Monday, November 28, 2016

Kedudukan saf orang yang bersolat menggunakan kerusi


Fenomena bersolat diatas kerusi sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam pada zaman ini. Perbicaraan mengenai hukum dan kaifiat bersolat diatas kerusi telah dibincangkan didalam 3 siri didalam blog ini.

Hukum Solat di atas kerusi (Bahagian 1)
http://kaminms.blogspot.my/2014/09/hukum-solat-di-atas-kerusi-bahagian-1.html

Hukum Solat di atas kerusi (Bahagian 2 – Gambaran pertama)
http://kaminms.blogspot.my/2014/09/hukum-solat-di-atas-kerusi-bahagian-2.html

Hukum solat di atas kerusi (Bahagian 3) 
http://kaminms.blogspot.my/2014/09/hukum-solat-diatas-kerusi-bahagian-3.html

Namun yang menjadi persoalannya ialah bagaimana kedudukan saf mereka yang menggunakan kerusi didalam solat. Apakah tumit selari dengan dengan jemaah saf, atau pun kaki kerusi yang selari dengan jemaah saf. Keadaan realitinya jelas menunjukkan kekeliruan jemaah-jemaah solat yang menggunakan kerusi dimasjid.

Pernah satu ketika, saya mendengar rungutan seorang wanita yang cuba membetulkan kedudukan saf seorang Mak Cik yang kaki kerusinya selari dengan tumit jemaah, sedangkan dia mampu berdiri dalam rukun Qiam, dan melakukan ruku' dan sujud menggunakan kerusi. Wanita ini mengajak Mak Cik tersebut merapatkan saf, dimana tumit kena selari dengan tumit jemaah bersebelahan. Mak Cik itu menjawab, hukum itu bagi mereka yang bersolat berdiri, tetapi saya bersolat duduk (semasa ruku' dan sujud). Persoalan ini pernah dibicarakan di Bahagian 3 dalam kesimpulan artikel, dan barangkali mungkin perlu diberi gambaran secara ilustrasi untuk mudah memahaminya.

Saf solat bagi mereka yang menggunakan kerusi ada dua keadaan :-

1. Keadaan yang pertama merujuk kepada mereka yang boleh berdiri semasa rukun Qiam, dan ruku dan sujud menggunakan kerusi. Situasi ini sama dengan suasana yang dihadapi oleh Mak Cik diatas.

2. Keadaan yang kedua pula merujuk kepada seseorang yang hanya mampu bersolat dengan bantuan kerusi, dengan kata lain, keseluruhan solat dilakukan diatas kerusi.

Berikut adalah ilustrusi scenario situasi solat diatas kerusi yang diambil dari laman web Sheikh Khalid bin Abdul Aziz al-Batli [1].

1. Bagi situasi pertama, seseorang itu mampu berdiri semasa Qiam, akan tetapi menggunakan bantuan kerusi untuk ruku', sujud, duduk antara 2 sujud dan tahiyyat. Saf bagi mereka ini sama dengan saf jemaah yang menunaikan solat, iaitu bahu dan tumit selari dengan jemaah bersebelahan. Dengan erti kata lain, kerusinya berada kebelakang sedikit seperti gambarajah  1 berikut:-

Gambarajah 1 - Saf yang betul (tumit dan bahu selari)

Adalah menjadi kesalahan seseorang yang boleh Qiam akan tetapi kedudukan kakinya mendahului jemaah yang lain. Dia menjadi kaki kerusinya selari dengan saf jemaah yang bersebelahannya seperti berikut (Gambarajah 2) :-

Gambarajah 2 : Kesilapan didalam Saf (kedepan dari makmum lain)

2. Situasi kedua pula ialah mereka yang tidak langsung mampu berdiri, sepanjang solatnya diatas kerusi. Kedudukan saf solatnya adalah menjadikan bahunya dan kaki kerusi yang kedua bersamaan dengan jemaah bersebelahan. Kaedah ini sama dengan orang yang hanya mampu duduk bersila, dimana kedudukan badannya selari dengan jemaah bersebelahan. Berikut adalah gambaran solat mereka yang duduk sepanjang solat (gambarajah 3).

Gambarajah 3 - Saf yang betul (bahu selari)

Adalah menjadi kesalahan bagi mereka yang berada didalam situasi ini menjadikan tumit kaki selari dengan jemaah solat seperti gambarajah 4 dibawah ini.

Gambarajah 4 - Kesilapan didalam Saf (bahu tidak selari)

Perhatian perlu diberikan kepada jemaah yang menggunakan kerusi mengenai kedudukannya didalam saf. Hendaklah dia memilih berada di hujung saf (kiri atau kanan), lebih-lebih lagi mereka yang mampu berdiri didalam rukun Qiam dimana kedudukan kerusinya adalah terkebelakang sedikit. Jika makmum berada ditengah-tengah saf, sedikit sebanyak keadaan ini akan mengganggu saf yang dibelakangnya ketika menyempurnakan solat. Digalakkan juga mereka ini berada di saf yang terakhir [2].

