Kekuatan Istighfar (Memohon
Ampun)
Menurut Shiekh Salman al-‘Audah, Istighfar ialah “menuntut
keampunan, dan pertahanan (wiqayah) terhadap dosa dengan menyitarkannya”. Umum
berfahaman bahawa istighfar itu hanya dilakukan setelah seseorang itu melakukan
dosa sahaja. Tidak ramai yang perasan bahawa istighfar itu merupakan satu
keadah atau sebab Allah swt menurunkan hujan. Istighfar walapun ayat atau
kalimahnya mudah, akan tetapi tidak ramai yang mengamalkan istighfar sebagai didalam
urusan seharian mereka. Paling pendek sighah / lafaznya ada : "Astaghfirullah" (أستغفر الله). Bagi menjelaskan keistimewaan amalan ini,
dipaparkan dibawah ini 3 kisah yang menjelaskan kepelbagaian faedah amalan istighfar.
Kisah 1 -Imam Ahmad bin Hanbal and Istighfar
Berikut adalah kisah yang berlaku kepada Imam Ahmad bin
Hanbal dimana pada suatu hari beliau ingin bermalam di dalam masjid akan tetapi
telah dihalang oleh pengawal masjid tersebut. Imam Hanbal cuba memujuk pengawal
tersebut namun tidak berjaya. Imam Ahmad berkata kepadanya : “Saya akan tidur
ditempat kaki saya berada”. Maka Imam Ahmad pun tidor ditempat kakinya. Lalu
pengawal Masjid tersebut menarik Imam Ahmad untuk keluarkan beliau dari situ. Namun
kelihatan wajah Imam Ahmad tenang, tergambar ciri-ciri insan yang mulia.
Beliau telah dilihat oleh seorang pembuat roti, lalu beliau menawarkan
Imam Ahmad untuk bermalam dirumahnya. Imam Ahmad bin Hanbali telah mengikut
pembuat roti tersebut. Pembuat roti tersebut melayan beliau dengan penuh hormat. Sewaktu
dirumah, pembuat roti tersebut telah pergi menguli doh untuk membuat roti.
Perkara yang penting berlaku adalah Imam Ahmad telah mendengar pembuat roti itu
memohon ampun dan terus memohon keampunan kepada Allah berterusan.
Pembuat roti itu beristighfar dalam jangka waktu yang
panjang. Imam Ahmad kagum dengan pembuat
roti yang terus beristighfar pada malam itu sambil menguli doh roti. Imam Ahmad
ingin bertanya kepadanya mengenai istighfar. Walaupun Imam Ahmad tahu faedah
istighfar, ganjaran istighfar dan fadhilat istighfar, namun beliau sengaja
bertanya kepada pembuat roti tersebut :
“Apakah ada hasil
yang anda dapat dari istighfar?” Pembuat roti itu berkata :”Ya, demi Allah,
Tidak ada satu do’a pun yang aku pohon melainkan dikabulkan Allah, kecuali satu
lagi permintaan.”
Bertanya Imam Ahmad : “Apa dia?”
Berkata pembuat roti :” Aku ingin melihat Imam Ahmad bin
Hanbal”
Maka berkata Imam Ahmad: “Aku lah Ahmad bin Hanbal, Demi
Allah, sesungguh Allah telah membawa ku kepada kamu”
Kisah 2 – Hassan al-Basri dan Istighfar
Pada suatu hari ada seorang lelaki mengadu kepada Hasan
al-Basri mengenai langit tidak hujan. Hasan al-Basri lantas berkata kepadanya:
“Beristighfarlah kepada Allah.”
Selanjutnya seorang lelaki lain mengadu akan kemiskinan yang
menimpanya. Hasan al-Basri lalu berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada
Allah.”
Kemudian datang seorang lelaki berkata : Isteri aku mandul,
tidak dapat melahirkan anak. Hasan al-Basri lalu berkata kepadanya: “Beristighfarlah
kepada Allah”.
Berkata seseorang : Beberapa orang lelaki mendatangimu
mengadu pelbagai jenis perkara tetapi kamu menyuruh mereka semua untuk membaca
istighfar!
Hasan al-Basri menjawab: “ Aku sama sekali tidak mengatakan
apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا (12 (
“Maka aku (Nabi Nuh) berkata kepada mereka: Istighfar (mohonlah
ampun) kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun (10) Dia akan
menghantar hujan kepadamu dengan lebat , dan membanyakkan harta dan
anak-anakmu, dan Dia membuat untukmu kebun-kebun dan sungai-sungai.” (Surah Nuh:
10-12)
Kisah 3 – sebagaimana yang diceritakan oleh Dr Aa’idh
al-Qarni
Berkata seorang wanita : Suami saya telah meninggal dunia pada
usia saya 30 tahun. Saya mempunyai 5 orang anak lelaki dan perempuan. Dunia
menjadi gelap di mata saya dan saya menangis sehinggalah takut akan penglihatanku
menjadi buta. Mengenangkan nasib, dengan perasaan putus asa dan tidak ada yang
prihatin dikalanganku. Anak lelakiku masih muda dan pendapatan yang aku terima
tidak mencukupi untuk menampung hidup sekeluarga. Aku amat jimat berbelanja
dengan duit yang ditinggalkan oleh bapa mereka (suami ku). Suatu malam aku
telah membuka Radio siaran al-Quran , dan aku dapati seorang Sheikh sedang
menceritakan sebuah riwayat :
من لزم الاستغفار جعل الله له من كل هم فرجا ومن كل ضيق مخرجا ورزقه من حيث لايحتسب
“Barangsiapa yang
melazimkan beristighfar / memohon ampun, Allah akan menjadikan kepadanya jalan
keluar dari segala kemurungan dan kesukaran, dan memberi reski dari sumber yang
tidak diketahui”
Aku memperbanyakkan bacaan istighfar, dan mengarahkan agar anak-anak
aku melakukannya…. Setelah 6 bulan masa berlalu, sehinggalah timbul pembinaan
projek diatas harta lama kami. Kami menerima pampasan berjuta nilainya. Anak
lelakiku menjadi pelajar nombor satu didaerah ini. Beliau menghafal keseluruhan
al-Quran, dan beliau menjadi orang yang sangat perihatinan dan membantu
manusia. Rumah kami dipenuhi dengan kebaikkan dan kami hidup dengan penuh
kegembiraan. Allah swt telah memperbaiki aku, anak-anak lelaki dan perempuanku,
sehingga kesedihan dan kekecewaan pergi berlalu dan aku menjadi seorang wanita
yang paling gembira.
Faedah Istighfar (أستغفر الله)
Diantara faedah-faedah istighfar selain dari memohon ampun
diatas dosa-dosa yang dilakukan sebagaimana yang dipaparkan dari kisah-kisah
diatas ada lah :-
1. Istighfar menjadi sebab di turunkan hujan
يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا
“Dia akan menghantar hujan kepadamu dengan lebat” [surah Nuh
– 11]
2. Istighfar boleh menyebabkan Allah swt mengurniakan zuriat
dan harta
وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ
“dan membanyakkan harta dan anak-anakmu” [surah Nuh – 12]
3. Istighfar dapat menolak bala.
وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang
engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa
mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” [surah al-anfal : 33]
4. Istighfar dapat menggantikan kejahatan kepada kebaikkan
إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan
amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat)
kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.” [surah al-Furqan : 70]
Berkata Qataadah rh. : “Sesungguhnya al-Quran menunjukkan
kepada kamu penyakit dan ubat kamu. Penyakit kamu adalah DOSA, dan ubat kamu
adalah ISTIGHFAR.”
Berkata Hassan al-Basri rh : “Perbanyakkan istighfar didalam
rumah kamu, dalam jadual kamu, dalam perjalanan kamu, dalam membeli-belah kamu dan
dalam majlis kamu! Anda tidak tahu bila turunnya pengampunan”.
Istighfar pada lazimnya berkaitan dengan ucapan memohon
ampun dari Allah swt setelah seseorang itu melakukan dosa. Dosa juga menjadikan
penyebab Allah swt penyekat reski seseorang, diturunkan bala, dsb. Istighfar
juga boleh menjadi penyebab do’a-do’a kita dikabulkan oleh Allah swt. Marilah
kita menjadikan istighfar sebagai amalan penghidupan kita; memulakan hari dan
menyudahi hari dengan beristighfar, Moga-moga Allah mengampuni dan merahmati
kita. Mudah sahaja lafaznya : Astaghfirullah (أستغفر الله).
Sekian, wassalam
3 Ogos 2013, 25 Ramadhan 1434
Kamin, al-ahkam.net
Rujukan :
1. Dr Salman al-‘Audah. “Ma’a al-Shiyaam”. Riyadh : Muaasasah Islamtoday, 2011.
2. Kisah Imam Ahmad bin
Hambal.
URL : http://www.aswaqcity.com/thread820141.html
3. Kisah Hassan al-Basri
URL : http://www.syriafreenetwork.com/t1139-topic
4. Kisah Sheikh Dr Aaidh al-Qarni
URL : http://women.bo7.net/girls346727
No comments:
Post a Comment