[gambar ihsan MSSAAS, Dr Wahbah al-Zuhaily dan Dr Zulfikfli al-Bakri]
Kedatangan beliau dinanti-nantikan bagai menunggu artis terkenal yang akan membuat persembahan agungnya dipentas. Nama Prof Dr Wahbah al-Zuhaily memang tidak asing lagi dikalangan pengemar buku-buku agama. Kita rakyat Malaysia dapat baca karangan ulama' Syria yang terkenal ini dengan adanya usaha penterjemahan yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga Persatuan Ulama' Malaysia.
Karya agung beliau, al-Fiqh al-Islami wa dillatuh merupakan ensaiklopedia fiqh empat mazhab yang telah diterjemahkan kedalam Bahasa Malaysia oleh DBP (1994, cetakan pertama) menggunakan edisi ke 3 berbahasa arab, cetakan tahun 1989, terbitan Dar al-Fikr. Kami banyak mengambil manafaat kitab ini terutama digunakan dalam menjawab soal-jawab fiqh di al-Ahkam.net semenjak 1998. Bahasa Arab yang digunakan adalah sederhana dan mudah difahami, dan strukur kitab tersebut sangat tersusun. Setiap perbincangan akan dimulakan dengan pandangan umum, dan diikuti dengan perbahasan menurut Mazhab yang empat.
Satu lagi karangan beliau yang dikenali di Malaysia adalah al-Tafsir al-Munir, yang dicetak oleh pencetak yang sama (Dar al-Fikr) keluaran pertamanya tahun 1991, cetakan ke dua pada tahun 2003, dan cetakan ke tiga pada tahun 2005. Persatuan Ulama Malaysia telah mula menterjemahkan kitab ini pada tahun 2001 bermula dengan Juz al 'Amma, Juz 28 dan Juz 27. Kitab ini mengabungkan Tafsir Klasik dan Kontemporari. Banyak juga frasa-frasa ayat yang terdapat didalam Tafsir Ibnu Kathir didalamnya. Setiap kumpulan ayat-ayat al-Quran akan dibahagikan kepada beberapa bab; dari segi qiraat, bahasa ('irab, balaghah, mufradat al-lughawiyah), Sebab Nuzul Ayat (jika ada), Tafsir dan bayan, dan Fiqh alHayah atau al-Ahkam / hukum-hukum.
Ceramah beliau di Masjid Sultan Salahuddin Shah Alam pada 14 Mei 2011 yang lalu berkisar pada isu Sumpah dan Qazaf. Ia dianjurkan oleh Persatuan Ulama' Malaysia dan ABIM. Ceramah beliau telah diterjemahkan perkataan demi perkataan oleh tokoh agamawan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, dan dipengerusikan oleh Pegawai Masjid, Ustaz Abdul Karim Omar bin Maaseng. Malah setelah selesai ceramah beliau, sebelum sesi soal jawab, Dr Wahab al-Zuhaily telah memuji cara terjemahan Dr Zulkifli. Beliau menyifatkan Dr Zulkifli sebagai seorang yang tsiqah, istilah yang digunakan didalam bidang hadith yang menunjukkan seorang yang boleh dipercayai. Jarang-jarang ceramah beliau diterjemahkan perkataan demi perkataan. Pujian ini di sambut dengan senyuman dikalangan hadirin dan tidak diterjemahkan oleh Dr Zulkifli.
Point penting yang dinyatakan oleh Dr Wahbah adalah sumpah tidak boleh digunakan didalam kes jenayah. Biasanya sumpah digunakan untuk mempertahankan diri / tujuan penafian, akan tetapi didalam isu kes tuduhan zina melalui rakaman seks baru-baru ini, sumpah digunakan untuk menuduh orang yang melakukan zina. Sungguh pelik aplikasinya.
Dr Wahbah menegaskan bahawa tuduhan berzina hanya boleh dibuat dengan hanya membawa 4 orang saksi, dimana saksi tersebut adalah orang yang tidak membuat dosa-dosa besar dan menjauhi dosa-dosa kecil. Jika tidak boleh membawa 4 orang saksi, maka Dr Wahbah menyatakan bahawa orang tersebut mempunyai ciri-ciri munafik dan pendusta! Saksi mesti bersifat adil, dan orang yang fasik tidak boleh dijadikan saksi. Dia boleh dikenakan hukum Qazaf, kerana menuduh seseorang tanpa membawa empat orang saksi.
Teknologi moden yang beliau sifatkan sebagai kaedah yang dipelopori oleh Holywood tidak boleh dijadikan sebagai bahan bukti. Pernah satu ketika dahulu pernah digunakan untuk memerangkap seorang ulama' Mesir dengan menggunakan kaedah cropping dan sebagainya, yang menunjukkan gambaran superimpose ulama' tersebut menari bersama artis wanita.
Beliau menasihatkan orang yang di tuduh, yang merupakan Ketua Pembangkang agar jangan ambil peduli tuduhan-tuduhan ini, sebaliknya mendekatkan diri dengan Allah swt. Apabila ditanya dengan beberapa soalan yang seakan-akan sama, lantas beliau bertanya : Apakah kita mahukan Syariah Islam atau Syariah Syaitan?
Kedatangan Dr Wahbah al-Zuhaily sekurang-kurangnya dapat membersih fitnah-fitnah yang dicetuskan oleh media cetak dan media elektronik oleh pihak-pihak tertentu. Dr Wahbah mengingatkan kita mengenai bala' yang telah Allah turunkan, seperti kejadian Tsunami. Jelas dan amat-amat menjijikkan apabila pihak media seolah-olah menjemput bala' dan malapetaka dari Allah swt. Mereka seolah-olah menjadikan isu agama dan hukum ini sebagai bahan santapan yang boleh menjatuhkan imej seseorang. Isu-isu ini seolah-olah mengadili kesalahan dan menghukum si-tertuduh.
Yang paling menyedihkan lagi, kedatangan Tokoh Maal Hijrah tahun 2008 ini tidak ada langsung liputannya didalam media elekronik yang menyokong kerajaan. Hanya harakahdaily yang melapurkan ceramah tersebut. Apakah media-media ini tidak mahu menjernihkan fitnah-fitnah yang mereka telah sebarkan?? Mungkin yang menjemput Dr Wahbah al-Zuhaily adalah NGO, yang memihak kepada si-tertuduh agaknya. Rupa-rupanya kita lebih gemar berita sensasi yang penuh dengan pendustaan dari berita yang memaparkan kebenaran dan hak. Hampar sungguh tindakan media-media ini. Moga-moga Allah menyelamatkan kita semua dari fitnah dan ujian ini. WA.
sekian, wassalam