Umrah bulan Ramadhan : diantara keperluan dan keutamaan
Mengerjakan umrah didalam bulan Ramadhan merupakan satu trend umat Islam di negara kita. Mereka ini terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah orang-orang kenamaan, artis-artis, ustaz-ustaz, golongan koperat dan sebagainya akan cuba mengerjakan umrah dibulan yang mulia ini. Malah kerajaan Arab Saudi melaporkan bahawa jumlah jemaah di Makkah dan Madinah melebihi jumlah jemaah dimusim Haji. Cuma bezanya adalah jemaah tidak bergerak dari satu tempat ke satu tempat, dan juga kawasan tawaf tidak begitu sesak selepas solat Isya', kerana tumpuan diberikan kepada ibadat Solat Tarawih dan Iktikaf. Satu lagi fenomena umrah pada musim Ramadhan adalah, pada waktu pagi, Masjidil Haram tidaklah sesak, kerana sebahagian jemaah mula tidor selepas selesai solat subuh.
Ada kebenarannya fatwa yang dikeluarkan oleh Syiekh Nasyiruddin al-Albani bahawa tidak ada iktikaf (untuk 10 malam terakhir Ramadhan) melainkan hanya di 3 masjid; iaitu Masjid al-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa (berdasarkan hadith sahih yang dikeluarkan oleh al-Tahaawi, al-Ismaili dan Baihaqi - Lihat Risaalah Qiyaam Ramadhaan , Bab Syarat Iktikaf, ms 15, edisi internet). Mereka yang benar-benar ingin melakukan amalan iktikaf hendaklah masuk kedalam salah satu dari 3 masjid diatas bermula dari 20 Ramadhan sehinggalah ke malam Eid al-Fitr. Sudah tentu cuti yang akan diambil melebihi 14 hari, termasuklah perjalanan pergi dan balik. Amalan Iktikaf di tanah haram ini sesuai sangatlah dengan cuti panjang yang diambil dan menepati maksud hadith tersebut.
Pakej umrah di bulan Ramadhan biasanya terbahagi kepada 4 bahagian; Awal Ramadhan, Pertengahan Ramadhan, 10 hari terakhir beserta iktikaf dan akhir Ramadhan berserta Hari Raya. Yang membezakan diantara pakej-pakej ini adalah harganya. Makin hampir kepada hari raya, makin mahal harga pakejnya. Saya pernah berbincang dengan seorang mudir hotel disana mengenai harga sewa hotel. Kata beliau, selepas musim Haji, harga hotel boleh turun semurah 50 Riyal satu malam, dan boleh meningkat sehingga 400 Riyal bagi bilik yang sama dimusim Ramadhan. Bagi pengusaha hotel pada musim Haji, kebanyakkan hotel di Makkah akan disewa selama 3 bulan pada Muasasah Haji untuk kegunaan pakej jemaah Haji dan digelar Maktab. Puncak perniagaan bagi hotel-hotel di Makkah sebenarnya adalah pada bulan Ramadhan. Akibat dari kenaikkan sewa hotel dan kos-kos lain, pakej Umrah di bulan Ramadhan terlalu istimewa bagi mereka yang berkemampuan sahaja.
Kalau dilihat dari aspek kos pakej Umrah dimusim Ramadhan, ia hampir menyamai atau melebihi pakej asas haji. Kos Umrah yang tinggi ini tidak menghalang orang-orang yang berharta melakukan Umrah di bulan Ramadhan berkali-kali. Melihat dari sudut fiqh; apakah ianya sunnah melakukan Umrah sunat berkali-kali seperti ini? Sekali lihat, persoalan ini seolah-olah wujud perasaan tidak puas hati dari kalangan orang-orang miskin. Rupa-rupanya menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Imam Ghazali rh. juga pernah mengkritik sikap orang-orang kaya yang mengerjakan amakan Haji sunat berkali-kali sedangkan jiran tetangga didalam keadaan miskin, kebuluran dan kelaparan (Fiqh al-Aulawiyat, cet ke 4, 2000, ms. 212)..
Fiqh (Fekah) ini yang dinamakan Fiqh al-Aulawiyat menurut al-Qaradhawi. Ia merupakan fiqh yang melihat prioriti sesuatu amalan, yang mana lebih diutamakan. Beliau juga telah memetik dialog diantara Syeikh Bishir Ibn al-Harith dengan seorang lelaki. Lelaki tersebut memohon izin Syeikh al-Harith untuk pergi membuat Haji sunnat, katanya : "Aku telah berazam untuk menunaikan Haji (sunat), maka nasihatlah aku sesuatu?". Syeikh berkata :"Berapa jumlah nafkah kamu?". Jawabnya :"2,000 dirham". Berkata Bishir :"Apakah yang anda mahu apabila menunaikan Haji/Umrah? Ingin menjadi zuhud, atau rindukan Baitullah, atau mahu mendapat keredhaan Allah?". Jawab lelaki tersebut : "Aku inginkan keredhaan Allah". Berkata Syeikh lagi :"Jika kamu boleh mendapatkan keredhaan Allah ditempat kamu dengan membelanjakan 2,000 dirham, dan kamu yakin mendapat keredhaan Allah, Apakah kamu mahu begitu?". Berkata lelaki tersebut :"Ya".
Syeikh berkata : "Pergilah berikan (duit tersebut) kepada 10 golongan : Orang berhutang dilepaskan hutangnya, orang fakir agar ia dapat menjaga dirinya, orang yang banyak tanggungannya dicukupkan belanjanya, penjaga anak yatim digembirakannya, jika kuat hatimu, agihkanlah. Sesungguhnya mengembirakan hati seseorang Islam, menolong orang didalam kesusahan, kesempitan dan kesulitan hidup : lebih afdal dari melakukan 100 kali Haji sunat! Pergilah (bangunlah),maka keluarkan harta kepada golongan yang aku suruhkan tadi!......" (Fiqh al-Aulawiyat , ms 212. al-Qaradhawi memetik dari Ihya' 3/409).
Didalam buku yang sama juga, al-Qaradhawi menyelar orang-orang kaya yang hanya menyibukkan diri dengan ibadat badaniyah sahaja seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan sebagainya, yang tidak melibatkan wang ringgit yang banyak. Menurut beliau, mereka ini adalah merupakan orang-orang yang terpedaya, kerana sifat bakhil dan kendekut menguasai diri mereka. Beliau mengumpamakan keadaan ini seperti orang yang dipatuk ular berbisa yang boleh membawa maut, apa yang dicarinya adalah ubat penyakit kulit, dan bukan ubat menawar racun ular tersebut. (Fiqh al-Aulawiyat , ms 211).
Benar sekali, secara realitinya manusia lebih suka membayar pakej Umrah yang mahal daripada mendermakan jumlah wang yang sama kepada mereka yang memerlukan. Biasanya, kalau nak bersedekah, jangan kata 10% dari jumlah wang pakej Umrah disedekahkan, RM20 pun susah. Bayangkan berapa ramai orang miskin yang dapat kita bantu dengan jumlah wang sebanyak RM5000?
Bagi mereka yang saban tahun menunaikan Umrah sunnat, marilah bermuhasabah dengan meletakkan prioriti amalan kita kepada sesuatu yang lebih di perlukan. Waduh, dengan wang lebih dari RM5,000, banyak hati-hati yang dapat dihibur dan digembirakan. Ramai juga mereka yang akan mendo'akan kita agar dimurahkan reski dan dipanjangkan umur. Janganlah kita asyik mementingkan menambah pahala kita bersendirian sahaja. Marilah kita melakukan satu amalan yang boleh menjadi sedekah jariah (flowing donation) yang sudah pasti sampai ke alam barzah, dan mendapatkan keredhaan Allah swt. Jom sedekah!!
- kamin, 12 Nov 2006 / 20 Syawal 1427, 12:10am.
No comments:
Post a Comment