Sunday, May 24, 2009

Bersolat didalam Pesawat


[Jemaah menaiki GulfAir]

Tepat pukul 8:00pagi (17hb Mei 2009), bas yang membawa seramai 40 jemaah Umrah bertolak dari Mekkah menuju ke Jeddah. Suasana kegembiraan terbayang diwajah mereka lebih-lebih lagi ini merupakan perjalanan balik menuju ke Lapangan Terbang Jeddah. Ini merupakan scenario yang berlaku tiap-tiap hari di Tanah Haram ini. Seperti biasa, Ustaz atau dikenali sebagai Mutawwif akan memberi penerangan mengenai apa yang harus dilakukan di Lapangan Terbang dan juga solat-solat yang hendak dilakukan.

"Tuan-Tuan dan Puan-Puan akan melakukan Solat Qasar Zohor dan Asar secara jama' di Airport Jeddah, dan ketika transit di Bahrain, bolehlah melakukan solat Maghrib dan Qasar Isya' secara Jama'. Akan tetapi, jika bersolat Zohor dengan berimamkan mereka (orang Arab), maka kalian hendaklah bersolat Zohor secara tamam.... Didalam perjalanan dari Bahrain ke Kuala Lumpur, kalian bolehlah melakukan solat menghormati waktu Subuh, lalu di qadho' kan apabila berada diKuala Lumpur nanti".

Begitulah serba sedikit ucapan Mutawwif tersebut kepada jemaah kira-kira 15 minit sebelum tiba di Lapangan Terbang Jeddah, Ketika tiba di Lapangan Terbang, kerja memunggah dan memasukkan air zamzam kedalam plastik dilakukan. Setelah selesai semuanya, Ketua kumpulan menguruskan tiket dan bagasi dengan mengupah pekerja-pekerja Lapangan Terbang melabelkan beg-beg jemaah. Semua pertolongan itu ada kira-kiranya. Saya mengumpulkan dana sebanyak SR10 setiap seorang untuk membayar upah pengurusan bagasi. Setelah berbincang dengan pekerja tersebut, saya berjaya mengurangkan kos ke SR250 untuk pengurusan bagasi 40 jemaah (dianggarkan SR400).

Masuk sahaja kedalam ruang menunggu didalam, Azan Zohor pun berkumandang. Kami pun mempersiapkan diri untuk melakukan solat disitu. Datang seorang Arab yang agak senior kedepan untuk menjadi Imam solat Zohor tersebut dan berkata :"Tuan-Tuan, saya akan melakukan solat Qasar Zohor, dan diteruskan dengan solat Qasar Asar. Bagi anda yang bermukim, setelah saya memberi salam, bolehlah menambah dua rakaat yang berbaki". Kelihatan Polis dan pegawai Imigresen Arab Saudi yang telah berada didalam saf tersenyum dan bertanya kepada sahabatnya : "Boleh ke begini?". Imam pun terus bertakbir dan melakukan solat Zohor 2 rakaat.

Setelah selesai memberi salam, Imam pun memberi penerangan kepada jemaah yang turut selesai, "Tuan-Tuan, kita tunggu mereka yang bermukim menyelesaikan solat mereka agar kita dapat rapatkan saf semula". Kami pun mengangguk-angguk tanda setuju. Selesai jemaah yang bermukim bersolat, Imam telah meminta saya melaungkan iqamah. Selepas itu kami meneruskan solat Asar secara qasar.

Begitulah seterusnya di Lapangan Terbang Bahrain. Mendarat sahaja di Lapangan Terbangnya, Azan Maghrib pun berkumandang. Kami pun bergegas ke musolla yang terletak di pintu (Bawwabah/Gate) 12A. Sebaik sahaja masuk kedalam musolla, seorang Arab terus mengimamkan solat Maghrib, dan setelah itu beredar keluar dari Musolla. Kami pun terus menunaikan solat Isya' secara Qasar didalam waktu Maghrib.

Waktu bertolak ke Kuala Lumpur adalah jam 8:50pm (waktu Bahrain), yang bersamaan dengan 1:50 pagi waktu Malaysia. Tempat yang terbaik bagi menunaikan solat Fajar adalah apabila kapalterbang melalui ruang udara India, yang dianggarkan 4 jam lagi. Dengan menggunakan sistem Maklumat Penerbangan yang disediakan oleh pihak GulfAir, mudah untuk diketahui negara mana yang kapalterbang ini sedang lalui. Apabila jam masuk pukul 1:00pagi waktu Bahrain, dan melihat kepada sistem Maklumat Penerbangan, kapalterbang telah berada diruang udara India (Delhi) dimana waktu Fajar disana adalah jam 3:48pagi sehingga 5:35pagi.

Saya segera meminta bantuan pramugra untuk mendapatkan arah kiblat. Beliau pun terus bertanyakan sahabat-sahabatnya dan datang seorang pegawainya membantu. Dengan menggunakan Sistem Maklumat Penerbangan, beliau memberitahu saya arah Arab Saudi. Tidak seperti pengalaman menggunakan kapalterbang Emirates, kemudahan untuk bersolat lebih sistematik. Di Emirates Air, setiap negara yang dilalui jika masuknya waktu solat, skren akan memaparkan masuk waktu solat tempatan (Local prayers time) dan dipaparkan juga arah Kiblat. Dua jam sebelum itu, sempat juga membaca soal-jawab didalam Fataawa Mu'ashirah Ibn Utsaimin berkenaan dengan solat diatas kapalterbang. Beliau menegaskan bahawa tidak dapat tidak, kita kena mencuba untuk mendapatkan arah kiblat kerana ini adalah solat fardu. Wajib bertanya kepada mereka yang bertugas dimana arah kiblat (Fataawa Mu'aashirah Muhammad bin Soleh al-Utsaimin, ms 25).

Setengah jam setelah selesai solat, kelihatan pancaran cahaya berbentuk garisan yang diselubungi langit yang masih gelap. Nampaknya matahari telah mula terbit. Dikatakan kebanyakkan jemaah masih tidor dan tidak melakukan Solat Fajar atau Solat menghormati waktu sebagaimana yang mereka faham. Mungkin penat agaknya perjalanan tersebut, lalu mereka tidak sedarkan waktu yang berlalu. Lampu didalam pesawat telah dinyalakan menandakan waktu sarapan pagi sudah tiba. Ketua kumpulan terus bangun dan masuk toilet mengambil wudhu'. Beliau terus solat. Selesai solat, beliau terus memberi komentar :

"Inilah yang pernah dikatakan bahawa terdapat jemaah yang balik dari Haji tidak menunaikan solat didalam kapal terbang! Saya lakukan solat apabila terbangun, walaupun waktu solat sudah luput, akan tetapi bagi mereka yang tidor, waktu terjaga tidor itulah waktu solatnya...."

Scenario yang sama pernah dialami semasa pulang dari menunaikan Haji tahun 2002 yang lalu. Perlu ada satu 'guideline' bagi membantu jemaah-jemaah yang ingin bersolat didalam pesawat. Dengan hanya menjelaskan bahawa mereka boleh melakukan solat menghormati waktu tidak cukup untuk menekankan kepada mereka keutamaan bersolat pada waktunya.

'Guideline' tersebut sangat mudah, iaitu dengan memberitahu mereka berpandukan waktu negara asal kita datang (contohnya Jeddah), berikut adalah waktu-waktu yang anda perlu lakukan solat diatas pesawat. Beritahu jemaah bahawa mereka boleh bertanya kepada pegawai yang bertugas dimana arah kiblat. Agensi yang menguruskan Haji dan Umrah harus peka dengan keadaan yang berlaku ini agar umat Islam tidak lalai menunaikan tuntutan solat mereka, lebih-lebih lagi jemaah ini baru sahaja selesai mengerjakan ibadat Haji atau Umrah. WA.

2 comments:

perpustakaan digital said...

salam ziarah, tahniah blog yang sangat bermanfaat..
ana ingin membantu ustaz didalam mencari sumber rujukan ilmiah..
kini perpustakaan hanya dihujung jari.. kami sediakan untuk ustaz ..
ustaz mampu memilikinya.. untuk keterangan lanjut sila lawati blog ana..

kamin said...

w'salam. Terima kasih banyak2.