Sunday, September 21, 2008

Pegangan al-Qaradhawi terhadap Syiah

Laman al-Qaradhawi - 17-09-2008


Pada 13 Ramadhan 1429 yang lalu, Agensi Akhbar Iran Mehr, telah melancarkan serangan terhadap al-Qaradhawi diatas dialog beliau yang disiarkan di surah khabar Mesir, al-Masri Al-Yaum yang telah membangkitkan ketidak puashatinya penganut Mazhab Syiah.

Kata al-Qaradhawi : Saya tidak mengkafirkan mereka, sebagaimana yang dilakukan oleh mereka yang melampau. Saya berpandangan bahawa mereka adalah orang Islam, akan tetapi melakukan bid'ah.

Beliau mengatakan barangsiapa yang mengucap Syahadah, mereka masih lagi di anggap Islam.

Beliau telah memberi amaran kepada perkara-perkara luar biasa yang dilakukan oleh Syiah, seperti menghina, mengeji para sahabat Nabi :saw, perbuatan Syiah mencucuk jarum doktrinnya kedalam masyarakat Ahli Sunnah. Lebih-lebih lagi mereka telah membelanjakan billion ringgit melatih kader-kader untuk menyebarkan doktrin Syiah, dan perkara ini tidak dilakukan oleh Ahli Sunnah.

Komen beliau terhadap kenyataan Ayatollah Muhammad Hussein Fadlallah ; ia merupakan perkataan yang pelik dan memeranjatkan beliau dengan isu yang sebegini rupa.

Berikut diringkas pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengenai pendirian beliau terhadap Syiah.

1. al-Qaradhawi percaya kepada prinsip perpaduan umat Islam, baik ia melibatkan kumpulan-kumpulan tertentu atau mazhab, dimana mereka itu beriman kepada Kitab yang satu, Rasul yang satu, kearah Kiblat yang satu, dan diantara mereka itu terdapat khilaf, dan tidaklah itu mereka tersingkir.

2. Hanya satu kumpulan sahaja yang selamat diantara 73 kumpulan sebagaimana yang telah dinyatakan didalam hadith. Selain dari kumpulan itu, mereka adalah keterlaluan atau sesat. Setiap kumpulan percaya bahawa diri mereka terselamat, dan yang tinggal adalah yang sesat. Beliau percaya bahawa Ahli Sunnah sahaja yang terselamat, kesemua kumpulan yang lain melakukan bid'ah dan sesat. Diatas asas ini, al-Qaradhawi berpendapat bahawa : Sesungguhnya Syiah terlibat didalam BID'AH dan TIDAK KAFIR, dan sesungguhnya kebenaran itu bukan pelbagai, dan syukur kepada Allah bahawa 9/10 umat Islam adalah Ahli Sunnah, dan kebenaran yang berkata mengenai kami.

3. Beliau mengambil sikap sederhana terhadap Syiah Imam 12, dan tidaklah membenarkan takfir (mengkafirkan); sikap mereka terhadap al-Quran, terhadap Sunnah, terhadap sahabat, memuliakan Imam, dan yang mempertahankannya, dimana Imam itu dikatakan mengetahui perkara ghaib dimana Nabi-Nabi sendiri tidak mengetahuinya. Beliau telah berulangkali menjelaskan didalam buku Dialog dan Taqribnya.

Beliau tidak bersetuju dengan pegangan mereka dan berpendapat bahawa pegangan ini salah : iaitu Nabi :saw telah memilih pengganti Ali ra untuk menjadi Khalifah, dan para sahabat menyembunyikan berita ini, dan mereka mengkhianati Nabi :saw dan menafikan kebenaran yang tertinggi, dan mereka melakukan konspirasi terhadapnya. Yang peliknya, Ali ra. tidak pernah mengumumkan kepada umum dan menegakkan kebenaran? Malahan beliau berbai'ah kepada Abu Bakar, Umar dan Othman. Maka pesoalan disini, kenapa Ali ra tidak bersemuka dengan kebenaran? Kenapa beliau tidak becakap benar? Kenapa pula anak beliau al-Hassan pula bersetuju memberikan jawatan Khalifah kepada Muawiyah? Bagaimana Nabi :saw memuji apa dia lakukan, sesesungguhnya Allah mendamaikan dua orang Islam yang hebat!

Syiah melakukan bid'ah didalam amalannya, misalnya memperbaharui tragedi kematian Husein setiap tahun dengan menampar muka-muka, dada-dada dan memukul sehingga berdarah. Sudah lebih dari 13 abad meneruskan bencana ini! Mengapa pula mereka tidak melakukan perkara tersebut apabila Ayah mereka sendiri dibunuh? Bukankah itu lebih baik?

Disini terdapatnya amalan syirik yang dilakukan dikubur. Kubur tempat dikebumikan Ahli Bayt, memohon pertolongan darinya dan berdo'a tanpa Allah. Terdapat juga dikalangan Sunni yang melakukan perkata tersebut, akan tetapi ulama' mereka telah membantah dan menafikan kebenaran perbuatan tersebut. Penjelasan diatas mengaitkan mereka dengan bid'ah, dan tidak menghukum mereka dengan kafir, atau kufur akbar, atau terkeluar dari agama.

4. Berkata al-Qaradhawi : Sesungguhnya perbezaan didalam Mazhab hanyalah pada perkara ranting, permasalahan amal, hukum ibadat dan muamalat, bukanlah merupakan satu masalah. Diantara kami dan Syiah bukanlah perselisihan yang besar dikalangan beberapa Mazhab Sunni. Syiekh kami, Syiekh Shaltut rh, bekas Syeikul Azhar pernah berkata bahawa dia telah berfatwa membenarkan Mazhab Ja'fari ; diatas perkara yang berkaitan cabang amalan penghukuman, dan mereka berbeza dari segi solat, puasa dan selain dari yang dua ini, berkemungkinan boleh ditolerasikan.

5. Apa yang beliau nyatakan didalam akhbar Mesir Hari Ini (al-Masri Al-Yaum) adalah merupakan sesuatu yang telus dan penegasan yang kuat, sebagaimana persidangan yang pernah beliau hadiri, samada di Rabat, Bahrain, Damsyik dan Doha, dan apa yang beliau telah dengar dari ulama' Syiah, dan apa yang telah beliau lontarkan semasa melawat Ayatollah di Iran 10 tahun yang lalu : Disana terdapatnya garisan merah yang harus kita ikut dan tidak boleh melepasinya, didalamnya termasuklah mengeji sahabat, penyebaran doktrin Syiah kepada negara-negara Sunnah tulen, dan kesemua ulama' Syiah telah bersetuju dengan beliau mengenai perkara ini.

6. Walaupun beliau mempunyai beberapa tanggapan (reservation) mengenai sikap Syiah terhadap jarum-jarumnya yang menembusi masyarakat Sunnah, beliau tetap berdiri dibelakang Iran didalam menuntut haknya memiliki tenaga Nuklear, dan menafikan sekuat-kuatnya ancaman Amerika terhadap mereka, dan kata beliau : "Kami berdiri menentang Amerika jika Iran diserang, Iran adalah sebahagian dari Darul Islam, perkara ini tidak boleh dikompromikan, Undang-undang kami mewajibkan kami mempertahankan mereka apabila dimasuki atau diancam orang luar, Semua agensi media Iran telah maklum mengenai pendirianku, dan beberapa pegawai resmi yang menghubungiku mengucapkan terima kasih dan menghargainya. Dan saya bukan berdiri kerana ingin mendapatkan simpati, tetapi saya mengatakan bahawa seseorang Muslim hendaklah menyokong seorang Muslim yang lain"

Kenyataan penuh beliau : http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=6226&version=1&template_id=238&parent_id=237

Sekian, wassalam

Wednesday, September 17, 2008

Lailatul Qadar datang hanya sekali?



Didalam kesibukan umat Islam menanti kedatangan satu malam yang penuh kemuliaan, iaitu Lailatul Qadar, ada pula dikalangan mereka yang cuba mencucuk jarum pemikiran umat Islam dengan mengatakan penantian Lailatul Qadar itu merupakan suatu penantian yang sia-sia dan sesat belaka! Bagi mereka, Lailatul Qadar hanyalah suatu catatan sejarah yang dipaparkan didalam surah al-Qadar. Mereka berpendapat bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku sekali sahaja, iaitu pada malam penurunan al-Quran.

Salah satu keadah yang digunakan adalah dengan cara menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam berkenaan dengan hadith-hadith didalam Kitab Sahih Bukhari dan juga Kitab Sahih Muslim, iaitu memaparkan beberapa malam yang berbeza-beza dijangkakan berlaku Lailtul Qadar. Misalnya didalam hadith riwayat Imam Bukhari, dari Ibn Umar ra, Nabi :saw menyeru agar umat Islam mencari Lailatul Qadar pada tujuh (7) malam terakhir. Didalam hadith yang lain pula, dari A'isyah ra. Nabi :saw menyeru agar umat Islam mencari Lailatul Qadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir. Dipaparkan beberapa hadith Imam Muslim yang menjelaskan malam-malam tertentu kedatangan Lailatul Qadar misalnya pada malam 25, 27, dan 29.

Penulis tersebut memberi kesimpulan : "Semua hadis tersebut adalah bercanggah, anih dan tidak boleh dipercayai. Tidak terdapat satu pun hadis yang mengatakan bahawa Nabi atau sahabat pernah terjumpa lailatul Qadar itu."

Tambah penulis tersebut : "Quran itu diturunkan kepada Nabi sekali sahaja dalam waktu hayatnya. Maka peristiwa lailatul Qadar itu tentulah juga sekali sahaja dan tidak akan berulang lagi hingga hari kiamat. Oleh itu, menunggu-nunggu kedatangan lailatul Qadar nyatalah amalan sesat dan sia-sia."

Mentafsir surah al-Qadr

Dalil yang diberikan oleh golongan ini adalah sebagaimana Firman Allah swt didalam surah al-Qadr :-

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
"Sesungguhnya kami telah menurutkan NYA pada malam al-Qadar" [al-Qadr : 1]

Penulis tersebut menjelaskan :"Ayat 97:1 menjelaskan bahawa malam qadr itu berlaku sekali sahaja iaitu satu malam waktu Quran diturunkan. Malam itulah yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan dimana Malaikat dan Roh juga turun.

Quran itu telah diturunkan pada bulan Ramadan, seperti yang dijelaskan di dalam ayat 2:185. "Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia.."

Persoalannya sekarang adalah, perkataan HU atau NYA didalam Anzalna merujuk kepada apa? Penulis tersebut menjelaskan bahawa HU itu merujuk kepada al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan sepertimana didalam surah al-Baqarah ayat 185. Dengan hanya menggunakan kaedah tafsir al-Quran bi al-Quran, tidak mungkin seseorang itu dapat mengaitkan diantara kedua-dua surah ini; iaitu surah al-Qadar ayat 1 dan al-Baqarah ayat 185.

Keseluruhan surah al-Qadr tidak membayangkan :

a. Apa benda yang Allah swt turunkan pada malam al-Qadr?
b. Lailatul Qadar itu berlaku pada bulan apa?

Sudah tentu penulis tersebut secara diam-diam telah merujuk kepada kitab tafsir atau catatan-catatan mufassirin (ulama' tafsir) yang menjelaskan bahawa HU didalam ayat 1 surah al-Qadr merujuk kepada al-Quran, dan al-Quran diturunkan pada malam Ramadhan sebagaimana yang disebut didalam surah al-Baqarah ayat 185. Para ulama' tafsir ini juga menggunakan hadith-hadith Nabi :saw dan pandangan-pandangan sahabat didalam mentafsirkan dan mengaitkan ayat-ayat ini! Penafsiran ini juga menunjukkan mereka juga bergantung kepada hadith Nabi :saw didalam beberapa keadaan dan menafikannya didalam keadaan yang lain. Bagaikan talam dua muka.

Lailatul Qadar berlaku hanya pada malam penurunan al-Quran?

Menurut Ibn Abbas ra. (didalam Tafsir ibn Kathir), al-Quran diturunkan sekali gus (Jumlatun Wahidah) dari al-Luh al-Mahfuz ke Baitul al-Izzah (dari Langit Dunia), kemudian barulah diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi :saw selama 23 tahun melalui Jibril as. Berdasarkan kenyataan bahawa pada masa itu sahajalah berlaku Lailatul Qadar, maka persoalannya sekarang : pada masa itu, Nabi :saw masih belum lagi menerima wahyu pertamanya!?. Mana mungkin baginda menyuruh umatnya mencari Lailatul Qadar sedangkan al-Quran belum lagi diturunkan kepada baginda (dari langit dunia)??

Firman Allah swt seterusnya didalam surah al-Qadr [ayat 3 hingga 5] :

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ. تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ. سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ.
"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! "

Bagaimana pula seruan ayat diatas ini dapat dinikmati oleh umat Nabi :saw, iaitu ganjarannya beribadat selama 1,000 bulan jika peristiwa Lailatul Qadar tidak berulang lagi. Kalau benar ia hanya berlaku pada malam penurunan al-Quran, tidak perlulah Jibril as dan malaikat yang lain turun membawa rahmat, kerana pada masa itu al-Quran hanya sampai di Langit Dunia, dan baginda Rasul :saw belum lagi menerima surah al-Qadr.

Hadith Lailatul Qadar saling bercanggah?

Apakah hadith-hadith ini bercanggah diantara satu sama lain? Sudah tentu tidak. Ia merupakan tips yang di berikan oleh Nabi :saw kepada umatnya untuk mempertingkat amalan pada sepuluh malam terakhir. Mereka yang mengatakan bahawa hadith-hadith ini bercanggah adalah mereka yang tidak mengetahui uslub dan keadah hadith.

Lihat beberapa contoh hadith yang menceritakan berkenaan dengan amalan mana yang terbaik yang harus dilakukan. Dengan soalan yang sama, kita akan dapati bahawa Nabi :saw akan memberi beberapa variasi jawaban. Kesemuanya di kategorikan sebagai amalan soleh yang afdal untuk dilakukan.

(a) Dari Abu Zar al-Ghaffari, mereka telah bertanya Nabi :saw :-

أي العمل أفضل ؟ قال : إيمان بالله ، وجهاد في سبيله
"Amalan manakah yang paling utama? Nabi :saw menjawab : Beriman dengan Allah, dan berjihad dijalannya" [Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih #2518]

(b) Dari Abdullah bin Mas'ud, mereka telah bertanya Nabi :saw :-

. أي العمل أفضل ؟ قال : الصلاة على ميقاتها قلت : ثم أي ؟ قال : ثم بر الوالدين . قلت : ثم أي ؟ قال : الجهاد في سبيل الله
"Amalan manakah yang paling utama? Nabi :saw menjawab : Bersolatlah pada waktynya. Aku berkata : kemudian apa? Nabi bersabda : berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa. Aku berkata : kemudian apa lagi?. Nabi bersabda : berjihad dijalan Allah" [Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih #2782]

(c) Dari Abu Hurairah ra. : mereka telah bertanya Nabi :saw :-

أي العمل أفضل ؟ فقال : إيمان بالله ورسوله . قيل : ثم ماذا ؟ قال : الجهاد في سبيل الله . قيل : ثم ماذا ؟ قال : حج مبرور .
"Amalan manakah yang paling utama? Nabi :saw menjawab : beriman dengan Allah dan Rasulnya. Mereka berkata : kemudian apa lagi? Nabi bersabda : Berjihad pada Jalan Allah. Mereka berkata : kemudian apa lagi? Nabi bersabda : Haji yang mabrur" [Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih #26]

Berdasarkan 3 contoh hadith diatas ini, apakah jawaban Nabi :saw bercanggah? Sudah tentu tidak, Nabi :saw memberi beberapa alternatif untuk umatnya agar melakukan amalan soleh yang baginda rekomen. Begitu jugalah hadith berkenaan dengan tarikh Lailatul Qadar, dimana Nabi :saw memberi beberapa petunjuk mengenai hari tersebut. Kedatangan Lailatul Qadar sentiasa menjadi tarikh misteri agar umat Islam melipat gandakan amalan mereka didalam bulan Ramadhan, lebih-lebih pada 10 malam terakhir. Dengan kata lain, jika tidak mampu setiap buat setiap malam, lakukan pada malam-malam ganjil, atau beramallah pada malam 25, 27 dan 29 Ramadhan.

Carilah Lailatul Qadar

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi, Lailatul Qadar adalah milik semua umat Islam yang menanti kedatangannya. al-Qaradhawi menegaskan bahawa hanya orang yang BIJAK sahaja yang benar-benar menantikan Lailatul Qadar. Mana mungkin seseorang itu melepaskan ganjaran keuntungan 3,000,000% (ثلاثة ملايين في المائة؟) ??? Iaitu ganjaran melakukan amalan 1,000 bulan yang menyerupai 83 tahun 4 bulan yang hanya dapat dikecapi pada satu malam.

