Monday, November 28, 2016

Kedudukan saf orang yang bersolat menggunakan kerusi


Fenomena bersolat diatas kerusi sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam pada zaman ini. Perbicaraan mengenai hukum dan kaifiat bersolat diatas kerusi telah dibincangkan didalam 3 siri didalam blog ini.

Hukum Solat di atas kerusi (Bahagian 1)
http://kaminms.blogspot.my/2014/09/hukum-solat-di-atas-kerusi-bahagian-1.html

Hukum Solat di atas kerusi (Bahagian 2 – Gambaran pertama)
http://kaminms.blogspot.my/2014/09/hukum-solat-di-atas-kerusi-bahagian-2.html

Hukum solat di atas kerusi (Bahagian 3) 
http://kaminms.blogspot.my/2014/09/hukum-solat-diatas-kerusi-bahagian-3.html

Namun yang menjadi persoalannya ialah bagaimana kedudukan saf mereka yang menggunakan kerusi didalam solat. Apakah tumit selari dengan dengan jemaah saf, atau pun kaki kerusi yang selari dengan jemaah saf. Keadaan realitinya jelas menunjukkan kekeliruan jemaah-jemaah solat yang menggunakan kerusi dimasjid.

Pernah satu ketika, saya mendengar rungutan seorang wanita yang cuba membetulkan kedudukan saf seorang Mak Cik yang kaki kerusinya selari dengan tumit jemaah, sedangkan dia mampu berdiri dalam rukun Qiam, dan melakukan ruku' dan sujud menggunakan kerusi. Wanita ini mengajak Mak Cik tersebut merapatkan saf, dimana tumit kena selari dengan tumit jemaah bersebelahan. Mak Cik itu menjawab, hukum itu bagi mereka yang bersolat berdiri, tetapi saya bersolat duduk (semasa ruku' dan sujud). Persoalan ini pernah dibicarakan di Bahagian 3 dalam kesimpulan artikel, dan barangkali mungkin perlu diberi gambaran secara ilustrasi untuk mudah memahaminya.

Saf solat bagi mereka yang menggunakan kerusi ada dua keadaan :-

1. Keadaan yang pertama merujuk kepada mereka yang boleh berdiri semasa rukun Qiam, dan ruku dan sujud menggunakan kerusi. Situasi ini sama dengan suasana yang dihadapi oleh Mak Cik diatas.

2. Keadaan yang kedua pula merujuk kepada seseorang yang hanya mampu bersolat dengan bantuan kerusi, dengan kata lain, keseluruhan solat dilakukan diatas kerusi.

Berikut adalah ilustrusi scenario situasi solat diatas kerusi yang diambil dari laman web Sheikh Khalid bin Abdul Aziz al-Batli [1].

1. Bagi situasi pertama, seseorang itu mampu berdiri semasa Qiam, akan tetapi menggunakan bantuan kerusi untuk ruku', sujud, duduk antara 2 sujud dan tahiyyat. Saf bagi mereka ini sama dengan saf jemaah yang menunaikan solat, iaitu bahu dan tumit selari dengan jemaah bersebelahan. Dengan erti kata lain, kerusinya berada kebelakang sedikit seperti gambarajah  1 berikut:-

Gambarajah 1 - Saf yang betul (tumit dan bahu selari)

Adalah menjadi kesalahan seseorang yang boleh Qiam akan tetapi kedudukan kakinya mendahului jemaah yang lain. Dia menjadi kaki kerusinya selari dengan saf jemaah yang bersebelahannya seperti berikut (Gambarajah 2) :-

Gambarajah 2 : Kesilapan didalam Saf (kedepan dari makmum lain)

2. Situasi kedua pula ialah mereka yang tidak langsung mampu berdiri, sepanjang solatnya diatas kerusi. Kedudukan saf solatnya adalah menjadikan bahunya dan kaki kerusi yang kedua bersamaan dengan jemaah bersebelahan. Kaedah ini sama dengan orang yang hanya mampu duduk bersila, dimana kedudukan badannya selari dengan jemaah bersebelahan. Berikut adalah gambaran solat mereka yang duduk sepanjang solat (gambarajah 3).

Gambarajah 3 - Saf yang betul (bahu selari)

Adalah menjadi kesalahan bagi mereka yang berada didalam situasi ini menjadikan tumit kaki selari dengan jemaah solat seperti gambarajah 4 dibawah ini.

Gambarajah 4 - Kesilapan didalam Saf (bahu tidak selari)

Perhatian perlu diberikan kepada jemaah yang menggunakan kerusi mengenai kedudukannya didalam saf. Hendaklah dia memilih berada di hujung saf (kiri atau kanan), lebih-lebih lagi mereka yang mampu berdiri didalam rukun Qiam dimana kedudukan kerusinya adalah terkebelakang sedikit. Jika makmum berada ditengah-tengah saf, sedikit sebanyak keadaan ini akan mengganggu saf yang dibelakangnya ketika menyempurnakan solat. Digalakkan juga mereka ini berada di saf yang terakhir [2].

Antara nasihat yang baik boleh di baca di laman fatwa mufti Negeri Sembilan [3]:
Hendaklah bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri sekiranya mampu, kerana qiyam adalah sebahagian daripada rukun solat. HaI ini adalah bagi kes ketidakmampuan untuk ruku’, sujud atau berdiri lama. Manakala bagi kes ketidakmampuan untuk berdiri maka diharuskan bertakbiratul ihram dalam keadaan duduk.
Hendaklah terus berdiri ketika membaca al-Fatihah dan surah sekiranya mampu. Walau bagaimanapun, diharuskan duduk apabila tidak mampu atau terus duduk jika langsung tidak mampu.
Hendaklah berdiri dengan bertumpukan (i’timad) kedua-dua belah kaki jika mampu atau salah satu daripadanya jika tidak mampu, dan tidak berdiri sambil bersandar kepada sesuatu dengan merehatkan kedua-dua kaki atau salah satu daripadanya.
Tidak menggerakkan kerusi ke hadapan atau ke belakang ketika melakukan isyarat tunduk untuk ruku’ dan sujud.
Tidak menyandarkan belakang badan ke kerusi tanpa sebarang hajat atau keuzuran. Hal ini kerana ia menyalahi tatacara solat, dan keizinan duduk hanya sekadar untuk menampung keuzuran berdiri.
Hendaklah membezakan secara konsisten keadaan tunduk untuk ruku’ dan tunduk untuk sujud. Kedudukan isyarat tunduk untuk sujud hendaklah lebih rendah  daripada isyarat tunduk untuk ruku’.
Tidak sujud di atas sesuatu yang berada di hadapannya seperti yang dilakukan oleh sesetengah penumpang kapal terbang yang menjadikan meja makan sebagai tempat sujud.
Sekiranya keuzuran adalah untuk ruku’ atau sujud, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri dan apabila tiba masa untuk ruku’ atau sujud, barulah diizinkan duduk dan melakukan isyarat tunduk tanda ruku’ dan sujud mengikut kemampuan.
Hendaklah meletakkan tangan di atas kedua-dua lututnya ketika tunduk tanda ruku’ dan meletakkannya di tempat lain selain lutut ketika tunduk tanda sujud supaya ada perbezaan antara isyarat ruku’ dan sujud. Sebagai contoh, kedua-dua belah tangan boleh dilepaskan sahaja di kiri atau kanan peha ketika tunduk tanda sujud, atau diletakkan di atas kedua-dua belah paha kanan dan kiri, atau diletakkan pada kerusi jika ada. 
Tidak digalakkan menjadi imam kepada ma’mum yang solat dalam keadaan sempurna tanpa duduk di atas kerusi atau lantai. Walau bagaimanapun, tiada halangan menjadi imam sekiranya semua makmum daripada kalangan mereka yang uzur atau solat dalam keadaan duduk. Begitu juga sekiranya imam berkenaan merupakan imam bertugas dan keuzurannya adalah sementara dan boleh sembuh. Manakala makmum pula tetap wajib berdiri sekiranya mampu.
Jika keuzurannya sementara dan boleh hilang, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri apabila hilang keuzuran tersebut. Sebagai contoh sekiranya sedang solat dalam keadaan duduk, tiba-tiba rasa sakit atau uzur yang menghalangnya berdiri hilang, maka ketika itu wajib ke atasnya berdiri dan begitulah sebaliknya.

Umum melihat saf orang yang bersolat diatas kerusi ini hanya mempunyai satu keadah sahaja, ia itu kedudukan bahu hendaklah selari dengan jemaah bersebelahan, dan dia akan solat duduk dari takbiratul ihram sehingga salam.  Malah permasalahan ini ada dibincangkan didalam kitab-kitab fiqh, dibawah tajuk solat secara duduk (bersila, dsb). Namun, keadaan separa duduk, atau duduk hanya ketika melakukan ruku' dan sujud ini tidak dibincangkan oleh ulama' mutaqaddimin. Oleh kerana itu, artikel ini merujuk kepada pandangan ulama'-ulama' dimasa sekarang dan juga fatwa semasa bagi menjelaskan fenomena solat separa duduk ini. Wallahu'alam.

kamin, al-ahkam.net
28 Nov 2016


Rujukan :

1. الصلاة على الكراسي .. أحكام وتنبيهات
http://kalbatli.com/praying_on_chairs/

2. عنوان الفتوى: الصلاة على الكراسي وكيفية وضعها في الصفوف
http://www.awqaf.gov.ae/Fatwa.aspx?SectionID=9&RefID=8633

3. Fatwa Mufti Negeri Sembilan. Garis Panduan Solat Dalam Keadaan Duduk
http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/himpunan-fatwa/171-keputusan-mesyuarat-fatwa/902-garis-panduan-solat-dalam-keadaan-duduk


Sunday, November 20, 2016

Fahaman Ibadiyaah di Oman

Semasa belajar dulu, saya mempunyai seorang kawan baik yang berasal dari Oman bernama Said al-Harthy. Beliau mendapat tajaan dari Jabatan Kajicuaca Oman yang berpusat di Muscat. Kami sama-sama berada didalam kelas, makmal dan beberapa halaqah pengajian di Masjid. Apa yang saya selalu perhatikan, kalau kami lewat ke masjid disebabkan kuliah habis lambat, beliau tidak pernah menjadi Imam. Lain dari sahabat-sahabat lain yang berasal dari negara Arab lain seperti Mesir, Yaman dan sebagainya sudah pasti akan menjadi Imam lebih-lebih lagi dalam solat bacaannya secara jahar atau kuat. Lama kelamaan saya bertanyakan kepada beliau, lalu dia jawab : takut menjadi fitnah.

Semasa qiam didalam solat, beliau meluruskan tangan sahaja. Didalam benak hati saya tertanya-tanya, apakah beliau Syiah atau pun Mazhab Maliki? Saya bertanya kenapa dia tidak bersedekap (meletakan diantara pusat dan dada)? Beliau menjawab bahawa nas-nas dari hadith menunjukkan bahawa Nabi :saw tidak sentiasa bersedekap. Beliau berfahaman bahawa apa sahaja perbuatan dalam ibadat yang tidak menunjukkan Nabi :saw sentiasa melakukannya, maka dia cenderung tidak melakukan. Saya yakin bahawa dia bukan Syiah, kerana geng-geng Syiah ini akan solat bersama-sama puak mereka setelah ketiadaan jemaah masjid. Mereka tidak segan silu mengeluarkan tanah Karbala yang berbentuk batu untuk solat dan juga melaknati sahabat Nabi selepas selesai solat. Sahabat saya ini juga tidak suka puak-puak Syiah mengutuk Abu Bakar ra. dan Umar ra., namum beliau tidak langsung bercerita mengenai Uthman ra. dan Ali ra.

Apabila tiba bulan Ramadhan, sahabat saya ini tidak banyak bercakap. Apabila ditanya, beliau menjawab, apabila seseorang itu banyak bercakap, ada kemungkinan dia akan melakukan pendustaan atau mengumpat. Lantas saya bertanya, bagaimana pula dengan bulan-bulan lain? Jawab beliau, bulan-bulan lain kita tidak sentiasa beribadat. Kita hanya beribadat pada waktu-waktu solat sahaja. Dibulan Ramadhan, kita sentiasa beribadat pada waktu siang, iaitu berpuasa. Malah katanya, bercakap perkara-perkara yang melalaikan juga boleh merosakkan amalan puasa. Saya katakan pada dia, istighfarlah. Tapi beliau mengatakan, puasa tersebut batal, dan perlu di Qadha'. Di saat ini terlintas difikiran saya bahawa beliau ini berfahaman khawarij dimana dosa-dosa kecil akan membatalkan amalan puasa Ramadhan mereka.

Beliau juga menjelaskan bahawa suatu ketika dulu, mereka bekerja mengikut waktu kebanyakkan negara lain, seperti pukul 9pagi hingga 5petang, atau 8pagi hingga 4petang. Kerajaan Sudan mengubah waktu bekerja dari 6:30pagi hingga 1:30pm, melangkawi waktu makan tengahari. Mereka berpendapat bahawa rakyat Oman dapat menghabiskan masa bersama keluarga dan juga jiran sekeliling. Rakyat berpuashati depat rehat dan menyediakan makanan untuk berbuka puasa. Perubahan waktu kerja ini juga dapat membantu rakyat Oman menunaikan ibadat puasa dengan sempurna.

Setelah beberapa seketika berdiskusi dengan beliau, barulah satu tahu rupa-rupanya beliau bermazhab Ibadi. Mazhab Ibadi ini merangkui majoriti penduduk Islam Oman. Dinyatakan[1] sebanyak 75% bermazhab Ibadi dan selebihnya 25% terdiri dari Sunni, Syiah, Kristian, Hindu dan Buddha. Wikipedia melaporkan bahawa Kristain 6.5%, Hindu 5.5%, Buddha 0.8%, Yahudi kurang 0.1 % dan yang lain-lain 0.2%. Secara Matematiknya, selain dari Mazhab Ibadi, 11.9% bermazhab Sunni dan Syiah.

Mazhab Ibadi ini dikatakan merupakan mazhab Islam yang terawal, dilihat dari seawal separuh pertama abad pertama Hijrah. Pengikut ramai kini adalah dari kalangan Negara Oman, dimana para Al-Ibaadhiyah  (الاباضية) ini merupakan fahaman majoriti rakyat mereka. Terdapat juga golongan minoriti di Zanzibar, kawasan pantai Timur Afrika, Jabal nafusah dan Zuwarah di Libya, Pulau Jerba di Tunisia dan Was Mzab di Algeria. Mereka dikatakan kumpulan Islam dari fahaman sederhana puak Khaarijis, yang dikatakan berbeza dengan Khaarijis yang eksterim. [3]

Perbezaan umum dengan Ahli Sunnah ialah sikap mereka terhadap para sahabat terutamanya Saidina Othman setelah 6 tahun pemerintahannya dan juga sikap mereka terhadap Saidina Ali semasa beliau berperang dengan Muawiyah. Kumpulan Ibadhi ini tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh mereka ini.

Dari aspek ibadat dan sunnah Nabi saw:-ibadat yang berkaitan dengan sunnah Rasulullah saw, jika ia hanya dilakukan sekali dan tidak berulangkali, tidak dianggap sebagai sunnah oleh Ibadhi, dan menganggap sebagai Rasullah saw mempunyai sebab-sebab lain melakukannya. Maka perkara perbuatan ibadat seperti itu tidak dianggap sebagai sunnah. Contohnya seperti Qunut didalam solat, mengangkat tangan didalam Takbir, mengerakkan jari ketika Tashahud, menyebut Amiin semasa membaca Al-Fatihah, menambah 'Solaat Khiarun mina Al-Noum" semasa azan subuh. Semua perbuatan ini tidak dianggap sunnah.

Musnad Ar-Rabii ibn Habib (sahih) yang ditulis didalam abad ke 2 Hijrah dianggap rujukan yang paling dipercayai/shahih didalam sunnah nabi saw dan kedudukannya lebih tinggi dari Sahih Al-Bhukhari dan Muslim.

Disini kita memetik abstrak dari penulisan berkenaan dengan Ibaadhi ini dari buku Ensaiklopedia Agama dan Mazhab Kontemporari[4](1/63)

1. Definasi

Ibaadhi ialah kumpulan Khaarijis yang dinamakan atas nama pengasasnya Abdullah Ibn Ibaad Al-Tameemi. Mereka mendakwa bahaa mereka bukan Khaarijis (Khawarij), dan mereka menafikan asal ini. Tetapi sebenarnya mereka ini bukanlah Khaarijis yang eksterim seperti Azraqis, tetapi mereka bersetuju dengan Khaarijis didalam banyak isu-isu seperti menafikan sifat Allah, mengatakan Al-Quran dijadikan dan tidak membenarkan menentang pemerintah yang zalim.

2. Siapa yang mengasas Ibadi?

Pengasas pertama ialah Abdullah bin Iabad from kumpulan banu Murrah ibn 'Ubayd ibn tameem. Ia dinamakan Ibaad, yang merupakan sebuah perkampungan di Al-Yamaamah yang sekarang ini dikenali sebagai Al-'Aarid. Abdullah berada dizaman Mu'awiyah dan meninggal pada penghujung pemerintahan Abdul Malik ibn Marwan.

3. Perkara pokok didalam kepercayaan mereka:

- Kebanyakkan buku mereka menafikan sifat-sifat Allah, dimana pada kebanyakkannya mereka lebih mirip kepada Mu'tazilah didalam menyalah tafsirkan sifat-sifat Tuhan. Tetapi mereka mendakwa bahawa pandangan mereka berdasarkan dalil yang terang, apabila mereka mentafsirkan sifat-sifat Allah ini secara metafora. Tetapi sebenarnya pada ahli Sunnah, mereka mentaati dalil dan mengiktiraf Sifat-Sifat Allah, tanpa menafikannya, tidak mendiskusikan bagaimana ianya, atau menyalah tafsirkannya.

- Mereka menafikan orang yang beriman dapat melihat Allah di hari Akhirat

- Mereka mentafsirkan beberapa perkara yang kena mengenai dengan akhirat dan menafikan yang ianya benar, seperti Mizan dan Sirat (** pada mereka sirat ialah pengertian jalan Islam yang lurus, dan bukannya titian sirat).

- Sifat Allah bukanlah tambahan selain dari Zatnya, tetapi ia adalah Zatnya.

- Al-Quran pada mereka dicipta, dan mereka bersetuju dengan Khaarijis didalam hal ini. Al-Ash'ari mengatakan didalam Maqaalaat al-Islamiyyeen (1/203): "Semua Khaarijis mengatakan Al-Quran dicipta".

- Pada pandangan mereka, barangsiapa yang melakukan dosa besar ialah kafir didalam erti kata tidak bersyukur kpada Allah atau menjadi munafik.

- Pada pandangan mereka, manusia dikategorikan kepada 3:

a. Beriman - yang ikhlas didalam aqidahnya

b. Musyrik - yang syiriknya jelas.

c. Mereka yang percaya kepada tauhid dan Islam, tetapi tidak mengamalkannya. Mereka tidak Musyrik kerana masih ada aqidahnya, tetapi mereka tidak mempercayai atau tidak patuh kepada syarat-syarat aqidah, dan ini termasuklah semua orang Islam yang lain didunia ini, kerana mereka percaya akan tauhid, dan termasuklah mempercayai perkara-perkara yang berlaku dihari Kiamat yang dikatakan tidak bertepatan dengan kehendak Tauhid mereka.

- Sesiapa yang melakukan dosa besar ialah kafir dan jika ia melakukannya, dia tidak boleh memasuki Syurga jika ia tidak bertaubat, kerana Allah tidak mengampunkan dosa besarnya melainkan dia bertaubat sebelum kematiannya. Pada Ibadhi, mereka yang berdosa akan dimasukkan kedalam neraka selama-lamanya, maka ini bersamaan dan dipersetuju oleh Khaarijis dan Mu'tazilah yang mengatakan bahawa orang yang berdosa akan kekal di neraka selama-lamanya.

- Mereka menafikan wujud syafaat bagi mereka dikalangan mempercayai Tauhid jika mereka melakukan dosa besar. Bagi mereka, tiada syafaat yang boleh melepaskan mereka dari neraka.

- Ada dikalangan mereka yang mengkritik Khalifah Uthman, Mu'awiyah bin Abi Sufyan dan Amru Al-'Aas.

Apakah hukum bersolat dibelakang mereka?

Jawatan kuasa tetap Lajnah Fatwa Arab Saudi mengatakan: "Ibaadhi adalah kumpulan yang telah sesat pegangannya kerana sikap mereka menentang Uthman ibn 'Affan(r.a) dan Ali (r.a), dan tidak dibenarkan bersolat dibelakang mereka"[5]. Ada kalangan ulama' yang mengatakan bahawa jika mazhab Ibadi tersebut tidak lagi mengikut akidah pegangan yang asal, maka di perbolehkan solat dibelakang mereka.

Misalnya,  seorang ulama' Al-Azhar (Dr Abdul Fatah Asour)[6] membenarkan kita bersolat dibelakang Mazhab Ibadi dengan alasan: "mazhab ini tidaklah banyak bezanya dengan fahaman dikalangan Imam yang mashyur seperti Syafie, Hanifa, Malik dan Ahmad, Tidak menjadi kesalahan bersolat dengan pengikut fahaman ini dan sah dengan izin Allah, dan barangsiapa yang bersolat dibelakang pengikut mazhab ini maka solat itu sah".

Ramai juga pengkaji barat mula berminat dengan Oman yang dikatakan mengamalkan toleransi beragama. Dikatakan tidak berlaku sebarang aktiviti teroris terhadap kedutaan Amerika, tidak seperti beberapa serangan yang di lakukan di Arab Saudi. Bilangan orang-orang Oman yang melibatkan diri berjihad di Afghanistan dan Iraq juga kurang, jika hendak dibandingkan penyertaan negara-negara Arab yang lain. Barangkali mungkin faktor-faktor ini yang menyebabkan barat amat berminat mengkaji model Kerajan Oman dan Mazhab Ibadinya?


Rujukan:

1. Statistics about Ibadiyya. URL : http://ibadism.ahmedsouaiaia.com/ibadiyya-1

2. Demographics of Oman. URL : https://en.wikipedia.org/wiki/Demographics_of_Oman

3.1. Al-Ibaadhiyah. url : http://www.angelfire.com/ok5/ibadhiyah/index.html

4.2. Ensaiklopedia Agama dan Mazhab Kontemporari. Maktabah Sunnah, 2000.

5.3. Jawatankuasa Tetap Lajnah Fatwa dan Penyelidikan. Fatwa no: 6935

6.4. Dr Abdul fatah Asour. Bersolat dibelakang mazhab Al-Ibaadhiyah. url : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=36079 (broken link)

Monday, March 21, 2016

Solat didalam kapal terbang

[Pesawat Etihad di Abu Dhabi]
Penerbangan pesawat Etihad EY418 dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur yang bertolak jam 2:20 pagi akan mengambil masa 7 jam 30 minit  untuk mendarat di Kuala Lumpur International Airport pada jam 1:50pm. Mana-mana destinasi dunia yang menggunakan syarikat penerbangan Etihad akan menjadikan Abu Dhabi sebagai "transit"nya, kerana Abu Dhabi merupakan tuan rumah penerbangan Etihad, dan juga merupakan kapal terbang nasional UAE. Perjalanan dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur walaupun dipenuhi oleh pelbagai bangsa dan agama, akan tetapi yang pasti ada adalah jemaah Umrah yang pulang dari menunaikan Umrah. Apa yang pasti adalah, waktu solat subuh akan masuk dalam anggaran 2 jam selepas waktu bertolak pesawat.

Waktu solat subuh didalam perjalanan Abu Dhabi ke Kuala Lumpur adalah diantara 4:40pagi hingga 5:00pagi, yang sangat pendik masanya. Apa yang menyedihkan adalah kelihatan jemaah-jemaah pakej Umrah masih tidor dan tidak dimaklumkan oleh mutawif atau pemandu pelancung akan masuknya waktu solat subuh. Bayangkan, misalnya setelah 10 hari mereka dilatih untuk bersolat berjemaah diawal waktu di Madinah dan Makkah, namun pada perjalanan pulangnya, belum sempat menjejak kaki dibumi yang dicintai, mereka lalai menunaikan solat subuh. Mengapa perkara ini berlaku? Persoalan ini sering kali dikemukan kepada penganjur agar perlu memberi penjelasan yang jelas dan mudah kepada jemaah berhubungan dengan bila masuknya waktu untuk melakukan solat fardu. Penganjur seharusnya mengedarkan brosur atau pamplet berkenaan dengan waktu-waktu solat diatas kapal terbang, dan keadah membaca jam bagi penentuan waktu solat. Paling tidak, penganjur hendak membuat rondaan didalam kapal terbang untuk mengingatkan kepada jemaahnya berkenaan masuknya waktu solat. Penganjur perlu peka bahawa memaklumkan waktu solat kepada jemaah mereka diatas kapal terbang adalah diantara skop tugasan mereka!


Kaedah bersolat didalam kapal terbang

Kaedah solat diatas pesawat ini bergantung kepada keadaan dan kedudukan pesawat pada waktu itu. Jika keadaan pesawat stabil, seseorang bolehlah mengambil wudhu' dan bersolat seperti biasa (berdiri) dengan mengadap Qiblat. Disini, mengetahui waktu solat dan kedudukan qiblat itu penting. Biasanya perjalanan pulang di Timur Tengah, Qiblat adalah mengadap ekor pesawat, kekiri dalam lebih kurang 10 darjah. Jika pesawat melalui keadaan angin dan ribut petir, kaptan pesawat akan mengarahkan agar semua penumpang memakai tali pinggang keledar masing-masing. Maka didalam keadaan ini, seseorang itu boleh bersolat tanpa air dan debu tanah yang dikenali sebagai solat menghormati waktu (صلاة لحرمة الوقت) sebagaimana yang diamalkan oleh Mazhab Syafie. Menurut Ensaiklopedia Fiqih Kuwait :

فاقد الطهورين هو الذي لم يجد ماء ولا صعيداً يتيمم به ، كأن حبس في مكان ليس فيه واحد منهما ، أو في موضع نجس ليس فيه ما يتيمم به ، وكان محتاجاً للماء الذي معه لعطش ، وكالمصلوب وراكب سفينة لا يصل إلى الماء ، وكمن لا يستطيع الوضوء ولا التيمم لمرض ونحوه . فذهب جمهور العلماء إلى أن صلاة فاقد الطهورين واجبة لحرمة الوقت ولا تسقط عنه ....انتهى .
"Faaqid al-Thohuurain adalah keadaan tidak berjumpa dengan air dan debu yang suci untuk bertayammum dengannya. Seperti seorang yang dikunci pada tempat yang tiada orang, atau tempat yang bernajis dan tidak ada debu untuk dia bertayamum dengannya, atau dia memerlukan air untuk menghilangkan dahaga, atau dia dipasung, atau kapal penumpang tidak kesampaian air, atau seseorang yang sakit yang tidak boleh melakukan wudhu' dan tayamum,  dan sebagainya. Majoriti ulama' berpendapat bahawa faaqid al-thohuurain atau hilang dua penyucian mewajibkan melakukan solat menghormati waktu dan tidak meninggalkannya [solat]...." [Mausuu'ah al-Fiqhiyyah, 14/273].

Bagi mereka yang berpegang kepada mazhab selain dari Mazhab Syafie, Solat Faaqid al-Thohuurain ini terdapat beberapa pendapat. Mazhab Hanbali mengira solat tersebut sah, tidak perlu di Qadha'. Bagi sebahagian Mazhab Hanafi menghendaki seseorang itu melakukan solat Qada' sebaik sahaja keadaan normal tanpa melakukannya ketika ketiadaan air dan debu. Manakala Mazhab Maliki mengatakan bahawa solat tersebut tidak wajib dilakukan oleh kerana bersuci merupakan syarat wajib dan bukan syarat sah. Ketika itu syarat wajibnya tidak dapat dipenuhi, maka solat tidak perlu dilakukan dan tidak perlu di Qada'.

Bagi mazhab Syafie pula, solat wajib dilakukan (dalam keadaan tanpa wudhu') dan wajib juga di Qada'. Solat wajib di Qadha' kerana, pertama solat tersebut dilakukan tanpa bersuci dan keadaan tidak sempurna. Kedua, Ini merupakan uzur yang jarang berlaku dan ia tidak bekekalan sebagaimana kata Imam al-Nawawi rh.:

لأن ذلك عذر نادر غير متصل 
"Kerana sesungguhnya itu adalah uzur yang jarang terjadi (nadir) dan ia tidaklah berterusan. [al-Majmu’ 1/392].


Bagaimana menentukan waktu solat diatas kapal terbang?

Tidak kira kita bermazhab mana sekalipun, solat wajib dilakukan apabila tiba masanya. Bagi mereka yang menaiki pesawat Saudi Air, paparan skren akan memaparkan masuk waktu solat bagi waktu tempatan, iaitu waktu pesawat diudara, tanpa menyebut waktu apa. Pemaparan sudah mencukupi sebagai tanda masuknya waktu solat. Bagi pesawat selain dari Saudi Air, seperti Emirates, Etihad, Gulf Air, mereka hanya memaparkan kedudukan kiblat. Kalau dulunya, kita akan bertanyakan kepada petugas pesawat mengenai bila masuknya waktu solat.

Kini, syarikat Halaltrip Pte Ltd, yang berpusat di Bukit Merah, Singapura menawarkan pelancungan berjenamakan halal dan menyedia kalkulator untuk orang-orang Islam menentukan waktu solat didalam kapal terbang. Malah, laman ini juga memberi panduan mengenai tempat-tempat solat di lapang terbang yang menjadi destinasi perjalanan seseorang. Kalkulator waktu solat ini merupakan satu hadiah yang terbaik kepada orang-orang Islam yang bermusafir. Kalkulator ini dapat diakses melalui tautan : http://www.halaltrip.com/prayertimes/inflight/ 

Pergunaan laman ini sangat mudah. Pengguna dikehendaki memasukkan lapangan terbang asalnya, tarikh dan waktu bertolak. diikuti dengan lapangan terbang destinasinya, tarikh dan waktu sampai. Misalnya :-

Pesawat :  EY 418
Dari: Abu Dhabi (AUH),  Tarikh: 28 FEB 2016, Waktu terbang: 02:20
Ke:    Kuala Lumpur (KUL), Tarikh: 28 FEB 2016, Waktu tiba:13:50
[memasukkan butiran penerbangan]

Anda akan dipaparkan waktu solat sebelum dan semasa berada diatas kapal terbang. Kepada penumpang atau pemandu pelancung, atau mutawif, cara yang sebaiknya ialah memberitahu penumpang agar tidak menukar waktu di jam masing-masing, dan mengekalkan waktu asal (misalnya dalam contoh ini ialah Abu Dhabi). Ini untuk mengelakkan kekeliruan ketika membaca waktu solat. Laman ini juga menyatakan agar kita melebihkan 12 minit dari waktu masuk solat, dan 12minit kurang dari waktu tamat solat berdasarkan ketepatan formula pengiraaannya.

[waktu solat]
Kedudukan kiblat juga dipaparkan mengikut waktu tertentu.

[kedudukan Qiblat didalam pesawat]

Dengan adanya bantuan teknologi moden, penentuan waktu solat diatas pesawat tidak lagi menjadi sukar. Petugas-petugas umrah atau pemandu pelancung seumpamanya hendaklah peka dengan tugasan mereka memberitahu jemaah-jemaah mereka tentang "bila masuk waktu solat" didalam perjalanan mereka. Walaupun kita berlainan mazhab sekalipun, solat hendaklah ditunaikan pada waktu yang ditentukan. Firman Allah swt :

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." [surah al-Nisaa' : 103]

kamin, 21-03-2016