Antara nasihat yang baik boleh di baca di laman fatwa mufti Negeri Sembilan [3]:
Hendaklah bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri sekiranya mampu, kerana qiyam adalah sebahagian daripada rukun solat. HaI ini adalah bagi kes ketidakmampuan untuk ruku’, sujud atau berdiri lama. Manakala bagi kes ketidakmampuan untuk berdiri maka diharuskan bertakbiratul ihram dalam keadaan duduk.
Hendaklah terus berdiri ketika membaca al-Fatihah dan surah sekiranya mampu. Walau bagaimanapun, diharuskan duduk apabila tidak mampu atau terus duduk jika langsung tidak mampu.
Hendaklah berdiri dengan bertumpukan (i’timad) kedua-dua belah kaki jika mampu atau salah satu daripadanya jika tidak mampu, dan tidak berdiri sambil bersandar kepada sesuatu dengan merehatkan kedua-dua kaki atau salah satu daripadanya.
Tidak menggerakkan kerusi ke hadapan atau ke belakang ketika melakukan isyarat tunduk untuk ruku’ dan sujud.
Tidak menyandarkan belakang badan ke kerusi tanpa sebarang hajat atau keuzuran. Hal ini kerana ia menyalahi tatacara solat, dan keizinan duduk hanya sekadar untuk menampung keuzuran berdiri.
Hendaklah membezakan secara konsisten keadaan tunduk untuk ruku’ dan tunduk untuk sujud. Kedudukan isyarat tunduk untuk sujud hendaklah lebih rendah  daripada isyarat tunduk untuk ruku’.
Tidak sujud di atas sesuatu yang berada di hadapannya seperti yang dilakukan oleh sesetengah penumpang kapal terbang yang menjadikan meja makan sebagai tempat sujud.
Sekiranya keuzuran adalah untuk ruku’ atau sujud, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri dan apabila tiba masa untuk ruku’ atau sujud, barulah diizinkan duduk dan melakukan isyarat tunduk tanda ruku’ dan sujud mengikut kemampuan.
Hendaklah meletakkan tangan di atas kedua-dua lututnya ketika tunduk tanda ruku’ dan meletakkannya di tempat lain selain lutut ketika tunduk tanda sujud supaya ada perbezaan antara isyarat ruku’ dan sujud. Sebagai contoh, kedua-dua belah tangan boleh dilepaskan sahaja di kiri atau kanan peha ketika tunduk tanda sujud, atau diletakkan di atas kedua-dua belah paha kanan dan kiri, atau diletakkan pada kerusi jika ada. 
Tidak digalakkan menjadi imam kepada ma’mum yang solat dalam keadaan sempurna tanpa duduk di atas kerusi atau lantai. Walau bagaimanapun, tiada halangan menjadi imam sekiranya semua makmum daripada kalangan mereka yang uzur atau solat dalam keadaan duduk. Begitu juga sekiranya imam berkenaan merupakan imam bertugas dan keuzurannya adalah sementara dan boleh sembuh. Manakala makmum pula tetap wajib berdiri sekiranya mampu.
Jika keuzurannya sementara dan boleh hilang, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri apabila hilang keuzuran tersebut. Sebagai contoh sekiranya sedang solat dalam keadaan duduk, tiba-tiba rasa sakit atau uzur yang menghalangnya berdiri hilang, maka ketika itu wajib ke atasnya berdiri dan begitulah sebaliknya.

Umum melihat saf orang yang bersolat diatas kerusi ini hanya mempunyai satu keadah sahaja, ia itu kedudukan bahu hendaklah selari dengan jemaah bersebelahan, dan dia akan solat duduk dari takbiratul ihram sehingga salam.  Malah permasalahan ini ada dibincangkan didalam kitab-kitab fiqh, dibawah tajuk solat secara duduk (bersila, dsb). Namun, keadaan separa duduk, atau duduk hanya ketika melakukan ruku' dan sujud ini tidak dibincangkan oleh ulama' mutaqaddimin. Oleh kerana itu, artikel ini merujuk kepada pandangan ulama'-ulama' dimasa sekarang dan juga fatwa semasa bagi menjelaskan fenomena solat separa duduk ini. Wallahu'alam.

kamin, al-ahkam.net
28 Nov 2016


Rujukan :

1. الصلاة على الكراسي .. أحكام وتنبيهات
http://kalbatli.com/praying_on_chairs/

2. عنوان الفتوى: الصلاة على الكراسي وكيفية وضعها في الصفوف
http://www.awqaf.gov.ae/Fatwa.aspx?SectionID=9&RefID=8633

3. Fatwa Mufti Negeri Sembilan. Garis Panduan Solat Dalam Keadaan Duduk
http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/himpunan-fatwa/171-keputusan-mesyuarat-fatwa/902-garis-panduan-solat-dalam-keadaan-duduk


No comments: