Hukum solat diatas kerusi (Bahagian 3)
Berikut adalah ceramah oleh TG Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman membedah buku ini (تنبيه الناسي بحكم صلاة أهل الكراسي)
http://www.youtube.com/watch?v=J7IcNLnkxpQ
Berikut adalah gambaran kedua sehingga keempat dari buku
kecil Sheikh al-Ghamidi yang dapat saya ringkaskan.
Gambaran kedua (2) – Seseorang itu melakukan solat fardu
diatas kursi (dari mula sampai akhir) kerana dia uzur atau tidak upaya
melakukan sujud. Alasannya, sujud akan memudharatkan dan menambahkan lagi
kesakitannnya, lebih-lebih lagi dia telah mendapat nasihat dari Doktor yang
amanah dan dipercayai.
Maka dalam hal ini, sepakat ulama’ mengatakan solatnya
batal, kerana sesungguhnya dia telah meninggalkan beberapa rukun solat secara
sengaja, seperti rukun Qiam (berdiri), Ruku', Duduk antara dua Sujud dan duduk
Tashahud.
Maka secara syariatnya, hendaklah dia solat dalam keadaan berdiri
semasa Qiam dan Ruku', sehingga apabila dia ingin melakukan sujud hendaklah dia
terus duduk lantai/bumi, kemudian mengerakkan kepala tanda sujud, kemudian
duduk diantara dua sujud, maka demikianlah rakaat yang seterusnya.
Gambaran ketiga (3) - seseorang itu bersolat fardu diatas
kursi, dia uzur dari duduk sama sekali (tidak mampu untuk duduk). Alasan yang
diberi adalah, jika dia duduk maka akan mudharatnya. Lebih-lebih lagi dia telah
mendapat nasihat dari doktor pakar.
Dalam keadaan ini, solatnya batal juga kerana meninggalkan
beberapa rukun dengan sengaja, seperti rukun Berdiri (Qiam) dan Ruku'.
Sebenarnya, hendaklah dia bersolat Berdiri dan Ruku’.
Sehinggakan apabila ingin sujud, maka duduklah atas kursi. Disyaratkan mendapat
nasihat doktor pakar mengenai pergerakkan yang dibolehkan. Gerakkan kepala
semasa sujud. Maka lakukan solat yang sedemikian pada keseluruhan solat.
Gambaran keempat (4) - Seseorang yang bersolat fardu
menggunakan tongkat. Apabila dia ingin Ruku' atau Sujud dia akan bersolat atas
kerusi. Dia meletakkan bebanan berdiri keatas tongkatnya.
Terdapat DUA hal didalam situasi ini :-
1. Menjadikan Qiam dan Ruku' menggunakan tongkat. Dia tidak
boleh berdiri sempurna tanpa tongkat.
Dalam hal ini, tidak syak lagi bahawa solatnya tidak sah.
Kerana sesungguhnya dia telah meninggalkan rukun Sujud dan Duduk antara dua
Sujud dengan sengaja (kerana ketika itu dia Sujud dan duduk menggunakan
kerusi).
Dalam hal ini, menurut pandangan syara’, dia hendaklah
bersolat menggunakan tongkat semasa berdiri(Qiam) dan Ruku’ tanpa menggunakan
kerusi. Apabila dia ingin sujud, hendaklah dia duduk diatas lantai/bumi untuk
melakukan Sujud, Duduk antara dua sujud dan Sujud kedua. Setelah itu, dia bolehlah
bangun menggunakan tongkat dan meneruskan rakaat yang seterusnya.
2. Menjadikan Qiam dan Ruku'
bersandarkan tongkat, sedangkan dia mampu berdiri tanpa tongkat.
Dalam hal ini solatnya tidak sah juga kerana meninggalkan
rukun Sujud dan Duduk antara dua sujud dengan sengaja (kerana ketika itu dia
Sujud dan duduk menggunakan kerusi), dimana ketika itu dia mampu melakukan
sujud dan Duduk diatas bumi.
Dalam hal ini, menurut pandangan syara’, perlulah dia solat
Berdiri, Ruku', Sujud dan Duduk tanpa bersandar kepada tongkat dan tanpa duduk
diatas kerusi. Jelas menunjukkan bahawa terdapat bentuk solat diatas kerusi
yang tidak sah solatnya yang diperlihatkan melalui 4 gambaran peringatan. Jika
seseorang itu melakukan solat tersebut dalam keadaan ia mengetahui caranya, dia
telah diperingatkan dan masih lagi memilih cara tersebut, maka solatnya tetap
tidak sah, melainkan telah jelas kejahilannya, lupa atau dipaksa melakukan
sedemikian.
Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang ini diketahui ramai
yang jahil dikalangan umat Islam, samada mereka akan bertaklid, sama seperti
orang yang jahil dalam hukum agama atau tidak bertanyakan kepada orang-orang
alim.
Apabila diselidiki dari rakan-rakan, terdapat DUA gambaran
SAH solat diatas kerusi sebagaimana yang dizahirkan oleh kebanyakkan orang pada
masa ini.
Gambaran pertama – seseorang yang memang asal kejadiannya
serba kekurangan (OKU), dimana dia tidak berupaya untuk berdiri dan
pergerakkannya terhad. Mereka ini dianggap sebagai orang sakit dan sangat
lemah. Begitu juga dengan mereka yang terkena stoke atau angin ahmar, atau
sakit-sakit lain yang menyebabkan di tidak boleh berdiri.
Bagi mereka yang berkeadaan begini, secara syariatnya
hendaklah dia duduk diatas kerusi pada permulaan solat lagi, menggerakkan
kepala ketika Sujud dan Ruku, menjadi Sujud lebih rendah dari Ruku'.
Bagi mereka yang tidak mampu menggerakkan kepala, maka
hendaklah dia berniat dengan hatinya, pada setiap rukun.
Gambaran kedua :- bagi seseorang yang uzur hanya pada duduk
sahaja, kerana keuzuran sakit, dan telah merujuk kepada doktor yang pakar, maka
mereka yang menghadapi keadaan ini, disyariatkan bersolat Berdiri dan Rukuk,
sehingga bila sampai kepada rukun Sujud, maka hendaklah dia duduk diatas
kerusi, mengerakkan kepala dengan niat Sujud, dia lakukan bagi keseluruhan
solatnya.
Demikian penjelasan beberapa gambaran solat yang sah diatas
kerusi. Terdapat beberapa hukum lain yang penting untuk dijelaskan lebih-lebih
lagi kedapatan kerusi disediakan di saf awal di masjid dimasa ini. Kedudukan
saf mereka yang menggunakan kerusi masih lagi tertakluk kepada kedudukan
tumit-tumit kaki, bahu,dsbm bukannya kedudukan kaki kerusi jika seseorang itu
mampu berdiri and ruku' semasa solat (dan hanya menggunakan kerusi ketika sujud
dan duduk diantara dua sujud). Ini bermaksud, kedudukan kerusi itu akan
kebelakang sedikit. Dia hendaklah bijak meletakkan kedudukan kerusinya agar
tidak mengganggu jemaah dibelakangnya. Akan tetapi, bagi mereka yang sentiasa
bersolat diatas kerusi, maka kedudukan badannya dikira sebagai kedudukannya
didalam saf. WA.
Berikut adalah ceramah oleh TG Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman membedah buku ini (تنبيه الناسي بحكم صلاة أهل الكراسي)
http://www.youtube.com/watch?v=J7IcNLnkxpQ
Sekian, wassalam
kamin, al-ahkam.net
25 September 2014.
25 September 2014.