Wednesday, August 22, 2012

Berpuasa 29 hari tidak dikira cukup 1 bulan?




Pada malam Eid al-Fitr baru-baru ini, sewaktu takbir bergema, satu persoalan telah dilontar kepada kami yang berbunyi “disebabkan kita berpuasa tidak cukup sebulan, maka selepas Eid al-Fitr ini kita diwajib mengqadha’ puasa kita satu hari”. Soalan tersebut merujuk kepada sebuah rancangan agama yang disiarkan di TV lewat malam itu. Penyoal tersebut berkemungkinan tersilap dengar kenyataan yang disentuh oleh ustaz tersebut. Barangkali maksud penceramah tersebut adalah apa hukum mereka yang tidak dapat memenuhi 29 atau 30 hari berpuasa pada bulan Ramadhan?

Menurut syara’, bulan Qamariyah adalah antara 29 atau 30 hari, dimana maximanya adalah 30 hari dan tidak pernah kurang dari 29 hari. Tidak mungkin umat Islam berpuasa sebanyak 28 hari dan dipersetujui oleh pemerintah atau Majlis Agama Islam sesuatu negara. Menurut Ibn Mas’ud ra. selama beliau berpuasa bersama Nabi :saw, berpuasa 29 hari lebih sering berlaku dari berpuasa 30 hari. Menurut catatan, dalam jangka masa 10 tahun, hanya sekali sahaja Nabi :saw berpuasa 30 hari. Maka dengan ini tidak timbul umat Islam yang berpuasa 29 hari di Malaysia dikira tidak cukup puasanya. Malah, menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi, puasa 29 atau 30 hari sama sahaja pahalanya disini Allah swt, dan tidak dikurangkan sedikit pun ganjaran pahalanya sebagaimana hadith :

شهران لا ينقصان شهرا عيد رمضان وذو الحجة
“Dua bulan yang tidak berkurangan, iaitu Eid Ramadhan dan Zulhijah” [Hadith Riwayat al-Bukhari].

Dr Ahmad al-Hajj al-Kurdi, Ahli Jawatan Kuasa Fatwa Kuwait menjelaskan bahawa ulama’ khilaf mengenai maksud “dua bulan yang tidak berkurangan”. Diantara maksudnya :-

a. Abu al-Hassan memetik kata-kata Isyak bin Raahawaih berkata : tidak berkurangan dari segi fadhilat, samada 29 atau 30 hari berpuasa.

b. Pandangan masyhur dikalangan Salaf  bahawa ia tidak mengurangkan ganjaran amalan samada 29 atau 30 hari.

Dr Yusuf al-Qaradhawi menegaskan betapa pentingnya mewujudkan kesatuan orang-orang Islam dalam menentukan bila bermulanya puasa dan Eid, termasuklah kesepakatan didalam syariat, merupakan perkara yang sangat di tuntut. Menurut beliau, jika tidak mampu mewujudkan kesepakatan diperingkat dunia, paling tidak mewujudkan kesepakatan diperingkat “regional”.Sebagaimana yang wujud didalam kesepakatan ASEAN, mereka sepakat menetapkan penentuan permulaan Ramadhan dan Syawal. Apa yang disepakati jumhur ulama’ bahawa, keputusan hakim atau pemerintah Negara boleh memutuskan perbezaan pendapat didalam perkara yang diperselisihkan. Maka dengan ini juga keputusan kesepakatan ASEAN ini juga dianggap valid dalam menentukan bila tarikh Ramadhan dan bila tarikh Eid al-Fitr.

Situasi yang boleh berlaku kepada seseorang adalah tidak cukupnya 29 hari berpuasa disebabkan permusafiran ke tempat dimana Eidnya berlaku lebih awal ditempat yang dituju. Keadaan ini boleh berlaku kepada 2 negara yang berbeza penetapan Ramadhan dan Syawwalnya. Ada juga kebarangkalian puasa seseorang itu melebihi 30 hari disebabkan Negara yang dia berkunjung itu masih lagi didalam akhir Ramadhan sewaktu dia mendarat. Bagaimana hukumnya jika situasi ini berlaku? Disini kami paparkan fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Shiekh Muhammad Shaleh al-Utsaimin rh bagi memperjelaskan situasi ini.

a. Berpuasa lebih dari 30 hari.

Jika seseorang bermusafir dari satu negara ke Negara Islam yang lain, dan waktu berbuka puasa datang lewat di negara yang dia telah bermusafir, maka dia hendaklah terus berpuasa sehingga mereka berbuka puasa dinegara tersebut, kerana berpuasa adalah pada tempat masyakaratnya berpuasa, dan berbuka puasa adalah pada hari di mana masyarakat itu berbuka puasa, dan waktu berkorban (al-adha) adalah pada hari di mana mereka menawarkan korban. Dia perlu menuruti ini walaupun dia berpuasa lebih satu hari (tanmbahan) atau lebih. Situasi ini samalah dengan kes jika seseorang bermusafir ke sebuah negara di mana matahari terbenam datang kemudian; dia harus terus berpuasa sehingga matahari terbenam, walaupun tambahan 2 jam pada hari yang sama, 3 atau lebih. Hal ini juga digunakan jika dia bermusafir ke negara lain di mana anak bulan tidak kelihatan, kerana Nabi :saw memerintahkan kita untuk tidak berpuasa atau berbuka puasa sehingga kita melihat anak bulan. Beliau bersabda :

صوموا لرؤيته ، وأفطروا لرؤيته
"Berpuasalah jika anda melihatnya, berbuka puasa apabila anda melihatnya” [Hadith Riwayat Ibn Majah].

b. Tidak cukup 29 hari berpuasa.

Didalam keadaan yang lain (terbalik) pula, apabila seseorang itu bermusafir dari tempat dimana bermulanya Ramadhan kemudian, dan pergi ke tempat dimana Ramadhan datang lebih awal, maka setibanya pada di tempat tersebut, dia harus berbuka puasa bersama-sama dengan waktu Negara itu, dan mengqada’kan puasa yang tidak cukup di lain hari. Jika di menyambut Eid selepas 28 hari berpuasa, kemudian hendaklah dia berpuasa sebanyak 2 hari jika kedua-dua Negara tersebut berpuasa 30 hari. Dia hendaklah menambah 1 hari jika kedua atau salah satu Negara itu berpuasa 29 hari.

Kesimpulan

Prinsip berpuasa adalah seseorang itu harus berbuka mengikut waktu dimana tempat dia berada. Jika perlu menambah 1 atau 2 jam, malah ada yang sampai 18 jam, maka perlu dia berbuka mengikut Negara yang dilawati tersebut. Begitu juga dengan situasi seseorang yang bermusafir pada akhir  Ramadhan dan didapati Negara yang dikunjungi masih berpuasa lagi pada keesokkan harinya, maka hendaklah dia terus berpuasa walaupun jumlah puasanya melebih 30 hari. Begitu juga disebaliknya, jika pada akhir Ramadhan yang ke 28 dia bermusafir dan didapati Negara yang dituju itu telah menyambut Eid, maka hendaklah dia sambut Eid pada hari tersebut. Seusai menyempurnakan 1 Syawwal, bolehlah dia mengqadha’kan puasa untuk mencukupkan 29 hari berpuasa menurut jumlah puasa antara salah satu Negara tersebut. Isu berpuasa lebih atau kurang ini pernah dibincangkan seawal Khalifah Mu’awiyah lagi. WA.

Rujukan :

1.  Dr Yusuf al-Qaradhawi. Al-Fiqh al-Shiyam. Muassasah al-Risalah, ms 25, ms 36.
 
2. Shiekh Muhammad Shaleh al-Utsaimin. Majmu’ fatawa al-Rasaail – 19. Dar al-Thurayya, 2005, ms. 65-68.
 

Sekian, wassalam
kamin
4 Syaawal, 1433 / 22 Ogos 2012

No comments: