Yang mana satu nak buat; puasa sunat atau qadha' puasa?
Dikalangan kita, sudah tentu ramai yang telah menunaikan puasa sunat enam hari dibulan Syawal dan ada yang belum lagi menghabiskannya. Yang paling penting, tidak ada orang yang melakukan hari raya puasa enam atau Eid al-Abrar, dimana amalan tersebut ditegah oleh beberapa ulama', termasuklah Jawatan kuasa tetap fatwa Arab Saudi dan juga Syiekh Dr Yusuf al-Qardhawi. Perbuatan ini dilarang kerana seolah-olah mewujudkan Hari Raya atau Eid yang baru bagi orang-orang Islam.
Puasa enam hari didalam bulan Syawal ini mempunyai fadhilat yang sangat besar bagi sesiapa yang melakukan. Didalam sebuah hadith yang di riwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi :saw telah bersabda {من صام رمضان وأتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر} :"Barangsiapa yang berpuasa didalam bulan ramadhan dan dikuti dengan enam hari dibulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang hidup". Hadith ini juga diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmudzi dan Ibn Maajah. Didalam riwayat lain pula Nabi :saw menjelaskan bahawa :{من صام ستة أيام بعد الفطر كان تمام السنة} "Barangsispa berpuasa enam hari selepas Eid al-Fitr, dia telah mencukup setahun".
Didalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (1/421) ada menjelaskan bahawa Allah swt telah memberikan 10 kebaikkan didalam sehari puasa, maka 30 hari berpuasa Ramadhan menyerupai berpuasa 10 bulan (300 hari), dan puasa 6 hari dibulan Syawal menyamai ganjaran 2 bulan berpuasa (6x10 = 60 hari). Maka jumlah keseluruhannya menunjukkan bahawa apabila seseorang itu berpuasa Ramadhan penuh dan di ikuti dengan puasa sunat 6 hari dibulan Syawal, dia akan mendapat ganjaran berpuasa 360 hari; menghampiri satu tahun. Wah, hebat sungguh ganjaran itu... pastikan anda tidak melepaskan peluang. Walaubagaimana pun, puasa ini hanyalah sunat hukumnya.
Persoalan yang selalu diutarakan terutamanya kaum wanita adalah, yang mana satu hendak didahulukan? Puasa sunat atau qadho'? Ada juga yang cuba memberikan penyelesaian mudah, iaitu niat 2 in 1 (Puasa Qadha' dan sunat satu niat). Cuma apa yang sebenarnya disarankan oleh ulama' adalah seseorang itu hendaklah berniat Qadho' puasa, dan berharapan Allah memberinya juga ganjaran-ganjaran orang yang berpuasa didalam bulan Syawal. Pandangan terbaik adalah melakukan puasa Qadho' dan dikuti dengan puasa enam. Mereka berpegang kepada pendapat, tidak boleh melakukan amalan sunat jika yang wajib belum disempurnakan.
Dari sudut hukum, Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengatakan tidak salah melakukan puasa sunat Syawal dahulu dan di ikuti dengan qadho' puasa Ramadhan, dengan merujuk kepada hadith A'isyah ra. yang mengqadho' puasa apabila masuknya bulan Sya'baan yang akan datang (hadith Mutafaq a'alaih, al-Lu'lu' wal Marjan #703). syeikh Ibn Utsaimin rh (Mumthi', 6/448) juga berpendapat demikian kerana surah al-Baqarah ayat 185 hanya menyatakan bagi mereka yang sakit, atau bermusafir dan sebagainya, hendaklah mengqadho' dihari-hari lain, dan tidak mengatakan'perlu dibuat dengan serta merta'.
Syeikh al-Qaradhawi menjelaskan bahawa beliau memilih pandangan yang mengatakan eloklah diqadho' puasa Ramadhan dahulu dengan alasan tidak ada orang yang hidup ini dijamin umurnya. Mereka boleh sakit dan mati bila-bila sahaja. Orang yang kuat tiba-tiba sahaja boleh menjadi lemah atau tidak berupaya!
Cuma, bagi wanita yang mempunyai masalah haid yang panjang, yang tidak mungkin dapat melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal jika dia perlu mengqadho' dahulu, Syeikh Ibn Utsaimin rh (majmu' Fataawa Ibn Utsaimin, 20/19) mengatakan dia dibenar mendahulukan puasa enam dan dikuti dengan qadho' puasa Ramadhan di hari-hari yang lain.
Kita masih ada masa lagi untuk menunaikan puasa sunat di bulan Syawal. Ayoh kita berpuasa! Sedikit sebanyak dapat juga menampal-nampal puasa Ramadhan yang tidak dapat lari dari pelbagai kekurangan.
-kamin, 11 Syawal, 1427-
1 comment:
Tahniah syeikh kamin, atas blog ini, bertambah lagi web ilmiah dlm dunia cyber.
semoga berjaya. InsyaAllah
Post a Comment