Wednesday, September 17, 2008

Lailatul Qadar datang hanya sekali?



Didalam kesibukan umat Islam menanti kedatangan satu malam yang penuh kemuliaan, iaitu Lailatul Qadar, ada pula dikalangan mereka yang cuba mencucuk jarum pemikiran umat Islam dengan mengatakan penantian Lailatul Qadar itu merupakan suatu penantian yang sia-sia dan sesat belaka! Bagi mereka, Lailatul Qadar hanyalah suatu catatan sejarah yang dipaparkan didalam surah al-Qadar. Mereka berpendapat bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku sekali sahaja, iaitu pada malam penurunan al-Quran.

Salah satu keadah yang digunakan adalah dengan cara menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam berkenaan dengan hadith-hadith didalam Kitab Sahih Bukhari dan juga Kitab Sahih Muslim, iaitu memaparkan beberapa malam yang berbeza-beza dijangkakan berlaku Lailtul Qadar. Misalnya didalam hadith riwayat Imam Bukhari, dari Ibn Umar ra, Nabi :saw menyeru agar umat Islam mencari Lailatul Qadar pada tujuh (7) malam terakhir. Didalam hadith yang lain pula, dari A'isyah ra. Nabi :saw menyeru agar umat Islam mencari Lailatul Qadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir. Dipaparkan beberapa hadith Imam Muslim yang menjelaskan malam-malam tertentu kedatangan Lailatul Qadar misalnya pada malam 25, 27, dan 29.

Penulis tersebut memberi kesimpulan : "Semua hadis tersebut adalah bercanggah, anih dan tidak boleh dipercayai. Tidak terdapat satu pun hadis yang mengatakan bahawa Nabi atau sahabat pernah terjumpa lailatul Qadar itu."

Tambah penulis tersebut : "Quran itu diturunkan kepada Nabi sekali sahaja dalam waktu hayatnya. Maka peristiwa lailatul Qadar itu tentulah juga sekali sahaja dan tidak akan berulang lagi hingga hari kiamat. Oleh itu, menunggu-nunggu kedatangan lailatul Qadar nyatalah amalan sesat dan sia-sia."

Mentafsir surah al-Qadr

Dalil yang diberikan oleh golongan ini adalah sebagaimana Firman Allah swt didalam surah al-Qadr :-

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
"Sesungguhnya kami telah menurutkan NYA pada malam al-Qadar" [al-Qadr : 1]

Penulis tersebut menjelaskan :"Ayat 97:1 menjelaskan bahawa malam qadr itu berlaku sekali sahaja iaitu satu malam waktu Quran diturunkan. Malam itulah yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan dimana Malaikat dan Roh juga turun.

Quran itu telah diturunkan pada bulan Ramadan, seperti yang dijelaskan di dalam ayat 2:185. "Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia.."

Persoalannya sekarang adalah, perkataan HU atau NYA didalam Anzalna merujuk kepada apa? Penulis tersebut menjelaskan bahawa HU itu merujuk kepada al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan sepertimana didalam surah al-Baqarah ayat 185. Dengan hanya menggunakan kaedah tafsir al-Quran bi al-Quran, tidak mungkin seseorang itu dapat mengaitkan diantara kedua-dua surah ini; iaitu surah al-Qadar ayat 1 dan al-Baqarah ayat 185.

Keseluruhan surah al-Qadr tidak membayangkan :

a. Apa benda yang Allah swt turunkan pada malam al-Qadr?
b. Lailatul Qadar itu berlaku pada bulan apa?

Sudah tentu penulis tersebut secara diam-diam telah merujuk kepada kitab tafsir atau catatan-catatan mufassirin (ulama' tafsir) yang menjelaskan bahawa HU didalam ayat 1 surah al-Qadr merujuk kepada al-Quran, dan al-Quran diturunkan pada malam Ramadhan sebagaimana yang disebut didalam surah al-Baqarah ayat 185. Para ulama' tafsir ini juga menggunakan hadith-hadith Nabi :saw dan pandangan-pandangan sahabat didalam mentafsirkan dan mengaitkan ayat-ayat ini! Penafsiran ini juga menunjukkan mereka juga bergantung kepada hadith Nabi :saw didalam beberapa keadaan dan menafikannya didalam keadaan yang lain. Bagaikan talam dua muka.

Lailatul Qadar berlaku hanya pada malam penurunan al-Quran?

Menurut Ibn Abbas ra. (didalam Tafsir ibn Kathir), al-Quran diturunkan sekali gus (Jumlatun Wahidah) dari al-Luh al-Mahfuz ke Baitul al-Izzah (dari Langit Dunia), kemudian barulah diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi :saw selama 23 tahun melalui Jibril as. Berdasarkan kenyataan bahawa pada masa itu sahajalah berlaku Lailatul Qadar, maka persoalannya sekarang : pada masa itu, Nabi :saw masih belum lagi menerima wahyu pertamanya!?. Mana mungkin baginda menyuruh umatnya mencari Lailatul Qadar sedangkan al-Quran belum lagi diturunkan kepada baginda (dari langit dunia)??

Firman Allah swt seterusnya didalam surah al-Qadr [ayat 3 hingga 5] :

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ. تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ. سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ.
"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! "

Bagaimana pula seruan ayat diatas ini dapat dinikmati oleh umat Nabi :saw, iaitu ganjarannya beribadat selama 1,000 bulan jika peristiwa Lailatul Qadar tidak berulang lagi. Kalau benar ia hanya berlaku pada malam penurunan al-Quran, tidak perlulah Jibril as dan malaikat yang lain turun membawa rahmat, kerana pada masa itu al-Quran hanya sampai di Langit Dunia, dan baginda Rasul :saw belum lagi menerima surah al-Qadr.

Hadith Lailatul Qadar saling bercanggah?

Apakah hadith-hadith ini bercanggah diantara satu sama lain? Sudah tentu tidak. Ia merupakan tips yang di berikan oleh Nabi :saw kepada umatnya untuk mempertingkat amalan pada sepuluh malam terakhir. Mereka yang mengatakan bahawa hadith-hadith ini bercanggah adalah mereka yang tidak mengetahui uslub dan keadah hadith.

Lihat beberapa contoh hadith yang menceritakan berkenaan dengan amalan mana yang terbaik yang harus dilakukan. Dengan soalan yang sama, kita akan dapati bahawa Nabi :saw akan memberi beberapa variasi jawaban. Kesemuanya di kategorikan sebagai amalan soleh yang afdal untuk dilakukan.

(a) Dari Abu Zar al-Ghaffari, mereka telah bertanya Nabi :saw :-

أي العمل أفضل ؟ قال : إيمان بالله ، وجهاد في سبيله
"Amalan manakah yang paling utama? Nabi :saw menjawab : Beriman dengan Allah, dan berjihad dijalannya" [Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih #2518]

(b) Dari Abdullah bin Mas'ud, mereka telah bertanya Nabi :saw :-

. أي العمل أفضل ؟ قال : الصلاة على ميقاتها قلت : ثم أي ؟ قال : ثم بر الوالدين . قلت : ثم أي ؟ قال : الجهاد في سبيل الله
"Amalan manakah yang paling utama? Nabi :saw menjawab : Bersolatlah pada waktynya. Aku berkata : kemudian apa? Nabi bersabda : berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa. Aku berkata : kemudian apa lagi?. Nabi bersabda : berjihad dijalan Allah" [Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih #2782]

(c) Dari Abu Hurairah ra. : mereka telah bertanya Nabi :saw :-

أي العمل أفضل ؟ فقال : إيمان بالله ورسوله . قيل : ثم ماذا ؟ قال : الجهاد في سبيل الله . قيل : ثم ماذا ؟ قال : حج مبرور .
"Amalan manakah yang paling utama? Nabi :saw menjawab : beriman dengan Allah dan Rasulnya. Mereka berkata : kemudian apa lagi? Nabi bersabda : Berjihad pada Jalan Allah. Mereka berkata : kemudian apa lagi? Nabi bersabda : Haji yang mabrur" [Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih #26]

Berdasarkan 3 contoh hadith diatas ini, apakah jawaban Nabi :saw bercanggah? Sudah tentu tidak, Nabi :saw memberi beberapa alternatif untuk umatnya agar melakukan amalan soleh yang baginda rekomen. Begitu jugalah hadith berkenaan dengan tarikh Lailatul Qadar, dimana Nabi :saw memberi beberapa petunjuk mengenai hari tersebut. Kedatangan Lailatul Qadar sentiasa menjadi tarikh misteri agar umat Islam melipat gandakan amalan mereka didalam bulan Ramadhan, lebih-lebih pada 10 malam terakhir. Dengan kata lain, jika tidak mampu setiap buat setiap malam, lakukan pada malam-malam ganjil, atau beramallah pada malam 25, 27 dan 29 Ramadhan.

Carilah Lailatul Qadar

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi, Lailatul Qadar adalah milik semua umat Islam yang menanti kedatangannya. al-Qaradhawi menegaskan bahawa hanya orang yang BIJAK sahaja yang benar-benar menantikan Lailatul Qadar. Mana mungkin seseorang itu melepaskan ganjaran keuntungan 3,000,000% (ثلاثة ملايين في المائة؟) ??? Iaitu ganjaran melakukan amalan 1,000 bulan yang menyerupai 83 tahun 4 bulan yang hanya dapat dikecapi pada satu malam.

Umat Islam di galakkan mencari Lailatul Qadar pada setiap bulan Ramadhan. Banyak hadith-hadith sahih yang menceritakan kelebihan beribadat pada malam Lailatul Qadar. Contohnya, hadith dari Abu Hurairah ra :-

من قام ليلة القدر إيمانًا واحتسابًا غُفر له ما تقدم من ذنبه
Barangsiapa yang berqiam pada malam al-Qadar dengan beriman dan penuh pengharapan, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu" [Hadith Riwayat Bukhari].

Hadith dibawah jelas menunjukkan bahawa Nabi :saw menggalakkan umatnya mencari Lailatul Qadar pada 7 malam terakhir. Sabda Nabi :saw :-

أرى رؤياكم قد تواطأت (أي توافقت) في السبع الأواخر، فمن كان متحريها، فليتحرها في السبع الأواخر
"Aku melihat mimpi kamu telah bertemu (Lailatul Qadar) pada 7 malam terakhir, maka barangsiapa hendak mencarinya, maka carilah pada tujuh malam terakhir" [Mutafaq 'alaih dari Ibn Umar ra].

Begitu juga dengan hadith berikut menggalakkan umat Islam mencari Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan. Sabda baginda :saw :-

التمسوها في العشر الأواخر، فإن ضعف أحدكم أو عجز، فلا يُغلبن على السبع البواقي
"Carilah ia pada 10 malam terakhir, jika salah seorang dari kamu dhaef (lemah) atau uzur, maka janganlah dikalah pada 7 malam yang berbaki" [Hadith riwayatkanoleh Ahmad, Muslim, dari Ibn Umar ra].

Hadith-hadith ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam digalakkan mencari Lailatul Qadar pada setiap kali kedatangan bulan Ramadhan. Cuma terdapat segelintir mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan "al-Quran alone" atau dikenali sebagai GAH (Golongan Anti Hadith) mengatakan bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku sekali sahaja, iaitu pada masa penurunan al-Quran.

Pandangan ini jelas bercanggah dengan hadith-hadith sahih. Mana mungkin baginda menyuruh umatnya mencari Lailatul Qadar sedangkan al-Quran belum lagi diturunkan kepada baginda (kerana masih berada di langit dunia)?? Malah sejarah membuktikan bahawa Nabi :saw sendiri pada 10 malam terakhir Ramadhan akan beriktikaf di masjid dan membangunkan ahli keluarganya. Disini kita lihat bahawa mereka ini melakukan tafsiran menurut akal mereka dan membelakangkan hadith-hadith yang sahih. Namun demikian, mereka tidak dapat lari dari hakikat menggunakan pandangan ulama' bagi mentafsir maksud al-Quran itu sendiri, yang sudah tentunya ulama tafsir menjadikan hadith Nabi :saw sebagai dasar.

Sekian, wassalam

No comments: