Wednesday, May 06, 2009

Kisah perkahwinan dan Azan Asar


[Masjid Wilayah Persekutuan. Sumber ms.wikipedia.org]

Pada hari Jumaat lepas (1 Mei 2009) saya telah menghadiri majlis perkahwinan anak seorang sahabat di Masjid Wilayah Persekutuan yang tersergam indah. Majlis dimulakan jam 2:50 petang dan mereka diberi masa lebih kurang satu jam untuk mengosongkan tempat, memberi peluang kepada pasangan penganting yang lain, untuk dinikahkan sebelum solat Asar. Setelah selesai majlis tersebut, lebih kurang pukul 3:50pm, tetamu dijemput ke majlis jamuan di Dewan Muslimat.

Masjid yang dibina dengan belanja RM255juta yang terletak dikawasan seluas 33 ekar itu dilengkapi dengan Dewan Khas bagi masjid Akad-Nikah yang terletak di Anjung C yang dipanggil Dewan Pernikahan . Dewan berkaca ini memberi peluang kepada kaum keluarga yang tidak berpeluang memasuki dewan tersebut melihat majlis akad nikah dari luar dewan. Kemudahan-kemudahan ini mengembalikan era kegemilangan peranan masjid disuatu masa dahulu.

Setelah selesai menjamah makanan yang disediakan, Azan pun berkumandang menandakan masuk waktu Asar bagi kawasan Kuala Lumpur dan kawasan yang sewaktu dengannya. Disini timbul kepelikkan sedikit dimana kelihatan beberapa kaum keluarga pengantin secara relaks terus keluar masjid menuju kearah medan letak kereta, lalu beredar keluar dari Masjid. Mungkin kerana telah biasa dengan scenario perkahwinan di dewan-dewan awam, selesai majlis makan-makan terus balik kerumah agaknya. Atau apakah mereka ini dikalangan orang-orang yang mempunyai alasan syarie untuk keluar masjid selepas Azan berkumandang??

Keadaan ini sungguh sedih untuk digambarkan kerana keadaannya terlalu ‘glaring’ (terserlah), dimana kelihatan beberapa biji kereta telah keluar dari masjid tanpa segan silu. Tidakkah terlintas dihati mereka akan hukum makruh atau haram keluar dari masjid setelah Azan selesai di laungkan tanpa sebarang keuzuran? Barangkali mungkin hukum-hukum bersekitar dengan masjid agak kurang diketahui oleh masyarakat umum dizaman moden ini. Mungkin niat mereka ke Masjid Wilayah Persekutuan yang tersergam indah ini semata-mata untuk menghadiri majlis Akad Nikah sahaja agaknya. Mungkin sebab Syiekh Ibn Soleh al-Utsaimin rh pernah berfatwa bahawa kaum wanita tidak wajib bersolat di masjid, akan tetapi kebanyakkan pemandunya adalah kaum Adam.

Diriwayatkan oleh Abu al-Sha'tha' berkata :

كُنَّا قُعُودًا فِي الْمَسْجِدِ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ فَأَذَّنَ الْمُؤَذِّنُ ، فَقَامَ رَجُلٌ مِنْ الْمَسْجِدِ يَمْشِي ، فَأَتْبَعَهُ أَبُو هُرَيْرَةَ بَصَرَهُ حَتَّى خَرَجَ مِنْ الْمَسْجِدِ ، فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ : أَمَّا هَذَا فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
"Kami sedang duduk didalam masjid bersama Abu Hurairah ra. apabila muazzin melaungkan Azan. Seorang lelaki bangun dan berjalan keluar dari masjid, dan Abu Hurairah ra. mengikut beliau dan memerhatikannya sehingga dia keluar dari masjid. Abu Hurairah ra. berkata : Lelaki ini telah menderhakai Abu al-Qasim". [Riwayat Imam Muslim #655].

Barangkali mereka yang keluar dari Masjid Wilayah ini pergi bersolat dimasjid lain agaknya. Persoalan sedemikian pernah diajukan kepada Syiekh Ibn Soleh al-Utsaimin rh, dimana terdapat dikalangan jemaah yang menghadiri kuliah di masjid, keluar dari masjid semasa azan dilaungkan. Syeikh menjawab bahawa didalam al-Sahih ada meriwyatkan bahawa mereka yang meninggalkan masjid ketika Azan telah menderhaka kepada Abu al-Qassim (Muhammad :saw).

Beliau menyatakan bahawa hadith ini tidak menjelaskan keadaan orang yang keluar untuk bersolat dimasjid lain. Apa yang kami fikirkan (al-Utsaimin) jika seseorang itu keluar untuk bersolat dimasjid lain dimana dia yakin akan dapat bersolat bersama jemaah, maka perbuatan tersebut tidaklah dilarang. Akan tetapi usahlah dilakukannya kerana dibimbangi orang lain akan mengikut contoh tersebut dan keluar tanpa bersolat.Liqa' al-Bab al-Maftuh (9/38).

No comments: