Wednesday, February 19, 2020

Ruqyah Kanser Payudara


Ruqyah Kanser Payudara 

Ini merupakan catatan kisah bagaimana terbitnya slide Ruqyah terhadap pesakit kanser payudara dan juga kanser paru-paru. Kami mempunyai seorang sahabat yang sangat kental jiwa dan tidak mudah mengalah didalam apa-apa assignment yang diberikan kepadanya. Beliau merupakan seorang wanita yang rajin dan berdedikasi.

Tahun 2018 beliau telah di diagnos mengidap kanser payudara. Cuma beberapa orang sahaja di pejabat beliau yang tahu akan keadaan beliau. Walaupun di diagnos mengidap kanser payu dara awal tahun 2018, beliau masih gigih bekerja tanpa menunjukkan reaksi sakit. Saya pernah tanya beliau, ok ke memandu kereta ke pejabat? Beliau hanya menjawab, ok, Cuma bila memandu dalam jem, belakang beliau akan rasa sakit. Dari situ kami dapat meneka bahawa kanser beliau telah mula serius.

Pertengahan bulan November 2018 beliau sudah mula tidak pergi ke pejabat lagi kerana menumpukan perhatian pengubatan kanser beliau. Beliau tidak mampu lagi memandu kereta sendiri. Kami juga sempat melawat beliau pada hujung bulan November 2018 di rumahnya. Masa itu baru kami tahu bahawa beliau sangat sukar untuk memakai baju, kerana pergerakan tangan itu menyakitkan beliau. Setiap pagi apabila hendak bangun dari tidor, dia akan menangis kerana pergerakan itu sangat menyakitkan.

Pada 9 Disember 2018 saya mendapat mesej whatsapp dari beliau seperti berikut;


Saya ingatkan link youtube ini hanyalah terdiri dari beberapa surah dan mudah untuk saya jejak dari surah mana ayat-ayat tersebut. Namun apabila melihat durasi audio ini memakan masa selama 1jam 2minit 37 saat, saya pun mesej kepada beliau bahawa saya memerlukan  masa sedikit untuk mendengar bacaan ruqyah ini dan mencari surah mana didalam mushaf.

Pada 12 Disember 2018 berbekalkan ear phone dan al-Quran cetakan Madinah, saya mula mengamati bacaan ruqyah dan mencari dari  surah mana dan ayat berapa surah tersebut. Agak mencabar juga kerja-kerja ini, kerana ia melibatkan mendengar bacaan dan mencari ayat-ayat ini didalam mushaf. Qari bacaan tersebut adalah Sheikh Khalid Al-Habashi. Shiekh memulakan doa dan pada minit ke 18 barulah beliau membaca ayat-ayat al-Quran dari beberapa surah. Pada hari pertama itu saya dapat mencari ayat-ayat yang Qari baca sehingga minit ke 25:21 jam 5:39pm  dan membuat catitan tulisan tangan diatas kertas.




Ketika itu pula saya mempunyai beberapa urusan yang perlu diselesaikan segera yang membantutkan pencarian ayat-ayat Ruqyah tersebut. Pada 20 Disember 2018,  jam 6:33pm saya telah mendengar audio tersebut sehingga ke minit 35:22. Catitan-catitan itu telah saya masukkan kedalam powerpoint agar ia lebih mudah untuk di baca. Keesokkannya pula (21 Disember 2018) saya dapat menghasilkan 2 versi slide yang berakhir pada minit 39:59 dan 45:45. Kedua-dua versi ini walaupun belum sempurna lagi, saya telah hantar kepada beliau melalui whatsapp.

Pada 21 Disember 2018, saya menerima mesej dari suami beliau bahawa tulisan-tulisan slide itu kecil kerana pada waktu itu mata beliau telah mula kabur. Saya cadangkan agar kita akan print slide tersebut dalam format landscape agar tulisan itu mudah di baca. Suami beliau juga memberitahu kami bahawa konsidinya sudah mula menurun dan mereka sekarang berada di Hospital Tropicana.

Menyedari keadaan beliau yang semakin tenat, saya pun mula mempercepatkan kerja-kerja mengenal pasti ayat-ayat tersebut. Dalam hati kecil saya, harap-harap saya dapat menyelesaikan kerja-kerja ini semasa beliau masih hidup. Dalam masa yang sama, saya perlu menemankan isteri saya ke luar negara pada 23 Disember hingga 31 Disember. Alhamdulillah, pada hari yang sama (21 Disember 2018), saya dapat menyelesaikan kerja-kerja tersebut jam 9:14pm dan sempat menghantar slide tersebut kepada suaminya.  Beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir pada 6 Januari 2019 di Hospital Putrajaya. Harapan saya, sesiapa sahaja yang membaca slide ini dapatlah mendoakan keatas roh beliau (Puan Suzana Bee) agar beliau di ampuni dan di rahmati oleh Allah swt.



Berikut adalah pautan slide Ruqyah tersebut.


19 Jan 2020
kamin
BookXcess, cyberjaya