Tuesday, August 13, 2013

Penjelasan Puasa 6 bagi mereka yang mempunyai Qadha’ puasa

Shiekh Abdul Aziz Marzuq al-Torifi
Antara ibadat yang mempunyai banyak ganjarannya selepas berpuasa pada bulan Ramadhan ialah meneruskan berpuasa sebanyak 6 hari didalam bulan Syawwal, dijanjikan Allah ganjaran seperti berpuasa sepanjang tahun. Dalil adalah, dari Abu Ayyub ra. bahawa Nabi :saw bersabda  :-


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر
"Barangsiapa yang  berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan ( berpuasa ) enam hari dibulan Syawal, maka ( ganjarannya ) sama seperti berpuasa selama satu tahun." ( Hadith Riwayat Imam Muslim ).

Berdasarkan hadith ini, ada dikalangan ulama’ menjelaskan bahawa mereka yang berpuasa ‘penuh’ pada bulan Ramadhan sahaja dan diteruskan berpuasa sebanyak 6 hari di bulan Syawwal akan mendapat ganjaran tersebut. Bagi mereka mempunyai puasa ganti / qadha’, hendaklah terlebih dahulu menqadha’kan puasanya terlebih dahulu sebelum melakukan puasa enam.

Maka timbul persoalan lebih-lebih lagi dari kaum wanita, bagaimana pula dengan keadaan kami yang mempunyai  puasa ganti yang banyak, sudah tentu kami tidak akan mendapat ganjaran berpuasa setahun? Bagi menjawab isu ini, ada dikalangan ulama’ membenarkan melakukan puasa 6 sebelum melakukan puasa qadha’ termasuklah beberapa ulama’-ulama’ masakini yang mendokong pandangan ini.

Berikut adalan penjelasan seorang pakar hadith,  Sheikh Abdul Aziz al-Torifi  didalam Facebook beliau. Diantara perkara yang beliau jelaskan :-

1. Mereka yang berpuasa didalam Ramadhan, disebabkan keuzuran, maka dia berbuka, statusnya sama seperti orang yang sedang berpuasa, sebagaimana hadith :  (مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ) “Barangsiapa yang  berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan ( berpuasa ) enam”. Dia akan mendapat ganjaran tersebut setelah dia  menyelesaikan puasa enam hari dan puasa qadha’.

2. Di bolehkan* berpuasa 6 sebelum mengqadha’ puasa. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh salaf yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Begitu juga terzahir dari hadith A’isyah mengqadha’ puasa sehingga Sya’ban. Hadith :

كان يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ من رَمَضَانَ فما أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إلا في شَعْبَانَ
“Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.”. [Hadith Riwayat Al-Bukhari, no: 1849, Muslim no: 1146.] – (Penjelasan disini adalah tidak mungkin isteri Nabi meninggalkan puasa enam walaupun dia menqadha’ puasa dalam bulan Sya’ban)

3. Adalah digalakkan seseorang itu melaksanakan puasa enam bersamaan dengan puasa Isnin atau puasa hari-hari putih (13, 14 & 15), dsb, dengan harapan mendapat 2 ganjaran (eg. Puasa 6 dan puasa hari Isnin). Dalil tsabit dari Umar ra. melakukan puasa qadha’ pada hari-hari disunatkan berpuasa.

4. Adalah sangat baik mengqadha’ puasa Ramadhan pada hari-hari yang mempunyai kelebihan, seperti – Puasa Isnin, puasa hari-hari putih, puasa Asyura, puasa pada awal bulan Zulhijjah.

-----------------------------
Pendapat ‘*dibolehkan’ tidak semestinya pilihan yang terbaik, kerana terdapat pendapat lain yang menyuruh melaksanakan qadha’ dulu sebelum melaksanakan puasa sunat. Ini khilaf atau perbezaan ulama’ yang kita harus terima dengan fikiran yang terbuka. Bagi mereka yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakan puasa qadha’ dahulu adalah jalan yang terbaik, lebih-lebih lagi puasa yang ditinggalkan itu tidak banyak. Pendapat diatas ini memberi kemudahan terutamanya kaum wanita bagi memperoleh peluang yang sama dari ganjaran puasa 6.

Sekian, wassalam

kamin, al-ahkam.net
6 Syawwal 1434 , 13 Ogos 2013.

Klik untuk melihat kenyataan Facebook beliau

Saturday, August 03, 2013

Kekuatan Istighfar (Memohon Ampun)



Manusia merupakan satu makluk yang sangat unik, dimana darjatnya boleh sampai setinggi-tinggi malaikat dan boleh menurun sehingga serendah-rendah binatang. Tidak mungkin manusia yang bukan Nabi bebas dari melakukan kesilapan didalam hidupnya, kerana disana Allah telah menjadi Syaithan dari kalangan Jin dan manusia agar mengganggu makluk yang dicipta dari tanah. Melakukan kesilapan merupakan lumrah manusia. Allah swt mempunyai sifat yang Maha Pengampun dan penerima Taubat. “Istighfar” merupakan alat  bagi seseorang itu memohon agar Allah mengampuni dosa-dosa.

Menurut Shiekh Salman al-‘Audah, Istighfar ialah “menuntut keampunan, dan pertahanan (wiqayah) terhadap dosa dengan menyitarkannya”. Umum berfahaman bahawa istighfar itu hanya dilakukan setelah seseorang itu melakukan dosa sahaja. Tidak ramai yang perasan bahawa istighfar itu merupakan satu keadah atau sebab Allah swt menurunkan hujan. Istighfar walapun ayat atau kalimahnya mudah, akan tetapi tidak ramai yang mengamalkan istighfar sebagai didalam urusan seharian mereka. Paling pendek sighah / lafaznya ada : "Astaghfirullah" (أستغفر الله).  Bagi menjelaskan keistimewaan amalan ini, dipaparkan dibawah ini 3 kisah yang menjelaskan kepelbagaian faedah amalan istighfar.

Kisah 1 -Imam Ahmad bin Hanbal and Istighfar

Berikut adalah kisah yang berlaku kepada Imam Ahmad bin Hanbal dimana pada suatu hari beliau ingin bermalam di dalam masjid akan tetapi telah dihalang oleh pengawal masjid tersebut. Imam Hanbal cuba memujuk pengawal tersebut namun tidak berjaya. Imam Ahmad berkata kepadanya : “Saya akan tidur ditempat kaki saya berada”. Maka Imam Ahmad pun tidor ditempat kakinya. Lalu pengawal Masjid tersebut menarik Imam Ahmad untuk keluarkan beliau dari situ. Namun kelihatan wajah Imam Ahmad tenang, tergambar ciri-ciri insan yang mulia.

Beliau telah dilihat oleh seorang pembuat roti, lalu beliau menawarkan Imam Ahmad untuk bermalam dirumahnya. Imam Ahmad bin Hanbali telah mengikut pembuat roti tersebut. Pembuat roti tersebut  melayan beliau dengan penuh hormat. Sewaktu dirumah, pembuat roti tersebut telah pergi menguli doh untuk membuat roti. Perkara yang penting berlaku adalah Imam Ahmad telah mendengar pembuat roti itu memohon ampun dan terus memohon keampunan kepada Allah berterusan.

Pembuat roti itu beristighfar dalam jangka waktu yang panjang.  Imam Ahmad kagum dengan pembuat roti yang terus beristighfar pada malam itu sambil menguli doh roti. Imam Ahmad ingin bertanya kepadanya mengenai istighfar. Walaupun Imam Ahmad tahu faedah istighfar, ganjaran istighfar dan fadhilat istighfar, namun beliau sengaja bertanya kepada pembuat roti tersebut :

“Apakah ada  hasil yang anda dapat dari istighfar?” Pembuat roti itu berkata :”Ya, demi Allah, Tidak ada satu do’a pun yang aku pohon melainkan dikabulkan Allah, kecuali satu lagi permintaan.”

Bertanya Imam Ahmad : “Apa dia?”

Berkata pembuat roti :” Aku ingin melihat Imam Ahmad bin Hanbal”

Maka berkata Imam Ahmad: “Aku lah Ahmad bin Hanbal, Demi Allah, sesungguh Allah telah membawa ku kepada kamu”

Kisah 2 – Hassan al-Basri dan Istighfar

Pada suatu hari ada seorang lelaki mengadu kepada Hasan al-Basri mengenai langit tidak hujan. Hasan al-Basri lantas berkata kepadanya:
“Beristighfarlah kepada Allah.”

Selanjutnya seorang lelaki lain mengadu akan kemiskinan yang menimpanya. Hasan al-Basri lalu berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada Allah.”

Kemudian datang seorang lelaki berkata : Isteri aku mandul, tidak dapat melahirkan anak. Hasan al-Basri lalu berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada Allah”.

Berkata seseorang : Beberapa orang lelaki mendatangimu mengadu pelbagai jenis perkara tetapi kamu menyuruh mereka semua untuk membaca istighfar!

Hasan al-Basri menjawab: “ Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا (12 (
“Maka aku (Nabi Nuh) berkata kepada mereka: Istighfar (mohonlah ampun) kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun (10) Dia akan menghantar hujan kepadamu dengan lebat , dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan Dia membuat untukmu kebun-kebun dan sungai-sungai.” (Surah Nuh: 10-12)


Kisah 3 – sebagaimana yang diceritakan oleh Dr Aa’idh al-Qarni

Berkata seorang wanita : Suami saya telah meninggal dunia pada usia saya 30 tahun. Saya mempunyai 5 orang anak lelaki dan perempuan. Dunia menjadi gelap di mata saya dan saya menangis sehinggalah takut akan penglihatanku menjadi buta. Mengenangkan nasib, dengan perasaan putus asa dan tidak ada yang prihatin dikalanganku. Anak lelakiku masih muda dan pendapatan yang aku terima tidak mencukupi untuk menampung hidup sekeluarga. Aku amat jimat berbelanja dengan duit yang ditinggalkan oleh bapa mereka (suami ku). Suatu malam aku telah membuka Radio siaran al-Quran , dan aku dapati seorang Sheikh sedang menceritakan sebuah riwayat :

من لزم الاستغفار جعل الله له من كل هم فرجا ومن كل ضيق مخرجا ورزقه من حيث لايحتسب
 “Barangsiapa yang melazimkan beristighfar / memohon ampun, Allah akan menjadikan kepadanya jalan keluar dari segala kemurungan dan kesukaran, dan memberi reski dari sumber yang tidak diketahui”

Aku memperbanyakkan bacaan istighfar, dan mengarahkan agar anak-anak aku melakukannya…. Setelah 6 bulan masa berlalu, sehinggalah timbul pembinaan projek diatas harta lama kami. Kami menerima pampasan berjuta nilainya. Anak lelakiku menjadi pelajar nombor satu didaerah ini. Beliau menghafal keseluruhan al-Quran, dan beliau menjadi orang yang sangat perihatinan dan membantu manusia. Rumah kami dipenuhi dengan kebaikkan dan kami hidup dengan penuh kegembiraan. Allah swt telah memperbaiki aku, anak-anak lelaki dan perempuanku, sehingga kesedihan dan kekecewaan pergi berlalu dan aku menjadi seorang wanita yang paling gembira.

Faedah Istighfar (أستغفر الله)

Diantara faedah-faedah istighfar selain dari memohon ampun diatas dosa-dosa yang dilakukan sebagaimana yang dipaparkan dari kisah-kisah diatas ada lah :-

1. Istighfar menjadi sebab di turunkan hujan

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا
“Dia akan menghantar hujan kepadamu dengan lebat” [surah Nuh – 11]

2. Istighfar boleh menyebabkan Allah swt mengurniakan zuriat dan harta

وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ
“dan membanyakkan harta dan anak-anakmu” [surah Nuh – 12]

3. Istighfar dapat menolak bala.

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” [surah al-anfal : 33]

4. Istighfar dapat menggantikan kejahatan kepada kebaikkan

إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [surah al-Furqan : 70]

Berkata Qataadah rh. : “Sesungguhnya al-Quran menunjukkan kepada kamu penyakit dan ubat kamu. Penyakit kamu adalah DOSA, dan ubat kamu adalah ISTIGHFAR.”

Berkata Hassan al-Basri rh : “Perbanyakkan istighfar didalam rumah kamu, dalam jadual kamu, dalam perjalanan kamu, dalam membeli-belah kamu dan dalam majlis kamu! Anda tidak tahu bila turunnya pengampunan”.

Istighfar pada lazimnya berkaitan dengan ucapan memohon ampun dari Allah swt setelah seseorang itu melakukan dosa. Dosa juga menjadikan penyebab Allah swt penyekat reski seseorang, diturunkan bala, dsb. Istighfar juga boleh menjadi penyebab do’a-do’a kita dikabulkan oleh Allah swt. Marilah kita menjadikan istighfar sebagai amalan penghidupan kita; memulakan hari dan menyudahi hari dengan beristighfar, Moga-moga Allah mengampuni dan merahmati kita. Mudah sahaja lafaznya : Astaghfirullah (أستغفر الله).

Sekian, wassalam
3 Ogos 2013, 25 Ramadhan 1434
Kamin, al-ahkam.net

Rujukan :

1. Dr Salman al-‘Audah. “Ma’a al-Shiyaam”. Riyadh : Muaasasah Islamtoday, 2011. 

2.  Kisah Imam Ahmad bin Hambal.
URL : http://www.aswaqcity.com/thread820141.html

3. Kisah Hassan al-Basri
URL : http://www.syriafreenetwork.com/t1139-topic

4. Kisah Sheikh Dr Aaidh al-Qarni
URL : http://women.bo7.net/girls346727