dan menyembelih binatang korban. Ia juga merujuk amalan Haji yang fardu (Haji Akbar), mana kala Haji Ashgar (Haji Kecil) merujuk kepada ibadat Umrah. Bagi Hari Arafah yang jatuh pada Hari Jumaat, ketahuilah bahawa kedua-dua hari ini merupakan hari yang cukup mulia didalam Islam. Ia mengambarkan dua kemuliaan berlaku dalam satu hari, sudah tentulah ganjarannya banyak.

Sekian.
8 Zulhijjah Malaysia, 9 Zulhijjah di Arab Saudi, 1427. (29 Disember 2006), 6:30pm.

p/s - Tahniah Ustaz Ahmad Shukri Yusoff (Pusat Zakat) diatas penjelasan istilah Haji Akbar didalam rancangan al-Kuliyyah di TV3 tadi (29/12/2006).

No comments: