Thursday, May 01, 2014

Tawaf Wada’ selepas Umrah di hari Jumaat














Memasuki Masjid al-Haram untuk bersolat Jumaat pada masa ini sangat mencabar dengan terdapatnya ribuan manusia memenuhi setiap sudut ruangan kosong didalamnya. Datang seawal 10 pagi pun agak sukar untuk mendapatkan tempat duduk. Bayangkan betapa sesaknya masjid ini diwaktu percutian musim panas negara Arab dan bulan Ramadhan yang akan tiba. Antara sebab kesesakan di Masjid al-Haram adalah kerana lebih kurang ¼ kawasan masjid ini masih terlibat didalam proses pembesaran terutamanya disebelah Syamiyyah dan Mathaf (Tempat Tawaf). Arab Saudi juga baru menyelaraskan cuti mereka yang dahulunya Khamis-Jumaat ditukar menjadi Jumaat-Sabtu, menyamai negara-negara Arab yang lain, maka ia memberi peluang kepada warga Saudi untuk bermusafir ke Masjid al-Haram dan bermalam di Mekah hingga hari Sabtu.

Kebetulan pada hari Jumaat minggu lepas terdapat sekumpulan jemaah Umrah dari Malaysia akan berangkat dari Mekah ke Jeddah jam 4 petang, maka mereka dikehendaki melakukan Tawaf Wada’ selepas solat Jumaat. Menurut keputusan Muzakarah Haji 1427H (Mei 2006), uruf tempoh valid Tawaf Wada’ pada hari Jumaat adalah antara 4 hingga 5 jam. Maknanya jika bas bertolak pukul 4 petang, maka pukul 11pagi jemaah sudah boleh menunaikan Tawaf Wada’. Pukul 11pagi sehingga 1pm sangat sukar melakukan Tawaf Wada’ oleh kerana waktu itu sesak dengan jemaah yang menunaikan solat Jumaat. Waktu yang agak sesuai adalah lepas solat Jumaat, namun demikian keadaannya masih mencabar, masjid masih lagi sesak dengan ribuan manusia.

Kelihatan seorang anak dan ibu yang dalam linkungan pertengahan 60an cuba melepasi lautan manusia turun ke Mathaf (tempat tawaf) untuk melakukan Tawaf Wada’. Si ibu dalam keadaan panik dan resah mengatakan kepada anaknya : “Macamana kita nak tawaf ni?”. Anaknya berkata “Nak buat macamana Mak? Buat aje lah. Tawaf Wada’ ini wajib Mak. Kita redha aje Mak”. Si ibu berkata lagi :”Macamana ni?”. Namun anak tersebut terus diam sambil memimpin tangan ibunya ke kawasan Mathaf.

Kebanyakkan agensi yang mengendalikan umrah masih berpegang kepada wajibnya melakukan Tawaf Wada’ sebelum meninggalkan Mekah. Barangkali elok juga kita melihat kepada pelbagai pendapat mengenai hukum Tawaf Wada’ ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan Masjid al-Haram yang tidak mengizinkan tawaf untuk dilakukan. Menurut  Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah li al-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta (11/298-299) : “Dibenarkan untuk mereka yang melakukan umrah, terutamanya apabila di tinggal di Mekah setelah menunaikan Umrah, maka hendaklah dia melakukan tawaf Wada’ apabila ia keluar dari Mekah, akan tetapi ia bukanlah wajib menurut pendapat yang paling benar dikalangan ulama”

Pendapat yang mengatakan ianya wajib berdasarkan kepada hadith :

لا ينصرف أحد حتى يكون آخر عهده بالبيت
“Tidak seorangpun meninggalkan (Baitullah) sehingga perkara akhir dia lakukan ialah mengeliling Baitullah” [Hadith Riwayat Ahmad dan Muslim]. Majoriti ulama’ berpendapat bahawa hadith ini merujuk kepada ibadat Haji.

Menurut Sheikh Abdul Aziz Marzuq al-Torifi, Tawaf Wada’ selepas Umrah tidak wajib, ini merupakan pandangan jumhur (majoriti) ulama’ ari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Terdapat sebahagian mereka yang mengatakan Tawaf Wida’ wajib,  sebagaimana beberapa pendapat Mazhab Hanafi, Syafie dan Ibn Hazm. [al-Torifi, Sifatu Hajjati al-Nabi, ms 205]

Dikalangan ulama’ yang mengatakan Tawaf Wada’ selepas umrah tidak wajib menjelaskan bahawa tidak terdapat dalil yang mewajibkan, malah Nabi :saw tidak melakukan Tawaf Wada’ semasa beliau meninggalkan mekah setelah melakukan umrah al-Qada’.

Berdasarkan majoriti mengatakan Tawaf Wada’ selepas Umrah adalah tidak wajib, adalah dirasakan sesuai buat masa ini mengambil pandangan ini terutamanya keadaan yang sesak didalam Masjid al-Haram. Malah didalam keputusan Muzakarah Haji 1427H (2006) memberi kelonggaran kepada petugas Haji  memberi tumpuan utama kepada jemaah Haji yang ingin berangkat pulang agar tidak perlu melakukan Tawaf Wada’.  Kelonggaran ini juga boleh diaplikasikan keatas jemaah Umrah agar mereka diberi alternatif untuk tidak perlu menunaikan Tawaf Wada’ terutamanya jika keadaan Masjid al-Haram yang sesak.

Khilaf (perselisihan) ulama’ berkenaan dengan Tawaf Wada’ selepas Umrah ini sekurang-kurangnya memberi keringanan kepada umat Islam dimasa menghadapi kesesakan Mathaf dan kesuntukan masa untuk berangkat pulang ke tanah air. Bagi mereka yang mampu melakukan Tawaf Wada’ selepas Umrah, adalah sangat-sangat digalakkan. WA.

Berikut adalah video penjelasan hukum Tawaf Wada' menurut pendapat Dr Muhammad al-'Arifi :-



Sekian, wassalam
Kamin, 1-5-2014.