Umat Islam di galakkan mencari Lailatul Qadar pada setiap bulan Ramadhan. Banyak hadith-hadith sahih yang menceritakan kelebihan beribadat pada malam Lailatul Qadar. Contohnya, hadith dari Abu Hurairah ra :-

من قام ليلة القدر إيمانًا واحتسابًا غُفر له ما تقدم من ذنبه
Barangsiapa yang berqiam pada malam al-Qadar dengan beriman dan penuh pengharapan, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu" [Hadith Riwayat Bukhari].

Hadith dibawah jelas menunjukkan bahawa Nabi :saw menggalakkan umatnya mencari Lailatul Qadar pada 7 malam terakhir. Sabda Nabi :saw :-

أرى رؤياكم قد تواطأت (أي توافقت) في السبع الأواخر، فمن كان متحريها، فليتحرها في السبع الأواخر
"Aku melihat mimpi kamu telah bertemu (Lailatul Qadar) pada 7 malam terakhir, maka barangsiapa hendak mencarinya, maka carilah pada tujuh malam terakhir" [Mutafaq 'alaih dari Ibn Umar ra].

Begitu juga dengan hadith berikut menggalakkan umat Islam mencari Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan. Sabda baginda :saw :-

التمسوها في العشر الأواخر، فإن ضعف أحدكم أو عجز، فلا يُغلبن على السبع البواقي
"Carilah ia pada 10 malam terakhir, jika salah seorang dari kamu dhaef (lemah) atau uzur, maka janganlah dikalah pada 7 malam yang berbaki" [Hadith riwayatkanoleh Ahmad, Muslim, dari Ibn Umar ra].

Hadith-hadith ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam digalakkan mencari Lailatul Qadar pada setiap kali kedatangan bulan Ramadhan. Cuma terdapat segelintir mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan "al-Quran alone" atau dikenali sebagai GAH (Golongan Anti Hadith) mengatakan bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku sekali sahaja, iaitu pada masa penurunan al-Quran.

Pandangan ini jelas bercanggah dengan hadith-hadith sahih. Mana mungkin baginda menyuruh umatnya mencari Lailatul Qadar sedangkan al-Quran belum lagi diturunkan kepada baginda (kerana masih berada di langit dunia)?? Malah sejarah membuktikan bahawa Nabi :saw sendiri pada 10 malam terakhir Ramadhan akan beriktikaf di masjid dan membangunkan ahli keluarganya. Disini kita lihat bahawa mereka ini melakukan tafsiran menurut akal mereka dan membelakangkan hadith-hadith yang sahih. Namun demikian, mereka tidak dapat lari dari hakikat menggunakan pandangan ulama' bagi mentafsir maksud al-Quran itu sendiri, yang sudah tentunya ulama tafsir menjadikan hadith Nabi :saw sebagai dasar.

Sekian, wassalam

Monday, September 15, 2008

Apakah Lailatul Qadar bersifat khusus atau umum?
(هل هي ليلة عامة أو خاصة ؛)




Diantara perkara yang dibahaskan ulama' disini adalah : apakah Lailatul Qadar dikhususkan kepada beberapa orang (tertentu sahaja), lalu menzahirkan kepadanya melihat alamat-alamat, atau melihatnya didalam mimpi, atau ada karamah luarbiasa yang terjadi, dan tidak berlaku kepada orang lain? Atau ia merupakan satu malam yang bersifat umum kepada kesemua orang Islam, sehingga hasil pahala dapat dikecapi bersama kepada sesiapa yang melakukan solat / qiam pada masa itu, walaupun tidak dizahirkan apa-apa alamat sekalipun?

Maka kebanyakkan ulama telah memilih pandangan kedua, bersandarkan hadith Abu Hurairah ra.:


من يقم ليلة القدر فيوافقها..
"Barangsiapa yang berqiam pada malam Lailatul Qadar maka dia telah menjumpainya..." [Hadith Riwayat Muslim].

Begitu juga dengan hadith A'isyah ra. :-

رأيت يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر ما أقول؟ فقال: قولي: اللهم إنك عفوٌّ تحب العفو فاعفُ عني
"Apa pendapat kamu Ya Rasulullah jika aku berjumpa dengan Lailatul Qadar dan apa yang hendak aku ucapkan? Jawab baginda : Katakanlah : Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang memberi kemaafan, Engkau mencinta kemaafan, maka maafkanlah aku" [Hadith Riwayat Ibn Maajah dan Imam al-Timudzi].

Maka mereka mentafsirkan perkataan 'menjumpai' atau al-muwaafaqah (الموافقة) dengan maksud 'mengetahuinya', dan ini lah merupakan syarat untuk mendapatkan pahala, ia itu khusus dengannya (dengan 'al-Muwaafaqah').

Ulama' lain memilih makna menjumpainya : iaitu pada diri sendiri, walaupun tidak mengetahuinya, kerana sesungguhnya bukanlah menjadi syarat akibat dari melihat sesuatu atau mendengarnya, sebagaimana yang diperkatakan oleh Imam al-Thabari.

Ada beberapa kalam ulama' yang meletakkan syarat perlu mengetahui Lailatul Qadar telah menjadi sebab kebanyakan orang awam beritiqad bahawa Lailatul Qadar adalah cahaya yang kuat yang dibuka kepada beberapa orang dengan mendapat kegembiraan, dan sebahagian lain tidak mendapatnya. Maka timbullah orang berkata : Si Fulan telah mendapat Lailatul Qadar. KESEMUA INI TERMASUKLAH PERKARA YANG TIDAK DIDASARKAN DENGAN DALIL YANG JELAS DARI SYARA'.

Maka Lailatul Qadar itu bersifat UMUM kepada seluruh umat Islam yang menunggunya, mencari kebaikkan dan ganjarannya, serta apa yang disisi Allah, iaitu malam ibadat dan ketaatan, dengan melakukan Solat, Tilawah al-Quran, berdo'a, melakukan sedekah, menjalinkan silatul rahim, dan segala perbuatan yang baik.

Paling sedikit seseorang Islam itu boleh lakukan pada malam itu adalah : bersolat Isya' berjemaah, dan solat Subuh berjemaah, kerana kedua-duanya menyerupai Qiamullail. Didalam sebuah hadith sahih Nabi :saw bersabda :

من صلى العشاء في جماعة، فكأنما قام نصف الليل، ومن صلى الصبح في جماعة، فكأنما صلى الليل كله
"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat separuh malam, dan barangsiapa bersolat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepenuh malam" [Hadith Riwayat Ahmad dan Muslim dengan lafaznya, dari hadith Uthman, Sahih al-Jaami' al-Shaghir #6341].

Maksudnya 'barangsiapa yang telah bersolat Subuh', iaitu setelah menunaikan solat Isya', dan diperjelaskan didalam sebuah hadith riwayat Abu Daud dan Imam al-Tirmudzi :-

من صلى العشاء في جماعة كان كقيام نصف ليلة، ومن صلى العشاء والفجر في جماعة كان كقيام ليلة
"Barangsiapa bersolat Isya' berjemaah, seakan-akan dia bersolat separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat Isya' dan Fajar berjemaah, seakan-akan dia telah melakukan Qiamullail" [Rujukan seperti diatas, hadith #6342].


Terjemahan dari buku :

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi. Fiqh al-Shiyaam. Beirut : Muaasasah al-Risalah, 2001. ms 133.

Sunday, September 14, 2008

Pengunaan Spray Hidung

Fatwa Islam-qa - 14-09-2008

Soalan : Apakah hukum menggunakan spray hidung semasa masa berpuasa?

Jawapan : "Tidak mengapa menggunakannya disebabkan dalurat, jika boleh ditunda hingga ke malam adalah lebih berhati-hati" (Majmu' Fataawa Syeikh Ibn Baaz, 15/264).

Disana telah didatangkan keputusan dari Majma' al-Fiqh al-Islami :

"Perkara tersebut tidak dianggap sebagai perkara yang membatalkan..... Ubat titik mata, titik telinga, pembersih telinga, titik hidung atau spray hidung, jika dapat dielakkan dari ditelan apabila melalui tekak" (Majalah al-Majma', 10/2/454). WA.

sumber : http://www.islam-qa.com/ar/ref/124202

Tuesday, September 09, 2008

Puasa orang tua

Laman al-Qaradawi - 2-9-2008

Fadhilah al-'Allamah Dr Yusuf al-Qaradawi ditanyakan dengan soalan : Apakah dibenarkan berbuka orang tua didalam bulan Ramadhan? Apa yang wajib dia lakukan?

