Umrah : sudah berapa kali anda lakukannya?
Mengerjakan umrah pada bulan Syawal juga merupakan satu amalan yang agak mencabar. Dengan kedapatan ramainya orang yang masih belum pulang ke negara masing-masing selepas beriktikaf pada sepuluh Ramadhan terakhir di Masjidil Haram membayangkan keadaan yang masih penuh sesak di kawasan Tawaf dan Saie. Namun demikian, jemaah Umrah terutamanya dari Malaysia dengan penuh semangat terus melaksanakan ibadat umrah mereka dengan tekun. Biasanya, setelah melaksanakan Umrah, mereka akan berkumpul di kafeteria hotel untuk melepas kehausan mereka, samada dengan minuman Oren Tang sejuk atau minuman panas, Milo, Teh atau Nescafe. Disesi bersosial dan melegakan tekak, berlakulah dialog diantara Ali, Pak Suhaimi, Hashim dan Pak Mokhtar yang kebetulan pakej Umrah yang sama.
Ali (dari Kajang) : "Sudah berapa umrah awak lakukan minggu ini?”
Suhaimi (orang penchen dari Seremban) : “Saya pagi sekali, malam sekali, tiap-tiap hari kami lakukan.Bagi mengelak kesesakkan kami akan pergi ke Tana’em sebelum subuh dan kembali ke Masjidil Haram ngam-ngam waktu Subuh. Setelah melakukan solat subuh kami sempurnakan Tawaf dan Saie. Malam pulak, kami pergi ke Tana’em jam 11:30pm dan akan bertawaf lebih kurang antara jam 12:30 dan 1am. Pukul 2am nanti habislah”
Hashim (1st time buat umrah, tinggal di Pandan Jaya) : “Saya ikut trip free yang disediakan oleh pihak penganjur sahaja, seperti bermiqat di Ji’ranah, Hudaibiyah dan Tana’em. Katanya kalau naik teksi ke Tana’em, cajnya SR20 satu kepala”
Mokhtar (seorang yang berumur dan janggutnya sudah putih) menyampuk dengan nada lembut : “Mana ada Umrah sunat berkali-kali, ini semua bid’ah kata ulama’ Saudi?!!”
Suhaimi : “ Aiiik... mana pulak Umrah berkali-kali ini bid’ah??? Itu kan ibadat sunat. Lagi kerap buat, lagi bagus”
Mokhtar menjawab : “Nabi ada buat ke umrah banyak-banyak kali ni? Para sahabat ada buat ke? Para Salaf ada buat ke?”
Beliau mengeluarkan buku kecil yang berwarna kuning yang diperolehi (hadiah) dari lawatan ke Masjid Quba di Madinah, yang menceduk fatwa bekas Mufti Arab Saudi, Ibn Utsaimin rh menyatakan :
هذا بارك الله فيك من البدع في دين الله؛ لأنه ليس أحرص من الرسول صلى الله عليه وسلم ولا من الصحابة، والرسول صلى الله عليه وسلم كما نعلم جميعاً دخل مكة فاتحاً في آخر رمضان، وبقي تسعة عشر يوماً في مكة ولم يخرج إلى التنعيم ليحرم بعمرة وكذلك الصحابة، فتكرار العمرة في سفر واحد من البدع،
“Keberkatan Allah keatas kamu, ini adalah salah satu bid’ah agama! Kerana sesungguhnya bukanlah satu perkara yang datang dari Nabi atau para sahabat, dan Rasulullah :saw sebagaimana yang kita ketahui memasuki Makkah, dan tinggal di sana selama 19 hari dan beliau tidak keluar untuk berihram di Tana’em, begitu juga sahabat, maka mengulangi Umrah (berkali-kali) didalam permusafiran yang satu adalah bid’ah” [Liqa’ Bab al-Maftuh (#121)]
Hashim : “Pak Mokhtar, Mufti Saudi ini sikit-sikit bid’ah. Mutawif kita kata ulama’ Saudi semuanya penganut Wahabi. Umrah berkali-kali pun dia kata bid’ah, dengan alasan Nabi tak buat”.
Mokhtar dengan senyum berkata : “Entahlah ye…..Sana kata bi’dah, yang sini pulak kata eloklah buat Umrah banyak2…Mesti ada jalan tengah agaknya, Wallahu’alam”
Pertama-tamanya, isu yang dinyatakan diatas ini jatuh dibawah topik bab ibadat-ibadat tambahan atau ibadat sunat yang menjadi tampalan kepada ibadat-ibadat wajib yang kita lakukan. Ibadat-ibadat ini tidak diwajibkan keatas seseorang untuk melakukannya, dengan ertikata lain, realitinya tidak semua orang akan melakukannya. Ia merupakan amalan sukarela. Apabila timbul dialog soal-jawab mengenai berapa jumlah “kebaikkan” yang telah kita lakukan, maka timbul pula persoalan, apakah wajar soalan ini ditanya??? Apakah wajar “kebaikkan” ini diperbincangkan? Apakah Allah swt masih memberi ganjaran kepada hamba-hambanya yang bercerita mengenai kebaikkan yang mereka lakukan? Dimanakah keikhlasan kita didalam beribadat kepada Allah swt? Tujuan apa kita menghitung-hitung amalan sunat tersebut dihadapan orang lain?
