Penjelasan Puasa 6 bagi mereka yang mempunyai Qadha’
puasa
![]() |
Shiekh Abdul Aziz Marzuq al-Torifi
|
Antara ibadat yang mempunyai banyak ganjarannya selepas
berpuasa pada bulan Ramadhan ialah meneruskan berpuasa sebanyak 6 hari didalam
bulan Syawwal, dijanjikan Allah ganjaran seperti berpuasa sepanjang tahun. Dalil
adalah, dari Abu Ayyub ra. bahawa Nabi :saw bersabda :-
مَنْ
صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر
"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti
dengan ( berpuasa ) enam hari dibulan Syawal, maka ( ganjarannya ) sama seperti
berpuasa selama satu tahun." ( Hadith Riwayat Imam Muslim ).
Berdasarkan hadith ini, ada dikalangan ulama’ menjelaskan
bahawa mereka yang berpuasa ‘penuh’ pada bulan Ramadhan sahaja dan diteruskan
berpuasa sebanyak 6 hari di bulan Syawwal akan mendapat ganjaran tersebut. Bagi
mereka mempunyai puasa ganti / qadha’, hendaklah terlebih dahulu menqadha’kan
puasanya terlebih dahulu sebelum melakukan puasa enam.
Maka timbul persoalan lebih-lebih lagi dari kaum wanita,
bagaimana pula dengan keadaan kami yang mempunyai puasa ganti yang banyak, sudah tentu kami
tidak akan mendapat ganjaran berpuasa setahun? Bagi menjawab isu ini, ada
dikalangan ulama’ membenarkan melakukan puasa 6 sebelum melakukan puasa qadha’
termasuklah beberapa ulama’-ulama’ masakini yang mendokong pandangan ini.
Berikut adalan penjelasan seorang pakar hadith, Sheikh Abdul Aziz al-Torifi didalam Facebook beliau. Diantara perkara yang
beliau jelaskan :-
1. Mereka yang berpuasa didalam Ramadhan, disebabkan
keuzuran, maka dia berbuka, statusnya sama seperti orang yang sedang berpuasa,
sebagaimana hadith : (مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ
سِتًّا مِنْ) “Barangsiapa yang
berpuasa di bulan Ramadhan kemudian
diikuti dengan ( berpuasa ) enam”. Dia akan mendapat ganjaran tersebut setelah
dia menyelesaikan puasa enam hari dan puasa
qadha’.
2. Di bolehkan* berpuasa 6 sebelum mengqadha’ puasa. Ini
sebagaimana yang dijelaskan oleh salaf yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
Begitu juga terzahir dari hadith A’isyah mengqadha’ puasa sehingga Sya’ban.
Hadith :
كان يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ من
رَمَضَانَ فما أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إلا في شَعْبَانَ
“Aku memiliki
hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan
Sya’ban.”. [Hadith Riwayat Al-Bukhari, no: 1849, Muslim no: 1146.] – (Penjelasan
disini adalah tidak mungkin isteri Nabi meninggalkan puasa enam walaupun dia
menqadha’ puasa dalam bulan Sya’ban)
3. Adalah digalakkan seseorang itu
melaksanakan puasa enam bersamaan dengan puasa Isnin atau puasa hari-hari putih
(13, 14 & 15), dsb, dengan harapan mendapat 2 ganjaran (eg. Puasa 6 dan
puasa hari Isnin). Dalil tsabit dari Umar ra. melakukan puasa qadha’ pada hari-hari disunatkan berpuasa.
4. Adalah sangat
baik mengqadha’ puasa Ramadhan pada hari-hari yang mempunyai kelebihan, seperti
– Puasa Isnin, puasa hari-hari putih, puasa Asyura, puasa pada awal bulan
Zulhijjah.
-----------------------------
Pendapat ‘*dibolehkan’
tidak semestinya pilihan yang terbaik, kerana terdapat pendapat lain yang
menyuruh melaksanakan qadha’ dulu sebelum melaksanakan puasa sunat. Ini khilaf
atau perbezaan ulama’ yang kita harus terima dengan fikiran yang terbuka. Bagi
mereka yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakan puasa qadha’ dahulu adalah
jalan yang terbaik, lebih-lebih lagi puasa yang ditinggalkan itu tidak banyak. Pendapat
diatas ini memberi kemudahan terutamanya kaum wanita bagi memperoleh peluang
yang sama dari ganjaran puasa 6.
Sekian, wassalam
No comments:
Post a Comment