Jawab al-Syeikh : Segala pujian bagi Allah, Selawat dan Salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad :saw, dan kesejahteraan kepada kaum keluarganya, wa ba'du.

Dibenarkan berbuka kepada orang tua yang menghadapi kesukaran untuk berpuasa, misalnya seorang perempuan tua (sudah tentunya), dibenarkan tidak berpuasa dibulan Ramadhan, termasuklah misalnya orang sakit yang sukar untuk kebali sembuh dari penyakit yang dihadapinya.

Pesakit kronik, dimana para doktor menghendakkan ia dikenakan rawatan, dia dibenarkan berbuka, dan mereka ini hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin setiap hari, suatu ruhsah atau kelonggaran dan kemudahan (taisir) dari Allah.
Firman Allah swt :

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
"Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran" [Surah al-Baqarah : 185].

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
"Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama"[Surah al-Hajj : 78]

Berkata Ibn 'Abbas ra : "Ruhsah / Kelonggaran bagi orang tua adalah berbuka, dan memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari, dan tiadalah qadha' keatasnya" [Riwayat al-Daarulqutni dan al-Hakim].

Didalam Riwayat al-Bukhari berkenaan dengan perkara ini : Sesungguhnya orang tua dan selainnya telah diturunkan firman Allah swt -

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ
"dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya" [Surah al-Baqarah : 184]

Apa-apa tambahan (fidyah yang lebih) kepada makanan orang miskin adalah lebih afdal dan kekal disisi Allah swt. Maka orang tua, wanita yang uzur, orang sakit yang tidak menemui kesembuhan, maka mereka ini dibenarkan berbuka (tidak berpuasa), dan hendaklah memberi fidyah (sedekah) setiap hari makanan kepada orang miskin. WA.

sumber : http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=6164&version=1&template_id=225&parent_id=17

Friday, September 05, 2008

Apakah wujud had bilangan rakaat solat tarawih?


Setiap tahun apabila tiba bulan Ramadhan, persoalan yang tidak terlepas dari perbincangan adalah berkenaan dengan bilangan rakaat didalam solat tarawih. Ada dikalangan mereka yang mengatakan bahawa orang yang solat 20 rakaat tidak mengikut sunnah Nabi :saw. Berdasarkan dalil A’isyah ra. mereka mengatakan bahawa Nabi :saw bersolat 10 rakaat diikuti dengan 3 witir.

Nabi :saw pernah memulakan solat malam Ramadhan di masjid dan baginda telah diikuti oleh beberapa sahabat yang melihatnya Peristiwa ini telah diperbincangkan oleh para sahabat pada keesokkan harinya. Maka para hari kemudiannya jemaah di masjid semakin bertambah. Pada malam keempat, baginda tidak kelihatan lagi di masjid sehinggalah baginda keluar untuk bersolat subuh. Setelah selesai solat, baginda mengatakan bahawa beliau tidak meneruskan solat tersebut kerana takut ia diwajibkan keatas mereka dan mereka tidak mampu melaksanakannya.

Selepas Nabi :saw wafat, umat Islam masih menunaikan solat tarawih secara bersendirian, baik dizaman Abu Bakar ra dan bahagian awal pemerintahan Umar ra. Umar ra apabila melihat umat Islam solat berasing-asingan, beliau telah mengarahkan Ubay bin Ka’ab mengimami solat tarawih tersebut yang dilakukan secara berjemaah.Imam Bukhari tidak pula meriwayatkan berapakah jumlah bilangan rakaat tarawih yang dilakukan, Disanalah terdapat perselisihan bilangan rakaat, samada 11, 13 atau 21 termasuk witir.

Sejarah telah mencatatkan bahawa para-para salaf bersolat lebih dari 13 rakaat solat tarawih dan melakukan pelbagai aktiviti ibadat sebagai selingan. Jelas menunjukkan bahawa masyarakat Mekah pada zaman dulu melakukan tawaf dimasa rehat diantara 2 solat tarawih, dan mereka bersolat 20 rakaat. Masyarakat Madinah pada masa Umar bin Abdul Aziz menambah rakaat sampai kepada 36 rakaat dan 3 witir sebagai ganti ibadat tawaf. Begitu juga semasa selingan (rehat) diantara 2 rakaat atau 4 rakaat solat tarawih boleh diisi dengan bacaan al-Quran, berselawat, berdo'a dsb, yang jatuh kepada definasi luas ibadat zikir .Mengenai solat tarawih 36 rakaat, Imam Malik rh menyatakan bahawa : ini merupakan masalah lama bagi kami.

Imam Syafie rh juga menyebut bahawa : aku melihat orang bersolat tarawih di Madinah 39 rakaat, di Mekah pula 23 rakaat, dan tidak sedkitpun menghadkan perkara ini. Ibn Hajar rh didalam Fath al-bari menyatakan bahawa ada dikalangan para salaf yang melakukan solat tarawih 40 rakaat, dan tidak termasuk witir!

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa perkara yang paling penting adalah tidak perlu berbicara panjang mengenai berapakah jumlah rakaat tarawih, akan tetapi hendaklah menunaikan hak-hak toma’ninah dan kekhusyukkan solatnya. Al-Qaradhawi menegaskan bahawa apa yang perlu dihindari adalah seperti terdapat masjid yang melakukan solat tarawih ibarat punggung-punggung mereka yang kepanasan dan mereka ingin bebas darinya, yakni melakukan solat 20 rakaat dalam masa kurang dari 20 minit.

Syiekh Ibn Taimiyah rh mempunyai penjelasan yang baik mengenai bilangan rakaat solat tarawih ini, Beliau menjelaskan bahawa terdapat kaum salaf yang bersolat 40 rakaat dan 3 rakaat witir, dan ada pula yang bersolat 39 rakaat bersama 3 rakaat witir. Kenyataan ini telah diketahui umum, dan bagi beliau, sesiapa yang ingin mengikuti amalan mereka ini adalah baik.

Berkata Syeikh Ibn Taimiyah lagi :

التراويح إن صلاها كمذهب أبي حنيفة ، والشافعي ، وأحمد : عشرين ركعة أو : كمذهب مالك ستا وثلاثين ، أو ثلاث عشرة ، أو إحدى عشرة فقد أحسن ، كما نص عليه الإمام أحمد لعدم التوقيف فيكون تكثير الركعات وتقليلها بحسب طول القيام وقصره .
"Jika seorang bersolat Tarawih sepertimana mazhab Abu Hanifah, Al-Syafie dan Ahmad : 20 rakaat atau : sebagaimana Mazhab Malik iaitu 36 rakaat, atau 13 rakaat, atau 11 rakaat, maka itu yang terbaik, sebagaimana Imam Ahmad berkata, kerana tidak dinyatakan mengenai bilangan rakaatnya, oleh itu lebih atau kurangnya bilangan rakaat bergantung kepada berapa panjang atau pendeknya qiamnya" - [Al-Ikhtiyaaraat ms 64]

Syeikh menjelaskan bahawa bilangan rakaat ini terpulang kepada kemampuan seseorang. Jika seseorang itu mampu berdiri lama, maka solatlah sebagaimana Nabi :saw lakukan, 10 rakaat dan 3 witir. Akan tetapi, jika seseorang itu tidak mampu berdiri lama, maka bersolatlah 20 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakkan orang Islam, kerana jumlah ini adalah yang pertengahan diantara 20 dan 40 rakaat. Komentar beliau lagi :

ومن ظن أن قيام رمضان فيه عدد مؤقت عن النبي صلى الله عليه وسلم، لا يزاد ولا ينقص منه فقد أخطأ.
“Barangsiapa yang beranggapan bahawa qiam Ramadhan merupakan jumlah yang ditentukan oleh Nabi :saw, tidak boleh ditambah atau dikurangi, maka dia telah silap”.

Kesimpulan ini jelas menunjukkan bahawa solat tarawih merupakan sejenis solat sunat yang dilakukan pada waktu malam, sebagai sabda Nabi :saw, "Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat" (صلاة الليل مَثْنَى مَثْنَى). Usahlah dipertikaikan siapa yang lebih sunnah, kerana mungkin kita sendiri tidak memahami bagaimana sunnah itu diaplikasikan. WA.

Sekian, wassalam

1. Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi. Fiqh al-Shiyam. Beirut : Muaasasah al-Risalah, 2001, ms 121-125.