Saturday, August 20, 2011

Perjalanan dari KL ke Jeddah : nak buka dimana?



Salah satu waktu penerbangan pesawat Saudi dan Gulf dari KLIA menuju ke Jeddah adalah selepas Zohor. Lazimnya bagi jemaah yang melakukan Umrah di bulan Ramadhan akan tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah jam 7:35pm bersamaan 12:35am waktu KL. Perjalanan tersebut akan mengambil masa 9jam 35min. Jika jemaah menunggu berbuka setelah mendarat di Jeddah, maknanya jemaah akan berpuasa lebih dari 18jam! Sebenarnya, bilakah harus jemaah berbuka puasa?

Ada dikalangan jemaah berpendapat, kita boleh berbuka mengikut waktu Kuala Lumpur. Kenyataan ini ternyatakan salah, kerana waktu solat berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Misalnya menurut Shiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi, jika diambil waktu maghrib, terdapat 6 minit perbezaan diantara waktu Kaherah dan Iskandariah di Mesir, dan 20 minit antara Riyadh and Jeddah di Arab Saudi. Pada masa orang di Kuala Lumpur berbuka, pesawat berkemungkinan besar berada dikawasan yang baru masuk waktu Asar. Mana mungkin seseorang boleh berbuka ketika itu.

Menurut Sheikh al-Qaradhawi lagi, "semasa aku tinggal di tingkat 14 sebuah bangunan di Iskandariah, aku perhatikan apabila Azan Maghrib berkumandang, masih lagi kelihatan separuh dari bebola matahari. Jadi bagaimana dengan mereka yang tinggal di tingkat 30 atau 40 atau tempat tinggi? Maka aku pun berkata kepada mereka : perlu ada keprihatinan yang lebih kepada mereka yang tinggal di luar bandar dan mereka yang tinggal di tempat-tempat tinggi bangunan atau bukit, memberi perhatian kepada perbezaan waktu antara tempat mereka dan mereka yang tinggal dikawasan rendah."

Berikut kami siarkan sebuah fatwa (bernombor 859) yang dikeluarkan pada tahun 2004 oleh Darul Iftaa' Mesir yang telah disediakan oleh Mufti Besar Mesir, Shiekh Prof. Dr Ali Jum'ah Muhammad dibawah tajuk (التوقيت الذي يفطر عليه المسافر بالطائرة) "waktu musafir berbuka puasa didalam pesawat".


===========
Syariat Islam mengaitkan waktu berpuasa dengan terbenamnya matahari dan terbitnya fajar. Allah berfirman :

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
"Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam." (Al-Baqarah : 187)


Diriwayatkan dari Umar bin Khattab ra. bahwa Nabi saw bersabda :

$إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَاهُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَاهُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ، فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ
"Jika malam telah datang dari arah sana, dan siang telah pergi dari arah sana, serta terbenam matahari, maka orang yang berpuasa telah berbuka." (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ibnu Abi Aufa ra. juga meriwayatkan bahwa Rasulullah saw bersabda :

إِذَا رَأَيْتُمُ اللَّيْلَ قَدْ أَقْبَلَ مِنْ هَاهُنَا -وَأَشَارَبِيَدِهِ نَحْوَ الْمَشْرِقِ- فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ
"Jika kamu melihat malam telah datang dari arah sana –beliau memberi isyarat ke arah timur dengan tangannya— maka orang yang berpuasa telah berbuka" (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dengan demikian, yang menjadi dalil waktu berbuka adalah telah diketahui secara pasti datangnya malam, baik ia melihat sendiri ataupun dengan pemberitahuan orang yang diterima kesaksiannya dalam masalah ini. Begitu pula dalam masalah permulaan puasa. Yang dijadikan dalil adalah diketahuinya secara pasti terbitnya fajar, baik dilihat sendiri maupun dengan pemberitahuan orang yang diterima kesaksiannya.

Sebagaimana diketahui semua, semakin jauh kedudukan seseorang dari permukaan bumi, maka semakin lama pula waktu terbenamnya matahari dari pandangannya. Perkara ini dapat dirasakan oleh seseorang yang tinggal di tingkat atas sebuah bangunan. Oleh itu, seseorang yang berada dalam pesawat tidak boleh berbuka sehingga pada penglihatannya matahari telah terbenam.

Dalam kitab Tabyiin al-Haqaaiq Syarh Kanz ad-Daqaaiq, Imam Fakhrudin az-Zayla'i al-Hanafi mengatakan, "Diceritakan bahwa Abu Musa al-Dharir, penulis kitab al-Mukhtashar, datang ke Iskandariah. Lalu ia ditanya mengenai seseorang yang naik ke atas rumah api Iskandariah dan melihat matahari beberapa ketika dan dalam penglihatan para penduduk daerah itu matahari sudah terbenam. Apakah dia boleh berbuka? Beliau menjawab, "Tidak, tapi para penduduk daerah itu boleh berbuka. Ini adalah kerena setiap orang diberi kewajiban sesuai dengan keadaannya."

Al-'Allamah Ibnu 'Abidin, dalam Haasyiyah, mengatakan, "Dalam kitab al-Faidh dinyatakan bahwa barang siapa yang berada di tempat yang tinggi, seperti menara Iskandariah, maka ia tidak boleh berbuka jika belum melihat matahari terbenam. Namun, para penduduk daerah itu boleh berbuka jika matahari telah terbenam dalam penglihatan mereka. Hukum ini juga berlaku pada masalah terbitnya fajar bagi orang yang melakukan solat Subuh dan orang yang bersahur."

Maka dengan itu, waktu berbuka yang dijadikan pegangan bagi orang yang sedang berada di atas pesawat adalah waktu terbenamnya seluruh bebola matahari dalam penglihatan mereka dan dari tempat mereka berada. Mereka tidak boleh berbuka menurut waktu kawasan dimana mereka berada pada saat itu, atau waktu kawasan tempat mereka berlepas atau waktu kawasan yang merela tuju.

Jika waktu puasa itu sangat panjang jika dibandingkan dengan waktu kebiasaannya sehingga menyukarkan orang yang berpuasa, maka dia dibolehkan untuk berbuka dengan alasan wujudnya kesulitan ketika melakukan perjalanan itu, bukan kerana telah masuk waktu maghrib. Mereka wajib mengqadha' puasa hari yang mereka tinggalkan itu. Begitu juga dengan pengumuman yang diberikan oleh sebagian dari kru pesawat kepada para penumpang untuk berbuka disebabkan waktu maghrib telah masuk menurut tempat asal atau tempat tujuan adalah tidak benar dari aspek syara'.

Disana ada satu situasi,dimana ketika di dalam pesawat seseorang telah melihat matahari sudah terbenam, kemudian ia muncul kembali di bahagian barat akibat begitu pantasnya pesawat bergerak, maka dalam keadaan ini seseorang boleh berbuka berdasarkan terbenamnya matahari pertama, dan tidak perlu menunggu kemunculan kembali matahari tersebut.

sumber fatwa : http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=859&Home=1&Home=1&LangID=1

sekian, wassalam
kamin, 20 Ramadhan 1432

Monday, August 15, 2011

Kiamat bermula Ramadhan tahun depan?



Lebih dari 350 judul buku menceritakan mengenai dunia akan berakhir pada tahun 2012. Tahun 2012 merupakan tahun yang diramalkan akan berlaku Kiamat. Khabaran ini dapat dilihat dari cerita fisyen sains yang berjudul 2012 arahan Roland Emmerich yang telah memulakan pengambaran pada bulan Ogos 2008 di Vancouver. Kebanyakkan cerita-cerita ini berpunca dari ahli astronomi dan agamawan. Realiti yang berlaku sekarang seolah-olah memberitahu kita bahawa dunia sudah hampir kepada penamatnya, dengan berlakunya gempa bumi dan tsunami yang hebat di Jepun baru-baru ini.

Bagi segelintir umat Islam pula, kedatangan Ramadhan 2012 merupakan titik-titk bermulanya tanda Kiamat besar. Mereka percaya bahawa peristiwa itu akan berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan 2012 pada hari Jumaat. Kepercayaan ini timbul dari beberapa riwayat yang menceritakan tentang akan kedengaran “suara jeritan yang kuat” pada bulan Ramadhan. Salah satu riwayat yang popular dikatakan riwayat dari Abdullah bin Mas’ud ra. bahawa Rasulullah saw. bersabda:

عن النبي صلى الله عليه وسلم قال إذا كان صيحة في رمضان فإنها تكون معمعة في شوال وتميز القبائل في ذي القعدة وتسفك الدماء في ذي الحجة والمحرم وما المحرم يقولها ثلاثا هيهات هيهات يقتل الناس فيها هرجا هرجا قال قلنا وما الصيحة يا رسول الله قال هذه تكون في نصف من رمضان يوم جمعة ضحى وذلك إذا وافق شهر رمضان ليلة الجمعة تكون هدة توقظ النائم وتقعد القائم وتخرج العوائق من خدورهن في ليلة جمعة سنة كثيرة الزلازل والبرد فإذا وافق رمضان في تلك السنة ليلة جمعة فإذا صليتم الفجر يوم جمعة في النصف من رمضان فادخلوا بيوتكم وسددوا كواكم ودثروا أنفسكم وسدوا آذانكم فإذا أحسستم بالصيحة فخروا لله سجدا وقولوا سبحان القدوس سبحان القدوس ربنا القدوس فإنه من فعل ذلك نجا ومن ترك هلك .
“Apabila kedengaran jeritan (Sayha) pada bulan Ramadhan, maka akan berlaku huru-hara dalam bulan Syawal, dan kabilah-kabilah akan membentuk kumpulan dalam bulan Zulkaedah, dan berlaku pertumpahan darah pada bulan Zulhijjah dan Muharram! Apa yang dilarang/haramkan? "Berkata tiga kali," Oh, Oh! Rakyat akan dibunuh dalam pembunuhan beramai-ramai secara besar-besaran "Telah berkata:" Kami berkata: "Apakah Sayha (menjerit), Wahai Rasulullah?" Beliau berkata: "Ia akan berlaku di pertengahan Ramadan pada pagi Jumaatnya. Berlaku pada pada Ramadan malam Jumaat, dimana satu bunyi yang kuat (Hadda) akan berlaku, yang akan menyedarkan orang yang sedang tidur, wanita muda akan dibawa keluar dari bilik mereka, pada malam Jumaat dimana sepanjang tahun tersebut banyak gempa bumi (dan sangat sejuk). Oleh itu, apabila Ramadhan bermula pada malam Jumaat pada tahun itu, dan anda telah selesai solat Subuh pada hari Jumaat pertengahan Ramadan, ,akan masuklah kedalam rumah, tutup pintu anda, tutup tingkap anda, selimut diri kamu sendiri, dan sumbat telinga anda. Apabila anda mendengar jeritan, turun sujud kepada Allah dan berkata: "Subhanal-Quddus, subhanal-Quddus, rabbunal-Quddus (Maha Suci kepada kemuliaan yang Maha Suci, Maha Suci, Tuhan kami yang Maha Suci). "barangsiapa yang berbuat demikian akan kekal selamat, dan yang tidak melakukan akan musnah” [Kitab al-Fitan, Nuaim bin Hammad]

Riwayat ini membicarakan bahawa peristiwa ini akan berlaku pada hari Jumaat di pertengahan bulan Ramadhan. Menurut kalendar, hari Jumaat 15 Ramadhan dijangka jatuh pada tarikh 3 Ogos 2012.

Tahun 2012 juga menurut kalendar kaum Maya dan terbongkarnya kod rahsia didalam kitab Injil Perjanjian lama mengatakan dunia akan berakhir pada 21 Disember 2012. Menurut kaum Maya, bumi akan berdepan dengan satu malapetaka yang amat besar yang menyebabkan kehancurannya pada tahun 2012, dan ia akan muncul semula selepasnya.

Pada tahun 1994 , sekumpulan penyelidik dikatakan telah menemukan kod rahsia dari Kitab Injil Perjanjian Lama yang mengatakan bahawa bumi akan menghadapi kehancuran, dimana akan berlakunya perlanggaran asteroid dengan bumi.

Ada juga dikalangan astrologi yang mempercayai bahawa PlanetX atau Nibiru akan memberi kesan yang hebat kepada bumi, Tidak akan berlaku perlanggaran diantara bumi dan Nibiru, akan tetapi planet ini mempunyai kuasa magnetik kuat yang boleh mengganggu stabiliti bumi apabila ia berada berdekatan dengan bumi.

Komentar terhadap hadith

Hadith diatas tadi (mengenai peristiwa hari Jumaat 15 Ramadhan) ini dikeluarkan oleh Nuaim bin Hammad didalam kitab al-Fitan, dimana sanadnya ada seorang yang bernama Ibn Lahee’ah yang sangat buruk ingatannya. Terdapat juga didalam sanad tersebut Abdul Wahhab yang dikatakan majhul (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar dan al-Hakim (Lisan al-Mizan). Terdapat juga didalam sanad tersebut individu yang bernama Muhammad bin Thabit al-Banaani yang dianggap lemah oleh Ibn Hibban dan Ibn ‘Adi.

Menurut Shiekh Sulaiman bin Nasir al-Ulwan, hadith ini lemah dan terdapat didalamnya orang-orang yang diragui, dan kita tidak boleh bergantung kepada riwayat tersebut. Hadith yang dinyatakan diatas menurut Dr Salman Audah, didalam ruangan fatwanya di islamtoday (2009), kesemua hadith-hadith yang menceritakan tetang suara jeritan yang kuat pada pertengahan Ramadan statusnya Sangat Lemah (Dhaef Jiddan) dan Palsu (Maudu’). Menurut al-Zahabi didalam Kitabnya Siar A'lam Nubala', hadith ini Palsu, dan matannya (isi kandungan) pelik (gharib) dan tidak boleh digunakan untuk berhujah. Ibn al-Jawzi juga menghimpunkan riwayat ini didalam kitab al-Maudhuaatnya sebagai status Palsu.

Secara teknikal didalam ilmu hadith, riwayat diatas tidak boleh dijadikan sandaran, kerana statusnya samada sangat lemah atau palsu. Hadith ini tidak boleh digunakan untuk menjadi kayu ukur mengenai tarikh berlakunya kiamat.

Menafikan teori kalendar Maya dan planet Nibiru

Menurut seorang pakar pengkaji kaum Maya, Mark Van Stone, tidak ada sebarang petunjuk didalam kaum Maya atau Aztec yang mencadangkan wujudnya perubahan apa-apa pada tahun 2012. Menurut Susan Milbrath, kurator Seni dan Arkib Amerika Latin yang berpusat di Muzium Florida berkata : Kami tidak mempunyai rekod atau maklumat bahawa puak Maya boleh berfikir yang dunia akan tamat pada tahun 2012. Sandra Noble, Pengarah Eksekutif Yayasan Kajian Mesoamerican, mengatakan bahawa perkara ini adalah satu fabrikasi dan menjadi peluang untuk orang menjana duit. Menurut pihak NASA, malahan 21 Disember 2012 tidak wujud didalam calendar Maya.

Pihak NASA juga mengatakan bahawa tidak ada tanda-tanda planet akan terkeluar dari paksinya sekurang-kurangnya untuk beberapa dekad yang akan datang. Bumi tidak mungkin akan keluar dari orbitnya pada tahun 2012. Memang setiap tahun Bumi dan Matahari menyelaraskan (align) kearah kedudukan tengah Galaksi Milky Way, akan tetapi ini merupakan kejadian tahunan yang tidak memberi kesan kepada apa-apa..

Mengenai apakah benar-benar Planet X atau Nibiru wujud? Pihak NASA mengatakan bahawa ini merupakan penipuan internet. Tidak ada dasar kenyataan mereka. Jika benar Planet X benar wujud dan menuju kearah bumi pada tahun 2012, maka sudah tentu ramai para astronomi sudah mengenal pasti planet ini dan planet itu sendiri dapat dilhat dengan mata kasar kerana tahun 2012 akan muncul tidak lama lagi.

Fenomena ini juga dikaitkan dengan kalendar Maya ini. Pernah Mei 2003 dikatakan kiamat akan berlaku, namun tidak berlaku apa-apa dan tarikh itu telah dipindahkan ke 2012.

Sikap orang Islam

Jika kita di tanya dengan soalan bilakah akan berlaku kiamat? Katakan : hanya Allah yang mengetahui. Sains tidak mungkin dapat menjangka dengan tepat bilakah akan berlaku kiamat. Firman Allah swt :-

إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَى كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَى. فَلَا يَصُدَّنَّكَ عَنْهَا مَنْ لَا يُؤْمِنُ بِهَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَتَرْدَى.
"Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan. Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta dia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa. Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta dia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa." [surah Taha : 15 - 16].

Banyak sekali petanda-petanda yang menunjukkan hari Kiamat akan berlaku, akan tetapi tiada siapa yang tahu melainkan Allah. Ramalan-ramalan yang didapati di internet yang menunjukkan 2012 akan berlaku kiamat adalah sama sahaja seperti ramalan kiamat yang sepatutnya berlaku pada tahun 2000 dan jelas tiada apa pun terjadi. Ini menunjukkan bahawa hanya Allah swt sahaja yang tahu bilakah masanya. Firman Allah swt :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّي لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ اللَّهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. " [surah al-'Araaf : 187].

Bagi kita yang beriman dengan apa yang Allah turunkan (al-Quran), seharusnya kita tidak mudah mempercayai berita-berita yang tersebar diinternet. Mungkin ada yang bertanya, bukankah realitinya banyak sekali berlakunya gempa bumi disana-sini dan baru-baru ini dunia dikejutkan oleh tsunami yang berlaku di Jepun, bukankah itu petanda kiamat? Benar, Islam mengajar kita akan alamat-alamat kiamat, sehinggalah turunnya nabi Isa as. Pokok persoalan yang dibincang adalah penetapan tarikh kiamat. Malah, kematian Nabi Muhammad :saw itu sendiri menandakan bumi sudah sampai penghujungnya. Baginda adalah penutup segala Nabi, dan sudah tentu kematian baginda menandakan bila-bila masa akan berlaku kiamat.

Sekian, wassalam
kamin, 14 Ramadhan 1432.

Rujukan

1. 2012: Beginning of the End or Why the World Won't End?
http://www.nasa.gov/topics/earth/features/2012.html

2. علماء: القيامة ستقوم في 2012
http://al-ahdath.net/upload/index.php?mod=article&cat=الأحداثالدولية&article=116