Bagi meneruskan perbincangan ini, wajar juga kita melihat dulu pra-syarat sesuatu ibadat itu diterima oleh Allah swt. Menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi didalam bukunya “al-niyyah wa al-ikhlas (ms 31)” berkata bahawa semua amalan soleh hendaklah menepati dua rukun, tanpanya Allah swt tidak akan menerima ibadatnya, iaitu :-
أولهما: الإخلاص وتصحيح النية.
وثانيهما: موافقة السنة ومنهاج الشرع.
“Pertamanya : ikhlas dan membersihkan niat,
Keduanya : dilakukan sejajar dengan al-Sunnah dan peraturan syara’”
Syeikh al-Qaradhawi didalam buku tersebut juga memetik kata-kata al-Fudail bin ‘Eyad, katanya :-
إن العمل إذا كان خالصا ولم يكن صوابا لم يقبل، وإذا كان صوابا ولم يكن خالصا لم يقبل، حتى يكون خالصا وصوابا، ..
“Sesungguhnya amalan apabila dilakukan secara ikhlas tetapi tidak betul caranya (tidak menepati syara’) maka ia tidak diterima, jika amalan itu dilakukan secara betul tetapi tidak ikhlas maka ia tidak diterima juga, sehinggalah dilakukan secara ikhlas dan betul” [al-niyyah wa al-ikhlas, ms 32].
Jelas disini menunjukkan bahawa ikhlas didalam ibadat merupakan pra-syarat pertama sesuatu ibadat itu diterima. Jika sesuatu ibadat itu dilakukan bukan kerana Allah swt, maka wujudlah keraguan diatas matlamat ibadat tersebut. Begitu juga dengan syarat kedua, segala ibadat itu hendaklah berlandaskan petunjuk Nabi :saw atau sunnah. Ikhlas dan menurut sunnah merupakan syarat terkabulnya amalan seseorang itu.
Menyedari hakikat ini, sebagai hamba Allah yang lemah lagi kerdil, hendaklah kita sedar bahawa amalan-amalan sunat atau sukarela hendaklah dilakukan sebagai mana konsep orang memberi sedekah : “Tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak tahu”. Usahlah dicanang-canang kepada orang ramai jumlah umrah yang telah kita lakukan. Sedarilah hakikat bahawa, amalan-amalan yang dilakukan, pada mulanya kerana Allah, akan tetapi tanpa disedari ia berubah seolah-olah ingin memberitahu manusia bahawa kita ini telah melakukan satu amalan tambahan. Ketahuilah bahawa riya’ itu membakar amalan kebaikkan!
Pra-syarat kedua didalam menentukan samada ibadat kita diterima oleh Allah swt atau tidak adalah samada ibadat kita tadi sejajar dengan tuntutan syara’? Merujuk kepada topik perbincangan kita, maka persoalannya adalah “apakah Umrah berkali-kali dalam satu permusafiran itu benar-benar merupakan amalan solafussoleh?”
Ijma’ fuqaha’ bersetuju bahawa Umrah merupakan salah satu dari amalan terbaik disisi Allah swt. Diantara satu Umrah dengan Umrah yang lain akan menghapuskan dosa diantaranya. Sabda Nabi :saw :-
العمرة إلى العمرة كفارة لما بينهما
“Antara satu Umrah hingga Umrah berikutnya adalah kifarat dosa di antara keduanya.” [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]
Jumhur ulama’ membenarkan umrah dilakukan berulang-ulangkali didalam satu tahun. [lihat Dur al-Muhktar 2/472, al-Majmu’ 7/149, Kasyaaf al-Qinaa’, 2/520]. Diantara yang tidak menggalakan mengulangi Umrah adalah al-Hassan, Ibn Sirin dan Imam Malik [lihat Muwaahib al-Jaleel, 2/424]. Mereka berpendapat hukumnya makruh.
Persoalan yang timbul ialah, apakah hukum bagi mereka yang mengulangi umrah dalam satu permusafiran sahaja? Misalnya seorang yang menziarahi Makkah selama 10 hari, memasuki Makkah melalui Madinah al-Munawarah. Maka setiba di Bi’r Ali yang merupakan Miqat berhampiran Madinah, dia akan berniat ihram disana. Setelah tiba di Makkah, selesai Tawaf, Saie dan bertahalul, maka sempurnalah Umrahnya. Pada keesokkan hari dan hari-hari berikutnya, dia akan pergi ke Tana’im (Miqat yang berhampiran kota Makkah), balik ke Makkah untuk menyelesaikan Umrah. Hampir setiap hari atau selang dua hari dia melakukan Umrah.
Menurut Ibn Qudamah rh didalam al-Mughni, bukanlah satu kesalahan melakukan Umrah berkali-kali didalam setahun, sebagaimana diriwayatkan oleh Ali, Ibn Umar, Ibn Abbas, Ans, A’isyah, ‘Ata’, Tawus, ‘Ikrimah dan al-Syafie, kerana ‘Aisyah melakukan Umrah DUA kali didalam setahun. Namun demikian, terdapat tempoh A’isyah ra. melakukan 2 Umrah tersebut dalam lingkungan kurang dari 20 hari.
Disini kita melihat bahawa TIDAK ada larangan sama sekali untuk menggulangi Umrah didalam satu atau beberapa permusafiran dalam satu tahun. Apa yang dapat dilihat disini bahawa terdapatnya jarak diantara satu Umrah dengan Umrah yang lain, seperti hadith perbuatan A’syah tadi, iaitu jarang kurang dari 20 hari. Berkata Imam Ahmad rh :-
إذا اعتمر فلا بد من أن يحلق أو يقصر، وفي عشرة أيام يمكن حلق الرأس
“Jika seseorang melakukan Umrah, dia akan mencukur atau memendikkan rambutnya, maka dalam tempoh 10 hari bolehlah dia mencukur kembali rambutnya” Beliau juga berkata : “seseorang itu tidak boleh melakukan Umrah sehingga kepalanya menjadi hitam ditumbuhi rambut”.
Ibn Taimiyah rh. menjelaskan bahawa : apa yang dikatakan oleh Imam Ahmad ialah tidak digalakkan melakukan Umrah berkali-kali dari Makkah atau kawasan lain, malah seseorang itu hendaklah menjarakkannya dalam tempoh rambut dapat tumbuh kembali agar ia dapat dicukur [Majmu’ al-Fatawa, 26/45].
Ali ra. berkata umrah boleh dilakukan setiap bulan. Apabila rambut telah tumbuh semula. Anas ra. akan keluar dan melakukan umrah sekali lagi. Kedua-dua riwayat ini telah laporkan oleh al-Syafie didalam Musnad [Musnad, ms 778]. ‘Ikrimah berkata : seseorang itu hendaklah melakukan umrah apabila rambutnya bersedia dicukur oleh pisau cukur. Berkata ‘Ata’ : jika seseorang itu ingin melakukan umrah, bolehlah melakukan Umrah 2 kali didalam sebulan. [Ibn Qudamah, al-Mughni, 3/220].
Syiekh Fahd bin Salim Bahamam memberi 2 kesimpulan yang baik mengenai amalan mengulangi Umrah dalam satu permusafiran. Kata beliau :
1. الإكثار من العمرة بسفر جديد من أفضل الأعمال عند الله.
2. يجوز على الصحيح تكرار العمرة في السفرة الواحدة، وإن كان الانشغال بالطواف والتعبد في الحرم أولى وأفضل.
“1. Memperbanyakkan Umrah dengan permusafiran yang baru (bukan satu permusafiran) merupakan amalan [Umrah] terbaik disisi Allah swt.
2. Mengulangi Umrah didalam satu permusafiran adalah DIBOLEHKAN, akan tetapi jika seseorang itu menyibukkan diri dengan melakukan ibadat TAWAF atau ibadat-ibadat lain di Masjidil Haram adalah lebih UTAMA dan AFDHAL.”
Dapat disimpulkan bahawa para sahabat dan salaf akan mengulangi Umrah dengan kadar tempoh kepala yang dicukur telah ditumbuhi rambut, dimana ada dikalangan mereka menyebut tempoh jarak antara 7 hingga 10 hari. Ulama’ menyebut bahawa Umrah yang diulangi terlalu kerap bukanlah satu tuntutan atau amalan terbaik semasa berada di Makkah, akan tetapi seseorang itu hendaklah melakukan tawaf sunat dan memperbanyakkan ibadat-ibadat lain didalam Masjidil Haram. Ini juga dapat menjernihkan lagi khilaf dikalangan ulama’ yang tidak membenarkan mengulangi Umrah, kerana disana wujudnya tempoh bagi melakukan amalan bercukur yang sempurna. Tidak ada larangan mengulangi Umrah dengan kerap, akan tetapi para Salafussoleh melakukannya dengan kadar tempoh tumbuhnya rambut dikepala.
Sekian, wassalam
Kamin, 26 Syawal / 24-09-2011
Rujukan :
Dr Yusuf al-Qaradhawi. Al-niyyah wa al-ikhlas. Kaherah : Maktabah Wahbah, 1995.
ما حكم تكرار العمرة في السفرة الواحدة؟
http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=85808
تكرار العمرة في السفرة الواحدة
http://www.fikhguide.com/tourist/shara/232
تكرار العمرة في سفر واحد من البدع
http://www.3llamteen.com/index.php?option=com_content&task=view&id=443&Itemid=47