Raya selepas Puasa Enam (8 Syawal)
Hari Eid al-Fitr atau Hari Raya Eidul Fitri yang kedua menandakan bermulanya Puasa enam bagi setengah-tengah orang Islam. Pelbagai alasan yang memotivasikan mereka untuk memulakan puasa pada hari keDua Syawwal. Diantaranya adalah :
a. masih berada didalam mood puasa, lagi pun baru sehari break, elok sahaja diteruskan berpuasa.
b. takut melambat-lambatkan Puasa Enam nanti langsung Syawwal berlalu
c. berpakat sesama kawan-kawan untuk ramai-ramai berpuasa enam.
Alasan (c) ini akan membawa setengah-tengah mereka dikalangan kariah masjid atau surau menyambut apa yang dinamakan Hari Raya selepas puasa enam yang jatuh pada hari 8 Syawwal. Amalan ini juga dikenali oleh masyarakat Timur Tengah sebagai Eid al-Abrar, Kita dapati ada dikalangan anggota kariah akan memasak ketupat dan ada yang mula membakar lemang.
Ada dikalangan anak-anak kecil yang bertanya, "Buat apa tu?" Jawab si-Ibu : "Ini haa...Bapak engkau nak sambut Raya lepas habis puasa enam! Ini yang Mak masakkan rendang untuk dia". Menyambut Raya selepas tamat puasa enam ini agak popular juga dikalangan Umat Islam seluruh dunia. Ia merupakan satu fenomena sejagat.Jika dijejaki, sejarahnya pasti lama sebelum zaman Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah rh lagi, kerana beliau sendiri pernah berfatwa mengenai perbuatan tersebut didalam Kitab Majmu' Fataawanya.
Kenapa mereka begitu ghairah sekali menyambut Eid al-Abrar, atau Raya selepas puasa enam? Mungkin dua faktor yang dapat difikirkan buat masa ini...1. Memahami bahawa hadith berikut :-
من صام رمضان ثم أتبعه بست من شوال فكأنما صام الدهر
"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikutinya dengan berpuasa 6 hari dibulan Syawwal maka seolah-oleh disudah berpuasa sepanjang tahun". [hadith Sahih Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tirmudzi]
Dengan berpuasa 6 hari didalam bulan Syawwal ganjarannya adalah seperti berpuasa 1 tahun, dan ini bermakna sudah tentu beraya pada hari ke lapan Syawwal bagi mereka yang tamat puasa enam lebih bagus lagi.2. Perayaan ini sudah menjadi satu fadhilat turun temurun dikalangan sebahagian kecil umat Islam. Ini merupakan amalan warisan yang kelihatan seolah-olah satu sunnah besar yang perlu diikuti.Apakah hukum menyambut Eid al-Abar ini?
Didalam Kitab al-Sunnan (ms 166) ada menyebut : "Perayaan untuk Eid ini bagi setengah-tengah masjid adalah masyhur, dimana lelaki dan wanita bercampur lalu berjabat tangan sampai menyebut lafaz-lafaz Jahiliyah, kemudian mereka akan menyediakan berapa hidangan makanan khas bagi perayaan ini".
Berkata Ibn Taimiyah rh : "Bagi mereka yang menyambut perayaan yang tidak ada didalam syariah, seperti beberapa malam pada bulan Rabi al-Awal dengan mengatakan, sesungguhnya ini adalah Malam Maulud, atau beberapa malam didalam bulan Rejab, atau 18 Zulhijjah, atau Jumaat pertama didalam bulan Rejab, atau 8 Syawwal yang kenali namanya sebagai Eid al-Abrar : sesungguhnya ianya adalah bid'ah yang tidak disukai oleh Salaf, dan mereka tidak beramal dengannya" [Majmu' Fataawa, 25/298].
Jelas disini bahawa umat Islam dilarang menyambut Eid al-Abrar kerana ia merupakan satu perayaan yang diada-adakan. Tidak ada larangan bagi mereka yang ingin berpuasa seawal 2 Syawwal, kerana yang diharamkan hanyalah berpuasa pada 1 Syawwal sebagai hadith Abu Saed ra. riwayat Imam Bukhari. Bagi umat Islam hanyalah terdapat hanya 2 perayaan sahaja, iaitu Eid al-Fitr dan Eid al-Adha.
Barangkali kita kena fikirkan juga mengapa Imam Malik rh mengatakan puasa Enam itu makruh hukumnya, walaupun puasa Enam ini datang dari hadith yang sahih. Beliau khawthir akan mungkin ada yang mengatakan puasa Enam ini hukumnya wajib. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi rh menganggap kata-kata Imam Malik ini sebagai langkah berhati-hati dan bukan melarang. Mungkin kita juga boleh usulkan agar puasa Enam tersebut tidak dilakukan pada awal Syawwal bagi meraikan kedatangan sahabat handai yang menziarahi mereka.
Puasa enam merupakan amalan kesinambungan madrasah Ramadhan yang telah tamat apabila bermulanya Syawwal. Ini bukan merupakan puasa untuk menyambut 8 Syawwal, atau Hari Raya selepas puasa Enam yang jelas bid'ah hukumnya. Apa yang jelas ialah puasa ini boleh dilaku pada bila-bila masa didalam bulan Syawwal.
Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment