Tuesday, August 13, 2013

Penjelasan Puasa 6 bagi mereka yang mempunyai Qadha’ puasa

Shiekh Abdul Aziz Marzuq al-Torifi
Antara ibadat yang mempunyai banyak ganjarannya selepas berpuasa pada bulan Ramadhan ialah meneruskan berpuasa sebanyak 6 hari didalam bulan Syawwal, dijanjikan Allah ganjaran seperti berpuasa sepanjang tahun. Dalil adalah, dari Abu Ayyub ra. bahawa Nabi :saw bersabda  :-


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر
"Barangsiapa yang  berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan ( berpuasa ) enam hari dibulan Syawal, maka ( ganjarannya ) sama seperti berpuasa selama satu tahun." ( Hadith Riwayat Imam Muslim ).

Berdasarkan hadith ini, ada dikalangan ulama’ menjelaskan bahawa mereka yang berpuasa ‘penuh’ pada bulan Ramadhan sahaja dan diteruskan berpuasa sebanyak 6 hari di bulan Syawwal akan mendapat ganjaran tersebut. Bagi mereka mempunyai puasa ganti / qadha’, hendaklah terlebih dahulu menqadha’kan puasanya terlebih dahulu sebelum melakukan puasa enam.

Maka timbul persoalan lebih-lebih lagi dari kaum wanita, bagaimana pula dengan keadaan kami yang mempunyai  puasa ganti yang banyak, sudah tentu kami tidak akan mendapat ganjaran berpuasa setahun? Bagi menjawab isu ini, ada dikalangan ulama’ membenarkan melakukan puasa 6 sebelum melakukan puasa qadha’ termasuklah beberapa ulama’-ulama’ masakini yang mendokong pandangan ini.

Berikut adalan penjelasan seorang pakar hadith,  Sheikh Abdul Aziz al-Torifi  didalam Facebook beliau. Diantara perkara yang beliau jelaskan :-

1. Mereka yang berpuasa didalam Ramadhan, disebabkan keuzuran, maka dia berbuka, statusnya sama seperti orang yang sedang berpuasa, sebagaimana hadith :  (مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ) “Barangsiapa yang  berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan ( berpuasa ) enam”. Dia akan mendapat ganjaran tersebut setelah dia  menyelesaikan puasa enam hari dan puasa qadha’.

2. Di bolehkan* berpuasa 6 sebelum mengqadha’ puasa. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh salaf yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Begitu juga terzahir dari hadith A’isyah mengqadha’ puasa sehingga Sya’ban. Hadith :

كان يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ من رَمَضَانَ فما أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إلا في شَعْبَانَ
“Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.”. [Hadith Riwayat Al-Bukhari, no: 1849, Muslim no: 1146.] – (Penjelasan disini adalah tidak mungkin isteri Nabi meninggalkan puasa enam walaupun dia menqadha’ puasa dalam bulan Sya’ban)

3. Adalah digalakkan seseorang itu melaksanakan puasa enam bersamaan dengan puasa Isnin atau puasa hari-hari putih (13, 14 & 15), dsb, dengan harapan mendapat 2 ganjaran (eg. Puasa 6 dan puasa hari Isnin). Dalil tsabit dari Umar ra. melakukan puasa qadha’ pada hari-hari disunatkan berpuasa.

4. Adalah sangat baik mengqadha’ puasa Ramadhan pada hari-hari yang mempunyai kelebihan, seperti – Puasa Isnin, puasa hari-hari putih, puasa Asyura, puasa pada awal bulan Zulhijjah.

-----------------------------
Pendapat ‘*dibolehkan’ tidak semestinya pilihan yang terbaik, kerana terdapat pendapat lain yang menyuruh melaksanakan qadha’ dulu sebelum melaksanakan puasa sunat. Ini khilaf atau perbezaan ulama’ yang kita harus terima dengan fikiran yang terbuka. Bagi mereka yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakan puasa qadha’ dahulu adalah jalan yang terbaik, lebih-lebih lagi puasa yang ditinggalkan itu tidak banyak. Pendapat diatas ini memberi kemudahan terutamanya kaum wanita bagi memperoleh peluang yang sama dari ganjaran puasa 6.

Sekian, wassalam

kamin, al-ahkam.net
6 Syawwal 1434 , 13 Ogos 2013.

Klik untuk melihat kenyataan Facebook beliau

No comments: