Thursday, November 16, 2006

Umrah sunnat di bulan Syawal (Bulan-bulan haji)

Umrah di akhir Ramadhan merupakan tahap kemuncak ibadat puasa di Tanah Haram, Arab Saudi. Keadaan yang sesak ini sama sahaja situasinya di Makkah dan di Madinah. Ada dikalangan jemaah yang mengambil pakej 10 malam terakhir, terutamanya bagi mereka yang ingin menjalankan ibadat iktikaf. Begitu juga ada jemaah yang terbang untuk menyambut malam 27 Ramadhan di Tanah Suci ini dengan harapan berjumpa atau mendapat berkat malam al-Qadar. Biasanya mereka yang mengambil pakej 27 Ramadhan atau 10 hari terakhir Ramadhan akan menyambut Eid al-Fitr di Makkah, Madinah atau pun di Jeddah.

Suasana manusia selepas solat Eid al-Fitr di Masjidil Haram agak berkurangan berbanding dengan keadaan hari-hari kebiasaan. Ini disebabkan dikalangan orang-orang Arab akan makan besar bersama-sama keluarga pada hari tersebut. Waktu inilah yang diambil kesempatan oleh jemaah-jemaah (Malaysia khususnya) untuk melakukan Tawaf sunnat dan mencium Hajar Aswad. Suasana kesibukan di Masjid al-Haram tiba kembali apabila masuknya waktu Zohor.

Bulan Syawal disamping menjadi bulan umat Islam bergembira pada 1 haribulannya (Eid al-Fitr), bulan ini juga termasuk apa yang dinamakan sebagai bulan-bulan Haji. Ini bermakna jemaah Haji boleh mula memulakan ibadat Haji bermula dari satu haribulan Syawal. Pernah beberapakali saya mendengar ceramah-ceramah yang menegaskan bahawa apabila masuk 1 Syawal, jemaah-jemaah yang menunaikan Umrah hendaklah mula keluar dari Tanah Haram ini. Penegasan ini dilakukan bagi tujuan mengelakkan jemaah-jemaah Umrah yang ingin pulang ke Malaysia dari melakukan Umrah. Bagi mereka, barangsiapa yang melakukan Umrah pada bulan Syawal (bulan-bulan Haji iaitu Syawal, Zulqaedah dan Zulhijjah) sudah dikira menunaikan Umrah bagi Haji Tamattu' dan wajib menyempurnakan Hajinya.

Nescaya itu kita melihat ramai dikalangan jemaah-jemaah akan segera meninggalkan Masjidil Haram apabila masuk 1 Syawal. Ada dikalangan mereka yang ketinggalan kapal terbang terpaksa menyewa tempat tinggal beberapa hari di Jeddah. Ada yang sampai satu minggu terkandas akibat tertinggal kapal terbang, namum mereka tidak berani pulang ke Masjidil Haram untuk mempertingkatkan lagi ibadat. Bukankah pahala bersolat di Masjid al-Haram lebih banyak betrganda-danda dari bersolat di Masjid biru di Jeddah?? Disebabkan takut ibadah Umrah wajib diikuti dengan ibadat Haji, maka jemaah lebih rela tinggal di Jeddah daripada di Makkah.

Apakah benar kenyataan bahawa mereka yang melakukan Umrah pada bulan-bulan Haji wajib melakukan ibadat Haji? Ulama' mengatakan bahawa disebut sebagai bulan-bulan Haji adalah kerana menandakan bahawa Haji hanya berlaku pada bulan-bulan ini sahaja. Bagi mereka yang melakukan Umrah sunat adalah dibenarkan, tanpa perlu menunaikan Haji. Malah, Syeikh Ibn Usaimin (bekas Mufti Arab Saudi) ketika ditanya mengenai hukum seseorang yang melakukan Haji Tamattu' (melakukan Umrah dahulu), setelah selesai menunaikan Umrah dia telah pulang ke negerinya tanpa menunaikan Haji, beliau menjawab :-

لا شيء عليك لأن المتمتع إذا أحرم بالعمرة ثم بدا له أن لا يحج قبل أن يحرم بالحج فلا شيء عليه إلا أن ينذر أن يحج هذا العام ، فإذا نذر وجب عليه الوفاء بنذره
"Tidak perlu melakukan apa-apa, kerana sesungguhnya bagi Haji Tamattu' dia masuk dengan ihram Umrah, kemudian dia membuat keputusan untuk tidak melakukan Haji sebelum memasuki Ihram Haji. Dia tidak perlu melakukan apa-apa (dam), melainkan jika dia bernazar untuk melakukan Haji pada tahun itu. Jika dia melakukan nazar tersebut, maka wajib untuknya menyempurnakan nazar nya itu" [Fataawa Ibn Utsaimin, 2/679].

Nabi Muhammad :saw sendiri melakukan Umrah 4 kali didalam bulan Zulqaedah, yang juga termasuk didalam bulan-bulan Haji. Baginda tidak menunaikan Haji melainkan pada Umrah terakhirnya. Imam al-Bukhari dan Imam Muslim telah meriwayatkan dari Anas ra.bahawa Rasulullah :saw melakukan Umrah dari al-Hudaibiyah (6 Hijrah) pada bulan Zulqaedah, Umrah setahun kemudian juga pada bulan Zulqaedah (7 Hijrah), Umrahnya dari Jira'nah semasa pembukaan Makkah dibulan Zulqaedah (8 Hijrah) dan akhir sekali Umrah pada tahun baginda melakukan Haji juga berlaku pada bulan yang sama. Ini membuktikan bahawa 3 Umrah yang baginda lakukan pada bulan-bulan Haji tidak disertai dengan melakukan ibadat Haji, dan menjelaskan kepada umat Islam bahawa melakukan Umrah pada bulan-bulan Haji tidak mewajibkan seseorang itu menunaikan Haji.

Ibadat didalam Islam memerlukan kefahaman dan ketulenan dalil, dan ia tidak boleh dilakukan dengan penentuan akal semata-mata. Bukanlah disebabkan Umrah dilakukan didalam bulan-bulan Haji, seseorang itu di wajibkan Haji baginya. Ibadat didalam Islam memerlukan niat, iaitu keazaman untuk melakukan sesuatu ibadat. Bagi mereka yang masih berada di Makkah pada Syawal sementara menanti kepulangannya, lakukanlah sebanyak mungkin ibadat-ibadat di Masjidil Haram. kenapa harus tinggal di Jeddah jika jadual penerbangan pulang masih lama lagi? Berbeza betul fadhilat solat di Masjidil Haram jika dibandingkan dengan Masjid di Jeddah. Begitu juga bagi mereka yang ingin melakukan Umrah sunat bagi pihak kedua ibu-bapa mereka, bolehlah melakukan Umrah di bulan Syawal tanpa perlu menunaikan ibadat Haji.

-kamin
24 Syawal 1417 / 16 November 2006

No comments: