Sampai ke pahala bacaan al-Quran kepada si-Mati menurut
Mazhab Syafie?
Terdetik untuk menulis artikel ini ekoran dari paparan slot di TV mengenai seorang artis yang telah kembali berjinak dengan Islam memberi tazkirah mengenai amalan bacaan al-Quran kepada si mati. Beliau mengatakan bahawa : "Tidak ada nas atau dalil pun yang menceritakan bahawa bacaan Al-Quran itu akan sampai pahalanya kepada si mati, jadi janganlah kita membuat kerja yang nabi tidak buat.” Beliau menyatakan bahawa Imam Syafie pun mengatakan bahawa tidak sampai amalan bacaan al-Quran kepada si-mati. Berikutan dari tazkiran tersebut, maka berpusu-pusu respon yang mengkritik tazkirah artis tersebut, tidak kurang yang membantah, malah ada yang bersetuju dengan kenyataan artis tersebut.
Kita faham bahawa sebagai seorang yang baru kembali berjinak didalam bidang keagamaan, semacam ada suatu semangat untuk beliau berkongsi apa yang telah beliau pelajari, lebih-lebih lagi pandangan tersebut bersifat baru. Cadangan juga harus ditujukan kepada pihak stesyen TV agar meneliti dan menapis dulu bahan-bahan yang akan di kongsikan didalam slot tersebut, lebih-lebih lagi mereka memang tahu bahawa artis tersebut bukanlah ahli untuk untuk berbicara mengenai persoalan tersebut. Sebagai seorang yang baru didalam bidang ini, tentu sahaja beliau seronok berkongsi ilmu dengan pada hadirin.
Terdetik untuk menulis artikel ini ekoran dari paparan slot di TV mengenai seorang artis yang telah kembali berjinak dengan Islam memberi tazkirah mengenai amalan bacaan al-Quran kepada si mati. Beliau mengatakan bahawa : "Tidak ada nas atau dalil pun yang menceritakan bahawa bacaan Al-Quran itu akan sampai pahalanya kepada si mati, jadi janganlah kita membuat kerja yang nabi tidak buat.” Beliau menyatakan bahawa Imam Syafie pun mengatakan bahawa tidak sampai amalan bacaan al-Quran kepada si-mati. Berikutan dari tazkiran tersebut, maka berpusu-pusu respon yang mengkritik tazkirah artis tersebut, tidak kurang yang membantah, malah ada yang bersetuju dengan kenyataan artis tersebut.
Kita faham bahawa sebagai seorang yang baru kembali berjinak didalam bidang keagamaan, semacam ada suatu semangat untuk beliau berkongsi apa yang telah beliau pelajari, lebih-lebih lagi pandangan tersebut bersifat baru. Cadangan juga harus ditujukan kepada pihak stesyen TV agar meneliti dan menapis dulu bahan-bahan yang akan di kongsikan didalam slot tersebut, lebih-lebih lagi mereka memang tahu bahawa artis tersebut bukanlah ahli untuk untuk berbicara mengenai persoalan tersebut. Sebagai seorang yang baru didalam bidang ini, tentu sahaja beliau seronok berkongsi ilmu dengan pada hadirin.
Cetusan dari video tersebut (rakaman yang tersiar didalam
youtube), kelihatan ramai pula dari kalangan yang mirip kepada satu manhaj
tertentu memetik pendapat Mazhab Syafie yang menyatakan ‘tidak sampai’
perbuatan membaca al-Quran kepada si-mati. Dalam kebanyakkan fiqh mereka mirip
kepada Mazhab Hanbali, dan tiba-tiba didalam hal ini, mereka bersetuju malah
memerli rakyat Malaysia yang bermazhab Syafie
kerana tidak ikut Mazhab Syafie dalam bab ini. Bila disoroti fatwa-fatwa
yang dikeluarkan oleh Lajnah Daaemah Arab Saudi, maka kita faham mengapa
kumpulan ini menyokong pendapat Imam Syafie, kerana itulah yang dikatakan
pilihan terbaik menurut Jawatankuasa tersebut. Malah didalam fatwa yang
dikeluarkan oleh bekas Mufti Saudi, beliau akui bahawa persoalan ini khilaf;
selisih pendapat, namun pendapat yang mengatakan tidak sampai bacaan tersebut
adalah lebih kuat. Apakah pandangan ini juga mewakili pandangan jumhur ulama Syafie?
Benarkah Mazhab Syafie berbeza pendapat dengan Mazhab lain
mengenai sampainya bacaan al-Quran kepada si-mati? Apakah sepakat semua ulama’
Mazhab Syafie mengatakan tidak sampai amalan bacaan al-Quran tersebut? Katakanlah semua ulama’ Syafie baik dari zaman dahulu sehinggalah terkini sepakat
mengatakan tidak sampai bacaan al-Quran, apakah salah rakyat Malaysia memilih
untuk bertaqlid kepada Mazhab Hanbali dalam isu ini? Misalnya kaedah membayar
zakat fitrah tanpa menggunakan makanan ruji (eg:beras) sesebuah negara, yang telah
digantikan wang, tidak timbul pun isu rakyat Malaysia tidak mengikut Mazhab
Syafie walaupun itu pandangan Ibn Taimiyyah rh. Banyak lagi perkara yang kita menggunakan mazhab-mazhab lain, akan tetapi pada prinsipnya kita masih bermazhab Syafie.
Tiada khilaf didalam do’a
Jumhur ulama’ Mazhab berpendapat bahawa do’a dapat memberi
munafaat kepada si-Mati. Menurut Imam Nawawi rh [al-Azkar ms 150) ijma’ ulama’
berpendapat bahawa do’a keatas si-mati
dapat memberi munafaat dan sampai pahala kepadannya. Didalam firman
Allah swt :-
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada
mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan
dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau
jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang
beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah” [Surah al-Hasyr
:10]
Didalam surah Ibrahim ayat 41, Allah berfirman :
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu
bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal
dan pembalasan.”
Doa khusus bagi simati dan seluruh kaum muslimin sebagaimana
yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA
katanya Rasulullah SAW berdoa ketika solat jenazah iaitu ;
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الإِسْلاَمِ اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
“Ya Allah ampun dosa kami sama ada yang masih hidup ataupun
yang telah mati, kecil dan besar, lelaki dan wanita, yang hadir dan yang tidak
hadir. Ya Allah orang yang telah hidupkan
di antara kami, hidupkanlah dia dalam agama Islam. Dan orang-orang yang
telah engkau matikan di antara kami, maka matikanlah dia dalam iman. Ya Allah,
janganlah kami terhalang drp pahalanya dan janganlah kami disesat selepas
peninggalannya. “[Hadith riwayat Abu Daud]
Mazhab Syafie dan bacaan al-Quran kepada si-mati
Menurut Imam al-Nawawi bahawa pendapat masyhur dari kalangan
Ulama’ Syafie mengatakan bahawa membaca al-Quran tidak sampai pahalanya kepada
mayat. Tambah beliau : dan berkata satu jemaah dari kumpulan kami : sampai
pahalanya kepada mayat dan dengannya berkata Imam Ahmad [Sharah Muslim 7/90].
Didalam Kitab Majmu’ Sharh Muhazzab, Imam Nawawi ada menyebut “telah
berpendapat Imam Ahmad bn Hanbal bersama satu jemaah dari kalangan ulama’ dan
satu jemaah dari Mazhab Syafie bahawa pahala membaca al-Quran sampai kepada
si-mati.
Kenyataan Imam Nawawi ini jelas menunjukkan bahawa pendapat
yang mengatakan tidak sampai pahala bacaan al-Quran kepada si-mati juga khilaf
(berselisih) dikalangan beberapa ulama’ mazhab Syafie, dan ia bukan mutlak.
Bahkan Shiekh Abu Bakar al-Dimyati didalam kitabnya I’aanaa al-Tholibin (3/221)
menyebut “pendapat yang mengatakan ‘tiada sampai pahala’ itu dhaif (lemah) dan
telah sampai satu jemaah dari Mazhab kami yang mengatakan ‘sampai pahalanya’
adalah muktamad.
Boleh disimpulkan bahawa terdapat 2 pendapat dari kalangan
Mazhab Syafie berkenaan dengan persoalan ini, iaitu :-
(1) Mazhab Syafie yang terdahulu (Mutaqaddimin) mengatakan
ibadat mahdah (seperti solat, puasa, bacaan al-Quran) tidak sampai pahalanya
kepada orang lain selain dari yang membacanya. Pandangan ini mashyur dikalangan
ulama' Mazhab Syafie kata Syiekh al-Islam Zakaria al-Anshari al-Syafie.
(2) Mazhab Syafie yang terkemudian (Mutaakhirin) berpendapat bahawa sampai pahala
bacaan al-Quran kepada orang yang mati, seperti bacaan al-Fatihah. Ini juga
merupakan pendapat ulama' Hanafi dan Hanbali.
Bekas Sheikh al-Azhar, Sheikh Jadul Haq didalam fatwanya berkata “pandangan Mazhab
Syafie yang masyhur, dan Mazhab Maliki yang asal, tidak sampai ibadat
badaniyah, seperti membaca al-Quran. Akan tetapi, pandangan mutakhir dikalangan
Mazhab Syafie dan Maliki yang dipilih adalah : sampai pahala kepada mayat
dengan syarat-syaratnya”. (Buhuth wa fatawa, 2/38)
Keluar dari khilaf
Jika dianalisa penilaian ulama’ didalam hal ini, pendapat
semua mazhab sama, iaitu sampai bacaan al-Quran kepada si-mati, akan tetapi
cara mereka sahaja yang berbeza. Al-Khathaab memberi komentar dari aspek
penggunaan lafaz menyampaikan pahala, katanya : adalah tidak boleh menyebut
“menjadikan untuknya”, “mengkhususkan untuknya”, akan tetapi hendaklah “berdo’a
agar dijadikan pahala untuknya”. Sebahagian dari ulama’ Syafie berpendapat
bahawa bacaan al-Quran itu sendiri tidak memberi kesan kepada si-mati, akan
tetapi hendaklah disertakan dengan do’a, misalnya :
اللَّهُمَّ اجْعَلْ مِثْلَ ثَوَابِ مَا قَرَأْتُ لِفُلان
“Ya Allah! Jadikanlah pahala apa yang telah aku baca kepada
sifulan”
Menurut Ibn Rusd, kaedah ini telah mengeluarkan khilaf “sampainya
bacaan al-Quran” kepada kaedah “berdo’a”, dimana sepakat ulama’ bersetuju
bahawa do’a akan memberi kesan kepada si-mati. Dengan kata lain, seseorang akan
berdo’a seusai membaca al-Quran dengan do’a : “kalau ada pahala dari bacaan
al-Quran tadi, aku ingin menghadiahkan pahala kepada si-fulan”, maka punca
sampai pahala bacaan tersebut adalah melalui do’a.
Dr Ahmad Syarbashyi mengatakan bahawa seseorang yang
melakukan bacaan al-Quran dengan sukarela dan menghadiahkan bacaan tersebut
kepada si-mati tidak akan mendapat ganjaran apa-apa dari bacaan tersebut
[Yasalunaka fidiin, 4/97]. Sebab itu tidak boleh mengupah orang membaca
al-Quran kepada si-mati oleh kerana si-pembaca tersebut sudah mendapat
“ganjarannya” dalam bentuk wang ringgit.
Dr Ahmad Syarbashyi menyimpulkan bahawa : “Telah menetapkan
oleh para Fuqaha bahawasanya pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si-mati
bahkan sampai ia kepada yang hidup sebagaimana yang telah disebut pada kitab
ulama’-ulama’ besar mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Yang demikian itu
apabila memintalah oleh yang membacanya akan yang demikian itu daripada Allah
Tabaraka Wata’ala. Dan ini adalah kerana
bacaan yang dihadiahkan itu adalah daripada kaedah doa. Maka berniatlah
pembaca dan berkata “Ya Allah! Jadikanlah pahala apa yang telah aku baca kepada
sifulan.” [Yasalunaka fidiin 6/275]
Dengan demikian, dapatlah kita simpulkan bahawa dalam Mazhab
Syafie, untuk pahala bacaan al-Quran tersebut sampai kepada si-mati, hendaklah
dia sertakan dengan do’a agar ganjaran tersebut disampaikan. Cara ini lebih
selamat sebagaimana kaedah “keluar dari khilaf itu adalah mustahab
(digalakkan)”, dimana do’a merupakan amalan sepakat ulama’ mazhab mengatakan
memberi kesan kepada simati. Oleh itu, pendapat yang mengatakan tidak sampai
bacaan menurut sepakat Mazhab Syafie adalah kurang tepat, kerana wujud jalan
penyelesaian sebagaimana kata Ibn Rusd “keluar dari khilaf bacaan kepada sampainya
amalan berdo’a kepada si-mati”. WA.
Sekian, wassalam
Kamin, al-ahkam.net
16 Ramadhan 1435, 24/07/2013
No comments:
Post a Comment