Solat yang berkekalan ?
Kedengaran seorang penceramah mengupas pengertian dan hakikat solat dengan merujuk kepada sebuah kitab bernama Irsyaadat al-‘Aarifiin. Beliau mengatakan bahawa Hakikat Solat adalah :-
“Sesiapa yang tidak bercerai, tidak akan bersatu. Inilah yang dikatakan sebagai solat yang berkekalan, sebagaimana firman Allah swt :-
الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ
“Mereka yang solatnya berkekalan” [Surah al-Ma'arij : 23]
Tegas beliau lagi : Yang bercinta tenggelam dengan cintanya kepada yang dicintai. Solat biasa adalah lima waktu sehari semalam, dan mengadap ke kiblat. Solat yang berkekalan pula mengadap wajah Allah swt sebagaimana firmannya :
فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ
“maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah Yang diredhai Allah;.” [Surah al-Baqarah : 115]
Solat yang biasa mempunyai cara-cara dan hukum tertentu. Solat yang berkekalan itu luas bidangnya. " Lalu penceramah ini pun mengakhiri kuliyah hakikat solat dengan menangguh untuk menjelaskan maksud kiblat "solat yang berkekalan" di sesi ceramah yang akan datang.
Tamat sahaja ceramah beliau, jemaah masing-masing tidak mengutarakan sebarang soalan. Barangkali mereka itu samada faham atau kabur dengan apa yang telah di terangkan penceramah tersebut. Bagi saya, penjelasan tersebut agak mengelirukan, malah memberi ruang yang luas kepada jemaah-jemaah yang menggunakan akal seperti Jemaah Al-Quran Malaysia (JAM), Jalinan Islam Liberal (JIL), Sister's in Islam (SIS) dsb untuk melakukan tafsiran al-Quran secara sembrono.
Apakah maksud surah al-Ma’arij ayat 23 itu merujuk kepada “solatnya berkekalan” atau “orang yang istiqamah/tetap dengan solatnya”? Menurut al-Quran terjemahan Bahasa Indonesia terbitan Kerajaan Arab Saudi, ayat tersebut bermaksud :”Iaitu mereka Yang tetap mengerjakan solatnya;”[ms. 974]. Terjemahan Bahasa Malaysia, al-Quran Mushaf Tajwid terbitan Darul Fikir pula menyebut : “Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya” [ms 569].
Dr Wahbah Zuhaily [Tafsir al-Munir 15/130-131] menjelaskan bahawa “tetap mengerjakan solat” membawa maksud mereka yang menjaga solatnya dari segi waktu dan syarat-syarat wajibnya. Mereka itu tidak sekali-kali lalai meninggalkan waktu-waktu solat, tidak sibuk melainkan sibuk kerana menunaikan solat, tidak membezakan yang mana satu fardu dan yang mana satu sunat, merasakan hakikat sebenar berhubung dengan Allah dengan khusyuk, dimana natijah solat ini akan melahirkan sifat Mahmudah.
Al-Zuhaily pula menegaskan bahawa ayat ini merujuk kepada orang yang menjaga keseluruhan solat, seperti pentingnya mengerjakan wudhu’ yang betul, menutup aurat, berusaha mencari kiblat, menetapkan hati apabila masuk waktu solat, berusaha untuk mendapat khusyuk, menjauhi diri dari riya’, melakukan perkara sunat dan perkara yang menyempurnakan solat. Kerana sesungguhnya solat ini akan mencegah fahsya’ dan munkar, melakukan maksiat selepas solat merupakan dalil bahawa tidak diterima solat seseorang .
Ibn Kathir juga menafsirkan ayat ini sebagai mereka yang menjaga waktu-waktu dan kewajipan solat. Ia juga merujuk kepada ketenangan yang wujud didalam solat. [Muktasar Tafsir al-Quran al-Azim/ Umdah al-tafsir ‘an al-Hafiz Ibn Kathir, oleh Ahmad Muhammad Syakir, 3/576].
Al-Qurthubi pula memetik kata-kata ulama' yang menjelaskan bahawa ia merujuk juga kepada golongan yang sentiasa menjaga wudhu' mereka. Termasuk juga mereka yang banyak melakukan solat sunat., dan sunnah-sunnah lain, termasuklah zakat dan silatul rahim [Tafsir al-Jami' al-Ahkam al-Quran, 18/188].
Dari tafsiran ulama' muktabar diatas, amat beza sekali tafsiran yang diberikan oleh penceramah tersebut. Penceramah diatas mengatakan ayat ini menyentuh mengenai 'solat yang berkekalan', dan kebanyakkan kitab terjemahan menyatakan 'mereka yang tetap (istiqamah) didalam solatnya. Bagi penceramah ini, solat yang berkekalan ini hanya boleh dicapai oleh mereka yang telah sampai ke suatu maqam khas. Berbanding dengan pandangan mufassirin, ayat ini menyentuh berkenaan dengan golongan-golongan yang mengambil berat mengenai perkara-perkara yang boleh menyebabkan solat mereka khusyuk dan diterima Allah.
Ayat ini menjelaskan golongan-golongan ini walau apa pun berlaku, mereka akan tetap menunaikan solat mereka. Mereka akan berusaha menjaga perkara-perkara yang dapat membantu memperelokkan solat mereka kepada tingkatan yang lebih baik; contoh - menjaga hati mereka agar khusyuk, menjaga aurat mereka, solat pada waktunya, memperbanyakkan solat-solat sunat.
Penceramah-penceramah jenis ini akan mengatakan bahawa tafsiran ulama' muktabar ini hanyalah pada kulitnya sahaja. Maknanya, tafsiran ini hanya di lihat secara zahir sahaja. Hanya ulama' mereka sahaja yang berupaya melihat maksud yang tersirat didalam ayat-ayat tertsebut, maka jadilah syariat baru - Solat yang berkekalan, dimana kiblatnya adalah wajah Allah. Begitu anehnya golongan-golongan yang seperti ini, sungguh pelik, sehinggakan ulama' mufassirin pun tak boleh berfikir seperti mereka. Ini belum lagi golongan-golongan yang menggunakan akal secara mutlak mentafsirkan ayat ini. Agak-agaknya, apa tafsiran mereka ye??
Sekian, wassalam
1 comment:
sgt bagus! penjelasan yang ringan tetapi padat
Post a Comment